KWSP : Permohonan Pengeluaran Khas RM10,000 Guna Portal Khas, Dibayar Sekali Gus

         Sumber Grafik : KWSP

 

KEWANGAN | Pencarum yang berhasrat mengeluarkan simpanan RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah kemudahan pengeluaran khas boleh membuat permohonan melalui portal khas.


KWSP dalam kenyataan media pada 29 MAC 2022 memaklumkan, pemohon boleh berbuat demikian bermula 1 April 2022/Jumaat melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my yang juga boleh diakses menerusi aplikasi mudah alih i-Akaun.


Bagaimanapun, dana persaraan itu menggalakkan pencarum menyemak baki simpanan KWSP mereka melalui i-Akaun, aplikasi mudah alih i-Akaun atau kios KWSP sebelum membuat permohonan pengeluaran berkenaan.


"Dalam pengumuman pada 16 Mac lalu, KWSP memaklumkan permohonan untuk pengeluaran itu akan dibuka kepada ahli bawah usia 55 tahun, bermula 1 April ini dan tempoh permohonan berakhir pada 30 April, manakala pembayaran akan bermula pada 20 April ini.


"Jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan ialah RM10,000 dan minimum RM50. Ahli perlu menggunakan sepenuhnya baki dalam Akaun 2 sebelum mengakses Akaun 1 mereka serta perlu mengekalkan jumlah minimum sebanyak RM100 dalam akaun.


   Sumber Grafik: KWSP

"Pembayaran akan dibuat dalam satu bayaran sahaja dan dikreditkan ke dalam akaun bank simpanan atau semasa ahli yang perlu memastikan akaun bank mereka aktif dan bawah nama ahli sendiri. Akaun bersama atau yang didaftarkan di bawah nama syarikat adalah tidak dibenarkan," jelas KWSP.


Kenyataan itu memaklumkan, pencarum boleh membuat semakan status permohonan bermula 9 April 2022 melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my.


Katanya pengeluaran khas itu bertujuan membantu ahli yang masih terkesan dengan pandemik untuk memenuhi keperluan mendesak. 


"KWSP mengingatkan ahli supaya mempertimbangkan jaminan pendapatan mereka pada masa depan dan hanya mengeluarkan simpanan sekiranya benar-benar perlu," katanya.


KWSP memaklumkan, pencarum boleh berjumpa dengan pegawai khidmat nasihat ahli di mana-mana cawangan agensi berkenaan di seluruh negara untuk mendapatkan nasihat percuma mengenai simpanan mereka.


Maklumat lanjut mengenai kemudahan pengeluaran khas boleh diperoleh dengan menggunakan kemudahan 'Ask ELYA' dalam laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, Facebook, Twitter dan Instagram KWSP atau menghubungi Hotline Pengeluaran Khas di talian 03-8922 4848, bermula 1 April 2022.


   Sumber Grafik :KWSP

Berikut adalah kenyataan media penuh KWSP berkenaan langkah permohonan untuk kemudahan pengeluaran khas



TERKINI

Merealisasikan Guru Jauhari Digital, Jadi Aspirasi Negara MADANI

   AI image generated by : Mohd Ezli Mashut Oleh : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut via Copilot Dalam e...