Malaysia Hadapi Cuaca Panas, Taburan Hujan Rendah Hingga Mac


    Sumber Foto: Food Safety News


CUACA | Malaysia kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut, sekali gus menyebabkan fenomena peningkatan suhu mendadak yang dijangka berterusan sehingga Mac, kata Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) 


Dalam tempoh itu, taburan hujan agak rendah di Semenanjung Malaysia terutama di utara Semenanjung, lapor BH Online pada 3 Februari 2022/Khamis.


Ketua Pengarah METMalaysia berkata bagaimanapun pihaknya tidak menjangka keadaan cuaca panas luar biasa akan berlaku pada tahun ini.


"Taburan hujan yang rendah dan litupan awan yang kurang dalam tempoh lama boleh menyebabkan cuaca panas bermula tengah hari hingga lewat malam.


"Cuaca panas dialami ketika ini satu fenomena biasa sepanjang tempoh Januari hingga April setiap tahun.


"Suhu tertinggi pada bulan lalu yang dicerap METMalaysia adalah 36.6 darjah Celsius dicatatkan di Stesen Meteorologi Chuping pada 29 Januari lalu, manakala 34.6 darjah Celsius yang dicerap di Stesen Meteorologi Langkawi pada 28 Januari 2021," kata Muhammad Helmi Abdullah.


Beliau berkata, keadaan cuaca panas dialami di banyak kawasan negara dalam tempoh ini dijangka beransur reda bermula pertengahan April depan.


Muhammad Helmi berkata, semua pihak dinasihat mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air, selain mengelak aktiviti pembakaran terbuka, mengurangkan aktiviti di luar dan minum air secukupnya.


"METMalaysia sentiasa memantau cuaca di seluruh negara dan akan mengeluarkan Nasihat Gelombang Haba jika bacaan suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut.


"Orang ramai disaran sentiasa peka dengan perubahan cuaca dan mendapatkan maklumat serta amaran cuaca terkini melalui laman sesawang rasmi aplikasi myCuaca dan media sosial METMalaysia," katanya.

TERKINI

Merealisasikan Guru Jauhari Digital, Jadi Aspirasi Negara MADANI

   AI image generated by : Mohd Ezli Mashut Oleh : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut via Copilot Dalam e...