Tokyo bakal dilanda hujan paling lebat dalam 60 tahun




TOKYO: Ribut kuat semakin mendekati Jepun hari ini, memberi ancaman hujan paling lebat pernah melanda ibu kota negara itu dalam masa 60 tahun, mengganggu acara Formula Satu dan Piala Dunia Ragbi dan meningkatkan kebimbangan mengenai kekecohan pengangkutan.

Taufan Hagibis, bermakna ‘pecutan’ dalam bahasa Tagalog, dijangka tiba di pulau Honshu esok, sebulan selepas salah satu taufan paling kuat membadai Jepun yang memusnahkan atau merosakkan 30,000 rumah dan menyebabkan gangguan bekalan elektrik besar-besaran.

“Taufan boleh membawa hujan paling lebat dan angin,” kata pegawai di Agensi Kaji Cuaca Jepun pada sidang akhbar.

Ribut itu adalah yang paling kuat melanda Tokyo sejak 1958 dan orang ramai perlu bersiap sedia bagi ombak tinggi dan ribut, kata agensi itu.

Pegawai di negeri Chiba di timur Tokyo, yang teruk dilanda taufan Faxai sebulan lalu, memberitahu orang ramai supaya menyediakan bekalan makanan dan air selama tiga hari.

Penganjur Grand Prix Formula Satu Jepun membatalkan semua latihan dan sesi kelayakan yang dijadualkan esok, menambah pusingan kelayakan akan diadakan Ahad ini, sebelum pertandingan akhir diadakan seperti dirancang.

Taufan besar yang mendekati sudah pun memaksa pembatalan dua pertandingan Piala Dunia Ragbi esok, manakala perlawanan Ahad ini antara Jepun dan Scotland masih samar.

Syarikat penerbangan Airline ANA Holdings membatalkan semua penerbangan domestik ke dan dari dua lapangan terbang utama di Tokyo sejak petang hari ini.

Syarikat saingan, Japan Airlines Co, membatalkan beberapa penerbangan ke dan dari lapangan terbang yang berkhidmat di bandar raya Osaka dan Nagoya. —

Sumber : Reuters

TERKINI

Merealisasikan Guru Jauhari Digital, Jadi Aspirasi Negara MADANI

   AI image generated by : Mohd Ezli Mashut Oleh : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut via Copilot Dalam e...