Grafik Oleh: FB Mufti Wilayah |
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Semoga Hajjah Neelofa berada dalam keaadan sihat sejahtera hendaknya.
Alhamdulillah kami merafakkan setinggi kesyukuran ke atas-Nya, selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, para sahabat yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari akhirat.
Kami telah menerima berita yang hangat melalui Facebook, Instagram dan media sosial lain berkaitan isu pelancaran produk Naelofar Hijab di Zouk, Kuala Lumpur.
Kami mendapat pelbagai pandangan sama ada yang mengecam dan tidak kurang juga yang menyokong tindakan tersebut.
Justeru kami terpangil untuk menulis surat terbuka kepada Hajjah Neelofa berkenaan hal ini.
Tudung adalah lambang kehormatan wanita. Tudung adalah simbol kepatuhan seorang hamba kepada perintah Tuhannya. Tudung juga adalah salah satu bentuk kesempurnaan dalam beragama.
Sebenarnya, tudung adalah simbol sifat malu seorang wanita, simbol akhlak Muslimah yang perlu dipelihara dan simbol kemegahan Islam yang wajar dibanggakan.
Pemakai tudung tidak semestinya sempurna, namun sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik dari hari sebelumnya. Indahnya pemakai tudung bukan hanya kerana memelihara auratnya, tetapi lebih daripada itu, mereka sebenarnya memelihara agama-Nya dan mematuhi Allah dan Rasul-Nya.
Matlamat tak halalkan cara
Foto Oleh: FB Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri |
Sangat sukar sebenarnya untuk konsisten bertudung dengan memelihara perilaku dan adab kesopanan. Sehinggakan ada yang menolak untuk bertudung kerana tidak mahu hipokrit.
Sedangkan perubahan daripada tidak bertudung, kepada bertudung bukanlah satu bentuk hipokrit kerana ia tidak hanya melibatkan penghijrahan diri tetapi juga penghijrahan hati dalam usaha menggapai reda Ilahi.
Jika bukan redha-Nya yang kita impikan, apa lagi yang hendak kita cari di dunia ini?
Tidak salah untuk kita mencari kelainan. Malah, kadangkala kelainan itulah yang melorongkan seseorang ke jalan Tuhan.
Namun, fitnah dan tohmahan perlulah sentiasa dielakkan. Satu kaedah yang masyhur di dalam Islam: Matlamat tidak menghalalkan cara.
Benar, perniagaan untuk mendapatkan keuntungan adalah matlamat yang murni. Namun begitu, kaedahnya juga wajib diraikan agar terhasilnya keberkatan.
Kami sangat khuatir, apa yang terjadi baru-baru ini bakal membawa satu fenomena normalisasi dalam bertudung. Apa sahaja boleh dan dibenarkan asalkan bertudung.
Kekhuatiran ini bukan bermakna agama mengongkong wanita, tetapi agamalah yang sebenarnya membebaskan wanita daripada penjara keterbukaan tanpa had, kepada mendapat hak kebebasan yang bersyariat.
Kepada para ikhwah dan akhawat, masyarakat Muslim Malaysia yang memberi teguran dan saranan, kami merasakan banyak manfaat dan istifadah yang dapat dikutip.
Hayati syariat Islam
Dalam keadaan seperti ini, alangkah baiknya kita mempunyai nada yang sama, penuh rahmah dan hikmah dalam memperbaiki diri sesama kita. Insya-Allah itulah yang terbaik.
Memalukan, mengaibkan dan memberi tohmahan dan fitnah kepada beliau, bukanlah akhlak seorang Muslim. Semoga amar makruf dan nahi mungkar yang dijalankan dengan kaedah dakwah yang baik akan membekas dalam sanubari kita.
Kami mengenali Hajjah Neelofa sebagai simbol Muslimah yang berjaya. Tidak ramai yang mampu menggalas tugas sebagai “wanita besi” dan “gergasi” dalam perniagaan dan kerjaya.
Tetapi anda sudah membuktikannya, malah membanggakan Malaysia dan dunia Islam.
Akhir kalam, kami berpesan kepada Hajjah Neelofa untuk sama-sama menghayati syariat Islam yang sebenarnya.
Kami noktahnya disini 3 perkara:
- Tanyalah ulama sebelum bertindak
- Sentiasa memelihara imej wanita bertudung
- Carilah rezeki yang diberkati Allah SWT.
Kami berdoa semoga Hajjah Neelofa terus maju di dalam kehidupan dan kerjaya serta sentiasa memperoleh taufik, hidayah dan rahmat-Nya.
Akhukum fillah,
Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan