MH17: Mahkamah Arah Jeneral Separa Tentera Rusia Ditahan



GLOBAL: TRAGEDI MH17: Seorang anggota tentera veteran Rusia Sergey Dubinsky diarahkan Mahkamah Ukraine untuk ditahan kerana disyaki terlibat dalam menembak jatuh pesawat MH17 milik Malaysia Airlines.

Akhbar Kyiv Post melaporkan, tertuduh disyaki merancang pergerakan pelancar peluru berpandu BUK Rusia yang menembak jatuh MH17, ke Ukraine.

Menurut laporan itu, suara tertuduh yang memberitahu anggota-anggota tentera pimpinan Rusia tentang lokasi pengambilan BUK itu didakwa didengari dalam panggilan telefon yang dipintas oleh Perkhidmatan Ke­selamatan Ukraine (SBU).

Kyiv Post yang memetik berita dalam talian Ukrainnski Novyny memaklumkan, Mahkamah Wilayah Shevchenkivsky telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Dubinsky.

SBU turut memberitahu, Dubinsky dituduh terlibat dalam kegiatan pengganas dan telah dimaklumkan tentang pendakwaan tersebut.

Laporan itu juga menyebut, tertuduh telah berkhidmat sebagai ketua perisikan untuk seorang pegawai risikan tentera Rusia yang dikenali sebagai ‘Strelkov’ Girkin.

Girkin didakwa telah mengetuai campur tangan pasukan tentera Rusia di wilayah Donetsk Basin, Ukraine, dua tahun lalu dan memulakan konflik tersebut.

Pesawat MH17 ditembak jatuh di ruang udara Donetsk di timur Ukraine ketika dalam penerbangan ke Amsterdam dari Kuala Lumpur dan kesemua 298 penumpang dan kru terbunuh dalam kejadian tersebut.

Pihak berkuasa memutuskan pesawat itu telah ditembak jatuh oleh roket buatan Rusia namun Moscow menafikan penggunaan roket miliknya.

Pada 22 September lalu, Malaysia, Ukraine, Australia, Belgium dan Belanda memeterai memorandum persefahaman sokongan politik untuk mendakwa penjenayah yang menembak jatuh pesawat berkenaan.

Pada Ahad lalu, akhbar Sydney Morning Herald melaporkan, seorang anggota separa tentera Rusia berpangkat jeneral dikenali sebagai Nikolai Fedorovich Tkachev.

telah dikenal pasti sebagai individu yang memantau pergerakan pelancar roket berkenaan.

Tkachev dikenal pasti melalui siasatan pasukan penyiasat terdiri daripada McClatchy di Amerika Syarikat (AS), laman sesawang siasatan Bellingcat yang beribu pejabat di London dan The Insi­der di Moscow. 

SUMBER: AGENSI



TERKINI

Merealisasikan Guru Jauhari Digital, Jadi Aspirasi Negara MADANI

   AI image generated by : Mohd Ezli Mashut Oleh : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut via Copilot Dalam e...