AirAsia Raih Anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia Kali Ke-14 Berturut


    Sumber Foto : AirAsia 


PENERBANGAN | AirAsia dipilih sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia di Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2023 untuk kali ke-14 berturut-turut, sekali gus menjadikan syarikat penerbangan itu penanda aras global bagi kualiti dan kecemerlangan syarikat penerbangan.


Syarikat penerbangan itu juga muncul sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia 2023, seperti yang diundi oleh pengembara yang mengambil bahagian dalam tinjauan kepuasan penumpang syarikat penerbangan terbesar dari September 2022 hingga Mei 2023.


Lebih 100 warga negara (pelanggan) mengambil bahagian dalam tinjauan itu, dengan 20.23 juta penyertaan yang layak dikira dalam membuat keputusan.


Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2023 telah diadakan bersempena dengan Pameran Udara Paris (Paris Air Show) yang diadakan dari 19-25 Jun di Le Bourget Parc des Expositions di Paris.


BERIKUT ADALAH KENYATAAN MEDIA PENUH : 


Berjuta pelancong global mengundi AirAsia sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia untuk kali ke-14 berturut-turut di Skytrax


PARIS, 21 Jun 2023 - AirAsia sekali lagi telah dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia di Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2023 (Skytrax) buat kali ke-14 berturut-turut.


Sebagai penanda aras global bagi kualiti dan kecemerlangan syarikat penerbangan, lebih daripada 325 syarikat penerbangan disaring hingga ke peringkat akhir, di mana AirAsia menjuarai kategorinya. 

Lebih 100 warganegara pengembara yang mengambil bahagian dalam tinjauan dalam talian ini, dengan kira-kira 20.23 juta penyertaan yang layak dikira dalam keputusan dari September 2022 hingga Mei 2023, sejajar dengan tempoh AirAsia meningkatkan rangkaiannya kembali ke lebih 130 destinasi.


Pengiktirafan yang luar biasa ini merupakan bukti kukuh kepada pemulihan syarikat penerbangan ini dan pertumbuhan berterusannya dari segi rangkaian dan penumpang, serta komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam aspek inovasi dan menyediakan perkhidmatan terbaik walaupun menghadapi cabaran berikutan pandemik global. 


Hasilnya, AirAsia sekali lagi kekal sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbaik bagi para tetamu yang ingin mendapatkan lebih nilai dan pilihan berpatutan.


Semasa menerima anugerah tersebut pada majlis yang berlangsung di Paris Air Show 2023 di Perancis hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata: “Kami amat berbangga dan berterima kasih atas anugerah bermakna yang diberikan kepada kami oleh penganjur Skytrax, para pengundi, dan penyokong setia AirAsia. 


Kami turut berasa rendah hati kerana dinobatkan dalam anugerah kecemerlangan ini selama 14 tahun berturut-turut yang merupakan satu pencapaian yang tidak terjangka. Ini merupakan pencapaian yang luar biasa bagi mana-mana syarikat dalam mana-mana industri, lebih-lebih lagi untuk sebuah jenama Asean.” 


Edward Plaisted, Ketua Pegawai Eksekutif Skytrax berkata: “AirAsia adalah salah sebuah jenama kegemaran para penumpang dalam tinjauan kami dan mereka terus meningkatkan kecemerlangan dari tahun ke tahun sejak kategori Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia diperkenalkan pada tahun 2010. 


Kami berharap pengiktirafan daripada para penumpang ini menjadi sumber kebanggaan untuk pihak pengurusan syarikat penerbangann AirAsia dan kakitangan mereka yang telah melalui tempoh yang sukar untuk kembali memulakan perkhidmatan selepas pandemik.”


Kini kira-kira 170 buah pesawat telah kembali beroperasi di seluruh kumpulan dan AirAsia menjangka semua 204 buah pesawat akan diaktifkan semula menjelang akhir bulan Ogos pada tahun ini. 


Selain mencapai 100% kapasiti pra-pandemik dalam beberapa bulan akan datang, syarikat penerbangan itu juga bakal mengembangkan sayapnya lebih jauh dengan 19 buah pesawat baharu yang akan diaktifkan pada tahun ini, termasuk empat buah pesawat jenis Frontier.


AirAsia juga telah memulakan semula tempahan pesawat jangka panjangnya yang akan menjadikan jumlah pesawat terbesar kumpulan itu sebanyak 362 buah pesawat, bermula pada tahun 2024. 


Menerusi perniagaan kargo dan logistiknya iaitu Teleport, syarikat penerbangan itu juga akan menerima pesawat pertama daripada tiga pesawat kargo jenis A321F pada bulan Julai ini, untuk meningkatkan jumlah dan kelajuan perkhidmatan penghantaran merentas sempadan di rantau ini.


AirAsia juga turut mengesahkan komitmennya untuk menawarkan pengalaman pelanggan terbaik dengan meningkatkan ciri-ciri kecerdasan buatan pada bot sembang AskBo di samping pelancaran teknologi pengecaman wajah biometrik, FACES yang dilancarkan bermula untuk laluan domestik, menjadikan pengalaman penerbangan lebih cekap dan lancar.


Tan Sri Tony Fernandes menambah: “Kakitangan kami sentiasa menjadi aset terbesar syarikat penerbangan ini dan kami teruja untuk mengesahkan bahawa semua 22,000 Allstars kami yang terus berusaha untuk memberikan perkhidmatan dan pengalaman penerbangan terbaik kepada berjuta-juta tetamu kami, sebelum, semasa dan selepas penerbangan kini telah kembali. 


Anugerah ini didedikasikan kepada Allstars dan semua 800 juta tetamu yang terus mengundi AirAsia. Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada perjalanannya kami yang luar biasa.”

Glasier Himalaya kini cair 65 peratus lebih cepat



PERUBAHAN IKLIM | KATHMANDU, Nepal: Glasier Himalaya yang membekalkan air kepada dua bilion penduduk dunia didapati cair lebih cepat berbanding sebelum ini akibat perubahan iklim, menurut saintis.


Laporan Pusat Pembangunan Gunung Bersepadu Antarabangsa (ICIMOD) mendapati glasier hilang 65 peratus lebih cepat dari 2011 hingga 2020 berbanding dekad sebelumnya, lapor AFP pada 20 Jun 2023.


"Apabila semakin panas, ais akan cair. Itu yang dijangkakan. Tetapi apa yang tidak dijangka dan sangat membimbangkan ialah kecepatannya.


"Ia berlaku lebih cepat daripada yang kami sangka," kata pengarang utama laporan berkenaan, Philippus Wester.


Glasier di rantau Hindu Kush Himalaya (HKH) adalah sumber air penting untuk kira-kira 240 juta orang di kawasan pergunungan.


Selain itu, sumber itu juga dimanfaatkan 1.65 bilion orang yang tinggal di lembah sungai.


Berdasarkan trajektori pelepasan semasa, dapatan ICIMOD mendapati glasier boleh kehilangan sehingga 80 peratus daripada jumlah semasanya, menjelang akhir abad ini.


ICIMOD sebuah pertubuhan yang berpangkalan di Nepal yang dianggotai negara seperti Afghanistan, Bangladesh, Bhutan, China, India, Myanmar dan Pakistan.


Glasier menjadi sumber kepada 10 sistem sungai terpenting di dunia, termasuk Gangga, Indus, Kuning, Mekong dan Irrawadday.


Ia secara langsung atau tidak langsung membekalkan berbilion-bilion orang dengan makanan, tenaga, udara bersih dan pendapatan.


"Dengan dua bilion orang di Asia bergantung kepada air yang dihasilkan glasier dan salji di sini, kehilangan kriosfera (zon beku) ini, ia adalah terlalu mendalam untuk direnungkan," kata Timbalan Ketua ICIMOD, Izabella Koziell.

El Nino Tiba, Cetus Kebimbangan Dunia Cuaca, Suhu Melampau - Saintis NOAA

    Sumber Foto : Daily Sabah


Fenomena iklim El Nino yang telah tiba meningkatkan kebimbangan terhadap cuaca dan suhu melampau, kata saintis di Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) Amerika Syarikat (AS).


"Bergantung pada kekuatannya, El Nino boleh menyebabkan pelbagai kesan, seperti meningkatkan risiko hujan lebat dan kemarau di lokasi tertentu di seluruh dunia," kata saintis iklim NOAA, Michelle L'Heureux.


"Perubahan iklim boleh memburukkan atau mengurangkan kesan tertentu berkaitan El Nino. Sebagai contoh, El Nino boleh membawa kepada rekod baharu bagi suhu, terutamanya di kawasan yang sudah mengalami suhu melebihi purata semasa El Nino," tambahnya, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 9 Jun 2023.


Australia minggu ini memberi amaran El Nino akan memberikan hari yang lebih panas dan kering kepada negara yang terdedah kepada kebakaran belukar yang serius, manakala Jepun berkata El Nino yang sedang berlaku sebahagiannya bertanggungjawab terhadap musim panas di negara itu.


Kebanyakan tahun paling panas dalam rekod berlaku ketika El Nino, dan saintis bimbang musim panas ini dan seterusnya akan menyaksikan rekod suhu di darat dan di laut.


Mariana Paoli dari agensi bantuan Christian Aid berkata: "Orang miskin sudah terdesak ke ambang kemarau, banjir dan ribut yang disebabkan oleh pembakaran bahan api fosil dan kini mereka akan menghadapi suhu terlampau kesan El Nino.


"Mereka ini yang paling teruk terjejas oleh perubahan iklim tetapi telah melakukan yang paling sedikit untuk menyebabkannya."


Pengaruh fenomena itu terhadap Amerika Syarikat adalah lemah ketika musim panas tetapi lebih ketara bermula dari lewat musim luruh hingga musim bunga, kata NOAA dalam kenyataannya.


Menjelang musim sejuk, dianggarkan terdapat 84 peratus peluang El Nino yang "lebih besar daripada sederhana" berkembang, dan 56 peratus kemungkinan El Nino yang kuat.


Kebiasaannya ia akan menyebabkan keadaan lebih lembap daripada purata di beberapa bahagian negara, dari selatan California ke Pantai Teluk, tetapi lebih kering daripada keadaan purata di Barat Laut Pasifik dan Lembah Ohio.


Ia juga meningkatkan peluang untuk suhu yang lebih panas daripada purata di bahagian utara negara.


Keadaan El Nino yang berkembang diambil kira dalam ramalan taufan NOAA bulan lalu.


Ia mempunyai kesan menghimpit terhadap aktiviti taufan di Atlantik, tetapi biasanya meningkatkan aktiviti taufan di Pasifik tengah dan timur.


El Nino berasal daripada perkataan bahasa Sepanyol yang bermaksud 'anak lelaki', ia adalah fasa hangat El Nino-Southern Oscillation (ENSO).


La Nina pula bermaksud 'anak perempuan', lebih sejuk, yang mana mana suhu permukaan laut di timur dan tengah Lautan Pasifik berhampiran khatulistiwa adalah lebih rendah daripada biasa. 

𝗣𝗘𝗥𝗕𝗔𝗡𝗗𝗜𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗗𝗔𝗧𝗔 𝗛𝗜𝗟𝗔𝗟 𝗦𝗬𝗔𝗪𝗔𝗟 𝟮𝟬𝟮𝟮 𝗗𝗘𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗛𝗜𝗟𝗔𝗟 𝗦𝗬𝗔𝗪𝗔𝗟 𝟮𝟬𝟮𝟯




Data hilal yang dihisab (hitung) sentiasa dirujuk semasa menentukan tarikh baharu dalam sesuatu bulan hijri. Data hilal pada setiap tarikh 29 haribulan hijri dianalisa untuk mengetahui samada ia memenuhi syarat Kriteria Imkanur-Rukyah atau sebaliknya yang menentukan jumlah hari dalam bulan tersebut hanya 29 hari atau 30 hari. 


Bagi penentuan tarikh baharu tiga bulan utama yang melibatkan ibadah besar iaitu bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah akan ditentukan melalui kedua-dua kaedah hitungan (hisab) dan cerapan hilal (rukyah). 


Kriteria Imkanur-Rukyah merupakan satu kriteria yang digunakan sebagai asas yang menggambarkan ciri hilal yang dianggap boleh dilihat dengan mata kasar atau bantuan alat optik. 


Kriteria yang digunakan adalah melibatkan dua elemen iaitu tinggi hilal dan jarak lengkung antara hilal dengan matahari semasa waktu maghrib (matahari terbenam). 


Syarat minima hilal boleh kelihatan menurut kriteria ini mestilah di ketika matahari telah terbenam kedua-dua syarat mestilah dipenuhi iaitu tinggi hilal di atas ufuk tidak kurang dari 3° dan jarak lengkung antara matahari dan bulan tidak kurang dari 6.4° (6° 24’).


Pemahaman masyarakat terhadap data hilal adalah penting supaya dapat mendapat gambaran potensi hilal kelihatan atau sebaliknya terutama melibatkan tiga bulan utama semasa cerapan hilal dilakukan. Pengetahuan ini boleh dijadikan panduan kepada orang awam untuk memahami samada hilal bagi sesuatu bulan itu berada pada tahap mustahil boleh dilihat atau sukar dilihat atau mudah kelihatan. 


Gambaran tersebut dapat difahami dengan mengetahui beberapa ciri antaranya seperti berikut:


a) ketinggian hilal di atas ufuk;

b) jarak antara hilal dengan matahari;

c) umur hilal dari berlaku ijtimak sehingga hilal terbenam;

d) tempoh hilal berada di atas ufuk; dan

e) sejauh mana data hilal tersebut menghampiri kriteria imkanur-rukyah.


Hilal yang mempunyai ciri-ciri kritikal hampir memenuhi syarat minima Kriteria Imkanur-Rukyah sering mendapat perhatian pencerap kerana menjadi cabaran dan harapan kemungkinan hilal dapat dilihat sekaligus menjadi satu pencapaian rekod baharu dalam cerapan hilal untuk digunakan dalam penilaian saintifik bagi tujuan penambahbaikan Kriteria Imkanur-Rukyah jangka masa panjang di masa hadapan. 


Dalam keadaan dimana hilal yang berada di bawah Kriteria Imkanur-Rukyah berjaya dilihat, ia akan memberi kesan kepada perubahan tarikh bulan baharu berbeza dengan kalender hijri yang telah diterbitkan sebagaimana berlaku pada bulan Syawal tahun 2022.


Analisa data hilal Syawal tahun 2022 menunjukkan bahawa tinggi hilal 5° 27’ adalah berada jauh melebihi syarat minima (3°). Manakala jarak lengkung hilal ke matahari adalah 5° 57’ yang hampir memenuhi syarat minima (6° 24’). 


Hasil cerapan mendapati bahawa hilal Syawal 2022 telah berjaya dilihat dan penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun 2022 adalah lebih awal sehari berbanding tarikh yang telah ditetapkan di dalam kalender.


Analisa data hilal Syawal tahun 2023 menunjukkan bahawa tinggi hilal adalah 2° 18’ berada di bawah kriteria minima (3°), manakala jarak lengkung hanyalah 2° 41’ sahaja berada jauh di bawah kriteria minima (6° 24’). 





Data ini menggambarkan hilal berada pada posisi sukar dilihat kerana jauh di bawah syarat minima. Walau bagaimanapun sebagai umat Islam yang beriman adalah wajib mengimani bahawa segala ketentuan adalah di atas kehendak Allah SWT. 


Telah menjadi ketetapan di negara ini bahawa cerapan hilal rasmi dijalankan pada 29 haribulan hijri bagi tiga bulan utama dan sekiranya hilal kelihatan maka keesokannya ditetapkan sebagai 1 haribulan bulan baharu sebaliknya jika tidak kelihatan maka keesokan harinya adalah dilanjutkan kepada 30 haribulan.


Kebelakangan ini terdapat maklumat telah tersebar di media sosial berkenaan tarikh hari raya tahun 2023 adalah lebih awal berbanding kalender sehingga masyarakat tertanya-tanya serta meinimbulkan kegusaran sesetengah pihak. 


Justeru orang awam dinasihatkan agar berhati-hati dalam membuat kenyataan sehingga boleh menimbulkan kerunsingan dalam masyarakat. 


Sebaiknya adalah menyerahkan penetapan tarikh baharu bagi sesuatu bulan hijri terutama melibatkan ibadah puasa, perayaan hari raya dan hari raya korban kepada pihak berwajib setelah keputusan cerapan hilal diseluruh negara diperolehi dan pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.


Kredit: Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia JUPEM

Beberapa Kawasan Di Makkah Bertukar Hijau Berikutan Hujan Berterusan

Laman sesawang Haramain Sharifain pada 7 Januari 2023 melaporkan beberapa kawasan tandus bertukar hijau.


Pada 2023, beberapa kawasan di Arab Saudi menyaksikan hujan yang belum pernah terjadi sebelumnya di negara itu yang membawa banjir ke lembah dan kawasan rendah di bandar.


Laman sesawang Haramain Sharifain pada 7 Januari 2023 melaporkan Kementerian Pendidikan juga beberapa kali menangguhkan pendidikan di institusi dalam beberapa minggu lepas berikutan hujan lebat.


Seluruh musim didahului oleh kemarau di pelbagai wilayah negara itu yang mendorong Raja mengeluarkan titah mengarahkan Masjid di seluruh Kerajaan untuk mendirikan Solat Istisqa pada bulan November 2022.


Bandar-bandar Dua Masjid Suci yang biasanya menerima hujan 2-3 hari setiap tahun menyaksikan hujan berterusan setiap hari selama seminggu terakhir.


Ekora itu landskap dan lembah Dua Kota Suci telah menjadi hijau di tengah-tengah bekalan air hujan yang berterusan.


Bagaimanapun, landskap dijangka menjadi tandus semula selepas musim hujan reda.


Dalam pada itu beberapa pengguna laman media sosial memuat naik pemandangan suasana hijau dalam kejadian yang jarang-jarang berlaku di negara yang kurang menerima hujan tahunan.





Berikut adalah laporan media : 


Makkah Landscape Goes Green Following Continuous Rains


This year, the Kingdom saw unprecedented rain in the Kingdom bringing floods to to valleys and low lying areas of cities.


The Ministry of Education also suspended education in institutions several times in the last few weeks due to heavy rains.


The whole season was preceded by drought in various regions of the Kingdom which prompted the King to issue a decree instructing Mosques across the Kingdom to establish Istisqa Prayers back in November.


The cities of the Two Holy Mosques which normally receive rain 2-3 days each year saw rain continuously every other day for the last week or so.





As a result the landscape and valleys of the Two Holy Cities has become green amid continuous supply of rain water.


However it is expected that the landscape will go barren again after the rainy season subsides.

Perubahan Iklim Hangatkan Musim Sejuk Di Eropah, Pusat Luncur Terpaksa Sedia Salji Buatan


Tangkap layar laman sesawang BH Online pada 5 Januari 2023 melaporkan pusat peranginan Alps di Leysin, Switzerland, terpaksa menyediakan salji buatan bagi pengunjung yang mahu meluncur salji berikutan suhu panas melebihi kelaziman pada musim sejuk di Eropah kali ini.


GLOBAL | BRUSSELS: Suhu melampau mencecah rekod dicatatkan ketika musim sejuk di keseluruhan Eropah sepanjang minggu pertama Tahun Baharu 2023, yang dikatakan berlaku akibat perubahan iklim.


Agensi Berita Antarabangsa REUTERS pada 5 Januari 2023 melaporkan ratusan kawasan mencatatkan suhu tinggi musim sejuk yang memecahkan rekod sebelum ini, dari Switzerland ke Poland hingga ke Hungary, yang mencatatkan Malam Krismas paling panas di Budapest dengan suhu meningkat kepada 18.9 darjah Celsius pada 1 Januari.


Di Perancis, suhu meningkat kepada hampir 25 darjah Celsius di barat daya pada Hari Tahun Baharu manakala pusat peranginan ski Eropah yang lazimnya sibuk pada masa ini, lengang kerana kekurangan salji.


Perkhidmatan Cuaca di Jerman yang merekodkan suhu lebih 20 darjah Celsius melaporkan, peralihan musim tahunan seumpamanya tidak pernah berlaku sejak 1881.



"Ramalan untuk keseluruhan musim sejuk belum dapat diperoleh tetapi kami meramalkan musim sejuk keseluruhan yang 'lebih sederhana' tahun ini berbanding tiga dekad sebelumnya," kata Unit Pemantauan Iklim Kebangsaan Jerman, Florian Imbery.


Televisyen Czech pula melaporkan beberapa pokok mula berbunga lebih awal manakala pejabat Meteorologi dan Klimatologi Switzerland mengeluarkan amaran debunga kepada penghidap alahan susulan bunga hazel yang mekar awal tahun ini.


Suhu mencecah 25.1 darjah Celsius di lapangan terbang Bilbao di negeri Basque, Sepanyol, sehingga orang ramai boleh berjemur di bawah sinar matahari ketika mereka duduk di luar Muzium Guggenheim Bilbao atau berjalan di sepanjang Sungai Nervion.


"Ia sentiasa hujan lebat di sini, sangat sejuk walaupun pada Januari, (tetapi sekarang) ia terasa seperti musim panas," kata penduduk Bilbao, Eusebio Folgeira, 81 tahun.


Saintis belum lagi menganalisis secara khusus bagaimana perubahan iklim mempengaruhi suhu tinggi baru-baru ini, tetapi cuaca panas Januari sesuai dengan trend jangka panjang kenaikan suhu akibat perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia.


Pakar iklim Greenpeace Jerman, Karsten Smid, berkata sudah terlalu lewat bagi tindakan untuk mengelakkan cuaca panas semasa musim sejuk sekarang, sebaliknya langkah perlu diambil supaya pemanasan global tidak bertambah buruk pada masa depan.


"Fenomena yang berlaku sekarang adalah apa yang saintis sudah beri amaran kepada kita 10 atau 20 tahun yang lalu, yang kini tidak dapat dielakkan," katanya.


Permulaan 2023 yang 'panas' ini menyusuli 2022 yang banyak terjejas akibat pemanasan global dengan menyaksikan gelombang haba melampau di Eropah dan India serta banjir besar di Pakistan, kesemuanya mengorbankan banyak nyawa. 

AirAsia Tawar Harga Menarik Dari KL Ke Bebarapa Destinasi Serendah RM199 Sehala

   Sumber Grafik : AirAsia



PENERBANGAN | AirAsia terus komited untuk menyatukan tetamu sempena sambutan Tahun Baharu Cina dengan mengumumkan penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap antara Semenanjung dan Sabah/Sarawak dari 17 hingga 30 Januari 2023.


Syarikat itu dalam kenyataan media pada 28 Disember 2022 menjelaskan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, serta dari Johor Bahru ke Kuching, Sibu dan Miri pada hanya RM199* sehala, dan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Tawau, serta Johor Bahru ke Kota Kinabalu pada hanya RM249* sehala. Semua tempat duduk akan tersedia untuk tempahan mulai 28 Disember 2022.


Selain 52 penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap ke enam destinasi popular di Sabah dan Sarawak, AirAsia juga mengendalikan 274 penerbangan mingguan pada tambang biasa ke destinasi yang sama.


Berikut Adalah Kenyataan Media Penuh: 



AirAsia komited untuk menghubungkan para tetamu pada Tahun Baru Cina ini dengan penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap


SEPANG, 28 Disember 2022 - AirAsia terus komited untuk menyatukan para tetamu sempena sambutan Tahun Baharu Cina akan datang dengan mengumumkan penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap antara Semenanjung dan Sabah/Sarawak dari 17 hingga 30 Januari 2023.


Terbang dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, serta dari Johor Bahru ke Kuching, Sibu dan Miri pada hanya RM199* sehala, dan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Tawau, serta Johor Bahru ke Kota Kinabalu pada hanya RM249* sehala. Semua tempat duduk akan tersedia untuk tempahan mulai 28 Disember 2022.


Selain 52 penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap ke enam destinasi popular di Sabah dan Sarawak, AirAsia juga mengendalikan 274 penerbangan mingguan pada tambang biasa ke destinasi yang sama.


Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke berkata: “Kami berbesar hati kerana AirAsia terus komited untuk menyokong inisiatif kerajaan untuk menurunkan tambang penerbangan semasa musim perayaan, meskipun terdapat kekangan operasi. 


Walaupun mereka tidak dapat meningkatkan lebih kekerapan penerbangan kerana kekurangan pesawat seperti apa yang dialami oleh semua syarikat penerbangan, kami memuji kerja keras mereka untuk menambah penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap untuk menghubungkan keluarga, terutamanya dari dan ke Sabah dan Sarawak. 


Kami menggalakkan syarikat penerbangan lain untuk turut melancarkan inisiatif yang sama atau lain yang boleh mengurangkan tambang penerbangan terutamanya semasa musim perayaan. Sempena sambutan tahun baru ini, kami berharap untuk terus bekerjasama dengan pemain industri seperti AirAsia untuk memenuhi keperluan dan menjaga kebajikan rakyat.”


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited Bo Lingam berkata: “Sebagai syarikat penerbangan untuk semua, kami melakukan yang terbaik untuk menghubungkan para tetamu pada tambang berpatutan walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam operasi. 


Beberapa tahun kebelakangan ini adalah amat sukar untuk semua dan walaupun industri perjalanan kini semakin pulih, kami tidak dapat menambah penerbangan seperti sedia kala berikutan pandemik.


“Namun, di sebalik kos operasi yang semakin meningkat dan kekurangan jumlah pesawat, kami terus berusaha dan komited untuk menyatukan semula rakyat Malaysia sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan datang. 


Hari ini, kami berbesar hati kerana dapat mengumumkan penerbangan tambahan lewat malam istimewa pada tambang rendah tetap. Sebanyak 25,020 tempat duduk tambahan ke dan dari destinasi terpilih di Sabah dan Sarawak tersedia untuk tempahan bagi tempoh perayaan akan datang.


“Inisiatif ini tidak mungkin dapat dilancarkan tanpa dedikasi Allstars kami yang akan terus bekerja keras pada musim perayaan ini, serta pihak kerajaan atas bantuan mereka mendapatkan kelulusan untuk penerbangan tambahan lewat malam.”


Para tetamu yang melakukan perjalanan semasa tempoh Tahun Baru Cina akan datang dinasihatkan untuk tiba di lapangan terbang dua jam lebih awal daripada waktu perlepasan yang dijadualkan (untuk perjalanan domestik) untuk mengelakkan kesesakan. 


Mereka juga digalakkan untuk mendaftar masuk kendiri menggunakan airasia Super App, yang tersedia seawal 14 hari sebelum tarikh perlepasan dan menggunakan pas masuk elektronik untuk menaiki penerbangan.


Muat turun airasia Super App daripada Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery untuk menerima maklumat dan kemas kini mengenai penerbangan anda.








Promosi tambang tetap adalah untuk perjalanan sehala sahaja termasuk cukai dan yuran berkenaan dan hanya untuk penerbangan tambahan mengikut no penerbangan tertentu sahaja. Tertakluk kepada terma dan syarat lain.

Hampir 50 Maut Kesan Ribut Salji 'Terburuk Abad Ini' Seluruh Amerika Syarikat


Tangkap layar laman sesawang BH Online melaporkan kejadian ribut salji melanda Amerika Syarikat pada 27 Disember 2022.


GLOBAL | WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, meluluskan bantuan Persekutuan untuk negeri New York selepas ribut salji meragut hampir 50 nyawa termasuk 27 kematian di Buffalo.


Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 27 Disember 2022 melaporkan krew kecemasan di New York pada 26 Disember 2022, bertungkus-lumus menyelamatkan penduduk yang terperangkap daripada apa digambarkan pihak berkuasa 'ribut salji terburuk abad ini'.


Ia susulan ribut salji tanpa henti itu mengakibatkan 27 maut di negeri terbabit selain menjejaskan perjalanan pada perayaan Krismas.


Ribut salji terus membadai di bahagian Timur Laut AS berikutan cuaca melampau yang mencengkam negara selama beberapa hari, menyebabkan bekalan elektrik terputus secara meluas, kelewatan perjalanan dan kematian di sembilan negeri.



Di New York, pihak berkuasa menggambarkan keadaan sangat teruk, terutama di Buffalo, dengan ketiadaan bekalan elektrik berjam-jam, mayat ditemui beku di dalam kenderaan dan di bawah tebing salji.


Kakitangan kecemasan terpaksa memeriksa dari satu ke satu kereta bagi mencari lebih ramai pemandu, sama ada hidup atau mati.


Keadaan ribut salji yang buruk, udara sejuk dan angin serta suhu di bawah sifar memaksa pembatalan lebih 15,000 penerbangan AS dalam beberapa hari kebelakangan ini, termasuk sekurang-kurangnya 2,600 semalam, menurut laman penjejakan Flightaware.com.


Buffalo, sebuah bandar di Erie County yang tidak asing dengan cuaca musim sejuk melampau, menjadi pusat krisis selepas tertimbus di bawah timbunan salji yang mengejutkan.


"Sudah tentu ia adalah ribut salji terburuk abad ini," kata Gabenor Kathy Hochul kepada wartawan, sambil menyatakan masih terlalu awal untuk menganggap ribut itu sudah reda.


Katanya, beberapa bandar New York di barat dilanda salji setinggi 0.75 hingga satu meter bermula malam 25 Disember 2022.


Dalam pada itu Biden dan isteri, Jill Biden menurut kenyataan Rumah Putih, mereka merakamkan ucapan takziah kepada mangsa yang kehilangan ahli keluarga akibat ribut itu.


Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan meramalkan tambahan 0.35 meter ketebalan permukaan salji pada 26 Disember 2022 yang menyebabkan bandar itu tertimbus salji, dengan pegawai bergelut untuk mendapatkan perkhidmatan kecemasan kembali dalam talian.


Eksekutif Erie County, Mark Poloncarz, pada taklimat media menyatakan beliau 'luluh' untuk melaporkan angka kematian berkaitan ribut salji, yang meningkat kepada 25 mangsa di seluruh daerahnya,


"Jumlah kematian Erie mungkin akan melebihi jumlah ribut salji Buffalo pada 1977, apabila hampir 30 orang disahkan terkorban. Kami menjangkakan akan ada lebih banyak kematian akibat ribut yang berterusan," katanya.


Berdasarkan ramalan ribut saji, kebanyakan kawasan sekitar Buffalo 'tidak dapat dilalui', dan beliau mengulangi gesaan Hochul supaya penduduk tidak keluar ke mana-mana.


Cuaca melampau itu menyebabkan suhu di bawah paras beku di semua 48 negeri di AS pada hujung minggu, termasuk di Texas di sepanjang sempadan Mexico di mana beberapa pendatang yang baru tiba bergelut untuk mencari perlindungan. 

Cuaca Sejuk Melampau, Ribut Salji Badai AS Rekod 31 Kematian


Seorang wanita meredah salji separas lutut di Buffalo, New York, Amerika Syarikat, yang dilanda salji tebal melampau berbanding tahun sebelumnya. - Foto EPA


GLOBAL | NEW YORK: Ribut salji maut membadai Amerika Syarikat (AS) pada Hari Krismas 25 Disember 2022, mengorbankan 31 nyawa setakat ini, dengan Buffalo, New York, antara yang paling teruk terkesan, mencatatkan 12 kematian.


Agensi Berita REUTERS pada 26 Disember 2022 melaporkan ramai pemandu terperangkap dalam kenderaan masing-masing dan bekalan elektrik beribu-ribu kediaman terputus, sekali gus meningkatkan kematian akibat kesejukan teruk yang membekukan sebahagian besar AS sejak beberapa hari lalu.


Sekurang-kurangnya 31 disahkan maut setakat ini akibat kes insiden berkaitan cuaca AS menurut penjumlahan NBC News, sejak keadaan cuaca beku melampau melanda negara, ditambah salji, ais dan angin ribut dari wilayah Great Lakes hujung minggu lalu.


Kebanyakan kehilangan nyawa itu tertumpu di dalam dan sekitar Buffalo di pinggir Tasik Erie di barat New York, kerana 'kesan tasik' salji yang sejuk dan berat - akibat udara sejuk bergerak atas perairan tasik yang lebih panas, berterusan sepanjang cuti hujung minggu.


Eksekutif Daerah Erie, Mark Poloncarz, berkata jumlah kematian akibat ribut itu meningkat kepada 12 orang pada Ahad/ 25 Disember 2022, meningkat daripada tiga dilaporkan hari sebelumnya di wilayah Buffalo.



Menurutnya, mangsa terbaru termasuk beberapa yang ditemui di dalam kenderaan dan beberapa di tebing salji, sambil menambah jumlah kematian itu berkemungkinan bertambah.


Walaupun larangan memandu dikeluarkan sejak Jumaat/ 23 Disember 2022, ratusan pemandu Erie County terkandas dalam kenderaan mereka pada hujung minggu, dengan tentera Pengawal Kebangsaan dikerah membantu kerja menyelamat yang rumit kerana salji tebal.


"Ini bukan Krismas yang kami harapkan atau dijangkakan. Takziah saya ucapkan kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang," kata Poloncarz di Twitter pada 25 Disember 2022.


Sementara itu, Jabatan polis Buffalo menyiarkan rayuan dalam talian untuk bantuan orang ramai dalam usaha mencari dan menyelamat, sambil meminta mereka yang mempunyai kenderaan peluncur salji salji tampil membantu dengan menghubungi talian khas.


Keadaan ribut itu agak melampau kali ini, walaupun untuk wilayah yang terbiasa dengan cuaca musim sejuk yang teruk.


Gabenor New York, Kathy Hochul memberitahu pemberita pada Ahad bahawa pentadbiran Presiden AS, Joe Biden bersetuju menyokong permintaannya untuk pengisytiharan bencana Persekutuan.



Katanya, kira-kira 200 tentera Pengawal Kebangsaan sudah digerakkan di barat New York, memberikan bantuan kepada anggota polis dan bomba, menjalankan pemeriksaan kesihatan dan membawa bekalan ke tempat perlindungan.


Ribut itu bergerak ke timur pada 25 Disember 2022, selepas memutuskan bekalan elektrik bagi kira-kira 1.5 juta pengguna pada kemuncak gangguan pada akhir minggu lalu dan memaksa ribuan pembatalan penerbangan komersial semasa tempoh perjalanan percutian yang sibuk.


Lebih 150,000 rumah dan perniagaan AS mengalami gangguan bekalan elektrik semalam, turun mendadak daripada 1.8 juta tanpa bekalan elektrik pada awal Sabtu, menurut PowerOutage.us.


Di Buffalo, 16 peratus penduduk tidak mempunyai bekalan elektrik semalam, kata pegawai.


Di Kanada, bekalan elektrik juga terputus kepada sekurang-kurangnya 140,000 pelanggan utiliti, kebanyakannya di wilayah Ontario dan Quebec, terjejas teruk oleh sistem cuaca sama yang menimbus barat New York dengan salji tebal.


Lebih 1,700 penerbangan di AS dibatalkan setakat tengah hari semalam, menurut laman sesawang penjejak penerbangan, FlightAware. 

TERKINI

ANALISIS | RS-2: Menuju Kuasa Ekonomi ASEAN - Selangor Mesti Jadi Negeri Kaya Peluang, Bukan Sekadar Kaya Angka

--- Penulisan Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Sumber Infografik : Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut --- Bayangkan Selangor pada tahun 2...