Gelombang Panas Melampau Ledak Malapetaka Dahsyat, Kebakaran Besar Di Eropah

   Tangkap layar akhbar METRO


GLOBAL | Gelombang panas melampau yang melanda barat Eropah menyebabkan sebahagian benua itu semakin ‘layu’ di bawah sinaran matahari sehingga menyumbang kepada kebakaran besar-besaran dan mengakibatkan suhu lebih tinggi pada 19 Julai 2022/Selasa.


Agensi Berita Antarabangsa melaporkan di Britain, ramalan kaji cuaca berkata, rekod suhu semasa mencecah 39.7 darjah Celsius dan mungkin meningkat lebih tinggi sehingga 40 darjah Celsius buat kali pertama di negara tersebut.


Pada 18 Julai 2022/ Isnin, suhu mencecah 38.1 darjah Celsius direkodkan di Suffolk di timur England dan sekali gus menjadikan ia sebagai hari paling panas dalam tempoh setahun.


Suhu 39.3 darjah Celsius direkodkan di pantai Atlantik Brittany yang terletak di barat laut negara itu. Rekod sebelum ini hanya 35.1 darjah Celsius sejak tahun 2002.


Tidak ketinggalan Saint-Brieuc turut merekodkan suhu sehingga 39.5 darjah Celsius berbanding 38.1 darjah Celsius dan di bandar Nantes merekodkan suhu tertinggi sehingga 42 darjah Celsius yang mengatasi paras tertinggi selama beberapa dekad sejak tahun 1949.


Ketika ini, anggota bomba di barat daya Perancis masih bergelut dengan dua kebakaran besar-besaran sehingga memusnahkan kawasan yang luas.


Sejak seminggu lalu, anggota bomba dan dibantu pesawat pemadam api berusaha memadamkan kebakaran dan difahamkan hampir seluruh anggota dari Perancis dikerahkan ke kawasan terjejas.


Penyelidik Suruhanjaya Eropah berkata, hampir separuh atau 56 peratus wilayah Eropah terdedah kepada amaran kemarau peringkat tertinggi.


Manakala 11 peratus berada pada tahap berjaga-jaga dan tanaman dilaporkan mati akibat kekurangan air.


Kebakaran yang berlaku di Perancis, Greece, Portugal dan Sepanyol telah menyebabkan ribuan hektar musnah dan sekali gus mengaitkan kebimbangan mengenai krisis makanan global. 


Suhu UK Cecah 40 Darjah Celsius Buat Pertama Kali


LONDON: Gelombang haba yang teruk mencetus kebakaran hutan di Eropah barat, yang melonjakkan suhu di Britain hingga melebihi 40 darjah Celsius buat pertama kali semalam dan melepasi rekod suhu di beberapa kawasan lain.



Agensi Berita AFP pada 20 Julai 2022 melaporkan beberapa kebakaran kawasan terbuka berlaku di pinggir London, dengan satu daripadanya memaksa 14 penduduk dipindahkan berikutan kawasan ladang, kediaman dan garaj musnah dijilat api.


Selepas merekodkan suhu malam tertinggi, Jabatan Meteorologi United Kingdom (UK) memaklumkan merekodkan suhu 40.3 darjah Celsius di Coningsby di timur England, dan sekurang-kurangnya 34 lokasi di Britain melepasi 38.7 darjah Celsius yang dicatat di Cambridge pada 2019.


Beberapa pakar berpandangan peningkatan suhu itu berpunca daripada perubahan iklim, dan memberi amaran bahawa situasi lebih buruk akan berlaku.


Ketua Pertubuhan Meteorologi Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Petteri Taalas, berkata gelombang haba kini semakin kerap dan pola itu diramal berterusan sehingga 2060-an, bergantung pada kejayaan usaha menangani isu iklim itu.


"Pada masa depan, gelombang haba seperti ini akan menjadi suatu kebiasaan, dengan suhu ekstrim yang lebih tinggi," katanya.


Suhu tinggi itu mencetuskan beberapa amaran yang julung kali berlaku di England, dengan beberapa laluan kereta api ditutup sebagai langkah berjaga-jaga, manakala sekolah ditutup di beberapa kawasan.


    Tangkap layar akhbar The Guardian


Selain itu, operasi semua kereta api dari stesen King Cross di London dihentikan, menyebabkan ramai pengguna terkandas.


Dengan permukaan jalan raya dan laluan kereta api mencair dan kebimbangan kereta api tergelincir, Setiausaha Pengangkutan, Grant Shapps mengakui kebanyakan infrastruktur Britain tidak dibina untuk bertahan dengan suhu seumpamanya.


Di Perancis, 64 kawasan berbeza merekodkan suhu tertinggi Isnin lalu, dengan kebanyakannya terletak di sepanjang pantai barat Atlantik, dengan suhu mencecah melebihi 40 darjah Celsius.


Gelombang haba itu turut menyebabkan kebakaran hutan di Perancis, Greece, Portugal dan Sepanyol. 

Kajian Dapati Harga Rumah Mungkin Melonjak Dalam Tempoh Dua Tahun

    Sumber Foto : Mohd Ezli Mashut


HARTANAH | Harga rumah kediaman dijangka meningkat ketara dalam tempoh dua tahun datang dengan keyakinan tinggi terhadap ekonomi negara, demikian menurut Indeks dan Kaji Selidik Hartanah Suku Ketiga 2022 yang dikeluarkan oleh Juwai IQI Malaysia.


Dalam kenyataan media pada 19 Julai 2022/Selasa, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Juwai IQI berkata ejen-ejen hartanah menjangkakan harga rumah kediaman akan meningkat sebanyak 11.8 peratus di seluruh negara dalam tempoh 12 bulan akan datang.


Kashif Ansari berkata, pertumbuhan itu berterusan pada tahun berikutnya dengan harga dijangka berada 16.5 peratus lebih tinggi dalam tempoh 24 bulan akan datang.


"Di Pulau Pinang, ejen-ejen meramalkan pertumbuhan harga 17 peratus dalam masa dua tahun. Ejen-ejen di Johor mengunjurkan pertumbuhan harga 18.1 peratus dalam tempoh sama.


"Ejen-ejen di Kuala Lumpur dan Selangor menjangkakan pertumbuhan harga 15.9 peratus, manakala ejen-ejen di Sabah mengunjurkan pertumbuhan harga 14.7 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang.


"Kami telah melakukan Indeks dan Kaji Selidik Juwai IQI sejak 2019, angka ini adalah unjuran pertumbuhan harga rumah kediaman paling kukuh yang pernah direkodkan. Unjuran berubah dengan ketara sejak suku ketiga 2021. Pada masa itu, ejen-ejen menjangkakan penurunan lima peratus harga rumah kediaman dan mereka terbukti hampir tepat," katanya.


Ansari berkata, antara sebab ejen-ejen begitu yakin terhadap pasaran hartanah adalah disebabkan mereka amat optimis dengan keadaan ekonomi.


"45 peratus daripada ejen percaya ekonomi akan menjadi lebih kukuh dalam tempoh enam bulan akan datang. Unjuran daripada Bank Negara Malaysia (BNM) menyokong tinjauan positif itu.


"Bank pusat percaya ekonomi Malaysia akan terus meningkat tahun ini dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan melonjak setinggi 6.3 peratus," katanya.


Beliau berkata, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan projek pelaburan kerajaan akan merangsang aktiviti ekonomi.


"Kadar pertumbuhan KDNK suku pertama Malaysia pada 5.0 peratus adalah tinggi dari standard global. Ia pertumbuhan lebih pantas berbanding di China, Amerika Syarikat (AS) dan ekonomi utama lain.


"Kita telah terbiasa berfikir bahawa China adalah ekonomi paling pantas berkembang di dunia, namun itu tidak terjadi pada 2022. Malaysia kini berkembang lebih pantas berbanding China," katanya.


Ansari berkata, seandainya jangkaan oleh ejen-ejen hartanah menjadi kenyataan, senario itu menyaksikan pemilik rumah mendapat manfaat daripada peningkatan nilai, manakala mereka yang meninjau untuk menyewa atau membeli terpaksa menaikkan bajet.


"Nasihat ejen sama ada untuk membeli atau menyewa adalah petunjuk yang kukuh tinjauan mereka terhadap pasaran.


"Hampir sembilan daripada 10 ejen hartanah di Malaysia yang dikaji selidik berkata mereka menasihatkan supaya lebih baik membeli sekarang berbanding menyewa.


"Sebaliknya, hanya 11 peratus yang berkata mereka akan menasihatkan supaya lebih baik menyewa sekarang berbanding membeli," katanya.

Meteor Lintasi Ruang Udara Wellington, Ledak Sinar Terang Serta Bunyi Kuat

Tangkap layar laporan BH pada 7 Julai 2022 berkenaan lintasan meteor di Wellington New Zealand


GLOBAL | Sebuah meteor 'berapi' melintasi ruang udara ibu negara New Zealand, menghasilkan sinaran terang termasuk bunyi letupan, kata puluhan penduduk yang menyaksikan kejadian itu pada 7 Julai 2022/Khamis.


Agensi Berita Antarabangsa REUTERS pada 7 Julai 2022 melaporkan pusat ramalan cuaca, MetService menerusi hantaran di Twitter berkata, radarnya mengesan jejak asap meteor terbabit.


Agensi geologi tempatan, GeoNet pula percaya mesin seismometernya mengenalpasti bunyi gelombang sekitar jam 1.50 petang (waktu tempatan).


   Sumber Twitter : GEONET


Menurut seorang saksi, Mike Cousin yang ketika itu sedang bekerja berhampiran Wellington melihat biliknya diterangi dengan sinaran berwarna biru-jingga.


"Saya lari keluar dan melihat jejaknya dan kemudian terdengar bunyi deram-derum perlahan, sama seperti permulaan gempa bumi," katanya kepada Reuters.


Rakaman video menunjukkan meteor yang menerangi langit di wilayah Wellington.


Rakaman yang dihantar ke Newshub menunjukkan saat bola api menerangi langit. Curtis Powell melihat semuanya berlaku semasa dia memandu.


Seorang Ahli Astronomi di Balai Cerap Mount John Universiti Canterbury, Alan Gilmore, menjelaskan meteor terang yang melalui ruang atmosfera sangat laju adalah kejadian yang jarang berlaku di kawasan bandar.


"Sinarannya sangat terang dan ia mesti sebuah objek yang agak besar," kata Gilmore.


                  Sumber : Twitter


Tambahnya, letupan yang kedengaran dihasilkan meteor berkenaan menunjukkan ia datang dalam jarak 60 kilometer (km) dari Bumi.


Berikutan kejadian itu, tiada laporan mengenai terdapat meteor menghentam kawasan daratan atau lautan serta tidak ada penemuan serpihan daripada objek berkenaan. 






WASPADA, Penganalisis Jangka Ekonomi Besar Dunia Meleset Pada 2023

   Grafik: Diplomatic Currier


EKONOMI | Banyak ekonomi besar dunia bakal mengalami kemelesetan dalam tempoh 12 bulan akan datang, kata Nomura Holdings Inc.


Dalam nota penyelidikan ditulis bersama oleh ahli ekonominya, Rob Subbaraman dan Si Ying Toh berkata kemungkinan itu berpunca daripada dasar kerajaan diperketatkan dan kos sara hidup semakin meningkat, sekali gus mengheret ekonomi global terjerumus ke arah 'pertumbuhan perlahan secara serentak'.


Nomura berkata, negara seperti Eurozone, United Kingdom (UK), Jepun, Korea Selatan, Kanada, Australia dan Amerika Syarikat (AS) akan terjerumus ke dalam kelemesetan.



Katanya terdapat isyarat semakin jelas ekonomi dunia mengalami kelembapan pertumbuhan serentak, bermakna negara-negara tidak boleh lagi bergantung kepada peningkatan eksport untuk mencatatkan pertumbuhan.


"Ini menyebabkan kami mengunjurkan kemeseletan di beberapa negara," kata Nomura.


Firma penyelidikan itu berkata, tahap kedalaman kemelesetan berbeza antara satu sama lain.


Di AS, Nomura meramalkan kemelesetan kecil, namun berpanjangan sehingga lima suku tahunan bermula dari suku terakhir 2022.


Inflasi dan kenaikan harga menjejaskan isi rumah di AS dan meningkatkan kebimbangan ke atas pentadbiran Joe Biden.


Nomura meramalkan kemelesetan lebih mendalam di Eropah dan terus menjadi semakin buruk seandainya Russia menghentikan seluruhnya penghantaran gas ke rantau itu, kata kedua-dua ahli ekonominya.


Ekonomi AS dan Eurozone dijangka menguncup satu peratus menjelang 2023.


Nomura berkata, ekonomi bersaiz sederhana seperti Australia, Kanada dan Korea Selatan pula dijangka berdepan risiko kemelesetan lebih mendalam daripada jangkaan seandainya kenaikan kadar faedah menjejaskan sektor perumahan.


Korea Selatan mungkin paling terjejas dengan jangkaan penguncupan 2.2 peratus pada suku ketiga tahun ini.


Kemelesetan di Jepun pula dijangka sederhana berikutan sokongan dasar berterusan dan penangguhan pembukaan semula ekonominya.


Nomura menjangkakan China sebagai terpencil memandangkan pemulihannya ekonomi dibantu oleh dasar akomodatif oleh Parti Komunis China (CCP).


"Risiko tetap ada memandangkan sekatan pergerakan baharu boleh menjejaskan pemulihan, dengan China mengurangkan sekatan namun masih kekal dengan dasar sifar COVID-19," katanya.

Tiada Perubahan Ketara Suhu Pada 4 Julai Susulan Fenomena Aphelion

    Sumber Grafik: MYSA


CUACA | Suhu di Malaysia pada petang 4 Julai 2022/ Isnin dijangka tidak banyak perubahan ketara susulan fenomena aphelion yang dirasai berlaku seluruh dunia menurut  maklumat dipaparkan menerusi laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia.


Fenomena aphelion sebagai merujuk kejadian alamiah tahunan tersebut yang berlaku pada jam 3.10 petang.


Berdasarkan data oleh agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air itu, suhu di Kuala Lumpur diramalkan maksimum 34 darjah Celsius manakala minimum pula 24 darjah Celsius.


Begitu juga kawasan peranginan tanah tinggi terkenal, Cameron Highlands di Pahang yang diramal mencatatkan suhu minimum 16 darjah Celsius serta maksimum 23 darjah Celsius.


Suhu purata berkenaan dianggap sebagai agak normal bagi dua destinasi tersebut dan bukan luar biasa sebagaimana yang tular diperkatakan segelintir warganet menerusi media sosial.


Sebelum ini dda dalam kalangan warga maya membuat ‘cerita’ pelik konon dunia bakal mengalami kejatuhan suhu paling ekstrem ketika fenomena berkenaan dengan cuaca pula amat sejuk.


Pada 1 Julai 2022, Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) melalui hantaran infografik dalam laman sosial rasminya menerbitkan makluman penjelasan mengenai situasi kejadian aphelion.


Ia merupakan keadaan lazim apabila orbit bumi berada pada jarak yang paling jauh daripada matahari dan kali ini kedudukannya dianggarkan dengan jarak 152,098,455 kilometer (km).


Fenomena itu kebiasaannya berlaku selang dua minggu selepas Solstis Musim Panas pada 21 Jun yang menyaksikan siang amat panjang di hemisfera utara dan sebaliknya di selatan.


“Ia berlaku setiap tahun berikutan peredaran bumi mengelilingi matahari dalam orbit berbentuk elips dan tidak akan beri sebarang kesan signifikan kepada penduduk di bumi,” jelas Mysa.


 Jarak antara bumi dan matahari ujar agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu, sentiasa berubah kerana bentuk lengkung orbit planet ini adalah tidak sempurna bulat.


Berlawanan aphelion ialah fenomena perihelion apabila bumi berada pada kedudukan paling dekat dengan matahari dan kejadian ini sudah berlaku pada pukul 2.52 petang 4 Januari lalu.


Ketika waktu tersebut, jarak direkodkan ialah 147,105,052 km, manakala tahun depan pula, perihelion akan terjadi pukul 12.17 tengah malam 5 Januari dengan jaraknya 147,098,925 km.


Sementara itu, fenomena aphelion tahun depan diramalkan berlaku pada pukul 4.06 petang 7 Julai kelak dengan jarak antara bumi dan matahari dianggarkan sejauh 152,093,251 km.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Luluskan Celcom-Digi Bergabung

    Sumber : Grafik FMT


TELEKOMUNIKASI | Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah mengeluarkan notis tiada bantahan kepada cadangan penggabungan antara Digi.Com Bhd dan Celcom Axiata Bhd.


Penggabungan yang disebutkan itu membabitkan perniagaan Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) dan Celcom.


MCMC dalam kenyataan media berkata, MCMC sudah menjalankan penilaian menyeluruh terhadap penggabungan ini.


"Pada 1 April 2022, MCMC telah mengeluarkan Pernyataan Isu kepada Pemohon selaras dengan Garis Panduan Penggabungan dan Pengambilalihan bertarikh 17 Mei 2019 untuk menangani kebimbangan bahawa penggabungan ini akan atau berkemungkinan mengurangkan persaingan dengan ketara dalam sesetengah pasaran komunikasi yang telah dikenal pasti oleh MCMC.


"Justeru, pemohon telah mengemukakan suatu aku janji yang mengandungi komitmen pemohon untuk mengatasi isu-isu persaingan yang telah diketengahkan oleh MCMC di dalam Pernyataan Isu.


"MCMC telah mempertimbangkan komitmen yang ditawarkan oleh pemohon dan berpuas hati bahawa ia akan mengurangkan dengan signifikan isu persaingan yang akan atau mungkin timbul akibat penggabungan ini," kata kenyataan itu.


Katanya, salinan aku janji itu boleh dimuat turun dari laman sesawang MCMC di


pautan:


https://mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/registers/Undertaking-Public-Version.pdf


Digi dan Celcom adalah pengendali perkhidmatan mudah alih kedua dan ketiga terbesar pada masa kini dan penggabungan ini akan menghasilkan pengendali perkhidmatan mudah alih yang terbesar di Malaysia.


Pada April lalu, syarikat induk Celcom Axiata iaitu Axiata Group Bhd berkata cadangan penggabungan bagi membentuk entiti baharu dikenali sebagai MergeCo dijangka selesai pada separuh kedua 2022.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Axiata berkata penyempurnaan transaksi itu akan tertakluk kepada kelulusan kedua-dua syarikat dan pemegang saham Digi, kelulusan kawal selia dan terma serta syarat lain.


Axiata dan Telenor Group pada 8 April 2021 mengumumkan, bahawa mereka sedang dalam perbincangan lanjutan untuk melaksanakan penggabungan operasi Celcom dan Digi.


Pada 24 November 2021, Axiata turut mengumumkan bahawa MergeCo telah memulakan libat urus dengan MCMC untuk proses penilaian penggabungan berhubung dengan cadangan penggabungan.

Kajian Dapati 62 Peratus Pekerja Malaysia Mahu Kerja 4 Hari Seminggu


Sumber Foto: reepik


PEKERJAAN |  Tinjauan oleh syarikat pengurusan pengalaman Qualtrics mendapati sejumlah 62 peratus pekerja sepenuh masa di Malaysia lebih gemar fleksibiliti sepanjang empat hari bekerja seminggu.


Secara keseluruhan, di Asia Tenggara keutamaan untuk fleksibiliti dengan 60 peratus memilih minggu bekerja yang lebih singkat, lapor BH Online pada 21 Jun 2022.


Penyelidikan Qualtrics dijalankan pada bulan Mei 2022, merangkumi 3,415 responden yang berusia 18 tahun atau responden lebih berusia yang bekerja sepenuh masa atau secara sambilan merentasi pelbagai industri di Indonesia, Malaysia, Filipina dan Singapura.


Soalan yang berkaitan dengan minggu bekerja empat hari hanya dijawab oleh pekerja sepenuh masa, yang berjumlah 2,846 responden. Sejumlah 557 responden adalah dari Malaysia.


"Dengan organisasi Asia Tenggara terus memperhalusi cara bekerja selepas dua tahun bekerja jarak jauh, dan pemimpin di Malaysia masih berbahas kebolehlaksanaan amalan bekerja empat hari seminggu, dapatan Qualtrics menunjukkan kepentingan berjaya menjajarkan program baharu yang diterima pakai dengan keperluan dan jangkaan pekerja.


"Bagi sepertiga pekerja di Asia Tenggara (33 peratus), fleksibiliti bermakna kebebasan menentukan jam bekerja. Selebihnya mentakrifkan fleksibiliti sebagai keupayaan bekerja dari mana-mana lokasi (24 peratus), memilih hari mereka bekerja (19 peratus), atau dinilai berdasarkan prestasi, bukan bilangan jam bekerja (18 peratus). Responden daripada Malaysia menyuarakan pilihan yang sama," katanya.


Menurut Qualtrics, pekerja bersikap terbuka terhadap minggu bekerja empat hari, tetapi ada perkara yang membimbangkan mereka.


Katanya walaupun majoriti daripada pekerja memilih fleksibiliti jika diberi pilihan, 86 peratus daripada responden di Asia Tenggara bersedia menyokong majikan mereka melaksanakan minggu bekerja empat hari dengan kebanyakannya melihat penambahbaikan kesihatan dan kesejahteraan mereka sebagai antara sebabnya.


"Kebanyakan responden termasuk responden daripada Malaysia percaya bahawa bekerja empat hari seminggu meningkatkan keseimbangan hidup bekerja (86 peratus) dan kesejahteraan mental (82 peratus), produktiviti (83 peratus), dan membuat mereka rasa lebih setia kepada majikan mereka.


"Sejumlah 60 peratus daripada responden di Asia Tenggara sanggup dipotong gaji untuk bekerja kurang sehari dalam seminggu, manakala 54 peratus daripada responden di Malaysia kurang sanggup," katanya.


Menurut syarikat pengurusan pengalaman berpangkalan di Utah, Amerika Syarikat (AS), walaupun pelbagai program rintis bagi minggu bekerja empat hari menunjukkan banyak manfaatnya seperti peningkatan kesejahteraan di Iceland dan peningkatan produktiviti di Jepun, banyak responden percaya bahawa akan ada timbal balas.


"Hampir tiga perempat (72 peratus) di Asia Tenggara mengatakan bahawa mereka jangkakan masa bekerja mereka akan menjadi lebih panjang, manakala 58 peratus mengatakan bahawa pelanggan akan kecewa, dan prestasi syarikat akan terjejas.


"Di Malaysia, responden mengatakan tempoh bekerja lebih panjang (68 peratus), pelanggan yang kecewa (62 peratus), dan prestasi syarikat (65 peratus) sebagai perkara yang paling membimbangkan mereka," katanya.


Qualtrics berkata, dalam pada pekerja menyesuaikan diri mereka dengan perubahan landskap terbabit, dua pemacu utama kejayaan bagi cara bekerja baharu yang dilaksanakan ialah mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan, serta memastikan pekerja berjaya dalam persekitaran fizikal dan jauh.


"Ini ialah langkah yang diambil terhadap 72 peratus daripada responden yang mengatakan bahawa pekerjaan mereka adalah penyumbang utama kepada cabaran kesihatan mental.


"Walaupun bilangan responden yang serupa daripada Asia Tenggara mengatakan bahawa bekerja jarak jauh telah memberi impak positif (25 peratus) dan negatif (25 peratus) ke atas kesihatan mental mereka, ia berbeza bagi responden daripada Malaysia dengan lebih banyak responden tempatan yang mengalami impak positif (30 peratus positif, berbanding 22 peratus negatif).


"Dua pertiga (67 peratus) daripada responden di rantau ini merasakan bahawa kemajuan kerjaya mereka akan terjejas jika mereka waktu kerja mereka fleksibel. Gabungan dapatan ini mendapati kepentingan memahami keperluan individu dalam tenaga kerja untuk mendayakan majikan mengambil tindakan bersasar yang memastikan tidak ada sesiapa yang akan ketinggalan," katanya.


Pakar Strategi Penyelesaian Pengalaman Pekerja, Asia Tenggara Qualtrics, Lauren Huntington, berkata, satu kemungkinan penyelesaian kepada cabaran yang ditimbulkan oleh model bekerja baharu ialah mengukur prestasi pekerja berdasarkan hasil, bukan bilangan jam dan hari bekerja, dengan 89 peratus daripada responden menyokong pendekatan itu.


"Responden merentasi Asia Tenggara melihat peningkatan kecekapan, fokus dan pengiktirafan sebagai sebab utama mereka berbuat demikian, manakala 26 peratus harap bilangan jam kerja dikurangkan.


"Majoriti daripada responden juga mengalu-alukan tawaran hari kesihatan mental berbayar daripada majikan mereka, dengan 94 peratus mengatakan bahawa ini ialah penyelesaian jangka panjang yang baik untuk memastikan kesihatan mental yang baik," katanya.


Huntington berkata, bagi organisasi yang memikirkan semula cara bekerja tradisional, dapatan Qualtics mendedahkan impak perubahan yang sedang dipertimbangkan dan dilaksanakan.


Jelasnya dalam kekalutan melaksanakan model bekerja baharu, majikan tidak boleh terlepas pandang hakikat bahawa apa yang pekerja mahu dan telah terbiasa dengan fleksibiliti mengubah jadual bekerja mereka untuk disesuaikan dengan tuntutan kehidupan mereka.


"Kami melihat semakin banyak orang yang membuat keputusan kerjaya dan mendapat kepuasan dalam pekerjaan mereka dengan bekerja untuk organisasi yang benar-benar faham serta memenuhi keperluan mereka, dan tempat mereka rasa diterima dengan baik.


"Itulah sebabnya perkara paling penting dalam mana-mana model bekerja bukan sekadar bilangan jam atau hari bekerja tetapi keupayaan untuk memahami dan memenuhi keperluan dan jangkaan orang untuk memastikan semua pihak termasuk pelanggan mendapat manfaat daripada transformasi yang sedang dilakukan," katanya.


Matahari Terbit Dari Utara? Ini Penjelasan Agensi Angkasa

    Sumber Foto : Pexel


ANGKASA | Artikel disiarkan laman sesawang wiser.my pada 17 Jun 2022  mendakwa '𝐌𝐚𝐭𝐚𝐡𝐚𝐫𝐢 𝐌𝐮𝐧𝐠𝐤𝐢𝐧 𝐓𝐞𝐫𝐛𝐢𝐭 𝐃𝐚𝐫𝐢 𝐔𝐭𝐚𝐫𝐚 𝐌𝐢𝐧𝐠𝐠𝐮 𝐇𝐚𝐝𝐚𝐩𝐚𝐧' adalah mengelirukan dan sebenarnya tidak tepat, tegas Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).


Agensi itu pada kenyataan media di Facebook pada 19 Jun 2022 menjelaskan kedudukan terbit dan terbenam Matahari memang berubah-ubah dan tidak tetap pada satu tempat yang sama sahaja sepanjang tahun. 


Katanya perubahan kedudukan Matahari berlaku disebabkan kecondongan paksi putaran Bumi sebanyak 23.5 darjah berbanding satah orbit Bumi mengelilingi Matahari.


MYSA menjelaskan Pada 21 Jun 2022, Matahari berada pada kedudukan paling jauh ke utara dari Khatulistiwa iaitu di atas Garisan Sartan (23.5º Utara) pada jam 17:13 waktu Malaysia. 


"𝐌𝐚𝐭𝐚𝐡𝐚𝐫𝐢 𝐛𝐞𝐫𝐚𝐝𝐚 𝐝𝐢 𝐆𝐚𝐫𝐢𝐬𝐚𝐧 𝐒𝐚𝐫𝐭𝐚𝐧 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐛𝐞𝐫𝐦𝐚𝐤𝐬𝐮𝐝 𝐌𝐚𝐭𝐚𝐡𝐚𝐫𝐢 𝐭𝐞𝐫𝐛𝐢𝐭 𝐝𝐚𝐫𝐢 𝐚𝐫𝐚𝐡 𝐮𝐭𝐚𝐫𝐚, 𝐭𝐞𝐭𝐚𝐩𝐢 “𝐛𝐞𝐫𝐚𝐝𝐚 𝐝𝐢 𝐤𝐞𝐝𝐮𝐝𝐮𝐤𝐚𝐧 𝟐𝟑.𝟓º 𝐔𝐭𝐚𝐫𝐚 𝐝𝐚𝐫𝐢 𝐆𝐚𝐫𝐢𝐬𝐚𝐧 𝐊𝐡𝐚𝐭𝐮𝐥𝐢𝐬𝐭𝐢𝐰𝐚”.


"Struktur Bumi dibahagikan kepada Hemisfera Utara dan Hemisfera Selatan yang dibatasi oleh Garisan Khatulistiwa. 


"Garisan Khatulistiwa (0°) merupakan latitud yang terpanjang dan dilukis mengelilingi bahagian tengah Bumi," kata MYSA.


Garisan Sartan di Hemisfera Utara berada di latitud 23.5º Utara dari Garisan Khatulistiwa manakala Garisan Jadi berada di latitud 23.5º Selatan dari Garisan Khatulistiwa seperti yang ditunjukkan pada Rajah 1.


MYSA berkata semasa Solstis Jun ini, ia menandakan bermulanya musim panas di Hemisfera Utara dan bermulanya musim sejuk di Hemisfera Selatan. 


"Waktu siang menjadi lebih panjang dan waktu malam menjadi lebih pendek di Hemisfera Utara sementara waktu siang menjadi lebih pendek dan waktu malam menjadi lebih panjang di Hemisfera Selatan.


"Ketika Ekuinoks Mac dan September pula, Matahari berada tepat di atas Khatulistiwa dan akan terbit tepat di timur dan terbenam tepat di barat," kata MYSA. 


Agensi itu tutut menjelaskan ketika ekuinoks Mac, ia menandakan bermulanya musim bunga di hemisfera utara dan bermulanya musim luruh di hemisfera selatan manakala ketika Ekuinoks September, ia menandakan bermulanya musim luruh di hemisfera utara dan bermulanya musim bunga di hemisfera selatan.


Katanya ketika Solstis pada 22 Disember jam 5.48 waktu Malaysia, Matahari berada di kedudukan paling jauh ke selatan dari Khatulistiwa iaitu di atas Garisan Jadi (23.5o Selatan). 


"Ia menandakan bermulanya musim sejuk di hemisfera utara dan bermulanya musim panas di hemisfera selatan," katanya.


Rajah 1 dan 2 menunjukkan kedudukan Matahari pada waktu tengah hari yang berubah-ubah seiring dengan perubahan musim. (Sumber grafik :MYSA)





Maklumat Dakwa Fenomena Aphelion Cetus Cuaca Sejuk Luar Biasa Di Malaysia Palsu


   Sumber Foto : Space.com


Maklumat tersebar termasuk di WhatsApp dan media sosial bahawa Malaysia akan mengalami cuaca sejuk luar biasa hingga menjejaskan kesihatan, kesan fenomena Aphelion bermula  19 Jun 2022 hingga Ogos adalah palsu, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).


BH Online pada 18 Jun 2022 melaoporkan Muhammad Helmi Abdullah, menegaskan perkongsian terbabit yang memaklumkan kononnya cuaca sejuk daripada fenomena memberi kesan selsema, batuk dan sesak nafas adalah tidak benar.


Jelas beliau fenomena Aphelion dijangka bermula pada 4 Julai depan iaitu keadaan di mana kedudukan bumi berada dalam orbit yang paling jauh dari matahari.


"Maklumat dikongsi itu palsu (hoax), termasuk dakwaan akan mengalami sakit tertentu itu tidak benar," katanya.


Menerusi perkongsian maklumat terbabit, mendakwa fenomena Aphelion bermula 19 Jun hingga 22 Ogos depan dan negara mengalami cuaca sejuk lebih daripada cuaca sejuk sebelum ini yang memberi kesan kepada selsema, batuk, sesak nafas dan lain-lain.


Maklumat itu turut menggesa orang ramai meningkatkan daya ketahanan badan dengan mengambil vitamin dan suplemen tambahan.


Mengulas lanjut mengenai fenomena Aphelion, beliau berkata, ia berlaku setiap tahun dan masanya ialah kira-kira dua minggu selepas Solstis Musim Panas (21 Jun).


Katanya, tahun ini ia dijangka berlaku pada 4 Julai dan jarak maksimum antara bumi dan matahari ialah 152,098,455 kilometer pada jam 3:15 petang waktu Malaysia.


  Sumber Grafik : Timesanddate.com


"Bagaimanapun, hujan yang berlaku dua tiga hari kebelakangan ini disebabkan 'monsoon break' iaitu angin barat daya bertiup lemah dan bertumpu di kawasan barat Semenanjung.


"Keadaan ini menggalakkan pembentukan awan ribut petir intensif di kawasan berkenaan," katanya.


Muhammad Helmi berkata, fenomena terbabit tidak memberi kesan kepada bumi dan negara.


"Sewaktu musim panas matahari berada jauh dari bumi, sebaliknya semasa musim sejuk matahari lebih hampir dengan bumi.


"Ia adalah fenomena semula jadi yang berlaku setiap tahun berikutan peredaran bumi mengelilingi matahari pada orbit yang berbentuk eliptikal," katanya.

TERKINI

ANALISIS | Pilihan Pesawat Pejuang Baharu untuk Malaysia: Strategik, Teknologi dan Geopolitik

    Foto : Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut Penulisan Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut ---   Bahagian 1: Pengenalan, Latar Belakang ...