Malaysia Airlines, Firefly & MHholidays Tawar Tambang Murah Ke Langkawi


Menjelang pembukaan semula sektor pelancongan Langkawi pada Hari Malaysia ini, anak syarikat Malaysia Aviation Group Bhd (MAG), Malaysia Airlines, Firefly dan MHholidays menawarkan tambang rendah untuk tempahan yang dibuka sekarang sehingga 30 September depan untuk perjalanan antara 16 September hingga 31 Oktober 2021.

Dalam kenyataan media pada 10 September 2021/Jumaat, MAG berkata pelanggan yang lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 dapat memulakan percutian mereka dengan tambang Economy Lite Malaysia Airlines serendah RM89 untuk perjalanan sehala semua dalam satu dan menikmati kemudahan seperti elaun bagasi kabin tujuh kilogram (kg) dan makanan percuma.

"Pelanggan yang mahu kemudahan perjalanan yang lancar boleh memilih tambang Economy Flex untuk faedah tambahan termasuk perubahan tarikh tanpa had dan tiada bayaran yang dikenakan, pemulangan wang percuma tanpa dikenakan fi, fleksibiliti "Go Show" (mengubah masa penerbangan), keutamaan daftar masuk, keutamaan menaiki pesawat (boarding) dan elaun bagasi daftar masuk sebanyak 35 kilogram," katanya.

Sementara itu, Firefly memberi tawaran menarik dengan tambang serendah RM19 dari Pulau Pinang ke Langkawi dan RM69 dari Subang ke Langkawi dengan diskaun sebanyak RM50 sebagai insentif kepada individu yang sudah menerima suntikan vaksinasi lengkap.

Pelanggan boleh memanfaatkan perkhidmatan penerbangan 28 kali seminggu Malaysia Airlines ke Langkawi dari Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan perkhidmatan Firefly sebanyak 10 kali seminggu dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Selangor.

MHholidays, cabang operasi pelancongan Malaysia Airlines menawarkan diskaun 50 peratus untuk tiket penerbangan dan pakej hotel di hotel empat hingga lima bintang yang terpilih, antaranya Datai Langkawi, Berjaya Langkawi Resort, Pelangi Beach Resort and Spa, dan Vivanta Langkawi Rebak Pulau.

"Pelanggan digalakkan untuk mendapatkan maklumat mengenai gelembung pelancongan terkini Langkawi oleh oleh Majlis Keselamatan Nasional (MKN) di https://www.mkn.gov.my/web/ms/sop-perintah-kawalan-pergerakan/.

Maklumat lanjut boleh didapati di https://www.malaysiaairlines.com/my/en.html atau https://www.fireflyz.com.my serta https://holidays.malaysiaairlines.com.


'TAWARAN GILA-GILA' : AirAsia Tawar Penerbangan Ke Langkawi Serendah RM12 Sehala


    Foto Sumber: Airbus


AirAsia memperkenalkan nilai terbaik untuk tempahan penerbangan, hotel dan kombo SNAP menerusi kerjasama dengan peserta industri pelancongan di Langkawi sempena pembukaan gelembung perjalanan bermula 16 September 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata tawaran menarik itu bagi memastikan pengalaman perjalanan dengan tahap keselamatan tertinggi sebelum dan semasa penerbangan di seluruh operasinya.

Riad Asmat berkata penerbangan ke Langkawi dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Ipoh dan Kota Bharu daripada serendah RM12 sehala. 

"Tempah di airasia Super App pada ikon 'Flights' dari sekarang hingga 19 September 2021 untuk perjalanan antara 16 September 2021 dan 26 Mac 2022.

"Anda juga boleh menempah kenderaan untuk ke lapangan terbang terus dari airasia Super App melalui airasia ride, dengan nilai terendah di pasaran daripada RM55 sehala (hanya tersedia untuk Lembah Klang sahaja) dengan menggunakan kod promosi RIDE55 dari sekarang hingga 30 September 2021.

"Rebutlah tawaran kombo SNAP dengan penerbangan dua hala dan penginapan 3 hari 2 malam daripada RM99 untuk seorang di hotel bertaraf 4 hingga 5 bintang di Langkawi. Tawaran terhad ini bermula dari 9 September untuk tempoh perjalanan antara 16 September dan 31 Disember 2021," katanya dalam kenyataan media pada 10 September 2021.

Riad berkata, bagi yang ingin menempah penginapan secara berasingan, nikmati diskaun tambahan 10 peratus untuk semua hotel di Langkawi dengan menggunakan kod promosi VAX8TION10 pada ikon 'Hotel' di airasia Super App dari sekarang hingga 19 September 2021 untuk perjalanan antara 16 September dan 31 Disember 2021.

"AirAsia membuat persediaan rapi untuk kembali terbang dan ingin menjemput tetamu untuk menikmati pengalaman perjalanan yang lebih meyakinkan dan selamat bersama AirAsia.

"Keselamatan menjadi keutamaan kami, di samping sentiasa berusaha memastikan perjalanan yang lancar bagi semua tetamu. Di AirAsia, kami komited untuk melaksanakan semua protokol kesihatan dan kebersihan yang ketat untuk sepanjang perjalanan anda, termasuk di kawasan terminal sebelum dan selepas penerbangan, di laluan rayap dan kargo serta semasa penerbangan anda.

"Selain itu, kami telah mempertingkatkan prosedur dan inovasi yang lebih baik untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata, penerbangan adalah kaedah pengangkutan yang paling selamat, bukan hanya kerana langkah keselamatan menyeluruh dilaksana syarikat penerbangan itu, malah ciri pesawat seperti sistem penapisan udara di dalam kabin dengan peredaran udara dari atas ke bawah menghindari risiko jangkitan semasa dalam penerbangan.

"Kajian yang dilakukan oleh agensi penerbangan antarabangsa juga telah membuktikan bahawa risiko jangkitan di dalam penerbangan adalah hampir sifar," katanya.

Syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka itu turut menasihati tetamu mematuhi nasihat perjalanan penting termasuk memastikan mereka layak untuk melakukan perjalanan sebelum menempah penerbangan.

      Sumber Grafik: BERNAMA


Arab Saudi Sedia Terima 70,000 Jemaah Umrah Sehari

Foto Sumber: facebook Haramain Sharifain

Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mengumumkan kesediaan pihaknya menyambut kedatangan 70,000 jemaah umrah sehari.

Menurut akaun Twitter jabatan tertinggi itu yang memetik kenyataan Penolong Ketua Pengarah Hal Ehwal Masjidil Haram Dr Saad Muhammad Al-Muhaimidi, pihaknya bersedia menerima kedatangan lebih ramai jemaah daripada dalam dan luar Arab Saudi serta menyediakan perkhidmatan terbaik untuk memudahkan segala urusan jemaah.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi merancang meningkatkan jumlah jemaah umrah sehingga 120,000 sehari berbanding 60,000 ketika ini.

Segala operasi dan persiapan menyambut kedatangan jemaah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan semua langkah pencegahan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi untuk memudahkan jemaah mengerjakan umrah.

Pihaknya akan sentiasa memantau setiap ruang di Masjidil Haram dari semasa ke semasa bagi memastikan kelancaran urusan jemaah.

Portal berita Saudi Gazette turut melaporkan bahawa penambahan angka itu dibuat berikutan negara berkenaan menjangkakan menerima lebih ramai jemaah umrah dari seluruh dunia tahun ini sejak ibadah itu dihentikan tahun lalu akibat pandemik COVID-19.


Tragedi Kepala Air Gunung Jerai: Mayat Bekas Imam Ditemui Baik, Hadap Kiblat


SUMBER Gambar/ FB Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia

YAN: Mayat mangsa kelima yang hilang dalam tragedi kepala air dan banjir lumpur di kaki Gunung Jerai di sini, pada 18 Ogos 2021/Rabu lalu ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 22 Ogos 2021/Ahad.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah berkata Ku Shuib Ku Abdullah, 91, yang juga bekas imam Masjid Yan ditemui di bawah timbunan kayu di kawasan Titi Hayun di sini, pada jam 3.23 petang 22 Ogos 2021.

"Kita berjaya mengeluarkan mayat mangsa pada jam 3.28 petang dan mendapati jasadnya masih berada dalam keadaan baik.

"Keadaan mayat didapati hanya mengalami kesan calar dan tiada luka serius walaupun telah dihanyutkan arus deras bersama batang pokok dan kayu besar (empat hari lalu).

"Mayat juga ditemui dalam keadaan mengiring menghadap kiblat kira-kira satu kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang iaitu di rumahnya di Chalet Salak Denai," kata  Sayani Saidon, lapor Astro Awani/22 Ogos 2021.

Beliau berkata, operasi SAR diteruskan untuk mencari mangsa terakhir di kawasan Titi Hayun.

   SUMBER Gambar/ FB Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia 

Pada Sabtu, pihak berkuasa dan agensi yang menjalankan operasi SAR dilaporkan menemui petunjuk baharu membabitkan dua lagi mangsa termasuk Ku Shuib.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superitenden Shahnaz Akhtar Haji, berkata pasukan SAR tidak menolak kemungkinan kedua-dua mangsa terbabit tertimbus di bawah timbunan tanah dan pokok-pokok.

Untuk rekod, dalam kejadian kepala air yang berlaku pada Rabu, tujuh mangsa dilaporkan hilang dengan seorang ditemui selamat manakala empat yang lain ditemui maut, sebelum ini.

Mangsa yang ditemui maut sebelum ini disahkan sebagai Ahmad Din, 68, yang ditemui di Kampung Setoi manakala mangsa kedua, Shahruzi Mohamad, 53, ditemui di Kilometer 8 Gunung Jerai pada jam 11 malam pada hari kejadian.

Mangsa ketiga, Zainol Morad, 66, ditemui di Kampung Titi Hayun pada jam 12.30 tengah malam Khamis manakala mangsa keempat, Mohamad Faizal Mohd Zohir, 28, ditemui pada Khamis di Kampung Keda Sungai Udang kira-kira enam kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

Dengan penemuan mayat mangsa kelima pada 22 Ogos 2021, pasukan SAR kini menumpukan usaha mencari mangsa terakhir yang dikenali sebagai Riduan di kawasan Titi Hayun.

Sumber Berita: ASTRO AWANI/22 OGOS 2021

Sempena Hari Kebangsaan 2021 Telco Sedia Pakej Istimewa

    Grafik Sumber: merdeka360

Pihak syarikat telekomunikasi (telcom) dan penyiaran menyediakan beberapa tambah nilai pakej untuk kemudahan rakyat sempena sambutan Hari Kebangsaan 2021, demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Tawaran itu meliputi Pakej Peranti RM1 Malaysia Prihatin bagi membolehkan rakyat Malaysia memiliki atau menaik taraf pelbagai peranti mudah alih yang menyokong 4G dan VoLTE bermula dari harga RM1 yang disokong oleh Celcom, Digi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile and YTL, katanya.

Selain itu, pemberian data harian sebanyak 1GB oleh Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan Telekom Malaysia secara percuma kepada semua pengguna perkhidmatan dilanjutkan sehingga 31 Disember tahun ini.

"Inisiatif Learn From Home (LFH) oleh pihak YTL dalam menyokong sistem pendidikan juga akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021," kata MCMC dalam kenyataan media pada 18 Ogos 2021/

Golongan B40, calon SPM dan STPM bakal nikmati kemudahan internet lebih baik MCMC berkata, pakej Jaringan Prihatin juga dilanjutkan sehingga 30 September ini untuk golongan B40.

Suruhanjaya itu berkata, tawaran berkenaan turut meliputi akses tontonan percuma beberapa saluran premium terpilih oleh syarikat penyiar swasta seperti Astro dan Unifi kepada pelanggan mereka.

Kata, Astro menyediakan saluran percuma iaitu Astro 25 di saluran 100 yang akan menyajikan kandungan tempatan berkisar kepada pengorbanan, semangat patriotik serta kejayaan yang telah Malaysia kecapi.

"Pakej yang ditawarkan ini dijangka memberi kemudahan dan manfaat kepada rakyat untuk menghadapi perubahan norma baharu dalam pendidikan, dan pekerjaan di samping meringankan beban perbelanjaan para pengguna," katanya.


Kebakaran Hutan Semakin Marak Di Baitulmaqdis

                                                           Foto Sumber: Al-Quds Network

Penduduk beberapa perkampungan di pinggir Baitulmaqdis dipindahkan pada 15 Ogos 2021/Ahad berikutan kebakaran hutan yang besar.

Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 16 Ogos 2021/Isnin melaporkan anggota bomba dengan sokongan pesawat pemadam api berusaha mengawal kebakaran yang menyebabkan asap tebal menyelubungi bandar itu.

Menurut kenyataan polis, antara perkampungan yang terancam ialah Beit Meir, Shoeva dan Ramat Raziel di barat Baitulmaqdis, berhampiran lebuhraya utama menghubungkan bandar itu dengan hab komersial di Tel Aviv.

"Penduduk dipindahkan dan beberapa jalan ditutup susulan api semakin marak merebak akibat ditiup angin," katanya.

Dalam pada itu Al-Quds Network melaporkan kebakaran merebak berhampiran kawasan di bahagian barat masjid Al-Aqsa.

Berdasarkan foto yang dimuat naik di media sosial menunjukkan asap tebal menyelubungi kawasan berkenaan.

Foto Sumber: Al-Quds Network

    Foto Sumber: Al-Quds Network



                                                      Foto Sumber: Al-Quds Network

Sementara itu, jurucakap pasukan bomba Baitulmaqdis berkata pasukan bomba dari wilayah lain turut dikerah bagi membantu mereka.

Sebelum ini berlaku kebakaran di kawasan sama lebih minggu lalu tetapi dapat segera dikawal tetapi kebakaran baru semalam belum diketahui puncanya.

Beberapa negara Mediterranean juga kini bergelut dengan kebakaran hutan termasuk Greece, Turki dan Algeria, yang turut mencatatkan rekod peningkatan suhu tertinggi dalam sejarah.



MAB Sedia Tawar Penerbangan Murah Penerima Lengkap Vaksin Serendah RM89


Tangkap Layar: Facebook Malaysia Airlines

PENERBANGAN | Malaysia Airlines Berhad (MAB) bersedia untuk memudahkan perjalanan penumpang yang sudah divaksin sepenuhnya untuk bersatu semula dengan orang yang tersayang dengan harga serendah RM89 untuk kelas ekonomi dalam destinasi domestik.

Promosi itu akan dibuka untuk tempahan bermula 10 Ogos hingga 30 September ini dan sah untuk perjalanan sehingga 30 Oktober 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif MAB dalam kenyataan media pada 11 Ogos 2021/Rabu berkata, pandemik Covid-19 merampas kegembiraan orang di seluruh dunia dalam melakukan perjalanan jauh .

“Malaysia Airlines bersedia dan gembira dapat memainkan peranan kami dalam menghubungkan pelanggan bersama orang yang tersayang setelah lama terpisah berikutan sekatan perjalanan yang dilaksanakan di seluruh negara.

“Penerbangan terbaharu itu menggambarkan peranan penting syarikat penerbangan nasional dalam menyediakan perjalanan udara yang diperlukan sepanjang pandemik Covid-19,” kata  Izham Ismail.

Beliau berkata sebagai syarikat penerbangan yang prihatin, pihaknya tetap komited untuk memastikan perjalanan yang lebih selamat dan lancar bagi pelanggan dengan mematuhi standard keselamatan dan kebersihan tertinggi.

Pihaknya percaya menjalankan operasi penerbangan dengan krew dan petugas barisan hadapan yang divaksin sepenuhnya juga amat penting untuk meyakinkan penumpang.

Menurut Izham, Malaysia Airlines mengalu-alukan kedatangan pelanggan memandangkan syarikat penerbangan itu meningkatkan protokol kesihatan dan keselamatan di pelbagai titik sentuhan lapangan terbang itu bagi memastikan keselamatan pelanggan dan pekerja dilindungi.

Langkah itu termasuk wajib pemakaian pelitup muka, kerap pembasmian kuman dalam pesawat, dan menambah baik penapis HEPA untuk penapisan yang lebih baik sekaligus memastikan kitaran udara yang efisien.

Penumpang juga akan menerima alat kebersihan percuma yang disertakan dengan pelitup muka, pembersih tangan dan tisu yang dibungkus dalam beg kecil.

Selain itu, penumpang juga dapat menikmati kelebihan Economy Lite Fares yang disertakan dengan elaun bagasi kabin sebanyak 7 kilogram (kg), makanan dan minuman ringan percuma, hiburan dalam penerbangan selain memperoleh Enrich Miles untuk setiap tempahan perjalanan yang dilakukan.

Setakat ini, sebanyak 93 peratus juruterbang dan kru MAB telah menerima vaksin.

Bersama-sama dengan syarikat induknya, Malaysian Aviation Group Bhd. (MAG), mereka menjangka untuk mencapai 100 peratus pekerjanya divaksin sepenuhnya pada pertengahan Ogos tahun ini berikutan penyertaan syarikat itu dalam Pusat Pemberian Vaksinasi Industri (PPIN) bermula Julai lalu. 

12 Perkara Wajib Isteri Patut Tahu Harta Peninggalan Arwah Suami

    Foto Sumber: Wikipedia


Kematian semakin hampir, setiap hari kita dikhabarkan dengan kematian. Tidak kira usia maupun jantina.

1. Jika suami meninggal dunia dan meninggalkan harta tanpa membuat wasiat atau tanpa menghibahkan hartanya semasa hidup, maka semua harta-harta yang halal yang ditinggalkan adalah merupakan harta pusaka yang akan diwarisi oleh isteri dan waris-waris lain mengikut hukum faraid.


2. Jika suami meninggal dunia meninggalkan anak lelaki, anak perempuan, ibu dan bapa, maka mereka juga adalah waris-waris yang berhak mewarisi harta pusaka arwah suami selain daripada isteri.


3. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan, bapa dan adik-beradik, maka waris yang berhak ke atas harta pusaka arwah suami adalah isteri, anak perempuan dan bapa sahaja. Adik-beradik arwah suami tidak berhak.


4. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan dan adik beradik, maka semua itu adalah merupakan waris-waris yang layak mewarisi harta pusaka arwah suami.


5. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan berumur 8 tahun dan anak lelaki berumur 2 hari, maka adik-beradik arwah suami tidak berhak ke atas harta pusaka arwah suami walaupun anak lelaki tersebut baru berumur 2 hari.


6. Jika suami meninggal dunia dan 2 hari sebelum itu telah menceraikan isterinya dengan perceraian secara talaq 1, maka isteri tersebut masih lagi berhak ke atas harta pusaka arwah suaminya.


7. Jika suami meninggal dunia sebaik sahaja selepas akad nikah dengan isterinya, isterinya tetap berhak ke atas harta pusaka arwah suaminya.


8. Jika suami sebelum meninggal dunia menyatakan mengharamkan harta-hartanya diwarisi oleh isteri dan kemudiannya meninggal dunia, isteri tersebut tetap berhak mewarisi harta pusaka arwah suaminya.


9. Jika suami meninggal dunia meninggalkan harta yang berkongsi bahagian dengan isteri, bahagian yang dimiliki oleh arwah suami merupakan harta pusaka yang perlu dibahagikan kepada waris-waris termasuk isteri mengikut hukum faraid.


10. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri sebagai penama kepada simpanan KWSP, Tabung Haji, Takaful atau seumpamanya, maka isteri hendaklah bertindak sebagai pentadbir untuk membahagikan wang-wang tersebut kepada dirinya dan waris-waris lain yang berhak mengikut hukum faraid.


11. Jika suami meninggal dunia namun harta yang ditinggalkan merupakan harta yang dipinjam, harta yang diamanahkan, harta yang telah diwakafkan, harta yang telah dihibahkan atau harta yang telah dijual, harta-harta tersebut bukan merupakan harta pusaka yang layak diwarisi oleh isteri.


12. Harta pusaka arwah suami yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan dengan isteri boleh dituntut oleh isteri sebagai harta sepencarian melalui Mahkamah Syariah.


Untuk lebih mudah, uruskan harta anda di Majlis Agama Islam Selangor, layari www.mais.gov.my


Sumber: Facebook Majlis Agama Islam Selangor


OCBC Lulus Semua Permohonan Moratorium


    Foto Sumber: OCBC


OCBC Malaysia memproses semua pendaftaran pakej moratorium dalam tempoh yang ditetapkan tanpa sebarang penolakan sejak bantuan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dilancarkan 7 Julai lalu.

Pendaftaran berkaitan perbankan pengguna hampir kesemuanya diproses pada hari sama, manakala bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan mikro dalam masa tujuh hari, lebih singkat berbanding tempoh 14 hari yang ditetapkan bagi usaha berkenaan.

OCBC Malaysia terdiri daripada OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Bank) dan anak syarikat perbankan Islam miliknya, OCBC Al-Amin Bank Bhd (OCBC Al-Amin).

Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Datuk Ong Eng Bin, berkata bank itu komited untuk terus membantu pelanggan yang menanggung beban kewangan akibat kesan pandemik.

Beliau berkata, bank itu merangka sistem dalaman yang mantap untuk memastikan semua pendaftaran diproses dengan lancar, agar pelanggan boleh meneruskan usaha membina semula perniagaan tanpa perlu bimbang dengan pinjaman dan pembiayaan pada masa-masa sukar.

"Saya ingin menekankan sekali lagi bahawa pelanggan seharusnya kekal positif tidak kira betapa mencabar keadaan kerana mereka boleh mendapatkan bantuan.

"Kami percaya kebanyakan daripada mereka yang memerlukan bantuan sudah pun menerimanya.

"Bagaimanapun, jika ada sesiapa yang masih belum mendaftar dan perlu melakukannya, sila berbuat demikian di dalam talian menerusi proses pendaftaran mudah kami," katanya dalam kenyataan media pada 9 Ogos 2021/Isnin.

Eng Bin berkata, walaupun angka kes COVID-19 masih tinggi, keyakinan bank tetap disokong oleh kadar pemvaksinan tinggi yang dicapai oleh negara ini.

Katanya, ia bermakna perniagaan boleh dibuka semula secara beransur-ansur supaya ekonomi boleh kembali rancak dan meneruskan kelangsungan perniagaan pelanggan.

Di bawah pakej PEMULIH, pelanggan boleh mendaftar di dalam talian atau di cawangan bank untuk mendapatkan sama ada penangguhan ansuran enam bulan atau pengurangan ansuran sebanyak 50 peratus untuk tempoh enam bulan.

Selain program moratorium asas, OCBC Bank juga menawarkan ahli kad kredit peluang untuk menukarkan baki belum jelas menjadi pinjaman atau pembiayaan tiga tahun dengan kadar faedah atau keuntungan lebih rendah supaya mereka boleh menguruskan hutang masing-masing dengan lebih baik.

TERKINI

ANALISIS | Pilihan Pesawat Pejuang Baharu untuk Malaysia: Strategik, Teknologi dan Geopolitik

    Foto : Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut Penulisan Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut ---   Bahagian 1: Pengenalan, Latar Belakang ...