COVID-19: Kes Positif Seluruh Dunia Cecah 7.58 juta, Korban Lebih 425,000

Graphics by: Computerworld

PARIS: Jumlah kumulatif kematian global kini mencatat lebih 425,000 kes sejak pandemik COVID-19 dikesan di China, hujung tahun lalu.

Mengikut data diperoleh AFP, sebanyak 425,000 kes kematian direkodkan di seluruh dunia daripada 7.6 juta kes.

Jumlah kes positif COVID-19 di seluruh dunia terus meningkat dengan pertambahan lebih 140,000 kes dalam tempoh 24 jam.

Menurut data berkenaan, jumlah kes positif global kini meningkat kepada 7.6 juta setakat ini berbanding 7.44 juta pada Jumaat.

Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan lebih 2.03 juta manakala kes positif COVID-19 di Brazil pula terus menunjukkan trend peningkatan dengan jumlah kumulatif positif 802,000 kes.

Rusia pula ketiga tertinggi dengan 510,000 kes manakala lima lagi negara mempunyai angka melebihi 200,000 ialah India, United Kingdom, Sepanyol, Itali dan Peru.

Lapan negara berada dalam kelompok kes jangkitan melebihi 100,000 kes iaitu Perancis, Jerman, Iran, Turki, Chile, Mexico, Pakistan dan Arab Saudi.

Selain itu, angka kematian global akibat COVID-19 terus meningkat sebanyak 5,000 kes dalam tempoh 24 jam lalu.

Amerika Syarikat (AS) kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 114,000 kes.

United Kingdom pula merekodkan kes kematian kedua tertinggi dengan jumlah kumulatif 41,000 kes.

Peningkatan kes positif COVID-19 di Brazil turut mendorong kenaikan kes kematian dengan jumlah kumulatif lebih 40,000 orang manakala kes kematian di Itali berada pada paras 34,000 kes.

Sementara itu, Perancis dan Sepanyol masing-masing mencatatkan angka kematian 29,000 dan 27,000 kes. 

SUMBER: AFP/ 13 JUN 2020

COVID-19: China-ASEAN Perlu Rebut Peluang Teroka Ekonomi Digital

Digital Economy

BEIJING: Ekonomi digital memainkan peranan penting dalam pemulihan ekonomi dan pembangunan sosial, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan serta menaik taraf kehidupan rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Perdana Menteri, Li Keqiang, dalam ucapannya pada majlis perasmian Kerjasama Ekonomi Digital (DEC) China-ASEAN 2020, berkata perkembangan pesat ekonomi digital pada masa kini membantu membentuk semula landskap ekonomi dan masyarakat dunia.

"Pandemik COVID-19 menunjukkan bahawa ekonomi digital amat penting untuk memulihkan semula ekonomi dengan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus berupaya menaik taraf hidup rakyat," katanya.

Li juga berharap China dan ASEAN dapat menjadikan DEC China-ASEAN 2020 sebagai peluang meneroka revolusi teknologi baharu dan transformasi industri.

Katanya, kedua-dua pihak harus memanfaatkan kelebihan sedia ada, memberi fokus kepada usaha sama 'menang-menang' dan memupuk lebih banyak pertumbuhan baharu dalam bidang perindustrian seperti bandar pintar dan kecerdasan buatan (AI) bagi memacu pembangunan lebih mampan.

Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phux yang juga Pengerusi ASEAN, turut menyampaikan ucapan pada majlis terbabit. 

SUMBER: AGENSI

COVID-19: Ahli Sains di China Cipta 'Ubat' Baharu



BEIJING: Sebuah makmal di China kini giat menghasilkan ubat yang mampu merawat COVID-19.

Penularan wabak yang bermula di China hujung tahun lalu itu menyebabkan banyak negara kini berlumba-lumba untuk menghasilkan vaksin dan mencari kaedah rawatan sesuai.

Ubat dari makmal itu yang kini sedang diuji saintis di Universiti Peking bukan saja mampu memberi kesan singkat jika dijangkiti, malah turut menawarkan imuniti jangka pendek untuk virus berkenaan, kata penyelidik.

Pengarah Pusat Inovasi Lanjutan Genomic Beijing, Sunney Xie, berkata ubat berkenaan sudah berjaya diuji pada haiwan.

"Apabila suntikan diberikan ia mampu meneutralkan jangkitan kepada tikus makmal dan dalam tempoh lima hari virus itu berkurangan dengan faktor 2,500," katanya.

Ubat itu berfungsi meneutralkan daya tahan tubuh yang dapat menghalang jangkitan virus dalam sistem imunisasi.

Kajian daripada pasukan penyelidik yang disiarkan Ahad lalu dalam satu jurnal mencadangkan bahawa penggunaan antibodi menyediakan potensi "penyembuhan" untuk penyakit itu dan mempercepatkan tempoh pemulihan.

Xie berkata, pasukannya bekerja 'siang dan malam' untuk mencari penawar berkenaan. 

SUMBER: AFP/ 20 MEI 2020

COVID-19: Angka Korban Global Meningkat Kepada 271,780



PARIS: Angka kematian COVID-19 di seluruh dunia terus meningkat dengan sekurang-kurangnya 271,780 orang dilaporkan meninggal dunia, sejak wabak itu mula dikesan di China pada Disember lalu, menurut satu laporan yang dikumpulkan AFP, dari sumber rasmi, semalam.

Lebih daripada 3,896,790 kes setakat ini didaftarkan di 195 negara dan wilayah dengan daripada jumlah itu, 1,268,000 dilaporkan sembuh sepenuhnya.

Sejak Khamis, jam 1900 GMT, kematian baharu dilaporkan sebanyak 4,862 orang, manakala pesakit yang baharu disahkan positif COVID-19 berjumlah 90,352 orang.

Amerika Syarikat merekodkan angka tertinggi kematian baharu dengan 1,257 korban, diikuti Britain iaitu 626 dan Brazil (610).

Amerika Syarikat mencatat jumlah keseluruhan kematian tertinggi di dunia dengan 76,101 orang, daripada 1,271,775 kes semuanya. Sekurang-kurangnya, 195,036 daripada pesakit positif COVID-19 di negara dilaporkan sembuh sepenuhnya.

Britain berada di tangga kedua dengan 31,241 jumlah kematian daripada 211,364 kes keseluruhan.

Ia diikuti oleh Itali dengan 30,201 kematian daripada 217,185 kes keseluruhan, disusuli Sepanyol dengan mangsa korbannya mencecah 26,299 orang (222,857 kes keseluruhan), selain Perancis (26,230 kematian daripada 174,791 kes).

Bagaimanapun, pihak berkuasa Perancis belum mengemas kini jumlah jangkitan COVID-19, semalam.

Dalam perkembangan lain, negara dengan jumlah kematian tertinggi mengikut kadar populasi ialah Belgium dengan 74 mangsa korban COVID-19 daripada 100,000 penduduk, diikuti Sepanyol dengan 56 kematian, Itali (50), Britain (46), Perancis (40).

Selain itu, di China, tidak termasuk Hong Kong dan Macau mengesahkan 4,633 kematian daripada 82,886 kes. Seramai 77,993 penduduknya dilaporkan sembuh sepenuhya.

Di Eropah, jumlah kematian kini mencecah 153,690 orang daripada 1,681,558 kes keseluruhan. 

SUMBER: AFP/ 9 MEI 2020

COVID-19: Angka Korban di UK Meningkat Kepada 18,738

LONDON

LONDON: Kementerian Kesihatan Britain hari ini memaklumkan 616 orang lagi meninggal dunia di hospital selepas didapati positif COVID-19, menjadikan jumlah kematian rasmi di negara itu menjadi 18,738 orang.

Jumlah itu yang direkod untuk tempoh 24 jam sejak Rabu, berbanding angka lebih rendah iaitu 759 kes kematian dilaporkan semalam, selepas kerajaan negara itu mendakwa penularan virus sudah mencapai tahap puncak ketika perdebatan semakin memuncak berhubung pelonggaran langkah-langkah sekatan.

Britain tetap menjadi satu negara paling teruk terjejas ekoran pandemik itu dan sudah melaksana peraturan jarak sosial yang ketat selama sebulan.

Universiti Oxford sudah memulakan percubaan kajian terhadap manusia bagi melihat potensi penghasilan vaksin COVID-19 hari ini, dengan matlamat ia akan diperkenal kepada umum akhir tahun ini, jika berjaya.

Itu dilaksana selepas Ketua Pegawai Perubatan negara itu, Chris Whitty, semalam memberi amaran bahawa beberapa langkah sukar dapat dilaksana berbaki tahun ini sehingga vaksin dijumpai.

Tetapi Menteri Pertama Scotland, Nicola Sturgeon hari ini berkata, sekatan boleh ditarik secara berfasa di bahagian utara bersempadan dengan England, biarpun tidak menolak kemungkinan penutupan sepenuhnya.

Pemerintah Britain di London dikritik atas tanggapannya terhadap wabak berkenaan, dengan dakwaan mereka lambat mengenakan sekatan dan memperkenal ujian saringan yang meluas.

Terdapat juga kebimbangan kes virus yang disahkan hanya meliputi mereka yang sudah diuji positif di hospital, namun angka sebenarnya jauh lebih tinggi.

SUMBER: AFP/ 23 APRIL 2020

Amerika catat 44,999 kematian akibat Covid-19

Foto Sumber; CNN


NEW YORK 23 APRIL: Kes Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) mencecah 823,786, pada semalam, meningkat 392,460, lapor agensi berita Xinhua menurut data Johns Hopkins University.

Keseluruhan seramai 44,999 orang maut, peningkatan lebih 2,700 berbanding 24 jam sebelumnya.

Sehingga petang Selasa, New York masih menjadi negara paling teruk terjejas dengan lebih 258,000 kes dilaporkan dan 19,000 orang meninggal dunia.

Lebih 30,000 lagi kes dilaporkan di negeri termasuk New Jersey, Massachusetts, Pennsylvania, California, Michigan dan Illinois.

Sementara 75,204 pesakit sembuh dan setakat ini AS sudah menjalankan lebih 4.1 juta saringan COVID-19.

Memandangkan beberapa negeri AS merancang untuk melonggarkan peraturan duduk di rumah dalam usaha menyelamatkan ekonomi negara, AS perlu menjalankan 20 juta saringan COVID-19, menjelang pertengahan musim panas bagi memastikan langkah itu dapat dilaksanakan dengan selamat.

– BERNAMA

COVID-19: Korban Di Amerika Syarikat Melepasi Angka Mengerikan 20,000



NEW YORK: Korban COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) melepasi angka mengerikan 20,000, semalam, ketika ramai meraikan cuti Easter pada hujung minggu dengan berkurung di rumah.

Setakat ini, wabak itu meragut sekurang-kurang 20,071 nyawa di AS yang kini paling terkesan di dunia dari kedua-dua segi jumlah kematian dan kes jangkitan disahkan.

Jangkitan virus itu di AS telah mencecah sekurang-kurang 519,453 kes, menurut satu penjumlahan oleh Universiti Johns Hopkins yang berpangkalan di Baltimore.

Gereja dijangka kosong pada sambutan Easter, hari ini, susulan lebih dua bilion penganut Kristian di dunia sedang berkurung bagi menyekat penularan COVID-19 yang telah menjangkiti 1.7 juta orang dan meragut lebih 100,000 nyawa.

Itali yang muncul negara paling terjejas di Eropah dengan populasi berjumlah satu per lima daripada AS, turut menghampiri angka menggerunkan apabila mencatat 19,468 kematian, setakat ini.

Namun, harapan mulai berbunga di Eropah Barat dan kawasan terkesan teruk di AS bahawa pandemik itu sedang memuncak, dengan ramai bersandarkan perkembangan di Wuhan yang kini menarik balik arahan berkurung dan kembali menjalani kehidupan normal.

Malah, beberapa negara paling terjejas di Eropah serta pusat jangkitan di AS, iaitu New York dan New Orleans, mulai menunjukkan penurunan kadar jangkitan.

Sepanyol mencatatkan 510 kematian baharu, semalam, sekali gus menyaksikan penurunan angka selama tiga hari berturut-turut.

Perancis melaporkan 635 kematian baharu, semalam, juga menurun sebanyak satu per tiga berbanding kelmarin.

Pegawai kesihatan Perancis, Jerome Salomon, berkata walaupun mencapai kadar mendatar, wabak itu masih sangat aktif.

“Kita mesti kekal berjaga-jaga,” katanya.

Angka harian kematian di Itali juga mulai menurun, namun kerajaan menolak desakan untuk menarik balik perintah berkurung, malah melanjutkan tempoh pelaksanaannya hingga 3 Mei depan.

Britain sebaliknya merekodkan angka harian kematian kedua tertinggi, semalam.

Menurut seorang jurucakap, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson yang turut dijangkiti penyakit terbabit bagaimanapun menunjukkan ‘perkembangan amat baik’ selepas keluar dari unit rawatan rapi.

Di New York dan New Orleans, penurunan kes baharu jangkitan, kematian serta pesakit memasuki wad, memberi sinar harapan berhubung krisis itu.

Namun, Datuk Bandar New York, Bill de Blasio, dan Gabenor, Andrew Cuomo, bercanggah pendapat mengenai pembukaan semula sekolah di bandar itu.

De Blasio mengumumkan bahawa bilik darjah akan terus ditutup hingga sesi persekolahan bermula pada September depan tetapi Cuomo menegaskan, perkara itu bukan terletak bawah keputusan Datuk Bandar.

“Kita mungkin mengambil tindakan sedemikian, namun kita akan melakukannya secara selaras dengan kawasan lain,” kata Cuomo yang mendakwa mempunyai kuasa berhubung perkara berkenaan.

Dalam pada itu, ramai pakar dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengingatkan supaya tidak terlalu cepat menarik balik pelaksanaan langkah berkurung.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, memberi amaran bahawa tindakan yang diambil sebelum waktunya boleh mengakibatkan penularan semula wabak itu secara dahsyat.

Di penempatan sesak seperti Mexico City, Nairobi dan Mumbai serta kawasan konflik di Asia Barat, timbul kebimbangan bahawa keadaan paling teruk bakal melanda lokasi termiskin di dunia.

Begitupun, Presiden Donald Trump, dilaporkan berkata wabak berkenaan sedang menghampiri kemuncak di AS dan beliau kini mempertimbangkan langkah untuk ‘membuka semula’ negara ekonomi terbesar dunia itu dengan secepat mungkin.

“Namun, tahukah anda? Berkurung di rumah juga membawa kepada kematian,” kata Trump. - 

SUMBER: AFP

150 Ahli Keluarga Diraja Arab Saudi Dijangkiti Covid-19



RIYADH - Sekurang-kurangnya 150 ahli keluarga diraja Arab Saudi dijangkiti koronavirus (Covid-19) sejak beberapa minggu lalu, termasuk Putera Faisal Bandar Abdulaziz Al-Saud yang kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), lapor The New York Times.

Putera Faisal, 70, adalah Gabenor Riyadh dan juga anak saudara kepada Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Memetik sumber rapat keluarga itu serta komunikasi hospital dan doktor di Arab Saudi, akhbar di Amerika Syarikat (AS) itu melaporkan, sebuah hospital elit yang merawat ahli keluarga diraja itu sudah menyiapkan 500 katil dan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

“Arahannya ialah bersedia untuk VIP dari serata negara,” kata sepucuk pekeliling yang diedar oleh Hospital Pakar Raja Faisal kepada doktor kanan hospital itu.

The New York Times berkata, mereka melihat salinan pekeliling itu.

Pihak hospital itu juga diminta hanya menerima kes yang mendesak sahaja dan seboleh mungkin ruang hospital diutamakan untuk kes VIP tersebut.

Laporan itu juga menyebut, Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed Salman kini mengasingkan diri untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Menurut The New York Times pula, doktor percaya keluarga diraja itu terkena jangkitan Covid-19 yang dibawa oleh ahli keluarga itu sendiri yang berulang alik ke Eropah. 

SUMBER: AGENSI/10 APRIL 2020

COVID-19: Jepun Isytihar Darurat Kesihatan, 4,000 Kes, 80 Kematian

JAPAN COVID

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, hari ini akan mengisytiharkan perintah darurat kesihatan di beberapa lokasi termasuk Tokyo berikutan peningkatan penularan wabak COVID-29.

Abe yang mengumumkan pelan itu semalam, berkata terdapat kenaikan mendadak bagi kes jangkitan baharu terutama di bandaraya Tokyo dan Osaka.

Kerajaan mendapat kelulusan untuk mengisytiharkan darurat daripada pasukan petugas khas yang diwujudkan bagi melaksanakan pemantauan berhubung situasi kesihatan semasa.

Perintah darurat itu membabitkan tujuh wilayah iaitu Tokyo, Chia, Kanagawa, Saitama, Osaka, Hyogo dan Fukuoka.

Ia sekali gus memberi kuasa kepada gabenor di wilayah yang terbabit untuk meminta penduduk kekal di rumah dan menggesa oerapasi perniagaan ditutup dalam tempoh berkenaan.

Abe dijangka akan mengumumkan perkara itu lewat hari ini dan perintah itu berkuat kuasa bermula tengah malam ini.

Dijangkakan perintah kuarantin ini akan dilaksanakan selama sebulan.

Sementara itu, Gabenor Tokyo, Yuriko Koike, yang menggesa supaya segera diisytiharkan perintah darurat di wilayah itu berharap penduduk di Tokyo akan memberikan kerjasama bagi mengehadkan pergerakan masing-masing.

“Ia mungkin menyulitkan pergerakan seharian, tetapi saya minta semua penduduk memberikan kerjasama kerana ia membabitkan soal nyawa,” katanya kepada wartawan.

Dalam perkembangan lain, jurucakap kerajaan, Yoshihide Suga, berkata operasi pengangkutan awam tidak akan dihentikan, sebaliknya kerajaan akan mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan risiko terutama kontak sesama penumpang.

Setakat ini, Jepun mencatatkan sebanyak 4,000 kes positif COVID-19 dengan 80 kematian. 

SUMBER: AFP/ 7 APRIL 2020

TERKINI

ANALISIS | Pilihan Pesawat Pejuang Baharu untuk Malaysia: Strategik, Teknologi dan Geopolitik

    Foto : Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut Penulisan Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut ---   Bahagian 1: Pengenalan, Latar Belakang ...