COVID-19: Korban Di Amerika Syarikat Melepasi Angka Mengerikan 20,000



NEW YORK: Korban COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) melepasi angka mengerikan 20,000, semalam, ketika ramai meraikan cuti Easter pada hujung minggu dengan berkurung di rumah.

Setakat ini, wabak itu meragut sekurang-kurang 20,071 nyawa di AS yang kini paling terkesan di dunia dari kedua-dua segi jumlah kematian dan kes jangkitan disahkan.

Jangkitan virus itu di AS telah mencecah sekurang-kurang 519,453 kes, menurut satu penjumlahan oleh Universiti Johns Hopkins yang berpangkalan di Baltimore.

Gereja dijangka kosong pada sambutan Easter, hari ini, susulan lebih dua bilion penganut Kristian di dunia sedang berkurung bagi menyekat penularan COVID-19 yang telah menjangkiti 1.7 juta orang dan meragut lebih 100,000 nyawa.

Itali yang muncul negara paling terjejas di Eropah dengan populasi berjumlah satu per lima daripada AS, turut menghampiri angka menggerunkan apabila mencatat 19,468 kematian, setakat ini.

Namun, harapan mulai berbunga di Eropah Barat dan kawasan terkesan teruk di AS bahawa pandemik itu sedang memuncak, dengan ramai bersandarkan perkembangan di Wuhan yang kini menarik balik arahan berkurung dan kembali menjalani kehidupan normal.

Malah, beberapa negara paling terjejas di Eropah serta pusat jangkitan di AS, iaitu New York dan New Orleans, mulai menunjukkan penurunan kadar jangkitan.

Sepanyol mencatatkan 510 kematian baharu, semalam, sekali gus menyaksikan penurunan angka selama tiga hari berturut-turut.

Perancis melaporkan 635 kematian baharu, semalam, juga menurun sebanyak satu per tiga berbanding kelmarin.

Pegawai kesihatan Perancis, Jerome Salomon, berkata walaupun mencapai kadar mendatar, wabak itu masih sangat aktif.

“Kita mesti kekal berjaga-jaga,” katanya.

Angka harian kematian di Itali juga mulai menurun, namun kerajaan menolak desakan untuk menarik balik perintah berkurung, malah melanjutkan tempoh pelaksanaannya hingga 3 Mei depan.

Britain sebaliknya merekodkan angka harian kematian kedua tertinggi, semalam.

Menurut seorang jurucakap, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson yang turut dijangkiti penyakit terbabit bagaimanapun menunjukkan ‘perkembangan amat baik’ selepas keluar dari unit rawatan rapi.

Di New York dan New Orleans, penurunan kes baharu jangkitan, kematian serta pesakit memasuki wad, memberi sinar harapan berhubung krisis itu.

Namun, Datuk Bandar New York, Bill de Blasio, dan Gabenor, Andrew Cuomo, bercanggah pendapat mengenai pembukaan semula sekolah di bandar itu.

De Blasio mengumumkan bahawa bilik darjah akan terus ditutup hingga sesi persekolahan bermula pada September depan tetapi Cuomo menegaskan, perkara itu bukan terletak bawah keputusan Datuk Bandar.

“Kita mungkin mengambil tindakan sedemikian, namun kita akan melakukannya secara selaras dengan kawasan lain,” kata Cuomo yang mendakwa mempunyai kuasa berhubung perkara berkenaan.

Dalam pada itu, ramai pakar dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengingatkan supaya tidak terlalu cepat menarik balik pelaksanaan langkah berkurung.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, memberi amaran bahawa tindakan yang diambil sebelum waktunya boleh mengakibatkan penularan semula wabak itu secara dahsyat.

Di penempatan sesak seperti Mexico City, Nairobi dan Mumbai serta kawasan konflik di Asia Barat, timbul kebimbangan bahawa keadaan paling teruk bakal melanda lokasi termiskin di dunia.

Begitupun, Presiden Donald Trump, dilaporkan berkata wabak berkenaan sedang menghampiri kemuncak di AS dan beliau kini mempertimbangkan langkah untuk ‘membuka semula’ negara ekonomi terbesar dunia itu dengan secepat mungkin.

“Namun, tahukah anda? Berkurung di rumah juga membawa kepada kematian,” kata Trump. - 

SUMBER: AFP

150 Ahli Keluarga Diraja Arab Saudi Dijangkiti Covid-19



RIYADH - Sekurang-kurangnya 150 ahli keluarga diraja Arab Saudi dijangkiti koronavirus (Covid-19) sejak beberapa minggu lalu, termasuk Putera Faisal Bandar Abdulaziz Al-Saud yang kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), lapor The New York Times.

Putera Faisal, 70, adalah Gabenor Riyadh dan juga anak saudara kepada Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Memetik sumber rapat keluarga itu serta komunikasi hospital dan doktor di Arab Saudi, akhbar di Amerika Syarikat (AS) itu melaporkan, sebuah hospital elit yang merawat ahli keluarga diraja itu sudah menyiapkan 500 katil dan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

“Arahannya ialah bersedia untuk VIP dari serata negara,” kata sepucuk pekeliling yang diedar oleh Hospital Pakar Raja Faisal kepada doktor kanan hospital itu.

The New York Times berkata, mereka melihat salinan pekeliling itu.

Pihak hospital itu juga diminta hanya menerima kes yang mendesak sahaja dan seboleh mungkin ruang hospital diutamakan untuk kes VIP tersebut.

Laporan itu juga menyebut, Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed Salman kini mengasingkan diri untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Menurut The New York Times pula, doktor percaya keluarga diraja itu terkena jangkitan Covid-19 yang dibawa oleh ahli keluarga itu sendiri yang berulang alik ke Eropah. 

SUMBER: AGENSI/10 APRIL 2020

COVID-19: Jepun Isytihar Darurat Kesihatan, 4,000 Kes, 80 Kematian

JAPAN COVID

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, hari ini akan mengisytiharkan perintah darurat kesihatan di beberapa lokasi termasuk Tokyo berikutan peningkatan penularan wabak COVID-29.

Abe yang mengumumkan pelan itu semalam, berkata terdapat kenaikan mendadak bagi kes jangkitan baharu terutama di bandaraya Tokyo dan Osaka.

Kerajaan mendapat kelulusan untuk mengisytiharkan darurat daripada pasukan petugas khas yang diwujudkan bagi melaksanakan pemantauan berhubung situasi kesihatan semasa.

Perintah darurat itu membabitkan tujuh wilayah iaitu Tokyo, Chia, Kanagawa, Saitama, Osaka, Hyogo dan Fukuoka.

Ia sekali gus memberi kuasa kepada gabenor di wilayah yang terbabit untuk meminta penduduk kekal di rumah dan menggesa oerapasi perniagaan ditutup dalam tempoh berkenaan.

Abe dijangka akan mengumumkan perkara itu lewat hari ini dan perintah itu berkuat kuasa bermula tengah malam ini.

Dijangkakan perintah kuarantin ini akan dilaksanakan selama sebulan.

Sementara itu, Gabenor Tokyo, Yuriko Koike, yang menggesa supaya segera diisytiharkan perintah darurat di wilayah itu berharap penduduk di Tokyo akan memberikan kerjasama bagi mengehadkan pergerakan masing-masing.

“Ia mungkin menyulitkan pergerakan seharian, tetapi saya minta semua penduduk memberikan kerjasama kerana ia membabitkan soal nyawa,” katanya kepada wartawan.

Dalam perkembangan lain, jurucakap kerajaan, Yoshihide Suga, berkata operasi pengangkutan awam tidak akan dihentikan, sebaliknya kerajaan akan mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan risiko terutama kontak sesama penumpang.

Setakat ini, Jepun mencatatkan sebanyak 4,000 kes positif COVID-19 dengan 80 kematian. 

SUMBER: AFP/ 7 APRIL 2020

COVID-19: Kematian Global 73,139 orang, 1.3 Juta Jangkitan



PARIS: Korban COVID-19 global meningkat kepada 73,139 kematian, menurut satu laporan yang dikumpulkan AFP, dari sumber rasmi, semalam.

Lebih daripada 1,310,930 baharu direkodkan di 191 negara dan wilayah sejak pandemik wabak ini muncul di China pada Disember lalu.

Daripada jumlah keseluruhan kes yang dicatatkan, sekurang-kurangnya 249,700 kes sudah kembali pulih sepenuhnya.

Jumlah yang dikumpulkan oleh pejabat AFP dari pihak berkuasa negara dan maklumat dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mungkin hanya sebahagian daripada angka sebenar jangkitan.

Kebanyakan negara hanya melakukan saringan bagi kes yang memerlukan rawatan lanjut di hospital.

Dalam tempoh 24 jam lalu, lebih 5,005 kes kematian dan 66,187 jangkitan baharu direkodkan dengan angka tertinggi dicatatkan di Amerika Syarikat (AS) seramai 1,209 korban COVID-19, manakala 833 orang di Perancis dan Sepanyol (637).

Itali yang mencatatkan kematian pertama hujung Februari lalu merekodkan seramai 16,523 kematian dengan 132,547 jangkitan dan 22,287 sudah sembuh.

Sepanyol mencatatkan 13,055 kematian dan 135,032 jangkitan, diikuti AS dengan 10,389 kematian dan 347,003 kes iaitu paling tertinggi di dunia.

Perancis pula mencatatkan 8,911 kematian dan 98,010 jangkitan, diikuti Britain dengan 5,373 kematian dan 51,608 kes.

China tidak termasuk Hong Kong dan Macau mencatatkan 3,331 kematian terkini dengan 81,708 kes dan 77,078 sudah sembuh

Ahad lalu, Slovakia mengumumkan kematian pertama berkaitan COVID-19.

Di Eropah pula, mencatatkan 696,110 kes dan 52,498 kematian sehingga semalam, dengan AS dan Kanada dengan 363,501 kes dan 10,728 kematian; Asia 121,355 kes dan 4,265 kematian dan Asia Barat 79,747 kes dan 3,948 kematian.

Sementara itu, Amerika Latin dan Caribbean 33,819 kes dengan 1,188 kematian; Afrika 9,457 kes dengan 467 kematian dan Oceania 6,941kes dengan 45 kematian. 

SUMBER: AFP/ 7 APRIL 2020

COVID-19: AS Berdepan Angka Korban 'Sangat Ngeri', Global Lebih 1.2 Juta Positif



WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberi amaran kepada rakyat negara ini untuk berdepan angka kematian ‘sangat mengerikan’ akibat wabak COVID-19 pada hari mendatang ketika jumlah korban di seluruh dunia kini melepasi 60,000 mangsa.

Jumlah kes jangkitan disahkan di AS melangkaui 300,000, semalam, namun Eropah masih paling terkesan dengan pandemik berkenaan yang menyebabkan kira-kira separuh penduduk dunia berkurung dan ekonomi global menanggung kerugian besar.

Lebih 45,000 kematian global dicatatkan di Eropah dengan Britain melaporkan rekod baharu angka korban harian yang menjadikan jumlahnya mencecah 4,300, setakat ini

Ketika ini, lebih 1.2 juta kes jangkitan disahkan di seluruh dunia dengan kira-kira 65,000 nyawa terkorban, menurut penjumlahan Universiti John Hopkins.

Trump berkata, AS sedang memasuki ‘suatu masa yang akan sangat mengerikan’ dengan ‘angka benar-benar teruk’.

“Ini mungkin adalah minggu yang paling mencabar. Banyak kematian akan berlaku,” katanya di Rumah Putih.

Bagaimanapun pada masa sama, beliau menegaskan, AS tidak boleh kekal ‘tutup’ selama-lamanya.

“Mitigasi berfungsi tetapi sekali lagi, kita tidak akan memusnahkan negara kita.

“Saya sudah katakan dari permulaan lagi - penawar tidak boleh lebih teruk daripada masalah,” katanya.

Ancaman susulan perhimpunan beramai-ramai sekali lagi menjadi perhatian, hujung minggu ini, yang menyaksikan pihak berkuasa di Pakistan sedang giat berusaha mengesan dan kuarantin puluhan ribu orang yang menghadiri satu acara agama besar-besaran pada bulan lalu.

Lebih 150 individu yang menghadiri acara itu telah disahkan positif dengan dua kematian, setakat ini.

Warga asing dari beberapa negara lain turut menghadiri acara itu yang diteruskan walaupun kerajaan sudah meminta ia dibatalkan bagi mengelakkan penularan COVID-19.

Bagaimanapun di Eropah, Itali yang paling terkesan dengan wabak itu mencatatkan penurunan kes jagaan intensif virus berkenaan untuk kali pertama kepada 3,994, semalam, berbanding 4,068 kelmarin.

“Ini adalah titik data yang sangat penting,” kata Ketua Perkhidmatan Perlindungan Awam, Angelo Borrelli, sambil menambah bahawa ia ‘memberikan ruang untuk hospital kita bernafas’.

Angka harian untuk kes jangkitan di seluruh Itali juga semakin perlahan di mana 681 kematian baharu dilaporkan, semalam, menurun berbanding hampir 1,000 kira-kira seminggu lalu.

Sepanyol yang melaksanakan perintah berkurung di hampir seluruh negara itu, turut melaporkan penurunan angka kematian selama dua hari berturut-turut.

Negara itu mencatatkan 809 korban, menjadikan jumlahnya kini mencecah 11,947, iaitu kedua tertinggi selepas Itali. 

SUMBER: AFP/ 5 APRIL 2020

Contact Lens Wearers Urged To Switch To Glasses During COVID-19 Pandemic

Getty Image

Those who wear contact lenses may want to switch to glasses during the COVID-19 pandemic.

On March 10, the American Academy of Ophthalmology released safety measures for the eyes, as evidence suggests that the novel coronavirus may be transmissible through the eyes. 

People are instructed to avoid rubbing their eyes, touching their faces and touching surfaces that may have been exposed to the virus.

People who wear contact lenses touch their eyes often when putting on and removing contacts. They also tend to touch their eyes and faces more often than others who don’t wear contact lenses.

“Some people are not very hygienic and may have forgotten to first wash their hands,” said Thomas Steinemann, a clinical spokesman from the American Academy of Ophthalmology, to cnn.com.

While experts have said there's still no definitive proof that the coronavirus can enter through the eye, wearing glasses is considered a preventive measure to help avoid the disease.

Glasses can serve as additional barriers to protect you from the virus, although they’re not as effective as goggles.

Additionally, when attempting to secure your glasses, it’s recommended to cover your fingers with a tissue instead of touching the glasses with your bare hands.

Those who continue wearing contact lenses should wash their hands properly before and after putting in or taking out their contacts. 

The association also recommended avoiding contact with water while wearing the contact lenses, following orders from professionals regarding use of contacts and cleaning or substituting contact lenses and containers routinely. 

SOURCE: CNN
LINK: https://edition.cnn.com/2020/03/27/health/contact-lens-glasses-coronavirus-wellness/index.html

COVID-19: AirAsia, ERL Gantung Perkhidmatan, Malaysia Airlines Masih Beroperasi

AIR ASIA

Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Group Bhd dan penyedia perkhidmatan rel, Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) menggantung perkhidmatan masing-masing susulan penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines masih beroperasi tetapi dalam kapasiti yang minimum.

AirAsia Group Bhd dalam kenyataan, berkata kumpulan itu menggantung operasi penerbangan anak syarikatnya antara 16 Mac lalu hingga Jun depan.

“Berikutan penularan pandemik COVID-19 yang mengakibatkan sekatan perjalanan oleh beberapa negara, AirAsia Group akan melaksanakan penggantungan sementara untuk hampir semua penerbangan dalam rangkaiannya,” katanya.

Menerusi pengumuman berkenaan, anak syarikatnya bagi penerbangan jarak dekat iaitu AirAsia Malaysia (AK), menggantung sementara semua penerbangan antarabangsa dan domestik dari 28 Mac hingga 21 April ini.

AIR ASIA

Bagi AirAsia Filipina (Z2) pula, penggantungan sementara semua penerbangan bermula 20 Mac hingga 14 April, manakala AirAsia Thailand (FD) menggantung semua penerbangan antarabangsa dari 22 Mac 25 April, manakala domestik pula dari 1 April hingga 30 April.

AirAsia Indonesia (QZ) pula menggantung sementara semua penerbangan antarabangsa dari 1 April hingga 17 Mei, manakala penerbangan domestik dari 1 April hingga 21 April.

Bagi AirAsia India (I5), penggantungan semua penerbangan bermula 25 Mac untuk tempoh 21 hari berikutan langkah kerajaan India menggantung semua penerbangan domestik.

Bagi penerbangan jarak sederhana dan jauh, AirAsia X menerusi AirAsia X Malaysia (D7) menggantung sementara hampir semua penerbangan dari 28 Mac hingga 31 Mei, manakala AirAsia X Thailand (XJ) pula menggantung semua penerbangan dari 16 Mac hingga tempoh tiga bulan.

“AirAsia akan terus mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan pelanggan dan kakitangan. Justeru, kami memainkan peranan dalam membantu usaha kerajaan yang mengenakan sekatan perjalanan dan perintah kawalan pergerakan termasuk perintah kuarantin di rumah untuk mencegah penyebaran virus dan menjadikan penerbangan lebih selamat untuk semua.

“Kami akan terus memantau keadaan semasa dan bersedia untuk memulakan penerbangan kami secepat mungkin apabila keadaan bertambah baik dan tertakluk kepada kelulusan daripada pihak kawal selia,” katanya.

Bagi Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), pengendali perkhidmatan rel dari Stesen Sentral Kuala Lumpur hingga klia2 itu menggantung operasinya sehingga tempoh PKP berakhir.

ERL


Langkah itu dilaksanakan memandangkan kebanyakan syarikat penerbangan turut menangguhkan perkhidmatan sekali gus menyaksikan penyusutan ketara penumpangnya.

“COVID-19 menjejaskan keseluruhan perjalanan udara dan mereka turut menutup semua pejabat menyaksikan pengguna ERL turut terhad,” katanya.

ERL menjelaskan, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berikutnya jika tempoh PKP dilanjutkan untuk tempoh lebih lama.

Sementara itu, Malaysia Airlines berkata, syarikat penerbangan nasional itu masih beroperasi tetapi dalam kapasiti yang minimum.

Sejak 18 Mac lalu, Malaysia Airlines mengurangkan penerbangan susulan sekatan pelancongan bagi membendung COVID-19.

MALAYSIA AIRLINES

Dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini, Malaysia Airlines melakukan beberapa siri penerbangan kecemasan antaranya dari Phnom Penh, Kemboja; Dhaka, India; Australia; Indonesia; Bangladesh, Nepal dan Filipina.

“Malaysia Airlines masih meneruskan operasi bagi penerbangan domestik meskipun wujudnya kejatuhan dalam permintaan yang berada pada paras minimum,” katanya.

SUMBER: BH ONLINE/4 APRIL 2020

COVID-19: Himpunan Ketika Wabak Menyalahi Syariat - Majlis Ulama Al-Azhar



Majlis Ulama Kanan Al-Azhar bersetuju bahawa berhimpun ketika penularan wabak menyalahi syariat agama, sekali pun bertujuan ibadah.

Perkara itu dinyatakan dalam siri kedua fatwa-fatwa berkaitan penularan wabak COVID-19 yang dipaparkan dalam satu kenyataan berbahasa Arab di laman Facebook Majlis berkenaan.

Menurut kenyataan itu, memandangkan wabak ini boleh menular menerusi sentuhan fizikal, Majlis Ulama sepakat bahawa sebarang perhimpunan dan ajakan ke arahnya, termasuk berdoa beramai-ramai adalah satu kesalahan dari segi syarak.

“Sebaiknya ia dilakukan di rumah masing-masing”, kata kenyataan itu.

Majlis Ulama yang diketuai Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Ahmed el-Tayeb, itu turut meluluskan lima fatwa lain berhubung penularan wabak COVID-19, antaranya larangan menyebar spekulasi dan mempromosikan khabar angin yang tidak ditentukan kesahihannya.

“Ia perbuatan yang dikutuk dalam Islam kerana boleh menyebabkan mudarat kepada orang lain dan menimbulkan ketakutan”, katanya.

Kenyataan itu juga menyatakan orang ramai (dalam hal ini umat Islam), wajib mematuhi arahan pemerintah termasuk penutupan masjid bagi menjaga kemaslahatan umum ketika pandemik.

Majlis itu turut menegaskan larangan memonopoli barangan dan mengeksploitasi keperluan rakyat semasa pandemik dan bencana, sehingga menyebabkan kenaikan harga melampau.

Selain itu, Majlis berkenaan juga memutuskan wajib mematuhi arahan khusus kuarantin dan perintah-perintah lain yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti bagi membendung penularan wabak.

Dalam hal ini, termasuklah larangan menyembunyikan maklumat berkaitan penyakit yang hanya akan menjejaskan keselamatan petugas kesihatan.

Fatwa terakhir dalam siri kedua ini menyatakan agihan dan pembayaran zakat boleh disegerakan sebelum waktu kelazimannya dalam usaha menangani penularan wabak COVID-19 dan kesannya terhadap asnaf.

Terdahulu dalam siri pertama yang dikeluarkan pada 15 Mac, Majlis Ulama Kanan al-Azhar meluluskan fatwa harus menangguhkan solat Jumaat, termasuklah solat berjemaah di masjid, jika perlu, susulan penularan wabak COVID-19 .

Sehingga tengah hari kelmarin, media melaporkan wabak COVID-19 sudah menular ke lebih 200 negara dan wilayah, yang menyaksikan jumlah kes disahkan positif melebihi sejuta.

SUMBER: BERNAMA/5 APRIL 2020

COVID-19: 330 Juta Penduduk Amerika Dinasihatkan Pakai Topeng Muka



WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam menasihati semua penduduknya agar memakai topeng muka di tempat awam bagi melindungi diri daripada dijangkiti COVID-19 yang dikhuatiri boleh tersebar melalui pernafasan normal.

Cadangan itu seiring rekod baharu angka korban dalam sehari akibat virus berkenaan di AS membabitkan 1,480 kematian, iaitu tertinggi berbanding mana-mana negara lain sejak pandemik berkenaan tercetus, malah ia mengatasi bilangan 1,169 kes sama pada hari sebelumnya di negara ini.

Presiden Donald Trump berkata, saranan kepada seluruh 330 juta penduduk AS supaya memakai topeng muka bukan perubatan di tempat seperti kedai runcit, akan berterusan untuk ‘suatu tempoh masa tertentu’.

“Ia adalah secara sukarela. Anda tidak perlu berbuat sedemikian dan saya memilih untuk tidak melakukannya.

“Namun, sesetengah orang mungkin mahu melakukannya dan itu tidak mengapa,” katanya kepada pemberita.

Ketua Pakar Bedah AS, Jerome Adams, menjelaskan cadangan itu timbul berikutan ramai orang yang positif COVID-19 tidak menunjukkan simptom, namun memberi amaran bahawa amalan penjarakan sosial masih penting.

Pengumuman itu dibuat selepas Anthony Fauci yang mengetuai tindak balas saintifik kerajaan, menyokong penemuan baru-baru ini bahawa virus berkenaan boleh terkandung dalam wap ultrahalus yang terbentuk apabila manusia menghembuskan nafas.

Hasil penyelidikan mendapati ‘virus itu sebenarnya boleh tersebar, malah ketika orang sekadar bercakap,” kata Fauci dalam Fox News.

Akademi Sains Kebangsaan menghantar sepucuk surat ke Rumah Putih, 1 April lalu, merumuskan penyelidikan baru-baru ini berhubung perkara itu dengan menyatakan bahawa ia masih belum konklusif, namun ‘hasil berkenaan... konsisten dengan aerosolisasi virus daripada pernafasan normal’.

Sejak virus itu mula dikenal pasti di China, akhir Disember tahun lalu, pakar kesihatan memaklumkan bahawa penyebaran utamanya ialah melalui batuk dan bersin.

Cadangan itu bagaimanapun dilihat memburukkan lagi masalah kekurangan topeng muka yang sedang kritikal di AS dan Eropah di mana kedua-dua negara terbabit begitu bergantung pada import dari China.

Trump menggesa penduduk AS untuk ‘sekadar menghasilkan sesuatu’ atau menggunakan skarf untuk tujuan itu, sekali gus menjimatkan topeng muka klinikal untuk kegunaan petugas kesihatan dan pesakit.

Penularan wabak COVID-19 sudah meragut lebih 57,000 nyawa di seluruh dunia, setakat ini.

Eropah telah mencatatkan 40,000 kematian, dengan Sepanyol melaporkan lebih 900 korban dalam tempoh 24 jam lalu. 

SUMBER: AFP/ 4 APRIL 2020

TERKINI

ANALISIS | RS-2: Menuju Kuasa Ekonomi ASEAN - Selangor Mesti Jadi Negeri Kaya Peluang, Bukan Sekadar Kaya Angka

--- Penulisan Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Sumber Infografik : Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut --- Bayangkan Selangor pada tahun 2...