COVID-19: India Isytihar Perintah Berkurung Di New Delhi Dan Daerah Lain

India Lockdown

NEW DELHI: Perintah berkurung diisytiharkan di New Delhi sehingga 31 Mac ini bagi membendung penularan COVID-19, dengan polis diberi kuasa menghukum mereka yang ingkar arahan jangan keluar rumah.

Ketua Menterinya, Arvind Kejriwal, berkata sempadan dengan negeri lain turut ditutup dan khidmat pengangkutan awam dihentikan.

“Kita belajar daripada pengalaman di serata dunia bahawa kalau kita kurang keluar rumah, maka kuranglah hubungan kita dengan orang lain, sekali gus dapat menyelamatkan nyawa kita.

“Berulang kali sudah kita katakan bahawa hanya anda saja yang boleh menyelamatkan diri sendiri daripada coronavirus ini,” katanya.

Arahan perintah berkurung itu dibuat hanya beberapa jam selepas jutaan penduduk India akur kepada permintaan Perdana Menteri, Narendra Modi, supaya mereka mengasingkan diri selama sehari untuk membendung penularan COVID-19.

Kerajaan pusat India, dalam satu kenyataan semalam, mengesahkan 341 kes coronavirus, dengan tujuh kematian.

Pakar menyatakan, jumlah kes di India mirip kepada kadar yang ditunjukkan pada peringkat awal di negara terjejas teruk akibat pandemik itu, sebelum menyaksikan peningkatan ketara secara mendadak.

Walaupun pengumuman kerajaan pusat itu diminta dipatuhi secara sukarela, ia disusuli dengan tindakan mengisytiharkan perintah berkurung sehingga akhir Mac ini oleh beberapa negeri di India.

Sekurang-kurangnya 75 daerah di serata India di mana kes coronavirus disahkan kini diletakkan di bawah perintah berkurung.

Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri di New Delhi berkata kerajaan negeri mengeluarkan perintah bahawa hanya perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi di kira-kira 75 daerah berlaku kematian atau kes COVID-19 yang disahkan.

Perkhidmatan kereta api Indian Railways, yang digunakan kira-kira 25 juta penumpang sehari, membatalkan semua perkhidmatan sehingga 31 Mac ini.

Pegawai perubatan berkata kekurangan kemudahan ujian perubatan mungkin menjejaskan usaha mengetahui jumlah jangkitan di negara yang mempunyai lebih 1.3 bilion penduduk itu.

Kes COVID-19 yang disahkan di Asia Selatan termasuk India meningkat kepada 1,145 mangsa dengan 12 kematian dilaporkan.

Di Sri Lanka, yang mencatatkan lebih 80 kes COVID-19, polis menahan lebih 110 orang kerana melanggar perintah berkurung manakala Afghanistan, dengan 34 kes disahkan, melaporkan kematian pertama semalam.

Selain itu, Pakistan mencatatkan 646 kes, Bangladesh (27 kes), Maldives (13 kes), Bhutan (dua kes) dan satu kes di Nepal. 

SUMBER: REUTERS

COVID-19: Sepertiga Penduduk AS Dikenakan Perintah Berkurung

Covid-19: United States


NEW YORK: Hampir sepertiga penduduk Amerika Syarikat (AS) diletakkan di bawah perintah berkurung dengan Ohio, Louisiana dan Delaware menjadi tiga negeri terbaru, bagi mengekang pandemik COVID-19 di negara itu.

Sebelum ini perintah berkurung dikuat kuasa di New York, California, Illinois, Connecticut dan New Jersey membabitkan keseluruhan 101 juta penduduk.

AS mencatatkan 33,000 jangkitan dengan 400 kematian akibat COVID-19.

Gabenor Ohio, Mike DeWine, berkata langkah terbaru itu bagi membolehkan pandemik diperlahankan, sekali gus memberi kerajaan masa untuk merawat pesakit dengan sistem penjagaan kesihatan yang ada.

Ohio mencatatkan 351 kes dengan tiga kematian dan Louisiana pula 837 kes dengan 20 kematian di beberapa pusat penjagaan warga emas.

Gabenor Louisiana, John Bel Edwards, berkata negeri itu mencatatkan kes ketiga tertinggi per kapita yang menyaksikan pertambahan 10 kali ganda kes berbanding minggu lalu.

Perintah itu bermula tengah malam tadi dan berlanjutan hingga 6 April ini di Ohio, sementara di Louisiana bermula jam 5 petang ini sehingga 12 April dan Delaware bermula 8 pagi pada keesokan hari (Selasa).

Semalam, Datuk Bandar New York, Andrew Cuomo, berkata bandar raya itu, yang menjadi pusat epidemik coronavirus AS, menggambarkan wabak itu sebagai krisis domestik terbesar sejak Kemurungan Besar atau ‘Great Depression’.

Beliau turut mendesak Kerajaan Persekutuan mengambil alih perolehan bekalan perubatan supaya negeri tidak perlu bersaing antara satu sama lain berikutan sumber terhad.

Katanya, malapetaka itu memaksa kerajaan menggerakkan tentera bagi membantu menjaga sistem penjagaan kesihatan daripada menjadi semakin buruk.

Datuk Bandar Louisiana, Bill de Blasio pula berkata, jika tidak melaksanakan perintah ini, dalam masa 10 hari akan ada lebih ramai orang yang meninggal dunia.

Beliau mendedahkan, bandar raya itu mencatatkan 9,600 kes dan 63 kematian.

Gabenor Texas, Greg Abbot pula menyuarakan isu kekurangan peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk pekerja kesihatan, yang difahamkan penghantaran hanya boleh dibuat pada Julai depan.

Penduduk di serata dunia terpaksa menyesuaikan diri dengan realiti baru, di mana negara seperti Itali, Sepanyol dan Perancis melaksanakan perintah berkurung.

Amerika Selatan juga mengambil langkah sama menangani penularan pandemik berikutan jangkitan global melebihi 325,000 kes dan 14,000 kematian. 

SUMBER: REUTERS

Tunjuk Sijil, Insurans Kesihatan Sebelum Naik Pesawat Ke Thailand



BANGKOK: Semua pengembara yang ingin memasuki Thailand perlu mengemukakan sijil kesihatan dan insurans kesihatan, mulai 22 MAC ini sebelum menaiki pesawat ke negara itu bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Perkara itu dinyatakan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) menerusi pengumuman terbarunya.

Semalam CAAT berkata, hanya pengembara dari enam negara dan wilayah yang diklasifikasikan sebagai zon jangkitan penyakit dan 11 negara yang sedang berdepan dengan jangkitan tempatan COVID-19 perlu mengemukakan dokumen sebelum menaiki pesawat ke negara itu.

Menerusi langkah itu pengembara perlu mengemukakan sijil kesihatan tidak lebih daripada 72 jam sebelum tarikh perjalanan bagi membuktikan bebas virus itu dengan perlindungan insurans kesihatan minimum bagi COVID-19 tidak kurang daripada USD$100,000.

Bagi rakyat Thailand yang pulang ke tanah air, mereka perlu mengemukakan sijil kesihatan mengesahkan mereka boleh menaiki pesawat dan surat yang dikeluarkan oleh Kedutaan Thailand, Konsulat Jeneral atau Kementerian Luar.

“Pengembara yang gagal mengemukakan dokumen berkenaan tidak akan dibenarkan menaiki pesawat,” kata CAAT dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, penumpang perlu menyediakan maklumat mengenai alamat di Thailand dalam Borang T 8 atau borang permohonan “AOT Airport of Thailand” dan sejurus tiba di lapangan terbang, penumpang perlu mengemukakan sijil kesihatan, polisi insurans, Borang T 8 kepada pegawai kawalan penyakit berjangkit.

“Ketibaan akan tertakluk kepada pengasingan, kuarantin, diletakkan di bawah pemerhatian atau sebarang langkah lain untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit,” kata CAAT.

Setakat ini, sebanyak 272 kes COVID-19 direkodkan di Thailand dengan satu kematian sejak penularan wabak itu Januari lalu.

Thailand merekodkan peningkatan mendadak jangkitan virus itu minggu ini. Pada Khamis, sebanyak 60 kes baharu dikenal pasti - peningkatan terbesar bagi tempoh 24 jam. 

SUMBER: BERNAMA

COVID-19 Jejas Misi NASA Kembali Ke Bulan

NASA

WASHINGTON: Pandemik COVID-19 mungkin menjejaskan perancangan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) yang berhasrat mengembalikan misinya ke bulan pada 2024.

Ia susulan penutupan dua kemudahan pelancar roketnya, semalam berikutan dua kakitangannya positif wabak itu.

Pentadbir NASA, Jim Bridenstine, berkata dua stesen di New Orleans dan Pusat Angkasa Stennis berdekatan Hancock County, Mississippi ditutup akibat peningkatan kes coronavirus.

“Kami sedar ia akan memberi kesan kepada misi NASA ketika pasukan bekerja keras menganalisis gambaran penuh dan mengurangkan risiko, namun keutamaan sekarang ialah keselamatan dan kesihatan tenaga kerja,” katanya.

Penutupan stesen pelancar roket itu adalah tindakan terkini NASA yang sedang membangunkan generasi roket akan datang, dipanggil Sistem Pelancaran Angkasa (SLS) dan kenderaan kru Orion serta misi manusia ke bulan dan planet Marikh.

Bridenstine bagaimanapun tidak mengulas sehingga bila penutupan itu namun mengakui pihaknya perlu ‘menggantung sementara pengeluaran dan pengujian Sistem Pelancaran Ruang dan perkakasan Orion.’

SLS diketuai kontraktor utama, Boeing Co dilaporkan sudah beberapa tahun mengalami kelewatan yang menelan kos sebanyak AS$2 bilion (RM8.8 bilion), kini terpaksa ditangguhkan lagi susulan COVID-19 ketika jurutera sedang bertungkus-lumus menyiapkan ujian peringkat pertama pelancaran roket dalam tanah pada musim panas ini.

Selasa lalu, semua 11 pusat NASA yang ditempatkan di Tahap 3 bagi pelan kontigensi, memerlukan kakitangan bekerja dari jauh kecuali mereka yang ditugaskan untuk projek misi penting, termasuk SLS.

Bagaimanapun dua stesen, iaitu Stennis NASA dan Kemudahan Perhimpunan Michoud semalam, dinaikkan kepada Tahap 4, tahap tertinggi yang memaksa penutupan sementara, selepas ada pekerja didiagnosis virus berkenaan.

Perintah penutupan itu dilihat mengendalakan misi NSA yang mahu mengembalikan angkasawan ke bulan pada 2024, iaitu batu loncatan untuk eksplorasi manusia ke planet Marikh.

Program Apollo Amerika Syarikat dipelopori NASA sudah melengkapkan misi enam dan misi yang pertama di dunia antara bulan 1969 dan 1972. 

SUMBER: REUTERS

COVID-19: Angka Korban 3,405 Di Itali Mengatasi China



ROM: Angka kematian akibat COVID-19 di Itali meningkat mengatasi jumlah yang dicatatkan di China sekali gus berdepan kemungkinan tempoh perintah berkurung dilanjutkan.

Setakat ini, Itali mencatatkan 427 kematian sejak Rabu lalu dan angka kumulatif mencecah sebanyak 3,405 kes.

Lanjutan tempoh berkurung itu dilihat akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara itu sejak Perang Dunia kedua.

Sementara itu, jentera tentera Itali dilihat menghantar keranda baharu di tanah perkuburan di utara Itali di Bandar Bergamo.

Pengebumian hanya dilakukan dalam tempoh 30 minit bagi mengelak penyebaran wabak dalam kalangan orang ramai.

Agensi Berita Itali, ANSA melaporkan dua kematian membabitkan doktor berdekatan bandar Barat Como di Bergamo menjadikan jumlah anggota perubatan yang meninggal dunia sebanyak 13 kes.

Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte, meminta rakyatnya untuk bertindak dan mengambil langkah berhati-hati.

“Kita tidak boleh memandang remeh sebarang perkara dan perlu bertindak berdasarkan senario terburuk,” katanya.

Sementara itu, perintah larangan yang mengarahkan kesemua kedai ditutup kecuali farmasi dan pasar awam bakal tamat Rabu ini.

Bagaimanapun, Conte, berkata lanjutan terhadap perintah itu tidak dapat dielakkan.

“Kesemua langkah yang diambil, termasuk menutup semua premis perniagaan dan menghalang pergerakan orang ramai, perlu dilanjutkan.

“Pada saat ini, tiada lagi langkah pencegahan lain yang boleh dipertimbangkan. Namun, sekiranya perintah kami tidak dihormati, maka, kita akan bertindak,” katanya.

Itali turut mengenakan denda 206 Euro kepada sesiapa yang didapati berada di kawasan terbuka tanpa alasan kukuh antaranya mendapatkan barang keperluan atau pergi dan pulang dari kerja.

Sementara itu Kesatuan Pengusaha Pelancongan, berkata jumlah pelancong yang masuk ke negara itu menurun kepada tahap yang dilihat pada pertengahan 1960.

Bagaimanapun Conte berkata, terdapat hikmah di sebalik krisis yang dihadapi.

“Amaran ekonomi yang dihadapi memaksa Menteri melakukan usaha terbesar untuk memudahkan proses pelaburan.

“Ini adalah sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh sesiapa di Itali,” katanya. 

SUMBER: AFP

Covid-19: 500 Juta Penduduk Di Seluruh Dunia Terlibat Perintah Kawalan Pergerakan

Lockdown

PARIS: Kira-kira 500 juta orang terbabit dalam langkah kawalan pergerakan di seluruh dunia berikutan COVID-19 yang bermula di China sebelum merebak ke seluruh dunia, menurut AFP.

Dari China ke Republik Czech ke Venezuela, kerajaan memberitahu rakyatnya untuk tinggal di dalam rumah sebagai langkah melewatkan penyebaran pandemik.

Ini berikutan virus itu yang bermula di Wilayah China, di Hubei dan Wuhan, akhir tahun lalu.

Kuarantin masih berkuat kuasa di sana, tetapi sekatan pergerakan berkurangan pada 14 Mac lalu membabitkan lebih daripada 50 juta penduduk di wilayah berkenaan.

Sekurang-kurangnya lapan negara lain mengikut langkah China bagi menguatkuasakan perintah sama, iaitu Itali dimulakan sejak 10 Mac, Sepanyol (14 Mac), Lebanon (15 Mac), Republik Czech (16 Mac), Perancis, Israel dan Venezuela (17 Mac) dan Belgium, semalam.

Itu bererti 240 juta orang di lapan negara terbabit diwajibkan tinggal di rumah.

Di kebanyakan tempat ini ada juga yang keluar rumah untuk membeli keperluan asas dan mendapatkan rawatan kesihatan.

Beberapa negara telah mengambil langkah sama termasuk Bulgaria yang meletakkan bandar perang, ski Bansko juga melakukan kuarantin.

Mesir juga melakukan pengurungan semua pekerja di kawasan pelancongan Laut Merah.

Penduduk di bandar raya Colombia Bogota akan menjalani percubaan latihan pengasingan mulai esok hingga 23 Mac ini, yang mungkin kemudian untuk melakukan kuarantin penuh.

Sekurang-kurangnya empat negara di Austria, Britain, Jerman dan Iran - telah mendesak orang mengehadkan pergerakan dan berjumpa dengan orang ramai bagi memastikan angka korban membabitkan virus itu dapat dikurangkan.

Keempat-empat negara terbabit mempunyai kepadatan penduduk sekitar 240 juta orang.

Di Iran pihak berkuasa mengadu walaupun ada amaran, tetapi bazar penuh, pada Jumaat lalu.

Selain itu, sekurang-kurangnya enam negara atau wilayah mengenakan perintah berkurung yang melarang pergerakan pada waktu malam iaitu membabitkan Tunisia, Bolivia, Serbia, Amerika Syarikat di New Jersey dan Puerto Rico, dan Manila, Filipina.

Wilayah ini mempunyai lebih daripada 50 juta penduduk. 

SUMBER: AFP

COVID-19: Individu Darah A Lebih Berisiko Dijangkiti?



BEIJING: Kajian awal dari China mendapati individu mempunyai darah A dipercayai lebih mudah terdedah kepada COVID-19, berbanding mereka yang berdarah O.

Hasil kajian mendapati, sebahagian besar pesakit dari Wuhan dan Shenzhen, China yang dijangkiti dan meninggal dunia adalah dari kumpulan pesakit darah A.

Hanya sebilangan kecil daripada pesakit berdarah O yang dijangkiti meninggal dunia akibat serangan virus itu.

"Pesakit dalam kumpulan darah A dinasihatkan untuk meningkatkan daya tahan tubuh bagi mengurangkan risiko dijangkiti," menurut penyelidik di Pusat Perubatan yang berpangkalan, di Wuhan, China.

Pasukan yang diketuai Wang Xinghuan, bagaimanapun berkata, kajian itu masih di terlalu awal dan lebih banyak kajian perlu dilakukan bagi membuktikan kesahihannya.

Kajian yang diterbitkan di Medrxiv.org itu membandingkan lebih 2,173 jenis darah yang disahkan mempunyai kes positif COVID-19, di Wuhan dan Shenzhen dengan 3,694 penduduk yang bebas daripada virus itu di sekitar Wuhan.

Ia menunjukkan lebih 31.16 peratus penduduk Wuhan mempunyai darah jenis A dan kajian di Hospital Wuhan Jinyintan, mendapati 37.75 pesakit COVID-19 di hospital itu mempunyai darah jenis sama.

Sampel darah yang sama juga menunjukkan 25.8 peratus mempunyai darah jenis O berbanding 33.84 peratus daripada keseluruhan populasi.

Hasil kajian itu juga mendapati 206 pesakit meninggal akibat virus itu, selain 85 pesakit atau 41.26 peratus adalah daripada kumpulan darah A dan 52 kematian daripada individu berdarah O.

Bagaimanapun, saintis yang tidak terbabit dalam kajian itu memberitahu South China Morning Post bahawa lebih banyak sampel darah perlu diambil bagi membantu pakar perubatan.

"Sekiranya anda dari kumpulan darah A, tidak perlu panik. Ia tidak bermaksud anda akan dijangkiti 100 peratus," menurut Gao Yingdai, penyelidik yang berasal dari Tianjin.

"Ia tidak bermakna individu berdarah O juga selamat, anda masih perlu mencuci tangan dan mengikuti garis panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa," katanya.

Setakat ini, lebih 196,000 kes COVID-19 dilaporkan di seluruh dunia dan lebih 7,800 kematian berkaitan virus itu. 

SUMBER: AGENSI

Covid-19: Fatwa Tidak Laksana Solat Jumaat dan Jamaah Di Masjid

Suasana di Masjidil Haram ekoran Covid-19. Foto Sumber: Haramain Sharifain


Fatwa Kesatuan Antarabangsa Ulama Umat Islam Berkaitan Tidak Didirikan Solat Jumaat dan Solat Jamaah di Masjid-Masjid

Sumber: http://www.iumsonline.org/ar/ContentDetails.aspx?ID=11084

Terjemahan oleh Bin Sahak:
https://www.facebook.com/492407374275152/posts/1459942774188269/
--------------------------------------

بسم الله الرحمن الرحيم

Fatwa bilangan (1) Berkaitan Wabak Korona

Kesatuan Antarabangsa Ulama Umat Islam menyeru dihentikan perlaksanaan solat Jumaat dan solat jamaah di negara mana sekalipun yang berlaku penularan wabak Korona sehingga menumbulkan kebimbangan sebenar berdasarkan laporan perubatan yang dipercayai dan diluluskan oleh pemerintah, sehinggalah wabak berjaya dikawal.

Dunia dikejutkan dengan penularan virus Korona: Covid-19 yang berlaku secara mendadak yang disifatkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebagai wabak global. 

Dengan sebab wabak pemusnah ini boleh berpindah (menjangkiti) dari seorang yang didapati positif kepada orang lain dalam semua bentuk aktiviti yang melibatkan percampuran ramai, bersua muka (saling berjajaran) dan bersentuhan. 

Maka semua majlis berbentuk pertemuan dan perhimpunan menjadi sebab kemungkinan berlaku jangkitan virus, penyakit dan kemerbahayaan.

Umat Islam di suluruh dunia bertanya hukum tentang solat Jumaat dan solat jamaah yang dilakukan di masjid dalam situasi sekarang. Apakah hukumnya kekal seperti asal atau apakah boleh meninggalkan solat jamaah dan solat Jumaat dan juga berkaitan hukum-hakam yang lain.

Maka jawapannya:

1. Dalam firman Allah Taala (bermaksud): "dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan, berbuat baiklah, sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berbuat baik." (alBaqarah: 195) Ayat ini melarang mendedahkan jiwa kepada sesuatu yang boleh membinasakan, tanpa ada keterpaksaan, bahkan firmanNya ini memerintahkan sebaliknya, iaitulah agar berbuat baik yang disukai dan diredhai Allah.

2. Dalam sabda Nabi SAW, dari Ibn 'Abbas RA, baginda bersabda: "tiada kemudaratan ke atas diri sendiri dan orang lain." Ia merupakan tegahan umum dari menjadi sebab apa-apa kemudharatan kepada diri sendiri dan orang lain.

3. Dalam sabda baginda SAW juga drpd Ibn 'Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang makan dari tumbuhan ini (bawang putih), maka jangan dia hampiri masjid kita (jangan hadir solat berjamaah)."

Semua dalil-dalil ini dan selainnya memberi bimbingan dan bukti jelas bahawa perlaksanaan solat jamaah dan solat Jumaat dalam ruang benar-benar berkemungkinan dan kukuh boleh mendatangkan bahaya yang dimaksudkan, (maka menjadi) tidak dituntut lagi pada syarak (solat Jumaat dan solat jamaah) dan tidak boleh (dilaksanakan).

Bahkan hadis nabawi yang terakhir tadi melarang orang yang berbau busuk dr memasuki masjid, agar dia tidak menyakiti jemaah solat lain dgn baunya yang busuk. Maka bagaimana pula dengan sesiapa yg boleh menjadi sebab mendatangkan penyakit atau kematian kepada mereka (jemaah lain) atau (dengan perhimpunan itu) boleh mendatangkan mudharat ke atas dirinya sendiri.

Antara yang mengukuhkan perkara (tegahan) yang dinyatakam sebelum ini iaitulah para jemaah solat ketika menunaikan solat dituntut supaya saling merapat dan bersentuhan, wajah dan muka mereka saling sejajar dan saling berkongsi pernafasan.

Selain itu, setiap orang dari mereka terdedah kepada batuk dan bersin pada bila-bila sahaja, dia pula saling bersentuhan dengan orang di sebelahnya kanan dan kiri, jadilah kemungkinan-kemungkinan jangkitan virus ketika itu benar-benar mungkin boleh berlaku.

Sebagai mempraktikkan dalil-dalil syarak yang dinyatakan dan firman Allah Taala: "dan saling tolong-menolonglah kamu dalam kebaikan dan taqwa." (alMaidah: 2)

Kesatuan Antarabangsa Ulama Umat Islam menyeru umat Islam seluruhnya agar menghentikan perlaksanaan solat Jumaat dan solat jamaah di mana sahaja negeri yang mula dilanda penularan wabak sehingga menimbulkan ketakutan sebenar berdasarkaan kepada laporan perubatan yang dipercayai dan diluluskan dari pihak pemerintah. 

Menghentikan aktiviti solat Jumaat dan solat jamaah ini berterusan sehinggalah wabak dapat dibendung dari menular dan bahaya menurut perakuan agensi-agensi pihak berautoriti.

19 Rejab 1441H bersamaan 14 Mac 2020M
Dr. Alu Muhyiy alDin alQurah Daghi.
SU Agung Kesatuan Antarabangsa Ulama Umat Islam

Dr. Ahmad Abd alSalam alRaisuni.
Presiden Kesatuan Antarabangsa Ulama Umat Islam

COVID-19: Bagaimana China Berjaya Turunkan Jumlah Jangkitan Secara Mendadak

2 days ago

INISIATIF kerajaan China dalam membendung penularan wabak COVID-19 sehingga angka jangkitan virus berkenaan di negara itu berhasil ‘dikawal’ boleh dianggap suatu kejayaan.


Walaupun wabak itu masih mencatatkan peningkatan di seluruh dunia, China sebaliknya berjaya mengawal penularan itu.

Setakat ini, China merekodkan sejumlah 81, 029 kes, dengan peningkatan sebanyak 22 kes sejak Sabtu.

Berdasarkan statistik, ia jauh lebih kecil berbanding peningkatan dalam tempoh 24 jam di Britain dengan 208 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Penutupan seluruh bandar

China telah melakukan kerja-kerja pembendungan terbaik dengan mengisytiharkan darurat ketat pada 23 Januari lalu di Wuhan serta 15 bandar lain di wilayah Hubei bagi mengekang wabak itu daripada terus menular.

Seramai 56 juta penduduk terkesan dengan pengisytiharan itu di mana semua pintu pengangkutan awam (bas, keretapi, penerbangan dan feri), premis perniagaan, kilang-kilang, pejabat serta sekolah turut ditutup rapat.

Malah, petugas kesihatan turut dikerahkan dari seluruh China hanya untuk membantu merawat pesakit yang dijangkiti virus pembunuh itu.

Covid-19

Pembinaan dua hospital

Dua hospital juga dibina hanya dalam masa dua minggu bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat setiap hari.

Bukan sahaja langkah pembendungan dilakukan di negara itu, malah usaha pengawalan dan pengawasan turut dipertingkat dari semasa ke semasa.


Makluman di media sosial

Pihak kerajaan turut menggunakan platform media sosial serta aplikasi mudah alih bagi mengawasi pergerakan di kawasan yang dikategorikan mengikut warna iaitu hijau, kuning dan merah.


Proses nyahkuman yang kerap

Setiap jalan dan bangunan turut dibersihkan dengan penyemburan cecair pembasmi kuman yang dilakukan dengan kekerapan yang maksimum.



Topeng muka diwajibkan

Semua rakyat turut diwajibkan memakai topeng muka jika menaiki teksi atau ke pasar raya untuk mendapatkan bekalan makanan dengan kerja-kerja bacaan suhu turut menjadi kewajipan semasa memasuki sesebuah bangunan.


Pergerakan dipantau

Selain itu, seluruh kejiranan turut dikawal oleh penguat kuasa yang melakukan rondaan serta pemeriksaan keluar masuk terhadap pelawat yang berkunjung ke sesebuah kawasan perumahan.


Penguatkuasaan ketat

China juga turut memperketat sistem pengkuatkuasaan tentera dan polisnya dengan menahan serta mengurung individu yang melanggar kesalahan di kala penularan wabak tersebut.


Pesanan khidmat masyarakat

Bagi langkah pencegahan, pesanan khidmat masyarakat juga sering disebar luas kepada orang awam dengan mengalakkan mereka mencuci tangan dengan lebih kerap dan mengurangkan perjalanan agar tidak membebankan penguat kuasa kesihatan.

SUMBER: AGENSI/ ASTRO AWANI

TERKINI

ANALISIS | RS-2: Menuju Kuasa Ekonomi ASEAN - Selangor Mesti Jadi Negeri Kaya Peluang, Bukan Sekadar Kaya Angka

--- Penulisan Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Sumber Infografik : Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut --- Bayangkan Selangor pada tahun 2...