Gelombang Panas: Tengah Dan Timur Kanada Alami Bahang Melampau

Environment Canada issued a special weather statement earlier this week warning of extreme temperatures this weekend. (Radio-Canada)


CUACA EKSTREM: TORONTO: Enam maut di Montreal akibat gelombang haba yang menyebabkan bandar itu bertindak menggubal satu pelan kecemasan, lapor saluran CBC News semalam.

Kebanyakan kawasan tengah dan timur Kanada mengalami cuaca panas, lembap selama beberapa hari, menyebabkan pegawai kesihatan Montreal menaikkan tahap tindakan kepada 'bertindak' daripada 'berjaga-jaga' susulan peningkatan panggilan aduan ke talian maklumat kesihatan kerajaan serta ambulans.

Agensi Alam Sekitar Kanada mengeluarkan amaran haba di selatan Quebec, yang termasuk Montreal.

Pengarah kesihatan awam Montreal, Dr Mylene Drouin dipetik CBC News sebagai berkata, pihak berkuasa mahu mengelak berulangnya panas melampau di Montreal pada 2010 yang menyebabkan 106 maut.

Datuk Bandar, Valerie Plante berkata, pihaknya sudah mengagihkan 17,000 liter air kepada organisasi yang menyelenggara gelandangan dan melajutkan tempoh operasi kolam renang serta penggunaan tikar air.

Plante berkata, sebagai sebahagian daripada rancangan bandar itu, anggota bomba dan polis akan mengunjungi kira-kira 5,000 kediaman di Montreal. Setakat ini mereka sudah memeriksa 1,300 rumah.

SUMBER: REUTERS

TM Bakal Lancar UNIFI Mampu Milik Bawah RM100

Foto Sumber: Lowyat.net


BISNES: Telekom Malaysia Bhd (TM) akan melancarkan pakej unifi mampu milik khusus untuk segmen B40 dengan kelajuan 30Mbps kurang dari RM100 bermula 15 Julai ini.

Pemangku Ketua Pegawai CEO TM, Datuk Bazlan Osman, berkata tawaran itu 40 peratus lebih rendah daripada harga pakej 30Mbps ketika ini iaitu RM199.

"Pengenalan pelan jalur lebar baharu ini dalam usaha berterusan syarikat menawarkan perkhidmatan jalur lebar mampu milik, sebagai menyokong aspirasi kerajaan untuk mengurangkan harga perkhidmatan jalur lebar pada akhir tahun ini.

"Pelan baharu ini juga bagi memperkukuhkan kedudukan kumpulan sebagai peneraju pasaran dan merealisasikan aspirasi jalur lebar dari segi harga, kepantasan dan liputan," katanya pada sidang media di sini, hari ini, lapor BH ONLINE.

Pada majlis itu, TM juga mengumumkan pelan unifi turbo yang menawarkan kelajuan jalur lebar dua kali ganda berbanding ketika ini.

Foto Sumber: Amanz

Katanya, TM akan menaik taraf kelajuan pelanggan unifi sedia ada secara berperingkat kepada lebih dua kali ganda tanpa tambahan kos bermula 15 Ogos ini.

"Sementara pelanggan baharu yang melanggan pelan unifi sedia ada sebelum 31 Disember akan dinaik taraf mulai 2019," katanya.

TM turut melancarkan semula pelan pasca bayar tanpa had unifi Mobile khusus untuk pelanggan jalur lebar sedia ada mulai 15 Julai ini.

Bulan lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengunumkan harga perkhidmatan jalur lebar di Malaysia dijangka turun sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang hujung tahun ini.

Penurunan harga itu berikutan pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Penetapan Harga Akses (MSAP) pada 8 Jun lalu berkuat kuasa 1 Januari 2018, yang mengenakan harga siling borong bagi pembekal kemudahan dan perkhidmatan digunakan syarikat telekomunikasi di pasaran.

Penurunan harga borong itu kelak akan turut mengurangkan harga pasaran jalur lebar bagi pengguna.

SUMBER: BH ONLINE

Sifar GST: Harga Kereta Rendah Sehingga September

Foto Sumber: HONDA


BISNES & DUNIA PERMOTORAN: KUALA LUMPUR: Harga kenderaan pada kadar sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang rendah ketika ini hanya akan dinikmati sehingga pelanggan menerima kenderaan atau invois dikeluarkan sebelum 18 September 2018, iaitu tarikh pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata bagi mengelakkan kesulitan, pembeli disaran untuk membuat tempahan awal bagi memiliki kereta idaman dalam tempoh kadar GST kepada sifar yang berakhir September ini.

"Kita nasihatkan buat tempahan (kenderaan) awal untuk mengelakkan sebarang masalah timbul dan pelanggan tidak dapat menikmati harga rendah sebanyak enam peratus daripada harga asal.

"Perlu diingatkan bahawa, harga kenderaan akan tertakluk kepada SST jika waktu serahan atau invois dikeluarkan selepas sistem percukaian ini dilaksanakan," katanya kepada NSTP.

Aishah berkata, tempoh kadar sifar GST atau disifatkan pemain industri automotif sebagai tempoh cuti cukai menyaksikan permintaan terhadap kenderaan melonjak sehingga melebihi penawaran atau stok yang dimiliki pengeluar kenderaan.

Katanya, MAA dimaklumkan oleh sebahagian ahlinya bahawa stok yang dimiliki mereka tidak dapat menampung permintaan tinggi pelanggan yang mahu memanfaatkan peluang memiliki kenderaan pada harga lebih rendah dalam tempoh tiga bulan ini.

"Situasi ini dihadapi oleh ahli MAA. Pihak persatuan tidak dapat mencadangkan ahli untuk melanjutkan tawaran harga sifar GST selepas pelaksanaan SST pada September ini.

"Kita tidak boleh minta kerana ia tertakluk kepada Akta Anti Persaingan. Namun, bergantung kepada peserta industri untuk menentukan keistimewaan bagaimana untuk menarik pembeli. Kita tidak paksa atau desak," katanya.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin, berkata Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) sedang berusaha memenuhi permintaan pelanggan sepanjang tempoh kadar sifar GST.

Beliau berkata, pembeli akan diberitahu tempoh jangkaan penghantaran akan dibuat dan jika pendaftaran serta penghantaran hanya dapat dibuat selepas tamat tawaran sifar GST, mereka akan dimaklumkan terdapat perubahan harga.

"Bagaimanapun, harga baharu masih belum dapat ditentukan sekarang tanpa pengumuman kadar SST daripada kerajaan. Contohnya, jika merujuk kepada kadar SST sebelum GST, pasti akan ada peningkatan harga pada kereta yang dibeli.

"Kenaikan harga tidak dapat dielakkan tetapi untuk model model tertentu. Jika tempahan dibuat sekarang, masih ada peluang untuk menikmati kadar GST sifar.

"Untuk model Myvi, status terkini harus dirujuk ke bilik pameran sah Perodua. Pembeli dinasihatkan untuk tidak membuat urusan pembelian melalui orang tengah untuk mengelakkan salah faham," katanya.

Zahari berkata, PERODUA sedang menunggu pengumuman rasmi dari pihak kerajaan mengenai kadar GST dan sehingga itu tiada penetapan boleh dibuat.

"Masih belum ada pengumuman rasmi dari kerajaan mengenai kadar sebenar SST. Memang ada perbincangan awal antara pihak berkuasa dan pihak industri mengenai kaedah SST tetapi tidak disebut jumlah SST yang akan dikenakan nanti," katanya.

Foto Sumber: Careta


Bagi Honda Malaysia, dalam tempoh sifar GST, tempahan untuk semua model Honda amat memberangsangkan menyaksikan untuk model tertentu, tempoh menunggu meningkat sehingga tiga hingga empat bulan.

Katanya, tempoh serahan selepas SST dilaksanakan menyaksikan harga kenderaan jenama itu tertakluk kepada cukai berkenaan.

SUMBER: BH ONLINE

CEO Astro Letak Jawatan Berkuat Kuasa 31 Januari 2019



Foto Sumber: ASTRO


BISNES: Astro Malaysia Holdings Bhd. (Astro) mengumumkan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Rohana Rozhan berkuat kuasa 31 Januari 2019.

Menurut Astro, di bawah pentadbiran beliau, pelanggan Astro meningkat daripada dua juta kepada 5.5 juta orang, manakala perolehan berkembang daripada RM1.79 bilion kepada RM5.53 bilion bagi tahun kewangan ber­akhir 31 Januari 2018.

“Jawatan Rohana akan diambil alih oleh Ketua Pegawai Kandungan dan Pengguna Kumpulan Astro, Henry Tan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Astro menegaskan bahawa syarikat berkenaan bukan syarikat milik kerajaan (GLC) mahupun syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC).

"Pelantikan kakitangan eksekutif Astro tidak terlibat dengan sebarang pelantikan kerajaan atau politik," kata Astro. 

SUMBER: ASTRO

Airasia Alu-Alukan Pihak Berminat Bina LCCT

Foto Sumber: Flickr


 DUNIA PENERBANGAN: SEPANG: AirAsia berkata, ia mengalu-alukan cadangan pembangunan terminal penerbangan tambang murah (LCCT) di Sepang daripada mana-mana pihak, sama ada tempatan atau asing.

Pengerusi Eksekutif AirAsia Group Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun, berkata mana-mana pihak, sama ada individu, kerajaan negeri malah Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), boleh mengemukakan cadangan.

"Sebagai penyokong kuat LCCT, syarikat penerbangan ini akan bekerja dengan mana-mana pihak yang boleh membina terminal tambang murah untuk mereka," katanya.

"AirAsia semacam sudah berputus asa untuk memiliki lapangan terbang. Syarikat penerbangan ini sudah berpindah ke empat lapangan terbang sejak AirAsia memulakan operasi, dan ia tidak seperti berpindah rumah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan penajaan bersama AirAsia-Alisports ASEAN World Electronic Sports Games di ibu pejabat AirAsia di sini, 29 JUN 2018.

Kamarudin diminta mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, semalam yang mana sebarang cadangan untuk membangunkan terminal penerbangan tambang murah bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur perlu mengemukakannya semula sebagai cadangan baharu kerana cadangan sebelum ini yang dikemukakan tahun lepas adalah kepada kerajaan terdahulu.

Menurut laporan media, Citaglobal Airports Sdn Bhd, melalui Pengarahnya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, mencadangkan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, melalui surat bertarikh 24 November, 2017, pembinaan LCCT baharu yang boleh memuatkan lebih ramai bilangan penumpang, terutama dengan kewujudan Zon Perdagangan Bebas Digital.

Pada 2014, AirAsia memindahkan operasinya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dari LCCT di Sepang selepas lapan tahun beroperasi di sana.

SUMBER: BERNAMA

AirAsia Taja WESG Kembangkan Potensi E-Sukan


Foto Sumber: Tilt Report


BISNES & DUNIA ONLINE: Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd. (AirAsia) menjadi penaja utama di ASEAN bagi penerbangan rasmi untuk Pertandingan Sukan Elektronik Dunia (WESG) bagi musim baharu 2018/2019.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun berkata, sebagai sebuah syarikat digital yang inovatif pihaknya berbangga dapat menjadi penaja utama dan berharap dapat memberi sumbangan terhadap perkembangan sukan elektronik (e-sukan).

Foto Sumber: jioplaygame.com

“WESG merupakan kejohanan e-sukan antarabangsa yang dianjurkan oleh Alisports iaitu cabang kepada syarikat Kumpulan Alibaba.

“Kerjasama ini yang turut melibatkan syarikat Agri Mind Sdn. Bhd. termasuk dalam penyediaan penerbangan, media dan hadiah wang tunai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran AirAsia dan Alisports bagi membawakan WESG ke ASEAN di ibu pejabat AirAsia RedQ di sini.

Menurut Kamarudin, dari segi peminat e-sukan, ASEAN mencatatkan jumlah peminat yang banyak iaitu kira-kira 9.3 juta orang dan jumlah itu dijangka meningkat sebanyak 36.1 peratus pada setiap tahun hingga tahun hadapan.

Sehubungan itu, Kamarudin berkata, pihaknya percaya menerusi penajaan tersebut akan meletakkan syarikat penerbangan itu di barisan hadapan sebagai penyumbang kepada perkembangan e-sukan di rantau ini.


SUMBER: UTUSAN ONLINE

TAQS: AIR ASIA, WESG. ALI BABA.COM

Peranti Keselamatan Peribadi Celcom Pastikan Dapat Bantuan Kecemasan


Foto Sumber: Techave


BISNES: Celcom Axiata Berhad (Celcom) memperkenalkan SafeMate iaitu peranti keselamatan peribadi yang membolehkan pengguna memohon bantuan kecemasan walau berada di mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Perniagaan Celcom, Azwan Khan Osman Khan berkata, peranti itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan pengguna boleh mendapatkan bantuan kecemasan dengan hanya satu klik sahaja.


Jelas beliau, SafeMate akan memberi amaran res­ponden pertama ke lokasi mereka untuk mendapatkan bantuan segera walaupun telefon mereka dikunci.

“Penggunaan peranti ini digabungkan bersama aplikasi keselamatan React Mobile. Pengguna boleh muat turun aplikasi ini di telefon bimbit mereka dan terus berhubung dengan SafeMate sepanjang masa melalui Bluetooth.

“Untuk masa terhad semua pengguna pasca bayar Celcom boleh mendaftar SafeMate dengan bayaran pendahuluan sebanyak RM240 dan menikmati tawaran pelanggan terawal pada harga RM9.80 untuk 12 bulan termasuk jaminan satu tahun bagi peranti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Foto Sumber: CELCOM

Tambah Azwan Khan, apabila diaktifkan peranti akan mengeluarkan isyarat kecemasan ke pusat panggilan kecemasan yang beroperasi selam 24 jam dan tujuh hari seminggu diikuti dengan pengesahan oleh pengguna mengenai keadaan kecemasan.

Menurutnya, sekiranya tidak ada tindak balas daripada pengguna, pusat panggilan kecemasan akan memaklumkan kepada kenalan kecemasan yang te­lah didaftarkan oleh pengguna.

Katanya lagi, pihak berkuasa tempatan seperti polis, akan dihubungi jika tiada maklum balas selepas kenalan kecemasan dihubungi.

Foto: Astro Awani

“SafeMate juga dilengkapi dengan ciri penjejak Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) masa nya­ta yang membolehkan ahli keluarga atau kawan terpi­lih mengesan pengguna dan menerima pemberitahuan segera pada bila-bila masa.

“Peranti ini boleh didapati di semua kedai Blue Cube Celcom di seluruh negara. Untuk mengaktifkan SafeMate pelanggan dikehendaki memasang aplikasi keselamatan React Mobile yang boleh dimuat turun daripada App Store dan Google Play,” ujarnya.

SUMBER: UTUSAN ONLINE

TAGS: Safe Mate, Celcom, Blue Cube


'Ads Transparency Center’ Twitter Pastikan Iklan Dipapar Telus



Twitter Lancar Pusat Ketelusan Iklan
  
NEW YORK: Bagi membolehkan pengguna Twiter melihat semua iklan yang diletakkan dalam media sosial berkenaan Twitter Incorporation pada 28 JUN melancarkan ‘Ads Transparency Center’.

Langkah itu dibuat selepas Twitter berdepan dengan tindakan undang-undang Amerika Syarikat (AS) berhubung maklumat tidak lengkap mengenai perbelanjaan iklan dalam media sosial berkenaan terutamanya berkaitan kempen politik di negara ini, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Kewujudan pusat iklan itu juga dilihat sebagai satu daripada usaha untuk membolehkan pengguna Twitter mengenal pasti sama ada iklan yang diletak dalam media sosial itu adalah iklan kempen politik dan siapa yang membayar mereka untuk memasukkan iklan tersebut.

Pusat iklan tersebut turut membenarkan penggunanya mengakses beberapa maklumat termasuk data sasaran demografik dari kumpulan pengiklan politik AS beserta maklumat pembayaran dan jumlah kos perbelanjaan iklan terbabit.

Menerusi satu blog, Twitter memaklumkan bahawa pusat iklan itu akan menyenaraikan semua pengiklan di seluruh dunia, namun buat masa kini, ia hanya melibatkan iklan kempen politik kerajaan AS.

Dalam pada itu, Facebook Incorporation juga mengambil langkah yang sama dengan membenarkan penggunanya melihat senarai semua iklan kempen yang aktif sama ada berkaitan dengan politik atau sebaliknya.

Selain itu, pengguna Facebook turut boleh melihat rekod daftar perubahan nama iklan yang dibuat dalam media sosial tersebut.

Kemudahan itu dijangka dapat membantu pengguna mengesan sebarang penyalahgunaan dalam Facebook. 

SUMBER: REUTERS



Zeti Dilantik Pengerusi Kumpulan PNB Baharu



DUNIA BISNES & PELABURAN: Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang baharu berkuat kuasa 1 Julai ini.

Perlantikan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia itu berikutan persaraan Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi Kumpulan PNB dan Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) berkuat kuasa 30 Jun 2018.

Lembaga Pengarah PNB juga mengumumkan bahawa Datuk Dr Awang Adek Hussin akan bersara sebagai Pengarah PNB dan Pengerusi PNB Research Institute Sdn Bhd berkuat kuasa 30 Jun.

Sementara itu, YPB juga mengumumkan Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) telah memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih jawatan Pengerusi YPB berkuat kuasa 28 Jun.

Lanjutan pelantikan itu, komposisi Lembaga Pemegang Amanah YPB juga diubah untuk merangkumi Menteri Hal Ehwal Ekonomi , Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, (juga dilantik sebagai Pengerusi Alternatif YPB), Zeti dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan PNB, Lembaga Pengarah YPB dan PNB mengalu-alukan pelantikan Zeti yang juga anggota Majlis Penasihat Kerajaan itu dan yakin dengan pengalaman yang meluas, beliau akan terus memberikan kepimpinan yang kukuh kepada Kumpulan PNB dalam mencapai mandat asasnya untuk memperkasakan kekayaan korporat demi manfaat rakyat Malaysia.

Lembaga Pengarah PNB juga mengucapkan terima kasih kepada Abdul Wahid atas sumbangan yang tidak ternilai dan khidmat penuh dedikasi sebagai Pengerusi Kumpulan PNB.

PNB menghargai kepimpinan Abdul Wahid dan bimbingan yang diberikannya kepada Lembaga Pengarah dan Pihak Pengurusan PNB serta syarikat pelaburannya sejak pelantikan beliau pada Ogos 2016.

Semasa di PNB, Abdul Wahid telah mengukir pelan hala tuju untuk PNB demi mencapai tiga amanah mandat yang komprehensif; menghasilkan pulangan yang mampan dan lebih baik untuk portfolio PNB, meningkatkan kekayaan dan penyertaan ekonomi Bumiputera, dan menyalurkan sebahagian daripada keuntungan PNB kepada inisiatif-inisiatif yang menyampaikan impak sosial kepada masyarakat.

Lembaga Pengarah juga mengucapkan terima kasih kepada Awang Adek atas segala sumbangan selama tempoh perkhidmatan beliau bersama Kumpulan PNB.

PNB adalah syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia dengan aset di bawah pengurusan kini mencapai RM280 bilion.

Portfolio PNB merangkumi pelaburan-pelaburan strategik di syarikat korporat terkemuka Malaysia, ekuiti global, pelaburan swasta dah hartanah.

SUMBER: BH ONLINE

TERKINI

ANALISIS | RS-2: Menuju Kuasa Ekonomi ASEAN - Selangor Mesti Jadi Negeri Kaya Peluang, Bukan Sekadar Kaya Angka

--- Penulisan Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Sumber Infografik : Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut --- Bayangkan Selangor pada tahun 2...