Turki tawar diri ketuai jadi pembela Baitulmaqdis



OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 10 DIS: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menegaskan untuk terus memperjuangkan hak kemanusiaan yang tertindas di seluruh dunia.

Agensi Berita Turki ANADOLU NEWS AGENCY melaporkan Erdogan menyatakan kesungguhan demikian sempena Hari Hak Asasi Manusia Sedunia yang disambut di seluruh dunia pada 10 Disember setiap tahun.

Katanya, Kerajaan Turki bersama-sama dengan mereka yang tertindas sama ada di Palestin sehingga ke Syria, dan dari Afrika sehingga ke Asia.

Erdogan juga menawarkan diri untuk mengetuai dunia Islam dalam tindak balas terhadap keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Erdogan yang sering menonjolkan dirinya sebagai juara pembela Palestin, menentang keras tindakan Presiden Donald Trump itu selepas beliau membuat pengumuman minggu ini.

Beliau turut menyifatkan bahawa sebarang usaha mengiktiraf bandar yang terletak di timur Palestin itu sebagai ibu negara Israel menjadi satu ‘garisan merah’ kepada umat Islam.

Presiden Turki itu berkata, beliau akan menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengadakan sidang kemuncak negara-negara Islam.

OIC yang merupakan sebuah pertubuhan diasaskan pada tahun 1969 selepas satu serangan ke atas Masjidil Aqsa di Baitulmuqaddis kini membuka peluang kepada Erdogan untuk menonjolkan kedudukannya sebagai pe­mimpin Islam.

Sementara itu sumber Istana Presiden Turki memberitahu hubungan antara Turki dan Perancis diperkukuhkan dalam isu Baitul Maqdis.

Dalam hubungan telefon kedua-dua pemimpin tertinggi negara itu prihatin dengan perkembangan terkini keputusan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara rejim Zionis.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Turki mengecam tindakan rejim Zionis yang mengenakan tindakan kekerasan terhadap penduduk Palestin yang menentang keputusan polisi Amerika Syarikat.

"Kami sangat sedih dan bimbang tentang kehilangan empat nyawa dan kecederaan ratusan orang Palestin akibat campur tangan tentera Israel terhadap Palestin yang membantah wilayah diduduki berikutan pengumuman ke atas Jerusalem bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan semua yang berkaitan Keputusan PBB.

"Kami mengutuk penggunaan kekuatan yang tidak seimbang oleh Israel," katanya.



TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...