KUALA LUMPUR - Keputusan perbicaraan kes Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat perhatian media di seluruh dunia sebagai berita utama.

CNN International di New York dan CNN Asia di Hong Kong, mendahului senarai dengan tajuk utama jam 12.45 tengah hari semalam, iaitu ‘Mahkamah Malaysia Mendapati Ketua Pembangkang Anwar Tidak Bersalah Atas Tuduhan Liwat’.

Diikuti stesen Bloomberg yang menyaksikan temu bual, sejurus beliau bebas dari tuduhan itu, manakala Al Jazeera berpangkalan di Doha, Qatar juga tidak ketinggalan mendapat perhatian pelayar Internet, apabila sebahagian besar rantau Timur Tengah yang masih awal pagi, memperoleh berita dalam Bahasa Inggeris, sebelum diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab.

Di United Kingdom, The Guardian dan Sky News memaparkan berita terkini, sebelum menjadi berita penuh dengan video rakaman pembebasan.

BBC News dalam laporannya, memaparkan Anwar Ibrahim sebagai tajuk utama lebih awal dengan berita utama, sekitar jam 1140 pagi semalam, dengan tajuk ‘Anwar Tidak Bersalah Atas Tuduhan Liwat’.

Tidak ketinggalan Kenya, Nigeria dan Somalia serta Afrika Selatan, memaparkan tajuk utama, sekitar jam 12 tengah hari sebagai berita terkini.

Manakala di rantau Asia, The Straits Times Singapura, mendahului dengan carian lebih 45,000 sejak keputusan diumumkan.

Di Jepun, akhbar utama negara itu, Asahi Shimbun menulis tajuk utama ‘Mahkamah Malaysia Mendapati Anwar Tidak Bersalah Atas Tuduhan Liwat’.

Ini sekali gus membuktikan, pengaruh Anwar Ibrahim terus mendapat perhatian dunia.