Sebelum Presiden Mesir, Mohammed Mursi mengeluarkan keputusan yang mengejutkan dunia pada 22 November, Khamis lalu, satu maklumat yang sahih disampaikan oleh Badan Perisikan Mesir bahawa terdapat satu perjumpaan sulit berlangsung antara Hamdin Sobahi, Tihani Gabali (Hakim Mahkamah Tinggi Perlembagaan) dan Ahmad Az-Zindi (Presiden Kelab Hakim Mesir).
Pertemuan rahsia ini berlangsung di rumah Murtadha Mansour (seorang peguam dan orang kanan Mubarak).

Maklumat ini diperoleh daripada rakan saya, Ustaz Kamaruddin Kassim yang sekarang berada di Mesir melalui FB. 

Menurut Ustaz mereka berbincang kerana hakim Mahkamah Tinggi Perlembagaan akan bersidang pada 2 Disember.

Dalam sidang tersebut mereka merancang supaya hakim-hakim membuat tiga keputusan berikut:

1) Membubarkan Dewan Senat (Syura).

2) Membubarkan Panel Penggubal Perlembagaan negara.

3) Membatalkan Undang-Undang yang diumumkan oleh Mursi, sekali gus beliau akan dipecat daripada jawatannya atas hujah beliau tidak menghormati perlembagaan yang beliau angkat sumpah pada awal pelantikan dalam lafaz angkat sumpah.

Apabila laporan perisikan ini sampai di atas meja Mursi, beliau tiada pilihan dan jika benar, tarikh 2 Disember merupakan tarikh hitam, maka beliau perlu memintas lebih awal pada Khamis iaitu 22 November lalu dengan keputusan seperti di bawah;.
1) Memutuskan semua kes mahkamah berkaitan pembunuhan penunjuk perasaan dibicarakan semula. (ini kerana sehingga hari ini semua kes yang dibicarakan menyaksikan tertuduh dibebaskan mahkamah ekoran pendakwaan yang dikemukakan terlalu lemah dari sudut bukti).
2) Bahawa semua keputusan dan undang-undang yang dikeluarkan oleh Presiden adalah muktamad dan automatik terlaksana serta tidak boleh dibantah di mana-mana mahkamah. Ini sekali gus menamatkan semua kes pendakwaan yang sedang dibicarakan di mahkamah waktu ini. (Ia merangkumi kes pembubaran Dewan Rakyat, Dewan Senat dan Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan).
Keputusan inilah yang mencetuskan kebangkitan golongan sekular mengadakan demonstrasi di Dataran Tahrir.
3) Bahawa bagi Presiden Republik apabila terdapat anasir yang mengancam Revolusi 25 Januari atau kehidupan rakyat atau kesatuan negara atau keselamatan tanah air atau merosakkan institusi negara dari meneruskan tanggungjawabnya, maka Presiden perlu mengambil langkah-langkah yang sepatutnya bagi berhadapan ancaman ini berdasarkan lunas undang-undang.
4) Melanjutkan tempoh bagi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan dari 6 bulan kepada 8 bulan (iaitu dilanjutkan selama 2 bulan) dan tidak boleh mana-mana pihak membubarkan Dewan Senat atau Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan. Ini bagi mengelakkan Mahkamah Tinggi Perlembagaan membubarkan dua institusi milik rakyat ini seperti yang dilakukan kepada Dewan Rakyat yang telah dibubarkan.

5) Presiden berhak melantik Peguam Negara daripada kalangan anggota badan kehakiman selama 4 tahun, yang dikira bermula dari tarikh perkhidmatannya dan meletakkan syarat umurnya tidak kurang 40 tahun dan ia berkuat kuasa kepada Peguam Negara yang baru.

6) Mursi melantik Tala’at Ibrahim Muhammad Abdullah sebagai Peguam Negara yang baru menggantikan Abdul Majid Mahmoud selama 4 tahun.



Persoalannya, bagaimana pertemuan sulit yang hanya dihadiri beberapa individu di lokasi agak rahsia boleh terlepas ke tangan orang lain? Mungkin kehebatan Unit Perisikan Mesir.

Laporan Agensi France Press juga mengatakan mesyuarat antara kehakiman dan Presiden menemui kegagalan. Daripada apa yang berlaku kita boleh melihat tangan-tangan ghaib Yahudi dan Mubarak sedang bergerak di belakang tabir.

Ini bermakna suatu konspirasi halus lagi licik telah berjalan bagi menjatuhkan Mursi supaya pihak sekular dan liberal yang berkiblat kepada Israel dan Barat terutamanya Amerika Syarikat (AS) dapat merampas kembali kuasa dengan bantuan institusi kehakiman dan tentera Mesir.
Jika Mursi jatuh ini bermakna Israel akan lebih mudah bergerak kerana Mesir adalah penghalang kepada segala tindakan Israel ke atas Gaza sekarang.
Pelonggaran pembukaan pintu sempadan Rafah sebenarnya mengemukakan masalah kepada Tel Aviv dan Netanyahu.
Kita tidak pasti sejauh manakah pihak tentera mengambil kesempatan daripada demonstrasi ini bagi mengeruhkan keadaan dan memporak-perandakan situasi supaya pihak tentera boleh mengisytiharkan darurat dan menguasai Mesir semula.
* Penulis ialah Timbalan Dekan Fakulti Komunikasi dan Media, Universiti Selangor, kampus Shah Alam.