Saturday, 1 December 2012

Musytari Kembali Ke Posisi Istiqbal 3 Dis 2012 Ini


Pada 3 Disember nanti, planet Musytari kembali ke posisi yang dipanggil sebagai istiqbal. Pada ketika itu, ia berada tepat berlawanan arah dengan matahari. 
Ini bermakna, apabila matahari terbenam di barat , ia akan terbit di sebelah timur. Kemudian ia akan kelihatan sepanjang malam sehinggalah matahari terbit kembali.
(Foto di atas dirakam oleh saya dari ShahGazer Observatory pada bulan Julai lepas)
Rajah di bawah menunjukkan posisi planet Musytari di langit sebelah timur sekitar 2 jam selepas Maghrib.
Di dalam erti kata lain, Matahari, Bumi dan Musytari berada dalam satu garisan lurus.
Rajah di bawah menunjukkan kedudukan Matahari, Bumi dan Musytari di dalam orbitnya, pada tarikh 3 Dis nanti.
Fenomena ini turut dicatat dalam mySKY.
Adakah ia merupakan fenomena ganjil?
Tidak. Malah ia merupakan fenomena biasa yang akan berlaku dengan objek-objek sistem suria yang berada di alam orbit 'di luar' daripada orbit Bumi. 
Ini bermakna, hanya Utarid dan Zuhrah sahaja tidak berpeluang berada di dalam posisi istiqbal, manakala planet-planet lain seperti Marikh, Muystari, Zuhal, Uranus, Neptune, serta planet-planet kerdil seperti Pluto, Eris dan Ceres, kesemuanya boleh dan akan berada diposisi istiqbal pada tarikh-tarikh tertentu.
Musytari merupakan sebuah planet gergasi. Ia begitu besar sehinggakan walaupun ia berada amat jauh dari Bumi (608 JUTA km), ia tetap kelihatan begitu jelas menerusi teleskop.
Jangan risau jika anda 'terlepas' tarikh 3 Disember itu nanti. Ia bukanlah sebuah fenomena yang 'one-off'. Rupa bentuk Musytari ini tetap nampak sama walaupun selang beberapa minggu sebelum dan selepas tarikh ini. Oleh itu, janganlah pula ia dijadikan alasan bersedih dan sebagainya!
Apa yang boleh dilihat menerusi teleskop?
Jika anda berpeluang menggunakan teleskop, cuba perhatikan 2 garisan hitam yang merentasi Musytari itu. Garisan itu sebenarnya merupakan jaluran awan-awan yang berada di atmosferanya. 
Bergantung kepada saiz teleskop yang anda guna, anda mungkin dapat lihat variasi bentuk-bentuk awan ini, malah mungkin dapat lihat lebih daripada 2 jalur.
Selain itu, anda pasti akan dapat lihat 4 buah 'bintik' putih yang berada seolah-olah segaris, berada samada ke atas atau ke bawah Musytari. 
Itu ialah bulan-bulannya, Io, Europa, Ganymede dan Callisto. Walaupun Musytari mempunyai 66 buah bulan, hanya 4 ini sahaja yang bersinar dengan begitu cerah dan amat mudah dilihat menerusi teleskop.
Malah, jika anda mempunyai binokular yang mempunyai kuasa pembesaran 10 kali atau lebih, serta dapat mengekalkan tangan anda supaya tidak bergoyang-goyang, bulan-bulan ini tetap boleh dilihat, walaupun jauh lebih kelam dan berada amat hampir dengan Muystari itu sendiri.
Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk kembali menyaksikan kehadiran planet Musytari di langit sebelah senja ini!

FALAK ONLINE