Monday, 19 November 2012

Belanjawan 2013: "Selangor Peneraju Ekonomi Malaysia"



MESYUARAT KETIGA PENGGAL KELIMA
DEWAN NEGERI SELANGOR KEDUA BELAS TAHUN 2012
ISNIN, 19 NOVEMBER 2012
5 MUHARAM 1434
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.

Bismillahirrahmannirrahim. Segala puji bagi ALLAH Subhanahuwataala, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam, keluarga serta sahabat baginda kesmuanya.

Sidang Dewan yang dihormati,

Assalamualaikum warahmatullahhiwabarakatuh dan selamat sejahtera.

  1. Sempena hari berbahagia ini, saya mohon mencadangkan agar Rang Undang-Undang bertajuk “Suatu Enakmen bagi penggunaan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan bagi tahun 2013, dan peruntukan wang itu bagi perkhidmatan pada tahun tersebut” dibacakan untuk kali kedua. Terima kasih.

  1. Alhamdulillah, marilah kita mengucapkan syukur kepada ALLAH Subhanahuwataala kerana diizinkan-Nya untuk bersama hadir di dewan yang mulia ini. Saya kira belum terlambat bagi saya mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua Ahli Yang Berhormat dan seluruh rakyat Malaysia yang beragama Hindu. Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan Selamat Maal Hijrah 1434 kepada Ahli Yang Berhormat dan seluruh umat beragama Islam. Semoga pesta cahaya dan sambutan tahun baharu ini bakal memberikan kekuatan kepada kita semua untuk bekerja dengan lebih baik, sempurna dan efisien.

  1. Bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, saya ingin membentangkan Belanjawan Berimbang Negeri Selangor 2013 dengan tema “Selangor Peneraju Ekonomi Malaysia”.
Naik sampan pengayuhnya satu,
Pelan-pelan sampai juga,
Ekonomi mapan Selangorku maju,
Negeri aman rakyat bahagia.

  1. Pada Mac tahun hadapan lengkaplah mandat lima tahun Pakatan Rakyat mengemudi pentadbiran di negeri Selangor. Lao-tzu, ahli Falsafah dari negeri China pernah menyebut,‘Perjalanan beribu batu bermula dengan langkah pertama’. Dalam usaha mengorak langkah, misi kita hanya satu, meletakkan negeri Selangor di atas asas yang kukuh, agar terus menerajui ekonomi negara demi generasi mendatang.

  1. Sejak empat tahun yang lalu, pentadbiran ini telah menekankan konsep, dengan izin “Value for Money”.  Ujian asid ini diguna pakai dalam setiap perancangan, termasuk pengambilalihan projek penswastaan (contohnya Industri Perkhidmatan Air dan Perkhidmatan Pengurusan Sisa Pepejal). Bagi mencapai makna “value for money” yang kita perkenalkan, kita telah menetapkan semua urusan hendaklah secara panggilan tender terbuka. Kita percaya dengan amalan memberi projek kepada pembida terendah bukan sahaja kita dapat membeli nilai wang yang dibayar rakyat tetapi kita juga  berurusan terus dengan pemilik/operator tanpa melibatkan orang tengah yang akhirnya peranan orang tengah ini  menjadi tidak relevan dan terhapus dengan sendirinya.

  1. Menukar amalan kebiasaan, apatah lagi jika ia telah berakar umbi hingga diterima sebagai budaya bukanlah sesuatu yang mudah. Untuk kesekian kalinya, saya menyeru agar kita membiasakan yang betul dan membetulkan yang biasa. Hakikatnya, tidak mungkin terhasil sesuatu yang luar biasa, jika kita tidak berani berubah dan mengubah. (You can’t expect different results, if you keep doing things the same way).

  1. Namun, saya maklum bukan mudah untuk kita melakukannya. Ia memerlukan kekuatan politik dan fokus haruslah ditumpukan bagi memastikan kepentingan rakyat terbanyak terus terpelihara dan bukannya kepentingan individu atau golongan tertentu. Harta yang paling bernilai bagi saya adalah kepercayaan rakyat. Perkara yang membuatkan saya terjaga di tengah malam sebenarnya bukanlah mencari jalan menambah rizab negeri, tetapi bagaimana memastikan setiap sen yang dibelanjakan sejajar dengan nilainya dan benar-benar sampai kepada sasaran yang dituju.

  1. Baru-baru ini Ketua Audit Negara telah membentangkan Laporan Audit Negara 2011. Kerajaan Negeri Selangor merakamkan penghargaan kepada pegawai-pegawai dan penjawat awam lainnya kerana usaha gigih meraih beberapa kejayaan dan peningkatan dalam pelbagai aspek, antaranya:
    1. Kedudukan kewangan yang baik dengan peningkatan daripada segi wang simpanan, hasil, pelaburan dan pengurusan kewangan.
    1. Sembilan daripada dua belas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan lima badan berkanun mencatat lebihanpendapatan.
    2. Peningkatan wang pelaburan pada 2011 sebanyak RM1.55 bilion berbanding tahun sebelumnya, RM 928.61 juta. Ia merupakan peningkatan berterusan untuk tahun kelima berturut-turut.
    3. Peningkatan hasil sebanyak RM62.50 juta daripada RM1.571 bilion pada 2010 kepada RM1.634 bilion pada 2011.
    4. Kumpulan Wang Disatukan naik kepada RM1.944 bilion daripadaRM1.58 bilion pada tahun 2010.
    5. Pembayaran hutang awam sangat baik.
    6. Projek pembangunan sangat baik daripada segi perbelanjaan dan bilangan projek lulus.

  1. Kerajaan Negeri Selangor mengucapkan tahniah kepada lapan jabatan/agensi negeri yang telah mencapai tahap prestasi pengurusan kewangan sangat baik yakni empat bintang berbanding hanya empat jabatan/agensi negeri pada tahun 2010. Lapan jabatan/agensi negeri tersebut adalah:
    1. Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ),
    1. Pejabat Tanah dan Galian (PTG),
    2. Majlis Perbandaran Kajang (MPKj),
    3. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),
    4. Pejabat Tanah dan Daerah Sabak Bernam,
    5. Pejabat Menteri Besar/Setiausaha Kerajaan Negeri,
    6. Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) dan
    7. Perbendaharaan Negeri Selangor.

  1. Menerusi Laporan Audit Negara 2011 tersebut, jelas membuktikan kakitangan kerajaan negeri semakin menerima baik dan memahami hasrat Kerajaan Negeri yang mahukan pentadbiran negeri diurus secara telus dan bertanggungjawab terutama melibatkan pengurusan kewangan.

  1. Namun begitu, terdapat juga teguran dan peringatan  dalamLaporan Audit 2011 tersebut. Alhamdulillah, teguran membina dan cadangan pembaikan yang dikemukakan Laporan Audit itu sebenarnya sudahpun dikenal pasti pada awal 2012 dan dapat diberi pembaikan sewajarnya. Sebagai contoh, teguran terhadap akaun UNISEL.

Dato’ Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
  1. Selain akaun PIYSB-UNISEL tidak pernah diaudit sebelum 2008 kerana audit dalam juga tidak berfungsi, PIYSB-UNISEL juga mempunyai liabiliti jangka panjang. Ia meliputi jumlah terhutang bagi pinjaman terbitan Bithaman Ajil Islamic Debt Securities (BaIDS) dengan Affin Investment Bank Berhad sebanyak RM150,000,000-00. Hutang yang dicipta untuk pembinaan kampus UNISEL oleh Tetuan Lebar Daun Sdn Bhd setelah perjanjian dengan Syarikat Talam dibatalkan kerajaan sebelum ini. Hutang tersebut telah menjadikan akaun UNISEL jelik dilihat. Peliknya Umno BN yang sememangnya maklum dengan situasi tersebut turut berpura-pura menunjukkan kerisauan dengan situasi akaun UNISEL ini.

  1. Justeru itu, Kerajaan Negeri telah membuat dua keputusan penting, iaitu menubuhkan Jawatankuasa Audit dan Pemeriksaan UNISEL dan mengambil alih hutang tersebut. Bayaran balik terbitan BaIDS telah mula dijelaskan pada tahun 2011 dan berakhir tahun 2022.

  1. Bagi maksud ini Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengeluarkan jumlah terhutang tersebut daripada Penyata Kewangan PIYSB bagi tahun 2011 oleh sebab bayaran balik pinjaman berjaya dilunaskan oleh Kerajaan Negeri melalui PIYSB.

  1. Bagaimanapun, jumlah terhutang tersebut hanya boleh dikeluarkan daripada Penyata Kewangan PIYSB bagi tahun berakhir 31 Disember 2012  manakala catatan tambahan bagi Nota Kepada Akaun tahun 2011 adalah seperti berikut:-
“Bayaran kupon dan ansuran pokok tahunan terbitan BaIDS telah dijelaskan oleh Kerajaan Negeri mulai tahun 2011 dan akan diteruskan sehingga selesai (tahun 2022).

  1. Setelah penstrukturan hutang dilakukan, terdapat berbezaan ketara dalam Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2011 berbanding 30 Jun 2012, iaitu;
  • Draf Penyata Kewangan PIYSB bagi tahun berakhir 31 Disember 2011 (mengambil kira pinjaman BaIDS) dan 30 Jun 2012 (tanpa mengambil kira pinjaman BaIDS) menunjukkan penambahbaikan dan peningkatan seperti berikut:-


BilPerkaraJumlah (RM)
31.12.201130.06.2012
1Pinjaman bagi terbitan BaIDS150,000,0000
2Untung/(rugi) tahun semasa(58,799,619)127,499,000
3Untung/(rugi) terkumpul(161,605,212)43,354,000

  • Kesimpulannya, draf Penyata Kewangan bagi setengah tahun berakhir 30 Jun 2012 menunjukkan kedudukan kewangan PIYSB yang sihat dan baik. Hal ini dapat dilihat daripada segi jumlah keuntungan tahun semasa dan terkumpul yang boleh dijana sekiranya pinjaman BaIDS ini dikeluarkan daripada Penyata Kewangan PIYSB. Data ini telah disemak dan disahkan oleh juruaudit luar- Tetuan Razak & Co.

  1. Laporan Audit Negara 2011 juga ada menyentuh Skim Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas), dengan kebimbangan mengenai kelestarian program ini. Sebagaimana dijangka maka berkokoklah puak-puak UMNO yang dengan cepat menghukum program ini akan bankrap. Untuk makluman Dewan, perkara ini telah lebih awal dikaji oleh pakar yang dilantik dan ditangani menerusi penubuhan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) yang bukan berasaskan keuntungan bagi menguruskan Skim TAWAS. Kita hanya membayar RM70 setahun untuk seorang peserta dan mereka ini akan mendapat sekurang-kurangnya RM1,500 selepas berumur 18 tahun.

  1. YAWAS mendapat geran sepenuhnya daripada Kerajaan Negeri untuk perbelanjaan operasi, oleh itu tidak timbul isu bahawa program ini boleh mengalami kerugian, jauh sekali menjadi bankrap. Bagaimanapun, YAWAS menjalankan inisiatif untuk menjana pendapatan daripada dana yang belum dibelanjakan untuk dilaburkan ke dalam pasaran wang. Dari 2008 hingga 2011, YAWAS berjaya menjana pendapatan daripada pelaburan ini sebanyak RM622,782 dan hal ini dapat meringankan kos operasi.

  1. Sehingga November 2012, status Sijil Pelaburan Ahli TAWAS adalah seperti berikut:
    1. Ahli yang lulus dan layak seramai 84,152 ,
    1. Ahli yang telah mempunyai Akaun seramai 27,635,
    2. 56,514  masih diproses di bank,
    3. 30,000 permohonan lagi yang menunggu giliran untuk dihantar kepada bank.

  1. Saya tegaskan di sini, dua isu utama yang dibangkitkanLaporan Audit Negara 2011 telah diselesaikan dalam tahun 2012 juga dan saya berbangga dengan usaha giat serta profesional yang dilakukan oleh pegawai-pegawai kerajaan serta anak-anak syarikat yang terlibat.

Sidang Dewan yang dimuliakan,
  1. Sejak 2008, antara aktiviti terawal yang diusahakan Kerajaan Negeri Selangor adalah memperbaiki ‘urusan penyelenggaraan dalam kerajaan’ (house-keeping) bagi mereformasikan pentadbiran serta pengurusan kewangan Kerajaan Negeri termasuk membetulkan keadaan yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu. Sesungguhnya, terlalu banyak kepincangan pengurusan jika mahu diperkatakan satu persatu!

  1. Malangnya, hingar-bingar media yang dikuasai UMNO-BN, melaporkan sebaliknya. Kononnya banyak kecacatan di Selangor, merangkumi isu air, Talam, isu sampah, dan yang terbaharu isu Yasyasan Selangor. Kita bernasib baik kerana rakyat telah bijak menilai sendiri. Paparan media perdana hanya mereka jadikan pengalas makanan dan bukannya juadah istimewa. Ketelusan pentadbiran yang kita amalkan akhirnya telah membuka pekung dan nanah pemimpin terdahulu yang memerintah 50 tahun lamanya. Pada masa yang sama saya menganggap perjalanan melakukan reformasi ini merupakan perjalanan panjang yang sukar. Umpama bait sebuah lagu;
Mengharap senang dalam berjuang,
Ibarat menanti bulan di tengah siang,
Jalan kebenaran tidak akan selalu sunyi,
Ada ujian yang datang melanda,
Ada perangkap menunggu mangsa ..

Dato’ Speaker dan seluruh ahli Dewan sekalian,
  1. Pada sidang kali ini satu Kertas Putih mengenai Pelunasan Hutang Talam akan dibentangkan. Hutang-hutang Talam asalnya timbul daripada beberapa perjanjian usaha sama di antara Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Kumpulan Talam bagi pembangunan hartanah di antara tahun 1994 sehingga 2002. Jumlah yang terhutang kepada Pendidikan Industri YS Sdn. Bhd/ Universiti Industri Selangor (UNISEL) pula timbul menerusi suatu perjanjian penswastaan bagi pembinaan UNISEL pada tahun 2001 dan 2003.

  1. Walaupun media perdana memainkan isu mekanisme penyelesaian yang diusahakan Kerajaan Negeri, namun soalan yang lebih relevan ditanya adalah bagaimana dalam tempoh satu dekad di bawah kerajaan Barisan Nasional, sebuah syarikat dibiarkan berhutang ratusan juta kepada anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor tanpa rekod perakaunan yang telus. Lebih tidak masuk akal, bilamana Talam dibiarkan bermaharajalela.

  1. Pepatah Cina ada mengatakan; Lebih baik menyalakan lilin untuk terang daripada terus menyumpah kegelapan. Masalah bagi UMNO-BN yang disumpah bukan penyebab kegelapan, sebaliknya orang yang memasang lilin yang diasak dan dicerca. Meskipun begitu saya masih juga mampu berlapang dada kerana pepatah Melayu ada mengatakan; “lebih kosong tin itu, lebih kuatlah bunyinya..”

  1. Kertas Putih Talam dijangka mampu memberi seluruh gambaran isu ini dan saya yakin rakyat dapat melihat pekung siapa yang akan terdedah. Namun, pada saya perkara yang lebih utama adalah pengajaran yang dapat kita pelajari hasil daripada isu Talam ini. Walaupun kita telah terangkan berkali-kali, namun ada di antara kita yang masih tidak faham atau tidak mahu faham. Apatah lagi apabila wujud anasir dengki yang sentiasa berusaha untuk mengelirukan rakyat. Rakyat menjadi gusar dan tidak percaya lagi kepada institusi kerajaan, bahkan mereka bersikap buruk sangka dan curiga. Persoalannya; mengapakah boleh terjadi sedemikian? Jawapan saya,  inilah hasil 50 tahun pemerintahan BN. Rakyat melihat bagaimana mereka telah ditipu dan diperbodohkan. Tindakan dan urusan tidak telus dan sentiasa mendahulukan kroni dan suku sakat. Maka, apabila Pakatan Rakyat berjaya mendapatkan semula hutang Talam rakyat menjadi prejudis, apatah lagi dengan kewujudan puak-puak yang sengaja mengadu domba dan menyangkakan kerajaan sekarang juga melakukan amalan busuk sebagaimana mereka dahulu.

  1. Desakan dan permintaan rakyat pula bukan sedikit. Curiga dan prasangka juga amat tebal. Justeru itu, tugas kita hari ini amat berat, iaitu bagaimana kita boleh mengembalikan kepercayaan rakyat, setidak-tidaknya rakyat boleh berlapang dada apabila kita mengusulkan sesuatu dan tidak terus membuat kesimpulan negatif. Itulah cabaran mendatang yang perlu kita atasi dan cabaran itu hanya boleh kita hadapi dengan kita terus mengamalkan sikap profesional, telus dan penuh pertanggungjawaban dalam setiap urusan dan tindak tanduk kita.


Yang Berhormat Dato’ Speaker dan seluruh Ahli Dewan yang dimuliakan,

EKONOMI GLOBAL, SERANTAU DAN MALAYSIA

EKONOMI GLOBAL
  1. Pencapaian ekonomi Amerika Syarikat (AS) sebagai kuasa besar berkembang dengan kadar perlahan hanya pada kadar 1.9 % pada tahun 2011 berikutan pertumbuhan perbelanjaan isi rumah yang sederhana dan penguncupan perbelanjaan kerajaan. Hal ini mendorong berlakunya peningkatan kadar pengangguran. Keadaan ekonomi dunia juga lembap dan menuju kemelesetan yang dikatakan mempunyai masalah yang berbagai-bagai-bagai dan bergantung antara satu sama lain. Maka, kalau sebuah negara menghadapi masalah, negara-negara lain juga menghadapi masalah yang sama.

  1. Soalnya sekarang apakah krisis ekonomi yang kita hadapi ini dalam keadaan yang boleh dibendung walhal kita tahu faktor utama krisis ini adalah krisis pekerjaan seperti mana yang kita nampak sedang berlaku di Kesatuan Eropah seperti Sepanyol, Greece dan juga Portugal bilamana kadar pengangguran melebihi 20%. Golongan belia lepasan universiti mengalami tekanan teruk kerana lebih 50% dari mereka tidak memperolehi pekerjaan. Kita khuatir jika Malaysia tidak menjalankan langkah-langkah awal menangani masalah ini, kita mungkin menghadapi kemelesetan ekonomi yang pernah kita alami pada tahun 2008 dan tahun 2009.

  1. Saya berpandangan setiap krisis pasti wujud bersama peluang yang boleh dimanfaatkan. Ketika Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat menghadapi kemerosotan ekonomi, Selangor melihat ekonomi Asia boleh memainkan peranan penting sebagai penyelamat ekonomi Malaysia terutama ketika kuasa besar Asia iaitu China dan Jepun sedang mengalami pergeseran diplomatik akibat perebutan Pulau Senkaku/ Diaoyu. Hinggakan, Jepun telah membuat keputusan untuk mengeluarkan pelaburan mereka dari China yang dianggarkan bernilai USD6.5 bilion yang melibatkan lebih 20,000 syarikat. Malaysia khususnya Selangor perlu menggunakan peluang ini dengan menarik para pelabur Jepun melabur di sini.

EKONOMI SERANTAU
  1. Negara-negara Asia bakal menjadi peneraju pertumbuhan ekonomi Global dengan pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan aliran perdagangan terus menunjukkan peningkatan dan perkembangan yang positif. Prestasi ekonomi kebanyakan kuasa besar Asia seperti China, India, Republik Korea atau Korea Selatan, menunjukkan pertumbuhan KDNK yang kukuh sepanjang tahun 2011 didorong oleh  permintaan domestik yang mantap, penggunaan swasta yang terus meningkat, serta kepesatan sektor perkhidmatan dan pertanian. Ekonomi Jepun terus menguncup tetapi pada kadar yang perlahan sekitar 1 % serta penguncupan mendadak dalam sektor pembuatan berikutan bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda sekitar suku pertama 2011.

  1. Kebanyakan negara anggota ASEAN juga mencatatkan pertumbuhan yang positif didorong oleh permintaan luar dan domestik yang meningkat mencerminkan kekukuhan keseluruhan ekonomi dan kewangan rantau ini. Ekonomi negara seperti Indonesia, Filipina, Singapura, dan Vietnam berkembang pada kadar yang positif dan sederhana berbanding Thailand yang mencatatkan KDNK lebih perlahan dengan KDNK 2.9% pada tahun 2011 disebabkan perbelanjaan penggunaan swasta dan pelaburan awam yang lebih rendah.

EKONOMI  MALAYSIA (Suku Kedua 2012)
  1. Ekonomi Malaysia (KDNK) telah meningkat 5.4% berbanding 4.9% pada suku sebelumnya dengan  diterajui oleh pengembangan berterusan dalam sektor Perkhidmatan dan Pembuatan.

  1. Sektor Pertanian menguncup 4.7% akibat penurunan pengeluaran-pengeluaran tanaman Kelapa Sawit, Getah dan Perhutanan.

  1. Pertumbuhan 2.3% dalam nilai ditambah sektor Perlombongan dan Kuari adalah disokong oleh pengeluaran minyak mentah yang lebih meningkat 8.8%. Bagaimanapun, pengeluaran gas asli telah  menurun 4.4%.

  1. Sektor Pembuatan meningkat 5.6% pada suku tahun ini. Produk Petroleum, Kimia, Getah dan Plastik yang tumbuh 9.6% merupakan pemangkin utama dalam pertumbuhan ini, susulan daripada pengeluaran yang lebih tinggi dalam produk petroleum bertapis.

  1. Sektor Pembinaan telah berkembang 22.2% pada suku kedua 2012 (Suku pertama 2012: 15.5%). Pertumbuhan ini  diterajui oleh keaktifan dalam sektor kecil pembinaan Kejuruteraan Awam dan Kediaman.

  1. Sektor Perkhidmatan turut meningkat kepada 6.3% dengan disokong oleh sektor Perdagangan Borong dan Runcit serta sektor Kewangan dan Insurans. Pertumbuhan 5.9% bagi sektor Perdagangan Borong dan Runcit pula diterajui oleh aktiviti peruncitan.

  1. Sektor Kewangan dan Insurans berkembang 6.6% dengan dirangsang oleh pendapatan berasaskan fi / yuran yang lebih tinggi bagi aktiviti perbankan serta peningkatan dalam pendapatan premium bagi aktiviti insurans.

PERTUMBUHAN Selangor

  1.  Pertumbuhan KDNK bagi negeri Selangor dalam keseluruhan tahun 2012 adalah diunjurkan pada 6.1% berbanding pertumbuhan 6.0% pada patun 2011.

  1. Pertumbuhan KDNK Selangor bermula dari tahun 2008 hingga 2012 menunjukkan peningkatan  sekitar 5.0 % hingga 8.3 % kecuali pada tahun 2009 bilamana penguncupan ekonomi dicatatkan pada kadar -1.6% akibat ketidakstabilan ekonomi global terutama di Amerika Syarikat dan kebanyakan negara Kesatuan Eropah.

  1. Hasil perbandingan peningkatan KDNK Selangor dan Malaysia adalah seperti berikut;
TahunSelangorMalaysia
20055.85.3
20064.75.8
20077.76.5
20088.44.8
2009-1-1.6
201010.87.2
201165.1
2012*6.15.4
* Anggaran UPEN

  1. Sebagai rekod, negeri Selangor terus kekal menjadi penyumbang terbesar kepada KDNK Malaysia melebihi 20% dari tahun 2008 hingga 2012. Hal ini membuktikan kecekapan tadbir urus (good governance) dan pengurusan kewangan yang cemerlang diamalkan Kerajaan Negeri.
PERATUSAN SUMBANGAN KEPADA KDNK NEGARA
TahunSumbangan Selangor kepada KDNK Negara  (%)
200521.4
200621.1
200721.4
200822.1
200922.3
201023
201122.1

Prospek Pertumbuhan Ekonomi Negeri Selangor 2012 (Suku Kedua) Mengikut Sektor:

PERTANIAN**
  1. Nilai ditambah sektor pertanian diunjurkan  mengalami pertumbuhan sebanyak 0.5% bagi tahun 2012 (2011: 4.9%). Secara amnya pertumbuhan ini dijangka dibantu oleh prestasi subsektor kecil perikanan, ternakan dan pertanian lain. Bagaimanapun, sehingga Ogos 2012 pengeluaran minyak sawit masih mengalami trend menurun.

PERLOMBONGAN & KUARI**
  1. Nilai ditambah sektor pengkuarian  diunjurkan  mengalami pertumbuhan 1.1% bagi tahun 2012, iaitu lebih baik berbanding tahun 2011 bersandar pada andaian keaktifan sektor pembinaan yang unjurkan meningkat 16.1%.

PERKHIDMATAN**
  1. Sektor perkhidmatan dianggarkan  menyumbang 58.3% kepada KDNK negeri pada tahun 2012  dan mengalami pertumbuhan sebanyak 4.5%. Sektor kecil Utiliti, Pengangkutan, Penyimpanan & Komunikasi merupakan penyumbang terbesar daripada segi nilai ditambah, dengan mengalami pertumbuhan nilai ditambah sebanyak 5.2%.

  1. Sektor kecil Kewangan & Insurans, Hartanah dan Perkhidmatan Perniagaan merupakan penyumbang kedua terbesar daripada segi nilai ditambah dan sektor kecil ini dianggarkan mengalami pertumbuhan 4.2% pada tahun 2012. Sektor kecil Perkhidmatan lain dianggarkan mengalami pertumbuhan 4.3%. Sektor Perkhidmatan Kerajaan dianggarkan mengalami pertumbuhan  pada kadar  5.1% dengan sumbangan sebanyak 5.2%.

SEKTOR PERINDUSTRIAN **
  1. Secara keseluruhan, nilai ditambah Sektor Perindustrian dianggarkan menyumbang sebanyak 39.9%  kepada KDNK negeri Selangor pada tahun 2012 dan merupakan penyumbang kedua terbesar terhadap pecahan pendapatan negeri. Sektor ini  diunjurkan  mengalami peningkatan nilai ditambah sebanyak 5.6% yang disumbangkan oleh peningkatan  4.1% nilai ditambah sektor pembuatan.

  1. Industri pembuatan berorientasikan domestik dijangka berkembang seiring sentimen pengguna dan perniagaan yang baik dengan subsektor elektronik dan elektrik dijangka meningkat dengan peningkatan permintaan  bagi kelengkapan elektronik dan semikonduktor. Peningkatan permintaan barangan sumber seperti produk petroleum, kimia, getah dan plastik serta peningkatan pendapatan boleh guna terutama industri kelengkapan pengangkutan dijangka menyokong pertumbuhan sektor pembuatan terus meningkat.

SEKTOR PEMBINAAN**
  1. Sektor pembinaan diunjurkan mengalami pertumbuhan positif 16.1% dalam nilai ditambah bagi tahun 2012. Keaktifan sektor ini dijangka disumbangkan oleh pembinaan rumah kediaman dan rekreasi dan bangunan perdagangan dan kompleks serta kerja baik pulih yang juga dibantu oleh keaktifan projek-projek infrastruktur.

  1. Pemulihan sederhana yang dialami perdagangan dunia menjangkakan pengeluaran dan jualan sektor pembuatan yang terus meningkat bagi tahun 2012 dengan unjuran peningkatan sebanyak 5.3% dengan sumbangan kepada KDNK sebanyak 34.1%.

  1. Projek-projek di bawah Greater Kuala Lumpur / Klang Valley termasuk pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) dari Sungai Buloh ke Kajang dan pertambahan rangkaian Aliran Transit Ringan (LRT) dari Kelana Jaya ke Ampang dijangka meningkatkan keaktifan aktiviti kejuruteraan awam. Pembinaan bangunan-bangunan bukan kediaman dianggarkan meningkat dengan diterajui oleh permintaan yang lebih tinggi bagi hartanah dan bangunan komersial.

Sidang Dewan sekalian,
  1. Laporan Audit Negara 2011 telah merumuskan kedudukan kewangan negeri Selangor sebagai baik dan memuaskan.  Baki Kumpulan Wang Disatukan pada tarikh 31 Disember 2011 naik kepada RM1.944 bilion daripada RM1.58 bilion pada tahun 2010, iaitu peningkatan sebanyak 22 peratus.

  1. Jumlah wang awam yang terdiri daripada wang tunai dan pelaburan yang dipegang oleh tiga Kumpulan wang Disatukan, iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan pada 31 Oktober 2012 adalah berjumlah RM2.57 bilion.  Wang awam yang berjumlah RM2.57 bilion adalah terdiri daripada wang tunai sebanyak RM546.11 juta dan pelaburan sebanyak RM2,028.11 juta. Wang tunai sebanyak RM546.11 juta adalah termasuk deposit pasaran wang jangka pendek sebanyak RM391.00 juta. Jumlah faedah yang dijana daripada simpanan tetap dan deposit pasaran wang jangka pendek sehingga 31 Oktober 2012 adalah sebanyak RM40.52 juta.

  1. Hal yang menarik adalah, meskipun kedudukan kewangan negeri terus mengukuh, perbelanjaan bagi pelbagai program pembangunan dan kebajikan rakyat juga terus meningkat. Sehingga 30 September 2012 sebanyak RM766,913,379.07 telah dibelanjakan untuk pelbagai jenis program kebajikan di bawah Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) sejak Mac 2008.

PRESTASI PELABURAN SELANGOR 2008-2012

  1. Sepanjang tahun 2008 hingga 2011, Selangor menduduki kedudukan pertama dan kedua bersama-sama Pulau Pinang daripada segi jumlah pelaburan masuk ke dalam negeri dengan nilai purata sekitar RM38 bilion sepanjang 4 tahun tersebut.

  1. Nilai pelaburan masuk ke negeri Selangor adalah seperti berikut:-  RM11.87 bilion (2008), RM6.76 bilion (2009), RM10.64 bilion (2010), dan RM8.74 bilion (2011).

  1. Nilai pelaburan domestik (DDI) sepanjang tempoh 2008 hingga 2011 adalah seperti berikut: - RM2.87 bilion (2008), RM2.75 bilion (2009), RM5.49 bilion (2010) dan RM4.5 bilion (2011).

  1. Bagi pelaburan asing (FDI) pula, sepanjang tahun 2008 hingga 2011 mencatatkan angka pelaburan seperti berikut: - RM9.0 bilion (2008), RM4.01 bilion (2009), RM5.15 bilion (2010), dan RM4.24 bilion (2011).

  1. Jumlah projek yang telah dan berjaya dilaksanakan di negeri Selangor sepanjang tempoh 4 tahun tersebut adalah seperti berikut:- 302 projek (2008), 278 Projek (2009), 325 projek (2010) dan 263 projek (2011).

  1. Peluang pekerjaan yang berjaya disediakan hasil pelaburan masuk ke negeri Selangor sepanjang tempoh tersebut adalah seperti berikut:- 30,890 orang (2008), 22,753 orang (2009), 27,865 orang (2010) dan 20,750 orang (2011).

  1. Bagi separuh penggal tahun 2012, berdasarkan perangkaan yang diberikan MIDA, negeri Selangor berjaya mencatatkan nilai pelaburan tertinggi dan jauh meninggalkan negeri-negeri lain di Malaysia. Jumlah pelaburan masuk bagi tempoh Januari-Julai adalah RM6,080,000,000-00 dengan pelaburan domestik sebanyak RM4,590,000,000-00 dan pelaburan asing (FDI) sebanyak RM1,490,000,000-00. Kedudukan selepas Selangor adalah Sabah yang mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM4,832,274,055-00 bagi tempuh yang sama. Kita menganggarkan, jumlah pelaburan masuk negeri Selangor setakat September 2012 dijangka mencecah RM 7,700,000-00 juta.

  1. Sepanjang tempoh Januari-Julai 2012, sebanyak 142 projek pelaburan baharu berjaya masuk ke negeri Selangor dengan menawarkan sebanyak 13,197 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat negeri Selangor yang merangkumi pekerja mahir, separa dan kurang mahir serta golongan profesional.

Dato’ Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
  1. Saya mengambil sedikit masa membawa Ahli Dewan mengetahui kedudukan ekonomi dunia, serantau, negara Malaysia serta kedudukan ekonomi negeri Selangor. Hal ini penting kerana kesemua data tersebut diambil kira dalam kita merangka belanjawan Selangor 2013 yang bertemakan “Selangor Peneraju Ekonomi Malaysia”. Dengan meneliti dan membanding data-data di atas barulah kita tahu kedudukan serta kemampuan Selangor.

STRATEGI BELANJAWAN 2013

  1. Belanjawan 2013 masih meneruskan semua strategi pada tahun yang lalu, bagaimanapun penekanan tertumpu pada Tiga (3) Strategi Utama, iaitu:
    1. Memperkasakan Pengurusan Tenaga Kerja, Sumber Kewangan, Pentadbiran dan Aset Negeri.
    1. Melestarikan Pembangunan Inovasi &  Moden.
    2. Memperkukuhkan Kualiti Hidup Rakyat.

  1. Semua strategi ini mengambil kira keperluan holistik  pembangunan fizikal dan manusia, pengukuhan prinsip serta  kecekapan, ketelusan dan kebertanggungjawaban pengurusan dan keseimbangan antara pelbagai elemen bagi membolehkan hasil optimum dapat dicapai. Reformasi daripada segi pengurusan dan penggunaan mahu terus diusahakan sehingga ia menjadi budaya bersama.

MEMPERKASAKAN PENGURUSAN SUMBER TENAGA KERJA, KEWANGAN, PENTADBIRAN DAN ASET

Yang Berhormat Dato’ Speaker dan seluruh Ahli Dewan yang dihormati,

  1. Strategi terbaharu yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Rakyat adalah memberikan perhatian pada pengurusan aset. Kerajaan Negeri buat pertama kalinya berjaya mengenal pasti dan menilai semua aset negeri atau lebih tepat lagi aset rakyat Selangor. Selangor merupakan negeri yang pertama melaksanakan proses ini. Kerajaan Negeri Selangor telah mendokumenkan dua kategori aset, iaitu Aset Alih (Harta Modal, Inventori dan Stok) dan Aset Tak Alih (Tanah dan Bangunan).


  1. Kedudukan Aset Alih Negeri Selangor sehingga 30 September 2012 berjumlah RM177,804,972.90. Aset Alih terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu Harta Modal dan inventori. Aset–aset ini akan dibuat penggantian sekiranya dilupuskan atau hilang dan penggantian bergantung pada keperluan dan kedudukan kewangan Negeri.

  1. Bagi Aset Tak Alih pula sehingga 30 September 2012 Kerajaan Negeri mempunyai Aset Tak Alih berjumlah RM14,950,192,846.24 bagi 17 jabatan di negeri Selangor. Bagi memastikan Aset Tak Alih selamat digunakan, penyelenggaraan amat penting agar aset tersebut dalam keadaan baik dan dapat memanjangkan jangka hayat.

  1. Nilai keseluruhan Aset Alih dan Aset Tak Alih ini berjumlah tidak kurang  RM15,178,000,000-00. Nilai ini tidak termasuk nilai aset air di negeri ini. Menurut jurunilai ERINCO  Sdn Bhd, nilai aset air yang merangkumi Empangan, Loji Rawatan Air, Kolam, Rumah Pam serta Data-data Sistem Pengagihan bernilai tidak kurang RM12,350,000-00. Kita berpendapat, hanya dengan adanya rekod yang lengkap, maka aset-aset ini dapat diselia dengan lebih teratur dan efektif bagi mendapatkan pulangan terbaik daripada penggunaannya hatta penjimatan kos jangka panjang.

Dato’ Speaker dan sidang Dewan sekalian,
  1. Kerajaan Negeri dijangka dapat memperluaskan konsep “value for money” dalam setiap urusan, pengurusan dan pentadbiran kerajaan. Sukacita saya memaklumkan bahawa sepanjang  Januari-Oktober 2012 terdapat 63 projek berjumlah RM446,941,107.42 yang telah diluluskan secara tender terbuka.  Anggaran kos projek-projek ini pada awalnya adalah RM549,147,567.75.  Ia bermakna dengan amalan tender terbuka ini Kerajaan Negeri telah dapat membuat penjimatan sejumlah RM 102,206,460.33 bersamaan dengan 18.61%.

  1. Justeru itu, tohmahan jahat sesetengah orang yang tiada pengetahuan  dalam pentadbiran ekonomi kononnya rizab negeri melonjak kerana kita menyimpan wang dan tidak membelanjakan untuk pembangunan rakyat, ternyata meleset. Rizab negeri meningkat kerana segala pembangunan dan projek dilaksanakan secara telus dan tidak berlaku ketirisan  dalam perlaksanaannya serta perbelanjaan berhemat (tidak melampaui batas) yang diamalkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.
Menyemai angin, menuai badai,
alang-alang bertukang, terbuang kayu,
alang – alang berjuang, terus maju ..

Dato’ Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
MELESTARIKAN PEMBANGUNAN INOVASI DAN MODEN.
  1. Strategi kedua adalah melestarikan Pembangunan Inovasi dan Moden melalui pelaksanaan program “daripada pejabat kepada rakyat”, pengurusan projek mapan dan membudayakan penyelenggaraan jalan raya dalam kawasan atau secarain-house, Pengurusan pendekatan baharu pengurusan sisa pepejal, Low carbon cities framework, penyusunan semula industri air dan pembangunan industri.

  1. Kerajaan negeri sudahpun memulakan usaha untuk mendigitalkan semua rekod pemilikan tanah di Pejabat Tanah dan Galian dan semua Pejabat Tanah dan Daerah di seluruh Selangor. Pelaksanaan projek ini bertujuan merakyatkan semua Pejabat  Tanah dan Daerah bagi membolehkan segala urusan dilakukan di perkarangan rakyat tanpa perlu berulang alik ke pejabat kerajaan. Kita telahpun melaksanakan projek ini secara berperingkat dan bermula dengan Pejabat Tanah dan Galian Selangor. Melalui sistem moden ini juga kita berjaya mengurangkan beban menyimpan dokumen dan fail-fail tanah yang jumlahnya tidak kurang dua (2) juta fail. Semua maklumat telah direkodkan dalam sistem digital canggih.

  1. Pada awal 2012 kerajaan negeri berhadapan dengan situasi getir apabila Alam Flora Sdn Bhd memberhentikan perkhidmatan di negeri ini. Alhamdulillah, Kerajaan Negeri sekarang telah bersedia menghadapi situasi tersebut setelah menyedari bahawa perjanjian yang dimeterai bersama Alam Flora oleh kerajaan dahulu adalah perjanjian berat sebelah dan merugikan rakyat negeri ini. Natijah daripada pembatalan tersebut maka pengutipan sisa pepejal kini dilakukan sendiri oleh Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT ).

  1. Apabila kita mengambil alih pengurusan tersebut, kita berusaha melaksanakan banyak penambahbaikan terhadap sistem pengurusannya, antaranya:
    1. Mengamalkan Sistem Tender Terbuka - semua PBT dapat menjalankan proses pelantikan kontraktor dibuat secara tender terbuka dan konsep owner operator sertavalue for money perlu menjadi keutamaan dalam melantik kontraktor.
    1. Melengkapkan PBT Dengan Kompaktor - Kerajaan Negeri melalui syarikat milik penuh, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah membuat pembelian sebanyak 50 buah lori pemampat sampah (kompaktor) dengan mendapatkan pembiayaan menerusi institusi kewangan untuk kegunaan PBT yang diselia oleh pihak MBSA dan MBPJ. Setakat ini 18 buah kompaktor telah diserahkan kepada MBPJ, 4 buah kepada Hebat Abadi dan 12 buah kepada MBSA yang mengagihkannya diagihkan kepada MPK 4 buah, kepada kontraktor MBSA 4 buah, dan 4 buah lagi kepadaMajlis Daerah Hulu Selangor.
    2. Pengurusan Hutang PBT kepada Alam Flora  - Kerajaan Negeri sentiasa mengadakan rundingan dengan pihak PBT dan Alam Flora dalam usaha bagi menyelesaikan semua tunggakan hutang yang perlu diselesaikan. Hasil daripada semakan yang kita lakukan, Kerajaan Negeri akan membuat tuntutan balas kepada Alam Flora kerana kebanyakan kompaktor dan mesin-mesin yang dipulangkan kepada kita dalam keadaan yang sangat teruk.
    3. Pemantauan Aduan Sisa Pepejal - Kerajaan Negeri telah melancarkan talian tetap aduan sampah (1 800 88 2824) bagi memudahkan pelbagai pihak membuat aduan yang diuruskan oleh Bahagian Korporat, SUK.
    4. Semua PBT juga turut melantik kontraktor sokongan bagi menggantikan segera kontraktor yang ditamatkan perkhidmatan disebabkan prestasi yang tidak memuaskan.
    5. Pengezonan Semula - Kerajaan Negeri turut mengarahkan agar semua PBT dapat melakukan semula proses pengezonan kawasan bagi memudahkan aktiviti pemantauan dan tindakan dilakukan dengan mudah dan berkesan.
    6. Kerajaan Negeri melalui Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan, UPEN telah menubuhkan unit khas bagi menjalankan audit kutipan sisa pepejal sebagai usaha mengumpul data serta masalah yang dihadapi oleh kontraktor yang dilantik.

Dato’ Speaker dan sidang Dewan sekalian,
  1. Sukacita saya maklumkan, hasil daripada usaha kita melaksanakan sendiri Pengurusan Kutipan Sisa Pepejal, kita berjaya menjimatkan kos sebanyak RM80,948,216.13 setahun berbanding semasa di bawah kendalian oleh pihak Alam Flora Sdn Bhd. Wang penjimatan ini kita salurkan semula kepada rakyat sejajar dengan semangat “Hasil Negeri Untuk Rakyat” melalui skim pemberian 25% rebet cukai pintu kepada rumah flat kos rendah di seluruh negeri Selangor.

Sidang Dewan Yang Dimuliakan,
  1. Strategi yang sama kita gunakan dalam melihat isu air secara keseluruhan. Industri Perkhidmatan Air melibatkan empat (4) komponen utama iaitu Air Mentah, Air Terawat, Sistem Agihan dan Pengguna.

  1. Banyak kekeliruan timbul berkenaan air di negeri Selangor ini. Bermula dengan isu penstrukturan semula industri air, diikuti dengan kapasiti bekalan air dan yang terkini muncul pula isu Loji Rawatan Air Langat 2.

  1. Kerajaan Negeri Selangor mengambil ketetapan bahawa Negeri Selangor mempunyai jumlah air mentah yang mencukupi berdasarkan sejumlah data yang dipetik daripada Kajian Semula Sumber Air Negara (Review of The National Water Resources Study, NWRS) Tahun 2000 hingga 2050 yang dibuat oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia (NRE). Kajian ini  menunjukkan bahawa taburan hujan tahunan negeri Selangor terkini adalah sebanyak 2,190mm . Setelah diambil kira jumlah penyejatan dan susupan semula air bumi, jumlah air larian permukaan adalah 6,380,000,000 meter padu setahun bersamaan 17,000,000,000 liter sehari.

  1. Keperluan air negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah dianggarkan sebanyak 7,832,000,000 Liter sehari- ( ia merangkumi bekalan air awam, pengairan padi pertanian dan penternakan termasuk 10% bagi kegunaan engaliran alam sekitar. Ia bermakna Negeri Selangor masih  mempunyai 9,168,000,000 liter sehari air larian permukaan yang masih boleh dimanfaatkan lagi.

  1. Air mentah yang ada di negeri Selangor ini bukan hanya tertumpu pada air yang terdapat di empangan tetapi juga termasuk air di sepanjang hulu sungai hinggalah ke hilir sungai yang pada ketika ini hanya dilepaskan terus ke laut. Kerajaan Selangor berpandangan bahawa kita sepatutnya memanfaatkan air mentah yang tersedia ini tanpa membiarkannya terbuang begitu sahaja.

  1. Pada ketika ini terdapat pelbagai teknologi untuk tujuan ini; antaranya teknologi penurasan ultra (ultra filtration), teknologi membran (membrane) dan penurusan tebing sungai (river bank infiltration). Saya berpendapat sepatutnya teknologi tersebut dikaji terlebih dahulu dalam usaha kita untuk memanfaatkan air mentah yang ada di negeri Selangor.  Jika pendekatan ini dikaji dengan teliti,  membolehkan seluruh negeri Selangor menjadi kawasan tadahan sebagaimana yang dilakukan oleh Singapura yang hari ini kita dapati seluruh Singapura menjadi kawasan tadahan air.

  1. Kerajaan Negeri Selangor mengambil pendirian bahawa potensi air mentah sedia ada di negeri Selangor seharusnya ditingkatkan penggunaannya sebelum dibuat keputusan terhadap usaha penyaluran air dari Pahang ke Selangor.

MERPERKUKUH KUALITI HIDUP RAKYAT

  1. Strategi ketiga yang diambil kerajaan adalah memperkukuhkan kualiti hidup rakyat. Ia merangkumi penyelesaian isu kemiskinan isi rumah sama ada di bandar atau luar bandar, daripada  kebajikan kepada bekerja, memperkasa IPT Selangor bagi memenuhi keperluan pasaran kerja, pembinaan Rumah Kos Rendah dan Rumah Mampu Milik serta Pembangunan Usahawan dalam usaha mengurangkan kebergantungan pada Kerajaan serta memupuk rakyat berilmu, berakhlak mulia dan hidup sihat.

  1. Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) akan terus dipacu pelaksanaannya. Ia meliputi pembentukan Tabung Warisan Anak Kelahiran Selangor (TAWAS); Bekalan Air Percuma bagi 20 meter padu; Hadiah Anak Masuk Universiti; Skim Mesra Usia Emas (SMUE); Mewujudkan Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) dan Tabung Pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang; Hadiah Anak Masuk Universiti; Skim Mesra Usia Emas; Skim Mikrokredit Selangor; Skim Kesihatan Wanita; Skim Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR); Pusat Tuisyen Rakyat. Pelbagai program kebajikan telah dan akan terus disediakan yang meliputi semua golongan sasar yang memerlukan, sama ada dalam bentuk bantuan kebajikan, latihan kemahiran dan latihan pembangunan untuk golongan wanita, orang kelainan upaya (OKU), warga emas, kanak-kanak, anak-anak yatim serta ibu tunggal yang kurang berkemampuan.

  1. Kerajaan Negeri juga amat prihatin terhadap keselamatan rakyat di negeri ini yang sentiasa tergugat dengan meningkatnya indeks jenayah. Justeru itu, usaha-usaha sedang dilakukan untuk menangani masalah ini. Sebuah Jawatankuasa Induk Menangani Keselamatan Rakyat akan ditubuhkan dengan melibatkan pelbagai pihak antaranya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Agensi Pemaju Perumahan REHDA, Polis Diraja Malaysia Selangor (PDRM), Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS ) Persatuan-Persatuan Penduduk, JMB dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Jawatankuasa ini berperanan sebagai agen meningkatkan usaha menangani gejala sosial dengan lebih berkesan.

  1. Sebagai negeri maju yang mengutamakan kebajikan rakyat, Kerajaan Negeri Selangor menggunakan beberapa pendekatan yang sesuai untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat menjadi lebih selesa dan memenuhi keperluan asas kepada masyarakat tanpa mengira bangsa, usia, fahaman politik dan agama.

  1. Melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) juga, rakyat di Negeri Selangor turut mendapat manfaat daripada hasil negeri yang diperolehi dan secara tidak langsung dapat meringankan tanggungan bebanan yang dihadapi.

  1. Bagi program pembangunan modal insan,  program-program yang berasaskan elemen SPIES (Spiritual, Physical, Intelektual, Emosi, Sosial) akan diteruskan dengan penambahbaikan dari semasa ke semasa yang merangkumi keseluruhan peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah, tertiari dan pendidikan sepanjang hayat.

Puteri Kayangan si Manja Lela,
Ditemani Tuanku ke Nilam Puri,
Belanjawan 2013 diseimbang segala,
Sejahteralah rakyat makmurlah negeri.

Dato’ Speaker dan Ahli-Ali Yang Berhormat,
PERUNTUKAN BELANJAWAN 2013
  1. Belanjawan 2013 Negeri Selangor adalah BelanjawanBerimbang. Sukacita saya maklumkan bahawa Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat telah berjaya dan konsisten selama lima tahun berturut-turut dengan membentangkan belanjawan berimbang. Hal ini sekali gus membuktikan kemampuan kita mentadbir secara telus, berhemat berbelanja dan mengamalkan pengurusan kewangan secara berhemah. Pada masa yang sama kita juga telah memastikan kelestarian pertumbuhan ekonomi negeri.

  1. Anggaran hasil negeri Selangor bagi tahun 2013 berjumlah RM1,630,000,000. Anggaran hasil ini terdiri daripada Hasil Cukai sebanyak RM584,444,172.26 atau 35.86 peratus, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM859,803,567.74 atau 52.75 peratus dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM185,752,260.00 atau 11.40 peratus.

  1. Anggaran Perbelanjaan Negeri yang diperakui bagi tahun 2013 berjumlah RM1,630,000,000.00. Perbelanjaan Mengurus diperuntukkan sebanyak RM996,980,690.00, iaitu 61 peratus yang terdiri daripada perbelanjaan Tanggungan (RM57,907,095.00 atau 3.5 peratus) dan perbelanjaan Bekalan (RM939,073,595.00 atau 57.6 peratus). Perbelanjaan Pembangunan disediakan peruntukan RM633,019,310.00, iaitu 39 peratus.

  1. Cadangan Belanjawan Mengurus tahun 2013 berjumlah RM996,980,690.00 berbanding peruntukan asal tahun 2012 sebanyak RM1,000,000,000. Agihan Perbelanjaan Bekalan dan Tanggungan berjumlah RM996,980,690.00 ini meliputi Objek-Objek Am, iaitu Emolumen (RM363,840,812.44 atau 36.49 peratus), Bekalan dan Perkhidmatan (RM414,867,037.37 atau 41.61 peratus), Aset (RM3,716,600.00 atau 0.37 peratus), Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap (RM201,291,160.19 atau 20.19 peratus) dan Perbelanjaan Lain (RM13,265,080.00 atau 1.33 peratus).
  1. Penurunan sebanyak 0.3% disebabkan oleh penurunan bayaran balik pinjaman Persekutuan yang telah dibayar secara komited dan berkala oleh Kerajaan Negeri. Hal ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri peka dalam hal menguruskan hutang kepada Kerajaan Persekutuan sejak tahun 2008.

  1. Cadangan Belanjawan Pembangunan tahun 2013 adalah berjumlah RM633,019,310 berbanding peruntukan asal tahun 2012, iaitu berjumlah RM600,000,000.

  1. Anggaran Perbelanjaan Pembangunan ini diagihkan kepada beberapa sektor utama, iaitu Sektor Infrastruktur (RM343,260,610.00 atau 54 peratus), Sektor Sosial (RM188,399,600.00 atau 30 peratus), Sektor Ekonomi (RM91,951,100.00 atau 15 peratus), dan Sektor Perbandaran (RM9,408,000.00 atau 1 peratus).







  1. Anggaran Perbelanjaan Pembangunan pada sektor infrastruktur adalah; Kemudahan Awam RM296,781,160.00 (86.46%), Sains Teknologi dan Inovasi RM41,820,010.00 (12.18%), dan Perumahan RM4,659,440.00 (1.38%).
   
  1. Anggaran Perbelanjaan Pembangunan bagi sektor Ekonomi adalah; Kewangan RM53,610,000.00 (58.30%), Pertanian RM17,766,040.00 (19.32%), Pelancongan RM5,585,010.00 (6.07%), Pembangunan Usahawan RM7,700,010.00 (8.37%), Sumber Alam RM2,890,040.00 (3.14%), Kajian dan Penyelidikan RM2,800,000.00(3.05%) dan Pelaburan dan Perindustrian RM1,600,000.00 (1.74%).
  1. Anggaran Perbelanjaan Pembangunan di sektor Perbandaran, terbagahi kepada beberapa bahagian; Pengurusan Sisa Pepejal berjumlah RM408,000.00 (4.34%), Kelengkapan CCTV di PBT RM6,000,000.00 (63.78%) dan Kerajaan Tempatan RM3,000,000.00 (31.89%).

  1. Anggaran perbelanjaan Pembangunan bagi sektor Sosial pula, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah yang besar kepada Program Merakyatkan Ekonomi Selangor, iaitu RM118,250,020.00, Pendidikan sebanyak RM26,850.040.00, Pembangunan Modal Insan RM11,380,500.00, Kampung Baru RM5,000,000.00, Sukan RM5,800,000.00, Adat Melayu RM775,030.00, Program-program Belia RM3,500,000.00, Rumah Ibadat Selain Islam RM3,000,000.00, Program Pembasmian Kemiskinan RM7,544,000.00, Pembangunan Luar Bandar RM1,500,000.00, Kerajaan Prihatin RM1,150,000.00, Tabung Kebajikan Anak Pekerja Ladang RM1,000,000.00, Wanita RM1,000,000.00, Pemeliharaan Alam Sekitar RM650,000.00, Kebudayaan dan Kesenian RM500,000.00, dan Kesihatan RM500,000.00.
  1. Peningkatan terkawal sebanyak 5 % daripada tahun sebelumnya membuktikan pengurusan kewangan yang baik dan teratur diamalkan Kerajaan Negeri sejak 2008 sehingga kini.

  1. Belanjawan Berimbang 2013 Negeri Selangor membuktikan iltizam Kerajaan Negeri terhadap hasrat untuk memastikan setiap perbelanjaan menepati nilainya. Kerajaan negeri juga mampu memberi justifikasi dalam setiap perbelanjaan yang dilakukan. Pada masa yang sama semua program pembangunan demi kesejahteraan rakyat berjaya diteruskan.  Hal ini selari dengan harapan kita untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri  ‘baldatun toyyibatun warabbul ghafur’yakni negara sejahtera dan mendapat keampunan Tuhan, sebagaimana firman Allah dalam Surah Saba, ayat 15.

Dato’ Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
  1. Pentadbiran dan pembangunan di negeri Selangor dilaksanakan dengan corak yang agak berbeza daripada negeri-negeri lain. Konsep Hasil Negeri Untuk Rakyat telah disebarluaskan di seluruh pentadbiran negeri. Modal pelaksanaannya juga bukan sekadar datang daripada peruntukan belanjawan negeri. Kerajaan negeri kreatif dengan menggunakan sumber-sumber lain bagi meningkatkan pelaburan pembangunan infrastruktur. Hal ini terbukti bilamana kita mengumumkan peruntukan Geran Selangorku pada Belanjawan 2012, yang berjumlah RM300 juta.

  1. Izinkan saya dengan serba sedikit memberikan status pelaksanaan Geran Selangorku berjumlah RM300 Juta yang telah dilancarkan pada tahun 2012  yang bersumberkan sebahagian besarnya daripada kejayaan Kerajaan Negeri Selangor mendapatkan hutang lapuk Syarikat Talam Corporation, serta menstruktur semula dan mengemas kini projek-projek usaha sama pembangunan hartanah anak-anak syarikat Kerajaan Negeri.

  1. Sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk projek pembangunan infrastruktur dan sehingga pertengahan Oktober 2012, sebanyak 264 projek infrastruktur telah diluluskan merangkumi 9 daerah di negeri Selangor dengan anggaran perbelanjaan sejumlah RM 37.4 juta telah dibelanjakan.

  1. Hal ini merangkumi penurapan, mengecat dan membaiki jalan, pembaikan longkang, penambahan dan pembaikan semula lampu jalan, pelebaran jalan, pembinaan jalan lorong, dataran pantai, jalan rizab, pembaikan pembetung daripada tersumbat dan sebagainya.

  1. Bagi pembangunan Infrastruktur Sukan, sejumlah RM30juta telah diperuntukkan dan sehingga pertengahan Oktober 2012, anggaran RM6 juta dengan 35 projek telah diluluskan meliputi 9 daerah di negeri Selangor.

  1. Bagi program-program bukan fizikal pula, sehingga Oktober 2012, sebanyak 62 projek diluluskan di bawah Geran Selangorku dengan perbelanjaan sebanyak RM7.48 juta telah dibelanjakan.

  1. Program-program tersebut meliputi pemerkasaan wanita, sokongan pendidikan, keusahawanan muda, penggerak pembangunan luar bandar, kebajikan kepada pekerja, pembasmian rasuah dan penyelewengan, pengenalan gaji minimum, pengukuhan budaya dan pengukuhan demokrasi. Pelaksanaan program di bawah Geran Selangorku akan turut dipergiatkan pada tahun 2013 kelak.


Yang Berhormat Dato’ Speaker dan Sidang Dewan yang dihormati,
Tuah ayam nampak di taji,
Tuah rakyat pada bijaknya pemimpin mentadbir negeri.

  1. Pada awal bicara tadi saya telah gariskan kedudukan semasa kewangan Kerajaan Negeri Selangor setakat 31 Oktober 2012 yang secara keseluruhannya menunjukkan prestasi yang baik. Bagi ketiga Kumpulan Wang Disatukan, iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan kini mencecah RM2,570,000,000 juta.


  1. Ramai yang mahukan rizab ini kita belanjakan. Sebaliknya saya berpandangan rizab negeri tidak harus digunakan bagi menampung kos pengurusan mahupun untuk melaksanakan pembangunan biasa, jauh sekali untuk memberi gula-gula kepada rakyat meskipun pilihan raya umum yang begitu hampir. Saya tegas mengatakan rizab negeri hanya boleh digunakan apabila wujud desakan di luar jangkaan dan kegunaannya mestilah untuk rakyat teramai.

Dato’ Speaker dan sidang Dewan sekalian,
  1. Mengambil iktibar daripada al-Quran Nur Karim, surah Yusof, juz 12, ayat 43 hingga 53, yang menceritakan kisah pada zaman Nabi Allah Yusof, Alaihissalam. Pada ketika itu baginda  telah dipenjarakan kerana fitnah Zulaikha. Raja Mesir ketika itu, Al-Aziz bermimpi bahawa 7 ekor lembu betina yang gemuk telah ditelan oleh 7 ekor lembu betina yang kurus, 7 biji gandum yang hijau dan 7 biji gandum yang kering, kemudian hujan. Hanya mukjizat Nabi Allah Yusof a.s. yang boleh mentafsirkan mimpi tersebut, iaitu:-
7 tahun yang pertama (7 ekor lembu gemuk) adalah 7 tahun yang makmur, bertanamlah dengan
sungguh-sungguh, kemudian hasil tuaian itu sedikit  digunakan dan banyak disimpan. Akan berlaku 7 tahun  kemarau (7 ekor lembu kurus) dan semua tanaman mati  sehingga habis hasil yang disimpan semasa 7 tahun  yang  makmur tadi. Kemudian barulah turun hujan dan  bermulalah pula 7 tahun yang makmur semula.

Sidang Dewan yang dimuliakan,
  1. Berpandukan petunjuk ekonomi dunia yang dijangka mengalami kelembapan pada tahun hadapan berikutan, di antaranya pergeseran diplomatik  antara China dan Jepun saya menjangkakan kesan bakal juga terasa terhadap ekonomi Malaysia dan Selangor. Semakin terasa apabila harga komoditi kelapa sawit menjunam jatuh ketika ini. Hutang negara pula nampaknya terus menghampiri had siling 55 peratus nisbah hutang kepada KDNK (2013: 54.2 peratus; 2012: 53.7 peratus).

  1. Justeru itu, meskipun keadaan negeri Selangor ketika ini amat selesa, namun peringatan agar beringat-ingat daripada al-Quran ini tidak harus dipandang ringan; yang serasi dengan maksud tersirat bidalan Melayu; berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian - beringat-ingat dahulu, bersenang senang kemudian.

  1. Kerajaan Negeri Selangor yakin rizab negeri yang tinggi ini adalah hasil daripada perbelanjaan berhemat yang dilakukan pemimpin. Oleh sebab sikap Kerajaan Persekutuan yang tidak berlaku adil kepada rakyat Selangor dalam hal menyalurkan dana pembangunan ke negeri ini meskipun Selangor adalah penyumbang utama kepada ekonomi negara iaitu sebanyak 23%, maka telah wujud keadaan mendesak, iaitu sudah tiba masanya Kerajaan Negeri menggunakan rizab negeri pada tahun 2013. Kita bercadang menggunakan sejumlah RM500 juta dari wang rizab bagi projek-projek berikut;
  1. RM 300 juta bagi pembinaan jambatan ketiga di Klang. Saya difahamkan upacara pecah tanah telah disempurnakan oleh kerajaan terdahulubeberapa hari sahaja sebelum PilihanRaya Umum ke-12. Malangnya, setelah lebih empat tahun, jangankan jambatan, sebatang rangka tiang pun masih tidak kelihatan! Oleh itu, pada tahun 2013 nanti, meskipun kita maklum bahawapembinaan jambatan adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan,namun Kerajaan negeri akanmendahulukan wang untuk pembinaannya bagi “mengotakan” JanjiYang Tidak Ditepati oleh UMNO-BN;

  1. RM100 juta bagi memulakan pelaksanaan penggunaan Storm Waterdi hiliran sungai sebagai sumber air terawat. Saya telah nyatakan di peringkat awal tadi bahawa Kajian National Water Resources Study (NWRS) mendapati bahawa terdapat kuantiti air larian yang sangat besar iaitu 9,168 juta liter sehari dan ini perlu dimanfaatkan dengan sewajarnya oleh negeri Selangor. Selama ini, kuantiti ini tidak dimanfaatkan untuk dijadikan sumber bekalan air terawat.  Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor akan menunjukkan kepada Kerajaan Persekutuan bahawa Negeri Selangor mempunyai potensi untuk memanfaatkan penggunaan storm waterdi hiliran sungai sebagai sumber air terawat tanpa membiarkan ia terbuang begitu sahaja.

Sebagai contoh, pada ketika musim hujan, Sungai Selangor mempunyai air di hiliran hingga mencapai 21,000 juta liter sehari sedangkan penggunaan bagi seluruh Lembah Klang, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya pada masa ini hanyalah 7,832 juta liter sehari.

Kaedah pembangunan storm wateryang sedang dikaji dan diteliti oleh Kerajaan Negeri Selangor melibatkan komponen-komponen berikut:-
    1. Penadahan air semasa hujan lebat (wet season).  Storm water yang mengalir ke sungai akan dipamkan dari muka sauk yang akan dibina di tepian sungai;
    2. Penakungan air di buat sama ada melalui bekas-bekas lombong sedia ada atau kolam takungan yang  dibina.
    3. Rawatan air boleh dibuat menggunakan teknik penurasan tebing sungai (River Bank Filtrations -RBF) dan seterusnya mengguna pakai kaedah rawatan air konvensional bergantung pada kualiti air yang diperoleh darippada kolam takungan.
    4. Agihan boleh dibuat menerusi sistem agihan sedia ada.

Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor bersedia untuk menerokai pembangunan air di hiliran sebagai sumber air terawat terutama di lokasi Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Semenyih dengan kaedah yang sesuai dan praktikal.

  1. RM50 juta bagi membaiki dan menaiktaraf sistem saliran di Negeri Selangorbagi menampung sementara kegagalanKerajaan Persekutuan memperuntukkan sejumlah RM1 bilion kepada Jabatan Parit dan Saliran. Peruntukan ini jugasedia digunakan untuk kita menterjemahkan Pakej RangsanganPemulihan Sungai Klang yang diumumkan pada 2009 kepada tindakan dan pelaksanaan.

  1. RM50 juta membina rumah mampu milik melalui projek  “Rumah Mampu Milik Pasang Siap” (Prefabricated Packages Home) yang bakaldikendalikan oleh Lembaga Perumahandan Hartanah Selangor bagi membantu rakyat yang terbeban dengan harga rumah yang melambung di pasaran pada ketika ini. Projek ini diyakini mampu  memberi keseimbangan terhadap hargatinggi dalam trend lonjakan harga rumah kesan daripada penawaran dan permintaan pasaran akibat  pengambilan untung yang keterlaluan oleh kalanganpemaju, yang kemungkinan sebahagiannya mendukung kepentingan pihak Kerajaan Persekutuan. Maka, projek Kerajaan Negeri ini berhasratuntuk memperbaiki kesan-kesan harga pasaran yang terjadi akibat aktivitipersaingan spekulasi dalam perniagaan hartanah ini.



Dato Speaker dan sidang dewan sekalian,
  1. Insya-Allah, semua usaha yang kita lakukan akan menjadikan Selangor Peneraju Ekonomi Malaysia. Hal ini membawa mesej bahawa negeri ini memacu pembangunan negara serta menjadi kayu ukur untuk dicontohi hampir di kesemua sektor ekonomi.  Tegasnya, negeri ini kita kemudi dengan amalan politik baharu. Pada Belanjawan 2013 ini, ditekankan soal nilai, keadilan, kepedulian rakyat dan pembangunan untuk semua. Pelaksanaannya mengatasi kepentingan individu, menjangkau batasan kaum, warna kulit mahupun kepercayaan agama hatta ideologi politik sejajar dengan hasrat merakyatkan ekonomi negeri. Diharapkan, cara kita ini menjadi ikutan dan panduan generasi mendatang dalam hal menghasilkan “penyelenggaraan yang kemas dan bersih” (good & clean house-keeping) terhadap negeri ini, seterusnya memuaskan hati penghuninya, iaitu rakyat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan, selaku pemerintah negeri Selangor Darul Ehsan, yang ditaati dan disayangi. Saya yakin dengan usaha yang berterusan, ikhlas dan disusuli dengan doa yang berpanjangan, Selangor pasti menjadi peneraju dalam semua aspek kehidupan di negara Malaysia yang tercinta ini.
Ditemani Tuanku ke Nilam Puri,
Dikawal panglima si orang Jawa,
Sejahteralah rakyat makmurlah negeri,
Rakyatnya sebangsa senegeri sejiwa.

  1. Saya memohon kepada ALLAH Subhanahuwataala agar kita semua diberikan petunjuk dan hidayah, kekuatan dan kesetiaan untuk melaksanakan keadilan dan kesamarataan kepada semua.

Dato’ Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

  1. Demikianlah pembentangan Belanjawan 2013 Negeri Selangor. Saya mohon mencadangkan.

Terima kasih.