Friday, 7 October 2011

Asteroid gergasi Vesta mempunyai gunung lebih tinggi daripada yang terdapat di Bumi



Kapal angkasa Dawn mengambil imej ini pada bahagian kutub selatan Vesta yang mempunyai diameter kira-kira 530 kilometer. Imej yang diambil pada 9 Julai 2011 ini mempunyai skala kira - kira 3.5 kilometer bagi setiap piksel. Untuk meningkatkan butirannya, resolusinya telah ditingkatkan kepada 1 kilometer setiap piksel. Rantau ini mempunyai ciri-ciri topografi kasar, gunung yang besar, kawah hentaman, alur dan lereng curam.Imej: NASA/JPL/UCLA/MPS/DLR/IDA

Sebuah kapal angkasa milik NASA yang mengorbit asteroid Vesta mendedahkan maklumat terbaru mengenai permukaan batuan angkasa itu termasuk sebuah gunung besar yang lebih tinggi daripada gunung Everest yang terdapat di Bumi.
Prob angkasa Dawn telah mengelilingi Vesta sejak pertengahan Julai lalu, apabila ia tiba di lingkaran asteroid yang terletak antara Marikh dan Musytari. Sehingga kini, Dawn telah memancarkan gambaran yang mengejutkan mengenai Vesta serta mendedahkan kewujudan gunung besar di hemisfera selatan asteroid itu dan menunjukkan permukaan kawahnya adalah suatu tempat yang hebat.  
“Kita telah mempelajari banyak perkara yang menakjubkan mengenai Vesta, yang kita panggil sebagai planet terrestrial terkecil” kata Chris Russel, penyelidik utama misi Dawn. “Seperti Bumi,Marikh, Zuhrah dan Utarid, Vesta mempunyai aliran larva basalt purba pada permukaannya dan teras besi yang besar. Gunung pada kutub selatannya adalah lebih besar daripada kepulauan Hawaii, gunung terbesar di Bumi, jika diukur dari dasar laut. Ianya hampir setinggi gunung tertinggi di dalam sistem suria iaitu Olympus Mons pada planet Marikh.
Gunung gergasi di selatan Vesta adalah hampir setinggi Olympus Mons, gunung terbesar di dalam sistem suria, yang melambung setinggi hampir 24 kilometer di atas permukaan. Di Bumi, gunung berapi daratan terbesar ialah Mauna Loa di Hawaii iaitu setinggi 9 kilometer, termasuk bahagian gunung berapi yang terdapat di bawah dasar laut. Gunung Everest, gunung tertinggi di atas paras laut di Bumi adalah setinggi 8.85 kilometer.
Dawn juga mendedahkan bahawa permukaan Vesta kelihatan lebih kasar daripada kebanyakkan asteroid yang terdapat di dalam lingkaran asteroid utama, yang mana ia merupakan kawasan luas yang dipenuhi batuan – batuan angkasa di antara orbit planet Marikh dan Musytari.
Di samping itu, anggaran awal umur kawah pada permukaan Vesta mencadangkan yang kawasan-kawasan di dalam hemisfera selatan adalah jauh lebih muda daripada kawasan di hemisfera utara – dengan beberapa kawasan di hemisfera selatan dianggarkan berusia antara 1 hingga 2 billion tahun.