Monday, 25 July 2011

Pluto kini mempunyai 4 buah bulan!


Keluarga planet kerdil, Pluto semakin bertambah. Berdasarkan foto yang diambil oleh teleskop angkasa Hubble pada 28 Jun lepas, sebuah lagi bulan kecil ditemui mengorbit planet ini.

Foto kiri diambil pada 28 June 2011., dan foto kanan diambil pada 3 Julai 2011. Credit: NASA, ESA, and M. Showalter (SETI institute)

Dikenali sebagai P4 buat masa ini, bulan ini dipercayai mempunyai saiz diameter yang agak kecil, di antara 13-34km sahaja, berbanding dengan Charon (1043km), Nix dan Hydra (antara 32-113km).
Oleh itu sehingga hari ini, Pluto sudah mempunyai 4 buah bulan.

Penemuan ini begitu mengkagumkan kerana menurut Mark Showalter (SETI Institut di Mountain View, California), kamera dari teleskop Hubble berjaya meneropong sebuah objek yang amat kecil pada jarak yang amat jauh, iaitu 5 bilion km!

Dalam pada itu, tujuan sebenar Hubble mengambil foto Pluto ialah di dalam usaha mencari jika wujud gegelang mengelilingi planet kerdil ini. Pluto dan sistem bulannya dipercayai terhasil daripada hentaman sebuah objek bersaiz agak besar ke atas Pluto itu sendiri. Serpihan yang melayang keluar akhirnya berkumpul kembali membentuk bulan-bulan yang ada sekarang.

Kenapa bulan P4 ini tidak dikesan daripada foto-foto Hubble sebelum ini? Ini adalah kerana waktu dedahan kameranya agak singkat berbanding apa yang dibuat sekarang. Kita perlu faham, bulan ini amat-amat kecil dan amat kelam. Maka, waktu dedahan yang lama perlu digunakan untuk menangkap cahaya malap yang datang dari P4 ini.

Penemuan P4 ini juga memboleh saintis yang mengendalikan misi New Horizon, mendapat maklumat tambahan bagi membolehkan mereka mendapat input baru di dalam misi mereka meneroka dunia-dunia yang berada di ceruk hujung sistem suria kita ini.

Kredit : Falak Online
sumber: NASA