Saturday, 21 May 2011

Tragedi Tanah Runtuh : Kerajaan Selangor Beri Bantuan Segera Kepada Mangsa Dan Keluarga


Saturday, 21 May 2011 | Ruangan: Berita

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri malam ini mengucapkan takziah kepada keluarga kanak-kanak yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa Felda Semungkis,Hulu Langat.

Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar, kerajaan negeri menghantar Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor serta Yayasan Amal ke tempat kejadian untuk memberi bantuan segera kepada mangsa yang terselamat dan anggota keluarga mereka.

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan membiayai kos keperluan untuk mereka yang selamat dalam bencana alam itu serta petugas yang bertungkus lumus menjalankan misi mencari dan menyelamat di samping menyumbangkan RM1,000 kepada setiap keluarga yang terkorban.

Selain itu, Abdul Khalid mengarahkan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk memastikan kebajikan mereka yang terselamat dijaga.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Selangor juga menyediakan penempatan sementara kepada penghuni madrasah dan anggota keluarga mereka yang terlibat di Azwin Resort sehingga misi mencari dan menyelamat mangsa selesai dijalankan,katanya.

Abdul Khalid menasihatkan keluarga mangsa terlibat supaya bersabar dan redha dengan kejadian ini.

“Semoga roh mangsa yang terkorban ditempatkan bersama orang beriman.Al-Fatihah,” katanya.