Saturday, 21 May 2011

Tragedi Tanah Runtuh : Dua Beradik Antara Yang Terkorban

KEADAAN Rumah Anak Yatim Al-Takwa, FELCRA Semungkis, Batu 14, Hulu Langat,   Kajang, dalam kejadian tanah runtuh. - Foto Yazit Razali

Saturday, 21 May 2011 | Ruangan: Berita

KAJANG, 21 Mei - Dua beradik, Mohd Zaim Azahari, 14, dan adiknya Mohd Azed, 8, adalah antara yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Hulu Langat dekat sini, hari ini.

Mayat Mohd Zaim dihantar ke Hospital Kajang pada pukul 8.55 malam manakala mayat adiknya dipercayai dihantar ke Hospital Ampang lapor Bernama.

Difahamkan bapa kanak-kanak malang itu, Azahari Mat Selek, 36, dan ibu mereka Noreha Ariffin, 37, bekerja sebagai warden dan tukang masak di asrama berkenaan bersama seorang lagi adik-beradik perempuan berumur 10 tahun, terselamat daripada runtuhan yang berlaku pada pukul 2.30 petang.

Datuk saudara kanak-kanak itu yang hanya dikenali sebagai Mohd Amri, 56, ketika ditemui pemberita di Hospital Kajang berkata Mohd Zaim seorang pelajar yang boleh menghafal surah Yassin pada umur 10 tahun dan merupakan seorang budak yang baik.

Dalam tragedi itu, 25 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa tertimbus akibat tanah runtuh.

Ketika kejadian kesemua mangsa dipercayai berada di khemah yang dipasang untuk mengadakan satu majlis yang dijadual diadakan petang tadi.

Sementara itu, seorang penguatkuasa Majlis Perbandaran Kajang Harizan Yaacub,30, yang merupakan bapa saudara tiga kanak-kanak yang belajar di asrama berkenaan masih tertanya-tanya keadaan tiga anak saudaranya itu.

“Anak buah saya ada empat orang belajar di sana…Mohd Aizad Abdul Karim,14, Mohd Aiman Abdul Latif, 12, dan Mohd Awie Abdul Latif, 13.

Seorang lagi anak buah saya, Mohd Alif Abdul Karim, 16, berada di rumah semasa kejadian berlaku,”katanya.

Harizan berkata maklumat terkini yang diterima buat masa ini mengatakan MohdAizad selamat tetapi patah kaki.

“Yang lagi dua itu, saya tidak tahu macam mana keadaannya,” katanya.

Tinjauan Bernama setakat ini mendapati mangsa yang cedera tidak kelihatan di Hospital Kajang dan dipercayai dihantar ke hospital lain, antaranya Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

KEJADIAN tanah runtuh di Rumah Anak Yatim Al-Takwa FELCRA Semungkis, di Hulu  Langat. - Foto Sairien Nafis


KEADAAN Rumah Anak Yatim Al-Takwa, FELCRA Semungkis, Batu 14, Hulu Langat,   Kajang, dalam kejadian tanah runtuh, hari ini. Laporan awal sebelum ini menyebut,   kira-kira 20 hingga 30 penghuni rumah anak yatim itu dipercayai tertimbus dalam   kejadian tanah runtuh pada jam 2.20 petang tadi. - Foto Yazit RazaliPERGERAKAN tanah kelihatan ketika hujan lebat dalam tragedi tanah runtuh di Rumah   Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Kampung Sungai Gahal, Hulu Langat. - Foto Yazit Razali


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat bekerjasama dengan penduduk kampung dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Kampung Sungai Gahal, Hulu Langat. - Foto BERNAMA


SUASANA sekitar Rumah Persatuan Anak-anak Yatim Malaysia ketika operasi   menyelamat kanak-kanak yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung   Sungai Gahal di Hulu Langat. - Foto BERNAMA


ORANG ramai turut hadir bagi mengikuti kejadian tanah runtuh di Rumah Anak Yatim dan   Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Kampung Sungai Gahal, Hulu Langat. - Foto Yazit   Razali


MANGSA dirawat selepas dibawa keluar dari tempat kejadian tanah runtuh. - Foto Rosli   Rahmat