Saturday, 21 May 2011

Tragedi Tanah Runtuh : 20 Anak Yatim Dikhuatiri Tertimbus

Saturday, 21 May 2011 | Ruangan: Berita

KAJANG , 21 Mei – Kira-kira 20 kanak-kanak dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal di Hulu Langat hari ini.

Setakat pukul 5.30 petang ini, lapan daripada mereka telah dikeluarkan daripada runtuhan itu oleh pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) lapor Bernama.

Seorang daripada mereka meninggal dunia dan dihantar ke Hospital Ampang untuk bedah siasat manakala tujuh lagi yang cedera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan.

Difahamkan ketika kejadian kira-kira 2.30 petang tadi, kesemua kanak-kanak itu sedang berada di dewan makan rumah anak-anak yatim itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, seramai 49 orang berada di kawasan Rumah Anak Yatim Al-Takwa, FELCRA Semungkis ketika kejadian tanah runtuh itu berlaku.


Katanya, seramai 24 orang terperangkap akibat kejadian berkenaan iaitu 20pelajar dan empat warden.

"Difahamkan berlaku dua tanah runtuh serentak pada masa kejadian," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau juga berkata, dua mangsa yang maut masing-masing berumur 11 dan 14 tahun.

Sementara itu, Tun Hisan meminta orang ramai yang berada di tempat kejadian supaya menjauhkan diri mereka kerana bimbang tanah runtuh berlaku lagi.

Foto


Foto