Saturday, 14 May 2011

Polis Sedang Kesan Suspek Kes Simbah Asid

KUALA LUMPUR, 14 Mei - Polis sedang mengesan seorang suspek lelaki berumur lingkungan 30-an berhubung satu kes cubaan menyimbah asid dalam kejadian terbaru di Jalan Desa Pandan di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang, suspek yang dipercayai menunggang motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam, dilihat memegang botol berlabel 100 Plus menggunakan tangan kiri dan dalam keadaan hendak membuka penutup botol itu.

“Suspek memakai baju putih berkolar, berseluar gelap serta bermisai. Suspek itu juga memakai topi keledar hitam bervisor dan menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai berwaspada dan berhati-hati sekiranya ternampak penjenayah ini.

Katanya orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada polis melalui Hotline polis KL (rakan cop) di talian 03-21159999 atau POLISKL ke 32728 dengan kadar segera supaya tindakan susulan dapat diambil untuk mengesan serta menangkap penjenayah ini.