Sunday, 11 July 2010

Mansuhkan Permit Penerbitan Akhbar

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

12hb Julai 2010

Mansuhkan Permit Penerbitan Akhbar

Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa kerajaan memansuhkan permit penerbitan akhbar yang tidak lagi relevan. Permit penerbitan akhbar menghalang kebebasan media dan kebebasan maklumat di negara ini. Era globalisasi,permit mengekang hak rakyat mendapatkan maklumat sudah ketinggalan zaman tatkala dunia media sudah berubah.

AMK Selangor membidas perlunya permit penerbitan akhbar ini kerana ianya bertentangan dengan Artikel 10 Perlembagaan Negara. Tidak ada keperluan untuk adanya permit penerbitan akhbar ini kerana ianya tidak akan menjejaskan keselamatan negara.Malahan,kita yakin media lebih akan meriah dengan kepelbagaian akhbar-akhbar yang wujud dan ia terpulang kepada kuasa pengguna untuk membuat pilihan.

Malahan kita berkeyakinan kuasa pengguna pembaca akhbar sudah bijak untuk membuat pilihan kerana kecanggihan teknologi maklumat kini lebih pantas dan meluas. AMK Selangor juga menggesa kerajaan tidak lagi menggunakan alasan tidak memperbaharui permit penerbitan akhbar setiap tahun untuk dijadikan asas mengekang penerbitan sesuatu akhbar.

Kewujudan undang-undang sedia ada masa kini sudah cukup untuk mengenakan tindakan perundangan kepada media-media cetak jika membawa berita berunsur fitnah dan mengancam keselamatan negara. Justeru permit penerbitan akhbar hanya akan mengekang perkembangan budaya fikir dan kritis rakyat. Tatkala peranan media cetak menjadi jurubicara rakyat dan pengimbang kepada pihak pemerintah.

AMK Selangor yakin jika permit penerbitan akhbar ini dimansuhkan,rakyat akan lebih berfikiran kritis dan terbuka tatkala kini jumlah akhbar di negara masih kurang di pasaran berbanding negara-negara maju lain. Akhirnya, Malaysia akan lebih maju dan inovatif kerana mempunyai akhbar yang berkualiti yang membentuk budaya fikir rakyat ke arah kecemerlangan.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor