Thursday, 1 July 2010

AMK Selangor Gesa Penasihat Undang-Undang,Pegawai Kewangan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dilantik Sendiri Oleh Kerajaan Pakatan Rakyat

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

01hb Julai 2010

AMK Selangor Gesa Penasihat Undang-Undang,Pegawai Kewangan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dilantik Sendiri Oleh Kerajaan Pakatan Rakyat

Angkatan Muda Keadilan Selangor mengalu-alukan cadangan agar negeri-negeri Pakatan Rakyat melantik Penasihat Undang-Undang sendiri bagi memastikan pegawai yang dilantik lebih memahami hasrat dan aspirasi agenda kerajaan Pakatan Rakyat.

Malahan AMK Selangor menggesa agar saranan Professor Dr Aziz Bari agar kerajaan negeri Pakatan Rakyat juga melantik Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kerajaan Negeri dilantik sendiri oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat diambil perhatian serius. Justeru, kita menggesa kerajaan negeri merombak jawatan-jawatan penting lain agar keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri lebih telus, tiada karenah birokrasi serta mendokong hasrat kerajaan negeri.

AMK Selangor menggesa ini adalah masa yang terbaik untuk membuat perubahan drastik selepas lebih 2 tahun kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir negeri khususnya Selangor,Kedah dan Pulau Pinang. Masa untuk perubahan sekarang dan tiada alasan wajar diberikan lagi bagi agenda perubahan besar negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Kita yakin perubahan drastik ini mampu memenuhi hasrat dan aspirasi rakyat di negeri dan kerajaan Pakatan Rakyat untuk melaksanakan reformasi pentadbiran agar lebih berkesan serta memahami agenda perjuangan Pakatan Rakyat.

Perubahan ini amat penting, kerana selama ini jawatan tersebut dari segi professionalisme dan ketaatannya kepada agenda kerajaan negeri dipersoalkan dan dipertikaikan. Ini kerana mereka adalah lantikan daripada kerajaan Persekutuan yang berbeza dengan hasrat dan agenda yang di bawa oleh kerajaan negeri.

AMK Selangor mengulangi ketegasan agar perubahan drastik ini dilaksanakan segera tanpa sebarang alasan lagi. Kita mendesak perubahan jawatan tersebut kerana kita semakin suntuk untuk melaksanakan agenda perubahan pentadbiran yang lebih dinamik, professional dan memahami hasrat dan aspirasi kerajaan Pakatan Rakyat.

Kita yakin jika perubahan ini dilaksanakan, rakyat akan memberikan dokongan dan sokongan kerana inilah yang menjadi harapan kepada perubahan yang diidamkan rakyat. Kerajaan negeri pentadbiran Pakatan Rakyat akan lebih menonjol dan komited kepada agenda perubahan yang diperjuang selama ini.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor