Tuesday, 2 March 2010

AMK Selangor Kutuk Serbuan Terbaru Regim Israel Ke Atas Masjid Al-Aqsa

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

02hb Mac 2010

AMK Selangor Kutuk Serbuan Terbaru Regim Israel Ke Atas Masjid Al-Aqsa

Angkatan Muda Keadilan Selangor mengutuk keras serbuan terbaru tentera dan polis Israel ke atas Masjid Al-Aqsa pada Ahad lepas. Malahan tindakan Israel yang berhasrat untuk memasukkan Haram Al-Ibrahimi dan Masjid Belal ke dalam senarai tapak warisan Yahudi dilihat boleh mencetuskan konflik berdarah terbaru. Tindakan ini jelas usaha terancang Israel yang ingin mengubah identiti kota suci itu.

AMK Selangor mendesak kerajaan Malaysia agar mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini dan memainkan peranan proaktif membawa usul ini ke Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) dalam kadar segera. AMK Selangor menyatakan keprihatinan berkenaan perkara ini dan berharap seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai fahaman agama dan berbilang bangsa berdiri dengan satu suara lantang menentang usaha terkutuk rejim Zionist Israel.

AMK Selangor juga menggesa pihak kerajaan menggerakkan usaha di peringkat antarabangsa bersama-sama dengan negara-negara lain untuk memberi tekanan antarabangsa terhadap rejim Zionist Israel. Malahan kita berharap dunia antarabangsa mengenakan tindakan tegas dan keras terhadap Israel yang berterusan menzalimi masyarakat Palestin dan mencemar tempat-tempat suci di Baitul Maqdis.

AMK Selangor juga mendesak agar seluruh rakyat di negara ini memainkan peranan aktif bagi memastikan kezaliman dan kekejaman rejim Zionist Israel dihentikan segera. Ini adalah isu sejagat kemanusiaan yang menuntut semua lapisan masyarakat memainkan peranan secara proaktif dan dinamik.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

AMK Selangor