Wednesday, 3 March 2010

AMK Selangor desak Noh letak jawatan



SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mendesak Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar meletakkan jawatan jika terus gagal menangani isu bekalan dan harga ikan negara dengan baik.

Ketua Penerangannya, Mohd Ezli Mashut berkata, desakan itu dibuat berikutan tindakan kerajaan yang menguatkuasakan penggunaan Kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan (KIBFG) bermula 1 Mac lalu.

Menurutnya, tindakan berkenaan menyebabkan kos meningkat dan ia menjadi faktor utama kepada kenaikan harga ikan.

“Bebanan kos yang dihadapi ini memberikan impak maksimum kepada rakyat apabila harga ikan naik mendadak.

“Ini menjejaskan kualiti pendapatan rakyat dan menyebabkan kesan rantaian kenaikan harga berterusan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Beliau berkata, AMK Selangor prihatin terhadap kebajikan rakyat akibat kenaikan berterusan satu persatu bahan makanan rakyat yang semakin gagal dikawal dengan baik oleh kerajaan.

Katanya, AMK Selangor menggesa agar Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Menteri berkenaan diberi taraf rendah kerana gagal memahami masalah yang dihadapi oleh pengimport dan pemborong ikan.

Mohd Ezli berkata, kesan terbesar ialah kepada rakyat keseluruhannya yang menerima kesan langsung apabila kualiti pendapatan boleh guna rakyat terjejas.

“AMK Selangor berharap Menteri berkenaan lebih prihatin dan empati sebelum melaksanakan apa-apa jua tindakan.

“Kebajikan dan kesan yang diterima oleh rakyat perlu diberi perhatian agar rakyat tidak didahulukan menjadi mangsa,” katanya.:

Dalam perkembangan berlainan, AMK Selangor turut mengutuk keras serbuan terbaru tentera dan polis Israel ke atas Masjid Al-Aqsa.

Mohd Ezli berkata, tindakan Israel yang berhasrat memasukkan Haram Al-Ibrahimi dan Masjid Belal ke dalam senarai tapak warisan Yahudi dilihat boleh mencetuskan konflik berdarah terbaru.

Menurutnya, tindakan berkenaan jelas mempamerkan usaha terancang Israel yang ingin mengubah identiti kota suci itu.

“AMK Selangor mendesak kerajaan Malaysia agar segera mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini dan memainkan peranan proaktif membawa usul ini ke Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC),” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Beliau berkata, AMK Selangor prihatin dengan perkara itu dan berharap seluruh rakyat di negara ini daripada pelbagai fahaman agama serta berbilang bangsa berdiri dengan satu suara lantang menentang usaha terkutuk rejim Zionis Israel.

Katanya, pihaknya juga menggesa kerajaan menggerakkan usaha di peringkat antarabangsa bersama-sama dengan negara-negara lain untuk memberi tekanan antarabangsa terhadap rejim Zionis.

“Kita berharap dunia antarabangsa mengenakan tindakan tegas dan keras terhadap Israel yang berterusan menzalimi masyarakat Palestin dan mencemar tempat-tempat suci di Baitul Maqdis,” katanya.