Wednesday, 17 February 2010

UMNO/BN Jahil dan Tidak hormat Undang-undang.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal disaran supaya belajar semula undang-undang dan konsep negara berperlembagaan sebelum mengeluarkan kenyataan yang hanya mempamerkan kejahilan diri beliau.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Kedah, Saiful Izham Ramli berkata ketika diminta mengulas kenyataan Mohd Shafie yang membidas tindakan 50 Ahli Parlimen Australia yang mempertikai pendakwaan berat sebelah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Shafie ketika di Sabah semalam menyifatkan langkah Ahli Parlimen terbabit sebagai tidak menghormati Perlembagaan Negara.

"Beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab dengan kenyataan itu perlu belajar semula tentang Perlembagaan dan keseluruhan sistem perundangan negara kita yang bertunjangkan sistem Inggeris yang juga diterima pakai oleh Australia sebagai anggota Komanwel.

"Kalau asas yang mudah itu pun tidak boleh difahami seorang menteri, lebih baik beliau letak jawatan," ujar Saiful ketika dihubungi Suara keadilan.

Menurut Saiful Izham, Ahli-ahli Parlimen Australia terbabit hanya mendesak supaya perbicaraan yang adil diberikan kepada Datuk Seri Anwar dan bukan berniat mencampuri urusan negara ini.

"Itu adalah pandangan peribadi mereka, sudah tentu mereka merasa bimbang dengan perkembangan politik di Malaysia dan mempersoalkan kaedah pendakwaan terpilih yang dilakukan terhadap Datuk Seri Anwar," kata beliau yang juga seorang peguam.

Namun tambahnya, media telah memainkan isu itu dengan cuba mengelirukan masyarakat tanpa mendedahkan sepenuhnya kenyataan daripada kumpulan Ahli Parlimen terbabit berhubung perbicaraan berat sebelah terhadap Anwar.

"Tidak timbul soal campurtangan. Mereka tidak mempersoalkan tentang perlembagaan negara tetapi mengenai kaedah pendakwaan," ujar beliau.

Sementara itu, Angkatan Muda KEADILAN Selangor mendesak agar pemimpin Umno dan Barisan Nasional mencermin diri mereka sebelum membidas negara luar dan pihak antarabangsa sebagai mencampuri urusan perundangan negara ini.

Ketua Penerangan, Mohd Ezli Mashut menegaskan, tindakan sekumpulan Ahli Parlimen Australia itu merupakan reaksi spontan masyarakat antarabangsa.

"Ia sebenarnya adalah reaksi spontan masyarakat antarabangsa yang melihat perbicaraan tersebut melanggar standar prinsip perundangan.

"Ulama tersohor antarabangsa seperti Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi dan Syeikh Dr Wahbah Zuhaili mengecam tuduhan fitnah yang dilemparkan kepada Datuk Seri Anwar.

"Mereka menganggap ia adalah suatu fitnah yang amat besar," kata Mohd Ezli.