Tuesday, 16 February 2010

UMNO/BN Gagal Hormati Kedaulatan Perundangan Dan Kebebasan Kehakiman

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

16hb Februari 2010

UMNO/BN Gagal Hormati Kedaulatan Perundangan Dan Kebebasan Kehakiman

Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak agar pemimpin UMNO/BN mencermin diri dahulu sebelum membidas negara luar dan pihak antarabangsa agar tidak mencampuri urusan perundangan negara ini. Tindakan 50 orang Ahli Parlimen Australia daripada pelbagai parti yang mendesak agar perbicaraan politik terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam kes terbaru yang dibicarakan agar digugur serta-merta. Ia sebenarnya adalah reaksi spontan masyarakat antarabangsa yang melihat perbicaraan tersebut melanggar standart prinsip perundangan.

Perlu ditegaskan di sini bahawa seluruh masyarakat dan dunia antarabangsa mengecam konspirasi Fitnah 2 ini. Ulama tersohor antarabangsa seperti Al-Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi dan Al-Syeikh Dr Wahbah Zuhaili menyatakan kecaman terhadap tuduhan fitnah yang dilemparkan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Mereka menganggap ia adalah suatu fitnah yang amat besar.

Malahan pemimpin-pemimpin serantau dan dunia juga menyatakan pendirian tegas berkenaan fitnah rekaan ini. Dijangka selepas ini semakin banyak pihak , pertubuhan-pertubuhan antarabangsa serta pemimpin dunia senada dan sekata mengecam tuduhan fitnah dan konspirasi jijik ini. Reaksi masyarakat antarabangsa amat tinggi kerana para konspirator menggunakan skrip lama untuk memusnahkan agenda pembaharuan di negara ini yang semakin mendapat sokongan rakyat.

UMNO/BN telah banyak melakukan kerosakan dan pencemaran terhadap kedaulatan undang-undang negara dan kebebasan kehakiman. Campurtangan yang keterlaluan dalam perjalanan perundangan negara mencemar imej dan integriti badan perundangan dan kehakiman negara. Justeru UMNO/BN tidak perlu mengecam tindakan pihak negara luar dan antarabangsa kerana kerosakan yang dibawa UMNO/BN menyebabkan kecelaruan dalam sistem perundangan dan kehakiman di Malaysia.

UMNO/BN perlu sedar bahawa masyarakat dan dunia antarabangsa melihat perbicaraan politik terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersifat konspirasi tertinggi untuk menghalang beliau membawa pembaharuan siasah di Malaysia. Rakyat Malaysia dan dunia antarabangsa tidak mudah diperbodohkan oleh siaran media kuno milikan UMNO/BN. Era kini maklumat tepat dan sahih semakin mudah diperolehi dan dicapai di seluruh dunia.

AMK Selangor juga menggesa agar komponen parti dalam Barisan Nasional bertindak bijak untuk keluar daripada bersekongkol dengan konspirasi jijik pemimpin UMNO ini. Protes senyap rakyat lebih hebat daripada ledakan reformasi era 1998 dahulu. Malahan jika dibuat kajian rambang, rakyat yakin bahawa perbicaraan politik ini adalah usaha terakhir pemimpin UMNO yang semakin merasakan kebangkitan rakyat semakin memuncah khususnya mutakhir ini.

AMK Selangor mencabar Ahli Parlimen pihak Barisan Nasional jika masih mempunyai harga diri dan maruah perjuangan agar tidak menjadi dayus dan berdiam diri dengan membiarkan bersama-sama berkomplot dalam fitnah besar tersebut. Rakyat dan dunia antarabangsa sedang menghakimi sistem perundangan dan kehakiman negara. Dan rakyat sudah bersedia melakukan perubahan besar untuk ‘Selamatkan Malaysia’.

Gelombang kebangkitan rakyat kini adalah era Reformasi 2.0. Capaian maklumat semakin pantas dan meluas. Jika reformasi 1998 lebih kepada sentimen emosi tetapi kini rakyat semakin bijak dan penuh informasi. Desakan perubahan ini akan semakin terus berjalan dan bersemarak.

AMK Selangor bersama-sama rakyat akan terus menggerakkan perubahan total di negara ini. Masa semakin suntuk, jika negara tidak diselamatkan maka kita semakin jauh tercicir daripada persaingan dunia sejagat.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

Angkatan Muda Keadilan Selangor