Wednesday, 17 February 2010

AMK S'gor gesa pemimpin PKR jangan tersasar

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mahu fokus dan komitmen tinggi di kalangan kepimpinan dan anggota PKR tidak tersasar dan menggiatkan usaha ke arah pembentukan kerajaan persekutuan yang diterajui Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

"Justeru, seluruh kerangka kepimpinan dan anggota PKR (hendaklah) menumpukan usaha memperkasa parti di peringkat akar umbi serta dapat mengelak pergeseran dan perbezaan pendapat secara terbuka," kata ketua penerangannya, Mohd Ezli Mashut.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, AMK Selangor berharap dihentikan segera percakaran sesama sendiri dan mulakan segera lembaran baru memperhebat gerak kerja menuju kemenangan membentuk kerajaan persekutuan dan menawan semua negeri.

"AMK Selangor berharap segala usaha dan gerak kerja membela rakyat dipertingkatkan bagi memastikan agenda perubahan dan pembaharuan yang diperjuangkan selama ini menjadi realiti.

"Kita perlu sedaya upaya mencari titik persefahaman antara ahli dan tidak mudah terpedaya dengan pujukan dan provokasi pihak Umno/BN yang bercita-cita untuk menghancurkan kekuatan PKR dan Pakatan Rakyat," katanya.

Menurut Mohd Ezli, apa yang menjadi keutamaan sekarang ialah kebijaksanaan politik apabila berhadapan dengan serangan bertali arus pihak Umno/BN.

Katanya, Umno/BN kini kian terdesak menggunakan apa jua strategi dan taktik 'pecah dan perintah' di kalangan kelompok pendukung PKR dan menghancurkan gagasan baru membela rakyat yang dibawa oleh PKR dan Pakatan.

Sehubungan itu, katanya, AMK Selangor yang mewakili suara generasi muda, melihat suasana ekonomi, pendidikan, sosial, sistem keadilan dan keselamatan negara kian parah.

"Lantaran itu,AMK Selangor amat mengharapkan agar usaha untuk selamatkan Malaysia, tidak lain dan tidak bukan, ialah (melalui) kemenangan bergaya Pakatan dalam pilihan raya umum akan datang.

"AMK Selangor melihat sokongan rakyat akan meningkat jika kita semua berlapang dada menyelesaikan perbezaan pendapat dan menghormati prinsip 'Adabul Ikhtilaf'.

"Yakinlah, usaha membentuk kerajaan persekutuan oleh Pakatan semakin hampir, namun rintangan yang menghalang gagasan perubahan ini juga amat besar.

"Generasi muda melihat negara perlu diselamatkan kerana jelas kegagalan Umno/BN mutakhir ini dalam pelbagai isu yang timbul menjadi penghalang untuk Malaysia kembali bangkit menjadi kuasa ekonomi baru dan menjadi pemangkin tamadun baru dengan nilai sosial murni yang tinggi," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa usaha-usaha untuk memecahbelahkan kekuatan PKR dan gabungan mantap Pakatan akan semakin hebat dilakukan oleh pihak yang tidak suka melihat perubahan dan gagasan baru diterima rakyat Malaysia.

"Mereka yang sayang kepada perjuangan parti dan kuasa rakyat tidak akan sekali-kali melakukan

tindakan tergopoh-gapah yang boleh menjejaskan imej parti dan menimbulkan suasana haru-biru," tambahnya.