Thursday, 25 February 2010

AMK Selangor Pertahan Kerajaan Selangor Dalam Isu Air



ezli007 gambarSHAH ALAM: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor bertegas mempertahankan pendirian Kerajaan Negeri Selangor berhubung tindakan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) membawa kes ke mahkamah apabila tuntutan kenaikan tarif air ditolak.

Dalam satu kenyataannya hari ini, Ketua Penerangan AMK Selangor, Mohd Ezli Mashut berkata, Syabas bulan lalu menghantar notis undang-undang menuntut Selangor membayar pampasan sebanyak RM339 juta kerana tidak membenarkan kenaikan harga itu tahun lalu.

khalid2Menurut beliau, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan bahawa Syabas mendesak supaya harga air dinaikan 30 peratus pada tahun lalu, namun tuntutan itu di tolak oleh kerajaan negeri.

"Sehubungan dengan itu, AMK Selangor menuntut dan mendesak Syabas agar mengutamakan rakyat dan memikirkan kebajikan rakyat sebelum menaikkan tarif air," ujar beliau.

Mohd Ezli berkata, tindakan Kerajaan Selangor menolak tuntutan ini jelas menggambarkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kepentingan rakyat yang perlu diutamakan.

"AMK Selangor amat memuji tindakan bijak dan prihatin kerajaan Selangor dalam isu ini yang tidak sekali-kali berkompromi dan tunduk atas nama kepentingan rakyat Selangor," tambahnya.

AMK Selangor katanya, juga mengulangi desakan yang dibuat oleh Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar kerajaan pusat mengembalikan semula aset air dan pengurusan air kepada kerajaan Selangor.

Bercakap kepada pemberita semalam, Khalid berkata, Selangor tidak akan membenarkan Syabas menaikkan tarif air sebanyak 30 peratus di kawasan Lembah Klang seperti yang pernah dicadangkan syarikat itu sebelum ini.

Menurut beliau, keputusan ini dibuat kerana Syabas tidak mempunyai sebarang hak untuk menaikkan tarif air itu.

"Untuk menaikkan tarif air tersebut, syarikat itu perlu mendapatkan persetujuan dari Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri terlebih dahulu selaku pemegang bersama konsesi bekalan air," jelas beliau.

Mengenai notis undang-undang itu beliau berkata, kerajaan negeri juga bersedia membawa perkara itu kepada pihak perundangan sekiranya Syabas tetap mahu meneruskan cadangan untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah.

---------------------------------------------------

Kredit : Free Malaysia Today