Sunday, 24 January 2010

Cabang PKR Kuala Selangor Semakin Mantap Dan Kukuh

Kenyataan Media

Cabang Kuala Selangor

Parti Keadilan Rakyat

24hb Januari 2010

Cabang PKR Kuala Selangor Semakin Mantap Dan Kukuh

Parti Keadilan Rakyat, Cabang Kuala Selangor masih dan semakin mantap serta kukuh walaupun berita perletakan jawatan AJK Cabang Kuala Selangor menjadi berita hangat politik di seluruh negara. Pertemuan tertutup antara AJK PKR Cabang Kuala Selangor bersama Majlis Pimpinan Negeri Selangor yang diadakan malam tadi (23-01-2010) menjelaskan segala-galanya mengenai status kedudukan sebenar Cabang Kuala Selangor masa kini. Dimaklumkan bahawa PKR Cabang Kuala Selangor adalah tidak bubar dan boleh bergerak seperti biasa.

Dalam pertemuan tertutup tersebut, AJK Cabang Kuala Selangor bersama Angkatan Muda Keadilan dan Wanita Cabang Kuala Selangor menyatakan muafakat kukuh dan meletakkan keyakinan tinggi kepada Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim untuk menerajui kepimpinan Cabang PKR Kuala Selangor dan Menteri Besar Selangor.

Adalah dimaklumkan bahawa perkembangan ini membuktikan bahawa Cabang PKR Kuala Selangor semakin mantap dan kukuh walaupun berita sebelum ini menggambarkan seolah-olah PKR Cabang Kuala Selangor sudah bubar. Realiti sebenar ialah sokongan dan dokongan kepada Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim semakin meningkat dari masa ke semasa.

Cabang PKR Kuala Selangor juga menerima sokongan mantap dan kuat daripada seluruh ranting-ranting yang terdapat di DUN Jeram,DUN Melawati dan DUN Ijok yang bersama-sama berdiri teguh bersama peneraju utama Cabang PKR Kuala Selangor. Malahan dalam pertemuan itu juga kesahihan perletakan jawatan AJK Cabang Kuala Selangor sebelum ini dipertikaikan kesahihannya kerana ada keraguan yang terdapat dalam soal menandatangani surat perletakan jawatan tersebut.

Cabang PKR Kuala Selangor juga ingin menegaskan bahawa gerak kerja membela rakyat dan menjana kemenangan PRU-13 akan semakin rancak dan giat selepas ini. Iltizam dan semangat yang ditunjukkan oleh semua anggota PKR di Cabang Kuala Selangor utuh dan terus bersemangat tinggi. Dalang komplot cubaan untuk membubarkan PKR Kuala Selangor gagal dan tidak mendapat sokongan kerana tindakan tersebut menjejaskan imej PKR dan Pakatan Rakyat keseluruhannya. Malahan tindakan menggunakan media terbuka mendapat kecaman hebat daripada pelbagai peringkat PKR.

Justeru,Cabang PKR Kuala Selangor berharap seluruh pendukung PKR di Kuala Selangor fokus kepada gerak kerja membela rakyat dan memperkasa gerak kerja PKR di Kuala Selangor. Kita tiada masa untuk melayan karenah politik remeh-temeh kerana PKR mempunyai banyak agenda dan gagasan besar perubahan dan membela rakyat di Selangor dan negara ini.

Cabang PKR Kuala Selangor menyatakan pendirian tegas dan kukuh bersama-sama Tan Sri Dato Seri Abdul Khalid Ibrahim untuk mendepani perubahan di Selangor dan bersama-sama membawa semangat kukuh ini untuk membawa perubahan total dan impak besar dalam PRU-13.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan Cabang Kuala Selangor

017-6543974