Friday, 1 January 2010

AMK Selangor Membantah Kenaikan Harga Gula Dan Roti

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

01hb Januari 2010

AMK Selangor Membantah Kenaikan Harga Gula Dan Roti

Angkatan Muda Keadilan Selangor membantah tindakan kerajaan membuat keputusan menaikkan harga gula dan roti yang jelas akan menjejaskan kualiti kehidupan rakyat. AMK Selangor merasakan tidak wajar tindakan tersebut kerana ia menjadi faktor penyebab kepada kenaikan produk dan barangan yang menggunakan gula di pasaran.

Kenaikan ini menjadi beban berat yang perlu digalas oleh semua lapisan rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana. AMK Selangor bimbang ‘teori domino’ rantaian kenaikan harga akan menjadi-jadi selepas kenaikan harga gula dan roti ini. Alasan yang dikemukakan kerajaan juga disangkal kerana walaupun dilihat gula boleh menjadi penyebab kepada masalah kesihatan tetapi ianya memberi impak besar kepada kenaikan harga barangan lain. Adalah mustahak agar kerajaan berfikir kesan-kesan lain yang akan menjejaskan kualiti pendapatan boleh guna rakyat.

Kerajaan perlu juga memikirkan kesan kenaikan harga ini kepada industri kecil sederhana dan industri yang menggunakan gula. Kenaikan ini pastinya menjadi penyebab pihak industri menaikkan harga keluaran produk mereka di pasaran. Kelembapan ekonomi negara yang masih samar-samar pemulihannya boleh menjejaskan usaha untuk merancakkan aktiviti ekonomi dan industri.

AMK Selangor juga merasakan kebimbangan besar bahawa belum lagi sistem cukai GST dengan 4% dilaksanakan sudah berlaku trend kenaikan barang. Adalah dijangkakan tahun 2010 ini jika fenomena kenaikan harga barangan dan perkhidmatan berterusan dan tiada pelan yang proaktif mengatasinya,rakyat akan terus merana dan terseksa.

Justeru,apa pilihan yang ada pada rakyat kebanyakkan yang mempunyai pendapatan rendah dan sederhana. Kita tidak mahu melihat indeks jenayah dan pengangguran meningkat akibat kegagalan kerajaan mengekang kenaikan harga barangan dan makanan yang mendadak dan drastik.

AMK Selangor juga mempertikaikan keupayaan model baharu ekonomi yang akan dibentangkan oleh Dato’ Seri Mohd Najib kelak. Apakah ia berkemampuan menangani cabaran besar kenaikan barangan makanan dan perkhidmatan. Apalah ertinya model ekonomi baharu ini jika kelak rakyat terus didahulukan untuk menjadi mangsa kerakusan sesetengah pihak dan kegopohan pihak kerajaan membuat keputusan.

AMK Selangor yakin yang menjadi keperluan mendesak pihak kerajaan masakini ialah memastikan harga barangan makanan dan perkhidmatan dapat dinikmati dengan selesa oleh semua golongan. AMK Selangor tidak menolak keperluan untuk merancakkan pelan pemulihan ekonomi negara ketika mana saat ini ekonomi global masih merangkah ke arah pemulihan. Namun kebajikan dan kualiti pendapatan dan kehidupan rakyat keseluruhannya perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan besar diambil.

Akhirnya, AMK Selangor menyatakan pendirian tegas agar kerajaan dalam tempoh yang singkat ini mencari jalan terbaik dan efektif untuk mengatasi kenaikan harga gula dan roti di pasaran. AMK Selangor mencabar apa erti dilaung dan diulang-ulang slogan ‘rakyat didahulukan’ sedangkan pada hakikat dan realitinya rakyat didahulukan untuk dijadikan ‘mangsa’ kepada keadaan dan tindakan kerajaan semasa.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

AMK Selangor