Sunday, 31 January 2010

AMK Selangor Gesa Semua Pimpinan Dan Anggota PKR Fokus Untuk Menawan Putrajaya Dalam PRU-13

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

31hb Januari 2010

AMK Selangor Gesa Semua Pimpinan Dan Anggota PKR Fokus Untuk Menawan Putrajaya Dalam PRU-13

Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa semua pihak pimpinan dan anggota PKR di seluruh negara agar fokus dan mempunyai ‘mind setting’ untuk membentuk kerajaan baharu persekutuan dalam PRU-13 ini. Justeru seluruh kerangka kepimpinan dan anggota PKR agar menumpukan usaha memperkasa parti di peringkat akar umbi serta dapat mengelakkan pergeseran dan perbezaan pendapat secara terbuka.

AMK Selangor menaruh harapan yang cukup tinggi akan kebijaksanaan seluruh pimpinan, ADUN dan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat untuk fokus dan menggiatkan usaha ke arah pembentukan kerajaan persekutuan yang diterajui Pakatan Rakyat dalam PRU-13. Hentikan segera percakaran sesama sendiri dan mulakan segera lembaran baru memperhebat gerak kerja menuju kemenangan membentuk kerajaan persekutuan dan menawan semua negeri.

AMK Selangor berharap segala usaha dan gerak kerja membela rakyat dipertingkatkan bagi memastikan agenda perubahan dan pembaharuan yang diperjuangkan selama ini menjadi realiti. Kita perlu sedaya upaya mencari titik persefahaman antara ahli dan tidak mudah terpedaya dengan pujukan dan provokasi pihak UMNO/BN yang bercita-cita untuk menghancurkan kekuatan PKR dan Pakatan Rakyat melalui senyap dan dalam.

Apa yang menjadi keutamaan sekarang ialah kebijaksanaan politik apabila berhadapan dengan serangan bertali arus pihak UMNO/BN yang kini kian terdesak menggunakan apa jua strategi dan taktik untuk ‘divide and rule’ di kalangan kelompok pendukung PKR dan menghancurkan gagasan baru membela rakyat yang di bawa oleh PKR dan Pakatan Rakyat.

AMK Selangor yang mewakili suara generasi muda melihat suasana ekonomi, pendidikan, sosial, sistem keadilan dan keselamatan negara kian parah. Lantaran itu,AMK Selangor amat mengharapkan agar untuk Selamatkan Malaysia tidak lain dan tidak bukan ialah kemenangan bergaya Pakatan Rakyat dalam PRU-13 ini. AMK Selangor melihat sokongan rakyat akan meningkat jika kita semua berlapang dada menyelesaikan perbezaan pendapat dan menghormati prinsip ‘Adabul Ikhtilaf’.

Yakinlah, usaha membentuk kerajaan persekutuan oleh Pakatan Rakyat semakin hampir kini namun rintangan yang menghalang gagasan perubahan ini juga amat besar. Generasi muda melihat negara perlu diselamatkan kerana jelas kegagalan UMNO/BN mutakhir ini dalam pelbagai isu yang timbul menjadi penghalang untuk Malaysia kembali bangkit menjadi kuasa ekonomi baru dan menjadi pemangkin tamadun baru dengan nilai sosial murni yang tinggi.

Seluruh pimpinan dan anggota PKR perlu menyedari, harapan dan ‘expectation’ yang diberi rakyat terlalu tinggi kerana kebejatan dan kerosakkan yang dibawa oleh UMNO/BN dalam sistem negara ini kian dan amat parah. Maka,kita semua tidak jalan lain melainkan mempertingkatkan ilmu dan skil kemahiran mengurus negara dengan gaya baru dan berbeza. Apabila kita sudah berjaya membentuk kerajaan persekutuan kelak, kita mampu tampil dengan pendekatan yang lebih segar dan dinamik untuk mengurus Malaysia tampil menjadi negara hebat dan disegani dunia.

AMK Selangor mengingatkan, usaha-usaha untuk memecahbelahkan kekuatan PKR dan gabungan mantap Pakatan Rakyat akan semakin hebat dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak suka melihat perubahan dan gagasan baru diterima rakyat Malaysia. Mereka yang sayang kepada perjuangan parti dan kuasa rakyat tidak akan sekali-kali melakukan tindakan tergopoh-gapah yang boleh menjejaskan imej parti dan menimbulkan suasana haru-biru.

AMK Selangor melihat,rakyat akan terus menyokong usaha dan harapan pembaharuan yang diperjuangkan PKR dan Pakatan Rakyat jika terus bercakap berkenaan soal-soal agenda pembaharuan ekonomi, sosial, sistem kehakiman, keselamatan negara dan hubungan harmoni masyarakat negara ini. Kita sebenarnya mempunyai formula ampuh bersama-sama rakan dalam Pakatan Rakyat untuk membina masa hadapan negara yang lebih cemerlang. Jangan kerana tidak dan kurang berpuas hati dengan keputusan sesetengah pimpinan, kita menggadai harapan perubahan yang digalaskan rakyat kepada kita semua.

AMK Selangor sekali lagi mengingatkan, pihak UMNO/BN amat gembira jika kepimpinan dalam PKR dan Pakatan Rakyat saling berkonflik walaupun atas isu yang kecil dan boleh diselesaikan. Media lapuk UMNO/BN akan mencanang ke seluruh negara seolah-olah menggambarkan apa yang berlaku satu krisis hebat dan besar. Matlamat UMNO/BN ini ialah agar sokongan dan dokongan hebat rakyat akan terhakis.

AMK Selangor juga menganjurkan agar seluruh kepimpinan PKR dan anggotanya sentiasa menjaga hubungan baik dengan Allah dengan mempertingkatkan taqwa dan amal-amal soleh. Doa dan munajat perlu diperhebatkan tatkala serangan hebat bertali arus dari seluruh arah menghentam. Manakala hubungan mesra dan kasih sayang sesama ahli perlu diperkasakan agar suasana kasih sayang antara sesama ahli dan rakyat menjadi kekuatan ampuh untuk kita menerajui kerajaan persekutuan. Kita amat kesuntukkan masa untuk saling tuding-menuding jari sesama sendiri, tetapi dalam masa yang singkat ini fokus dan keutamaan ialah bagaimana gerak kerja adalah denyut nadi menjana kemenangan mutlak.

Malaysia mengharapkan kemunculan pemimpin berjiwa dan mempunyai gagasan besar. Maka, sudah tiba masanya gaya kepimpinan dan gerak kerja anggota PKR mencetuskan inspirasi dan motivasi baru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk membawa menyelamatkan Malaysia sedaya upaya kini yang semakin parah. Kita tiada masa untuk berbicara soal remeh temeh dan picisan kerana masa yang terlalu suntuk untuk kita semua untuk membangkitkan kuasa rakyat sebagai kuasa keramat.

AMK Selangor amat mengharapkan, fokus dan komitmen tinggi di kalangan kepimpinan dan anggota agar ‘mind setting’ tidak lagi tersasar. Bangkitlah sebagai pemimpin berjiwa dan mempunyai gagasan besar dan anggota yang menjadi obor perjuangan rakyat untuk membawa kembali Malaysia menjadi negara hebat di peringkat serantau dan global.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

AMK Selangor