Thursday, 31 December 2009

Ucapan Khas Daripada AMK Selangor Sempena Tahun Baru 2010

Ucapan Khas Daripada AMK Selangor Sempena Tahun Baru 2010

Assalamualaikum,salam sejahtera, salam reformasi dan salam perjuangan kepada semua pendukung perjuangan Parti Keadilan Rakyat khususnya seluruh anggota Angkatan Muda Keadilan Selangor dan juga Malaysia.

Tahun 2009 yang telah meninggalkan kita akan menjadi satu lagi lipatan bersejarah dalam perjuangan kita menegakkan keadilan di Selangor dan Malaysia. Selepas kemenangan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan baharu di Selangor. Tugas dan cabaran yang dipikul oleh Angkatan Muda Keadilan Selangor semakin berat dan mencabar. Jika dahulu kita bergerak sebagai pembangkang kini kita bergerak selaku kerajaan di peringkat negeri Selangor dan pembangkang di peringkat persekutuan.

Tahun 2010 ini bakal merupakan tahun yang mencabar dan kritikal untuk AMK Selangor. Adalah dijangkakan bahawa November 2011 diramal akan berlaku pilihanraya umum ke-13 yang paling sengit dalam sejarah pilihanraya negara. Sudah tiba waktu dan ketikanya kini kita bersama memperkemas strategi dan mengukuh jentera pilihanraya dalam keadaan siap sedia daripada segi mental,ilmu,dana kewangan dan kemahiran.

Tahun 2010 ini juga perbicaraan terhadap Ketua Umum PKR akan berlangsung. Pihak UMNO/BN berusaha untuk memenjarakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk kali kedua dengan harapan segala usaha perjuangan rakyat selama ini dapat dipenjarakan bersama. UMNO/BN fikir dengan terpenjaranya sekali lagi DSAI maka mudah kerja dan tugas mereka dalam PRU-13. Justeru dalam perjuangan ini bukan sekadar menuntut keberanian total tetapi kebijaksanaan dan hikmah perlu digabungkan untuk menang dalam menentang kebatilan dan kezaliman.

Tidak juga dilupakan ialah Pilihanraya DUN Sarawak yang dijangka berlaku dalam tahun 2010 ini. Apakah Pakatan Rakyat akan dapat melebarkan sayapnya ke sebelah Laut China Selatan sana akan ditentukan oleh para pengundi di Sarawak. Kita mengharapkan dan terus berdoa dan bermunajat agar terbuka pintu hati rakyat Sarawak keseluruhannya untuk menjadikan Sarawak negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Kita perlu memperhebatkan usaha untuk mendekati pengundi generasi muda di bawah 35 tahun dengan lebih giat lagi.Malahan usaha pendaftaran pengundi muda yang belum mendaftarkan sebagai diri sebagai pengundi masih lagi tinggi. Usaha penyampaian info dan maklumat melalui penggunaan web 2.0 seperti facebook, twitter, friendster, sms dan blog perlu dipertingkatkan lagi.

Usaha penguasaan alam siber atau cyberspace perlu dipergiatkan lagi. Penggunaan laman interaksi sosial seperti facebook , Youtube dan Web 2.0 perlu dikemaskini sebaik mungkin dan up-to-date.Kekangan terhadap media konvensional seperti suratkhabar utama dan saluran televisyen tidak perlu menjadi penghalang utama kita untuk menguasai medan informasi dan peperangan maklumat.

Matlamat dan misi kita untuk menguasai Putrajaya dalam PRU-13 ini amat penting untuk menyelamatkan Malaysia yang semakin tercicir dalam persaingan ekonomi serantau dan usaha pembanterasan rasuah dan penyelewengan. Kita tidak mempunyai masa lagi sehingga PRU-14 dan PRU-15 untuk ke Putrajaya kerana kita tidak mahu negara terus ketinggalan dalam membina kemakmuran ekonomi dan keadilan sejagat.

Justeru, sesama kita perlu elakkan pergeseran secara terbuka yang boleh membina persepsi negatif terhadap parti PKR dan Pakatan Rakyat. Kita perlu bergerak secara bersepadu terhadap memenangi dan menjuarai perjuangan rakyat. Rakyat perlu diberi kesedaran untuk memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat dan PKR bukan sekadar ikut-ikutan dan emosi. Penjelasan dan kefahaman terhadap perjuangan unggul dan utama Pakatan Rakyat perlu diwar-warkan setiap masa dan ketika.

The future is here’ dan untuk cara terbaik untuk meramal masa hadapan adalah kita merancang dan melaksana agenda dan gagasan besar kita masakini. Gagasan besar untuk menggarap impian rakyat Malaysia terletak kepada para pendukung Angkatan Muda Keadilan seluruhnya tanpa berkecuali. Kita perlu mempunyai jiwa dan semangat besar dalam parti PKR ini dan perjuangan yang amat panjang ini.

Mungkin dalam perjuangan yang panjang ini, maka kita akan lihat beberapa individu yang cepat lemah, layu dan tidak sabar dalam perjuangan. Yang tidak sabar dan mementingkan diri mungkin mengambil keputusan lompat parti atau bertindak yang boleh memusnahkan nama baik parti dan perjuangan. Dalam perjuangan yang panjang ini semua pendukung AMK perlu ada ketahanan mental dan dalaman.

Akhirnya, AMK Selangor mengucapkan selamat berjuang dalam tahun 2010 ini. Kita adalah pejuang rakyat yang akan menyelamatkan Malaysia dan membawa negara ini mendepani perubahan dan membina negara ini menjadi sebuah negara madani dan impian untuk semua.

Disediakan oleh :

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan , AMK Selangor