Thursday, 10 December 2009

AMK Selangor Mengalu-alukan Keputusan Kerajaan Negeri Memperkasakan Pendidikan Islam Di Selangor

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

09hb Disember 2009

AMK Selangor Mengalu-alukan Keputusan Kerajaan Negeri Memperkasakan Pendidikan Islam Di Selangor

Angkatan Muda Keadilan Selangor amat mengalu-alukan keputusan kerajaan negeri Selangor dalam usaha memperkasakan pendidikan Islam di negeri ini khususnya berkenaan Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Menengah Agama. Malahan kesediaan kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat untuk memperuntukkan tanah untuk membina Sekolah Menengah Agama (SMA) membuktikan keprihatinan kerajaan negeri berkenaan pendidikan Islam di negeri ini.

Untuk rekod terdapat 480 buah sekolah rendah agama (SRA) dan 23 buah sekolah menengah agama (SMA) di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Selangor. Justeru jumlah Sekolah Agama Menengah ini amat kecil untuk menampung jumlah permintaan yang tinggi untuk menampung jumlah pelajar yang semakin meningkat dari masa ke semasa.

Ibubapa masakini lebih cenderung dan meletakkan kenyakinan tinggi untuk menghantar anak-anak ke sekolah yang berlatarbelakangkan pendidikan agama yang juga menawarkan pelajaran seperti di sekolah menengah biasa. Ini adalah untuk memastikan masa hadapan anak-anak mereka mempunyai asas pendidikan agama yang mantap dan kukuh untuk berhadapan cabaran kegawatan moral dan akhlak masa kini dan era globalisasi yang serba mencabar.

AMK Selangor juga mohon mencadangkan dalam usaha memperkasakan pendidikan Islam di Selangor beberapa cadangan dikemukakan untuk dilaksanakan :

Pertama : Memperkukuh dan memantapkan modul kurikulum dan kokurikulum pendidikan sekolah rendah agama dan sekolah menengah agama. Ianya untuk memastikan pelajar mempunyai kelebihan tersendiri dalam aliran ini untuk mereka berhadapan di dunia persaingan sejagat yang serba mencabar.

Kedua : Pemilihan dan pengukuhan jati diri warga pendidik yang mampu menggalas tugas dan amanah bagi memastikan kecemerlangan pendidikan Islam dan lahirnya warga pendidik berjiwa murabbi yang mendidik bukan sekadar pada soal pelajaran sahaja tetapi mengangkat potensi pelajar dan pembentukan insan hebat daripada sudut dunia dan akhirat.

Ketiga : Memperbaiki dan memastikan kebajikan warga pendidik di sekolah rendah agama dan menengah agama terus terbela. Sistem tangga gaji dan elaun, skim perjawatan dan perumahan yang lebih menarik disediakan dengan sistematik dan efektif.

Keempat : Skim pemberian biasiswa dan bantuan pelajaran yang lebih baik disediakan untuk memastikan kesinambungan pendidikan yang berterusan di mana akhirnya pelajar tersebut mampu memberi sumbangan besar kembali kepada negara dan ummah.

Kelima : Sokongan berterusan kerajaan,professional dan PIBG dalam usaha memperkasakan pendidikan agama Islam dan memastikan pelajar-pelajar di aliran ini mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ummah dan global.

Untuk memastikan pemerkasaan pendidikan Islam di Selangor direalisasikan. Kerajaan Persekutuan boleh bersama-sama menjayakan usaha ini dengan menyediakan peruntukan khusus untuk pembinaan tambahan Sekolah Menengah Agama di Selangor. Perbezaan pandangan politik tidak sewajarnya menjadi penghalang dalam usaha murni ini kerana ia adalah soal kepentingan ummah pada masakini dan masa hadapan.

AMK Selangor juga mengalu-alukan penubuhan Yayasan Pendidikan Islam Selangor dalam usaha memastikan sekolah rendah agama dan menengah agama terus mendapat dana kewangan dan sokongan yang mantap dan berterusan. Ianya diharap dapat mengelakkan kebergantungan hanya kepada sumber daripada kerajaan yang terhad.

AMK Selangor juga mencadangkan agar Yayasan Pendidikan Islam Selangor kelak dapat menilai idea pembinaan sekolah menengah agama yang berasaskan Sistem Wakaf yang akan disumbangkan oleh individu, korporat dan syarikat dalam bentuk hartanah,aset dan kewangan. Idea ini diharap mampu membudayakan jiwa rakyat yang berjiwa pemurah dan murni kerana pahala daripada sistem wakaf ini adalah berterusan.

Akhirnya, AMK Selangor menggesa semua pihak bersama-sama menggembeling usaha dan tenaga memperkasakan pendidikan Islam di Selangor. Malahan usaha kerajaan Selangor yang memberikan keperihatinan kepada sekolah jenis aliran Cina dan Tamil sebelum ini amat dihargai dan disanjung tinggi. Ini membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat membela nasib pendidikan semua kaum dan agama dalam usaha membina pembangunan sumber daya insan yang unggul dan cemerlang.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor