Wednesday, 30 December 2009

AMK Selangor Gesa Rakyat Tolak UMNO/BN Dalam PRU-13

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

30hb Disember 2009

AMK Selangor Gesa Rakyat Tolak UMNO/BN Dalam PRU-13

Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa rakyat terus memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat di Selangor untuk terus menerajui dan membawa kesinambungan pembaharuan dan perubahan. Kenyataan terkini beberapa pemimpin UMNO/BN untuk merampas Selangor menggunakan apa cara jua taktik kotor dilihat sebagai usaha terdesak pihak desperado politik.

Kemampuan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor melaksanakan pembaharuan ekonomi dalam program ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’ membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat serius dalam memakmurkan ekonomi rakyat. AMK Selangor mencabar pihak pembangkang UMNO/BN Selangor untuk tampil membawa gagasan besar untuk memajukan Selangor dan bukan membawa politik pecah-belah,fitnah dan perkauman sempit.

Semenjak UMNO/BN menjadi pembangkang di Selangor belum pernah rakyat Selangor melihat kemampuan mereka menjadi pembangkang yang bertanggungjawab seperti yang mereka laung-laungkan kepada pihak pembangkang sebelum ini. Ini menunjukkan bahawa UMNO/BN Selangor tidak berkemampuan,lemah dan kaku akibat perpecahan dalaman yang teruk dan terus membusuk.

Realitinya rakyat Selangor kini mengetahui dan bertambah yakin bahawa Pakatan Rakyat sahaja yang berupaya tampil membawa gagasan besar untuk meraih kejayaan impian setiap rakyat Selangor. Semenjak 20 bulan Pakatan Rakyat mengambil alih, gelombang pembaharuan dalam pelbagai aspek yang dilaksanakan semakin mendapat sokongan rakyat. Malahan generasi muda masa kini terus meletakkan keyakinan yang tinggi kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk terus tampil dengan gagasan dan pembaharuan khususnya dalam pembangunan insan, kemakmuran ekonomi dan tahap kehidupan yang berkualiti.

Mutakhir ini ada segelintir pemimpin UMNO/BN yang takbur dan mendabik dada ingin merampas Selangor daripada Pakatan Rakyat. AMK Selangor ingin mengingatkan bahawa jatuhnya sekali lagi Selangor ke tangan UMNO/BN maka akan kembalinya pelbagai bentuk koropsi,skandal dan penyelewengan wang rakyat yang menjadi budaya UMNO/BN. Apakah UMNO/BN bersedia untuk terus melaksanakan pemberian air percuma 20ml/3 kepada rakyat Selangor di mana sebelum ini pihak UMNO/BN bermati-matian menentang program air percuma ini yang dianggap pembaziran. AMK Selangor ingin mencabar apakah UMNO/BN Selangor bersedia mengatakan skandal PKFZ yang mencapai berbillion Ringgit Malaysia adalah satu pembaziran besar wang rakyat ?.

AMK Selangor juga ingin menjelaskan agar rakyat Selangor berhati-hati dengan propaganda murahan UMNO/BN yang semakin tertekan kini. Mereka akan membuat apa sahaja untuk terus memburuk-burukkan Pakatan Rakyat dengan pelbagai taktik kotor,sabotaj dan politik adu-domba dan perkauman sempit. AMK Selangor yakin dengan kebijaksanaan dan daya fikir rakyat Selangor yang mendapat pendedahan daripada pelbagai sumber maklumat yang tepat dan sahih.

Akhirnya, AMK Selangor menggesa supaya rakyat terus memberi dokongan dan sokongan yang kuat untuk Pakatan Rakyat Selangor mendepani perubahan dan pembaharuan di negara ini. Kita sudah tiada masa yang panjang untuk terus terjerumus dengan politik murahan UMNO/BN yang semakin hari menghitung saat dan ketikanya untuk padam daripada kamus politik negara ini.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

Angkatan Muda Keadilan Selangor