Wednesday, 25 November 2009

AMK Selangor Sokong Pendirian Kerajaan Selangor Berkenaan Boikot Program Biro Tata Negara

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

26hb November 2009

AMK Selangor Sokong Pendirian Kerajaan Selangor Berkenaan Boikot Program Biro Tata Negara

Angkatan Muda Keadilan Selangor menyokong penuh keputusan kerajaan negeri Selangor berhubung larangan penjawat awam dan penuntut universiti di Selangor daripada menyertai program anjuran Biro Tata Negara. Keputusan ini amat tepat dan bijak memandangkan program Biro Tata Negara kini dilaporkan semakin jauh terpesong daripada matlamat untuk memperkasakan jatidiri dan pembinaan insan yang unggul.

AMK Selangor merasakan bahawa program-program Biro Tata Negara sudah menjadi agen pemecah perpaduan negara dan perosak minda rakyat yang cintakan kepada perpaduan unggul dan prinsip murni keadilan sejagat. Apa yang dilaporkan berlaku ialah program Biro Tata Negara tidak ubah seperti program ‘brainwashing’ minda peserta agar membenci sesama warganegara sendiri dan memecahkan perpaduan rakyat.

Minggu lalu, tujuh wakil rakyat Pakatan Rakyat menggesa kerajaan Selangor menghalang kerahan anak-anak murid ke program tarbiyah BTN. Antara institusi pengajian tinggi milikan kerajaan negeri ialah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Universiti Industri Selangor (Unisel), Institut Kemahiran Yayasan Selangor dan Kolej Antarabangsa INPENS.

AMK Selangor menegaskan program Biro Tata Negara yang kini mulai terang-terangan menjadi alat propaganda murahan UMNO/BN agar segera diboikot oleh semua negeri di bawah kerajaan Pakatan Rakyat. AMK Selangor mahu program Biro Tata Negara yang dicemari dengan propaganda UMNO/BN yang bersifat pemikiran sempit ,jumud dan cuba mewujudkan rasa curiga antara kaum dirombak semula atau dimansuhkan serta merta.

AMK Selangor mencadangkan sudah tiba masanya program-program Biro Tata Negara dirombak bagi mewujudkan program pembinaan insan yang cemerlang dan berintegriti tinggi. Negara kita sebenarnya semakin ketinggalan dari masa ke semasa dalam semua aspek daya saing ekonomi, sosial , integriti , kepimpinan global dan memiliki insan berkeupayaan tinggi serta unggul di peringkat seranatau dan global.

Adalah dicadangkan Biro Tata Negara memfokuskan kepada modul-modul yang bertujuan memperkasakan pembangunan insan yang unggul dan cemerlang dalam semua bidang. Keberkesanan program-program yang dijalankan perlu dipertingkatkan untuk memastikan negara memiliki kalangan insan dan warganegara yang berkeupayaan tinggi dan bukan dimomokkan serta disogok dengan kepentingan dakyah politik sempit, meracun minda rakyat dan berunsur perkauman serta menghina pihak-pihak lain.

Perkara-perkara negatif di atas tidak sewajarnya wujud dalam program-program pemerkasaan jatidiri yang unggul. Pihak Biro Tata Negara didesak menyiasat individu-individu terbabit dan memberi penjelasan kepada umum berkenaan dakwaan ini pada kadar segera. AMK Selangor juga berharap pihak-pihak yang pernah terlibat dalam program ini tampil ke hadapan untuk membuat pendedahan dan pengumpulan maklumat.

AMK Selangor juga mencadangkan Biro Tata Negara segera merombak kembali keseluruhan modul-modul berkaitan bagi memastikan pembinaan karektor insan yang unggul dan holistik tercapai. Kejatuhan indeks rasuah negara yang semakin merudum perlu diambil perhatian agar ada modul yang dikhususkan untuk membanteras rasuah,salah guna kuasa dan mempertingkatkan kecekapan dalam melaksanakan amanah bagi penjawat awam dan program kesedaran anti rasuah kepada para pelajar.

Dicadangkan juga, Biro Tata Negara menjalankan modul-modul bagaimana untuk meningkatkan kualiti kecemerlangan diri dan minda yang berupaya tinggi sehingga ke peringkat global. Dengan melalui modul-modul yang terbaik sedemikian adalah diharapkan peserta yang mengikuti program ini mampu mengembalikan daya saing negara dalam semua aspek.

Akhirnya, AMK Selangor menegaskan pendirian menyokong kuat tindakan kerajaan negeri Selangor untuk menghentikan penghantaran ke program Biro Tata Negara yang kini semakin dilihat terkeluar daripada landasan untuk membina negara yang hebat dan perpaduan kaum yang unggul. Kita amat berharap pihak-pihak terbabit segera mengambil perhatian serius dan tanggungjawab berkenaan perkara ini.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor