Thursday, 5 November 2009

AMK Selangor Bidas Dakwaan Pihak Desperado Politik Bahawa PKR Dikuasai ‘3A’

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

05hb November 2009

AMK Selangor Bidas Dakwaan Pihak Desperado Politik Bahawa PKR Dikuasai ‘3A’

Angkatan Muda Keadilan Selangor membidas individu-individu tertentu yang membuat dakwaan terbuka bahawa Parti Keadilan Rakyat dikuasai oleh ‘3A’. Dakwaan bahawa PKR hanya dikuasai oleh ‘3A’ adalah hujah yang terlalu dangkal dan amat lemah serta ianya bermotifkan untuk sengaja mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan anggota PKR dan menghakis sokongan rakyat.

AMK Selangor menyatakan pendirian memberi sokongan dan dokongan yang amat kuat kepada kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat untuk terus melaksanakan agenda perubahan politik di negara ini. Pihak-pihak tertentu yang terus memburuk-burukkan kepimpinan PKR dengan dakwaan yang tidak masuk akal membuktikan bahawa ada desperado politik yang semakin tertekan dengan sokongan kuat rakyat kepada kepimpinan PKR dan Pakatan Rakyat.

AMK Selangor menganggap bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja individu yang mencetuskan gelombang perubahan politik di negara ini tetapi kini Dato’ Seri Anwar Ibrahim umpama sebuah ‘institusi perjuangan’ yang berjuang membela nasib rakyat, prinsip keadilan dan masyarakat madani. Idea, gerak perjuangan dan gagasan barunya membawa perubahan mencetuskan semangat baru kepada generasi muda untuk bersama-sama beliau dalam satu pakatan menegakkan keadilan untuk semua.

Dunia antarabangsa dan universiti terkemuka dunia mengakui dan memberi pengiktirafan yang tinggi kepada gagasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan syarahan dan wacana ilmiahnya. Malahan badan-badan antarabangsa juga mengambil beliau menganggotai badan tersebut kerana prinsip dan idealismenya yang jelas terbukti telah banyak memberi sumbangan besar kepada perubahan sistem kewangan global ,prinsip keadilan sejagat, good governance serta politik di peringkat antarabangsa.

Adalah amat menghairankan individu-individu tersebut melemparkan pelbagai tohmahan dan dakwaan yang mengaibkan beliau sedangkan dunia antarabangsa serta dunia Islam memberikan dan menghargai sumbangan idea dan gagasan yang dicetuskan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Justeru serangan bertali arus pihak UMNO/BN dan sekutunya terhadap kepimpinan PKR adalah untuk menghakis keutuhan kepimpinan tertinggi PKR sepertimana serangan peribadi yang dilemparkan kepada kepimpinan tertinggi PAS dan DAP.

AMK Selangor menyeru pihak-pihak individu tersebut menghentikan membuat serangan tohmahan peribadi tetapi perlu bersama-sama kini menumpukan usaha membawa perubahan dan memulihkan daya saing ekonomi dan membina negara yang hebat. Rakyat perlu dibawa untuk membincangkan isu-isu yang lebih penting, besar dan kepentingan masa hadapan negara dan bukan soal remeh temeh yang tidak memberi impak kepada pembinaan tamadun insan.

Sudah tiba masanya segala idea dan tenaga digembeling secara bersepadu untuk memikirkan, merancang dan melaksanakan agenda pembangunan negara yang lebih holistik dan menyeluruh. Media-media massa perlu menjadi medan kepada perbicaraan isu-isu yang lebih global, berilmu dan kepentingan rakyat. Ianya dengan harapan rakyat akan terus dihidangkan dengan tradisi budaya keilmuan dan tidak disempitkan dengan perbicaraan isu yang sempit, kaku dan jumud.

Akhirnya, AMK Selangor terus meletakkan setinggi-tinggi keyakinan kepada kepimpinan parti untuk terus memimpin dan membawa harapan baru untuk Malaysia yang lebih gemilang. Gelombang perubahan yang semakin kuat didokong rakyat merupakan inspirasi untuk generasi muda menerajui perubahan zaman dan meneroka era baru siasah di negara ini.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

Angkatan Muda Keadilan Selangor