Friday, 21 August 2009

Rakyat Digesa Tidak Terpengaruh Dengan Politik Desperado UMNO/BN Guna Taktik Sensitiviti Agama Dan Kaum.

Kenyataan Media

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN RAKYAT

21hb Ogos 2009

Rakyat Digesa Tidak Terpengaruh Dengan Politik Desperado UMNO/BN Guna Taktik Sensitiviti Agama Dan Kaum.

Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa rakyat khususnya di Selangor tidak mudah terpengaruh dengan politik dan propaganda murahan UMNO/BN mutakhir kini. Akibat kehilangan pengaruh dan sokongan rakyat yang semakin menjadi-jadi,kini UMNO/BN mengganas menggunakan taktik lapuk dan kuno dengan membawa isu-isu sensitif agama dan kaum untuk dijadikan talian hayat politik di negeri ini.

Semenjak kehilangan pengaruh dan sokongan rakyat. UMNO/BN semakin tertekan dan kalut untuk berhadapan dengan Pilihanraya Umum Ke-13 kelak. Justeru,taktik menggunakan isu-isu sensitif seperti yang menjadi-jadi sekarang adalah usaha tertekan mereka menyambung talian hayat politik yang telah ditolak oleh rakyat Selangor khususnya.

AMK Selangor melihat isu-isu seperti pemindahan kuil, penguatkuasaan penjualan arak dan pelbagai isu lagi memang pelan terancang UMNO/BN untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada mereka. Namun jelas,rakyat Selangor khususnya semakin bijak dan dapat menilai politik desperado UMNO/BN. Selama 50 tahun lebih, UMNO/BN tidak pernah sedikitpun berusaha menyelesaikan isu-isu sensitif seperti ini dan mereka langsung tidak pernah mengambil endah berkenaan isu-isu tersebut selama ini .

Malahan,AMK Selangor menjangkakan akan lebih banyak lagi isu-isu sensitif agama dan kaum akan ditimbulkan UMNO/BN yang jelas untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat di negeri ini.Selepas ini akan pula timbul isu rumah ibadah kaum lain, budaya dan kepercayaan agama untuk disensasikan bukan diselesaikan. UMNO/BN lebih suka melihat rakyat berpecah-belah dan diremehkan dengan isu-isu picisan agar mereka mudah melaksanakan dasar pecah dan perintah yang mereka telah lama amalkan sebelum ini.

AMK Selangor ingin mengingatkan bahawa taktik lapuk dan kuno ini hanya membuatkan pandangan rakyat semakin jijik dan loya kepada perjuangan UMNO/BN yang bersifat talam dua muka dan hipokrit. Justeru, AMK Selangor berharap, ketika dunia telah hebat mengalami arus perubahan maka UMNO/BN perlu menghentikan budaya taktik untuk memecahbelahkan perpaduan dan kerjasama kaum dan agama.

AMK Selangor ingin mengajak rakyat Selangor belajar, mengkaji dan menganalisis kehebatan tamadun Andalusia di Eropah. Toleransi kepelbagaian agama dan bangsa yang tinggi menyaksikan tamadun Andalusia bangun menjadi tamadun hebat yang menerangi zaman kegelapan Eropah yang masih mundur dan jauh ketinggalan. Inilah corak dan pendekatan politik Pakatan Rakyat di Selangor dengan memastikan semua pihak dapat menyumbang kepada kemajuan dan ketamadunan tanpa mengira agama dan bangsa.

Kerjasama dan permuafakatan kukuh antara agama dan kaum dalam menangani sebarang isu-isu yang diperselisihkan dapat ditangani secara baik dan berhemah. Pendekatan ini sebenarnya budaya baru politik Pakatan Rakyat di Selangor yang amat dicemburui oleh UMNO/BN kerana mereka telah lama gagal menangani permasalah ini. UMNO/BN lebih rela melihat rakyat bercakaran sesama sendiri atas isu-isu tersebut agar perhatian rakyat dialihkan supaya mudah segelintir kalangan ahli politik UMNO/BN mengaut dan mengambil wang rakyat tanpa disedari.

Maka tidak hairan ketika mana rakyat dihambat dengan isu sensitif ini,ada segelintir kalangan politik UMNO/BN giat melaksanakan program memewahkan diri sendiri dan kelompok masing-masing dengan banglo dan kereta mewah sendiri serta akaun simpanan. Yang diperbodohkan adalah rakyat dan mereka terus rakus mengaut wang rakyat.

Maka,AMK Selangor berharap segala polemik dan isu-isu sensitif yang akan terus ditimbulkan selepas ini adalah salah satu perancangan UMNO/BN untuk memecahbelahkan rakyat. Dengan ini segala penyelewengan dan salah laku mereka akan terus tersimpan rapi kerana rakyat disibukkan dengan isu-isu buatan UMNO/BN yang hanya lebih kepada untuk sensasi politik tanpa mempunyai niat yang tulus dan ikhlas untuk diselesaikan.

Berbeza pendekatan siasah di bawah Pakatan Rakyat. Isu-isu sensitif ini akan dibahas,dibincang dan diselesaikan dengan baik secara bersama semua pihak. Inilah pendekatan yang selama ini gagal dibawa oleh UMNO/BN. AMK Selangor terus meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada rakyat untuk terus menolak gaya politik UMNO/BN yang semakin tertekan dan kalut.

Akhirnya,AMK Selangor mengulangi ketegasan agar UMNO/BN menghentikan politik untuk memecahbelahkan antara kaum dan agama. Percayalah politik dan gaya yang dibawa UMNO/BN ini telah lama luput dalam kamus politik di Selangor dan hanya menunggu masa sahaja untuk ditamatkan di peringkat persekutuan. Dengan ini diharap rakyat akan lebih bersatu dan bekerjasama untuk membina dan membawa negara ini menjadi sebuah tamadun baru di Asia sepertimana hebat dan agungnya tamadun Andalusia di Eropah yang menjadi penyuluh kepada kegelapan dan kemunduran Eropah pada waktu itu.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

Angkatan Muda Keadilan Selangor