Friday, 21 August 2009

Dedahkan Segera Dokumen Berkenaan Port Klang Free Zone (PKFZ)

KENYATAAN MEDIA

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN RAKYAT

21hb Ogos 2009

Dedahkan Segera Dokumen Berkenaan Port Klang Free Zone (PKFZ)

Angkatan Muda Keadilan Selangor mencadangkan agar dokumen-dokumen berkenaan Port Klang Free Zone (PKFZ) didedahkan segera kepada umum. Pendedahan terbuka ini amat penting bagi memastikan rakyat yang merupakan pembayar cukai mengetahui dan mempunyai akses kepada butir-butir segala transaksi PKFZ. Skandal PKFZ yang melibatkan sejumlah besar wang rakyat perlu disiasat dan didedah kerana kepentingan wang rakyat terlalu besar telah dikorbankan untuk projek ini.

Justeru,AMK Selangor membuat gesaan kepada kerajaan negeri dan juga pusat agar mengklasifikasikan semula dokumen-dokumen sulit dan rahsia yang tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA). Ianya diharap membolehkan semua pihak mengetahui butir-butir sebenar berkenaan sebarang transaksi PKFZ. Malahan dalam hal ini,AMK Selangor berharap pihak kerajaan negeri Selangor menggunakan kuasa-kuasa yang ada terletak kepada Menteri Besar untuk mengklasifikasikan dokumen-dokumen penting bagi mendedahkan skandal besar ini.

AMK Selangor melihat sudah tiba masanya,prinsip kerajaan amanah, telus dan terbuka dilaksanakan dengan lebih giat lagi. Ia diharap untuk memastikan segala wang perbelanjaan rakyat dapat diketahui oleh semua pihak dan untuk mengelakkan wang rakyat tidak dibelanjakan sesuka hati tanpa sebarang pengetahuan pihak rakyat. AMK Selangor menggesa segala unsur penyelewengan dan salah urus tadbir disiasat dengan teliti bagi memastikan pihak yang bersalah didakwa dan tidak terlepas dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

AMK Selangor juga berharap rakyat meningkatkan kesedaran mereka berkenaan urus tadbir wang negara kerana kita mahu menjadikan negara ini maju dan rakyat terbela. Kita mahu menjadikan negara ini kembali bersaing di peringkat serantau dan global melalui pembangunan projek-projek yang berdaya saing dan mempunyai prospek yang cerah. Projek-projek yang dilaksanakan mestilah mampu memberi manfaat kepada negara dan juga rakyat bukan hanya kepada segelintir kelompok sahaja.

AMK Selangor yakin kini rakyat semakin prihatin berkenaan wang rakyat diurus dan belanjakan. Kesedaran tinggi ini amat penting bagi memastikan kisah skandal PKFZ yang mencecah Ringgit Malaysia Berbillion adalah skandal yang terakhir. Semua pemimpin dan rakyat perlu sedar,kita sudah kesuntukan masa untuk kembali membawa negara ini menjadi sebuah negara yang hebat dalam ekonomi di serantau ini. Melaksanakan projek yang tidak berdaya saing dan tidak mempunyai impak positif kepada kemakmuran negara hanya menjadi penghambat untuk negara menjadi sebuah negara idaman dan harapan semua rakyat.

Akhirnya,AMK Selangor mengingatkan hanya sebuah kerajaan yang cekap,amanah dan telus sahaja yang berupaya membawa negara ini keluar daripada putaran ganas kegawatan ekonomi global. Justeru,kerajaan perlu belajar daripada kesilapan pengurusan dan salah tadbir urus sesebuah projek besar yang lepas. Kembalikan segera wang rakyat kepada kebajikan rakyat semula agar dapat menikmati semula keselesaan yang telah lama hilang.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan,

AMK Selangor