Thursday, 13 August 2009

AMK Selangor Desak KPDNKK Proaktif Dan Aggressif Tangani Masalah Gula dan Keperluan Makanan Asas Rakyat Daripada Terus Berulang



Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

13hb Ogos 2009

Untuk Edaran Segera

AMK Selangor Desak KPDNKK Proaktif Dan Aggressif Tangani Masalah Gula dan Keperluan Makanan Asas Rakyat Daripada Terus Berulang

Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Ismail Sabri Yaakob bertindak proaktik dan aggressif dalam menangani masalah kekurangan gula dan keperluan asas makanan rakyat.

Krisis bekalan gula yang berlaku kini adalah episod ulangan apabila jalan cerita dan skripnya sama sahaja berlaku hampir saban tahun. Rakyat sudah bosan,muak dan jemu untuk berhadapan dengan episod ulangan ini. Apakah pihak kerajaan dan kementerian juga sudah mati akal dan tidak mampu menyelesaikan masalah ini ?.

Krisis bekalan ini menyusahkan rakyat keseluruhannya dan ianya juga menjejaskan ekonomi negara apabila para peniaga,pihak industri,IKS dan pengguna tetap tidak memperolehi bekalan pada kadar dan harga yang tetap. AMK Selangor merasakan beberapa langkah proaktif perlu dilaksanakan bagi memastikan langkah yang diambil tepat dan mampu membendung masalah berulang ini berlaku.

AMK Selangor menggesa pihak KPDNKK sentiasa memastikan tidak berlaku krisis bekalan ini berulang dan mengambil langkah awal dan tindakan susulan yang pantas untuk mengimbangi dan membetulkan permintaan dan penawaran dalam pasaran. Malahan pintu-pintu sempadan perlu diperketatkan bagi memastikan tiada aktiviti penyeludupan ke negara asing. Pihak SPRM juga digesa memantau sempadan negara daripada sebarang unsur rasuah yang mungkin boleh berlaku yang menyebabkan aktiviti penyeludupan ini sukar dikawal dan dibanteras.

Jika masalah kekurangan gula dan bahan makanan asas ini gagal diatasi. Maka AMK Selangor mendesak agar penarafan Indeks Pencapaian (KPI) Menteri dan kementerian terlibat dinilai sebagai gagal jika tidak mampu untuk menyelesaikan masalah berulang ini. Dengan penarafan gagal ini,maka diharap satu rombakan besar-besaran boleh dilakukan bagi memastikan krisis kekurangan ini dapat diperbaiki dan diatasi.

Oleh, AMK Selangor berharap pihak kementerian dan agensi terlibat mencari pendekatan baru yang lebih baik dan sistematik bagi memastikan keperluan makanan rakyat dalam negara ini terjamin bekalan,kualiti dan harganya. Kita tidak mahu rakyat terus dibebani dengan kekurangan dan kenaikan harga yang berlaku berlipat kali ganda sedangkan kuasa beli rakyat keseluruhannya semakin menurun.

Kegagalan pihak kerajaan menangani masalah ini hanya menggambarkan tahap tadbir urus kerajaan yang sangat lemah dan tidak mampu memberi kebajikan dan keselesaan kepada rakyat. Kerajaan perlu mempunyai sifat empati dan memahami masalah serta nasib rakyat yang terus-menerus dibebani dengan kekurangan dan kenaikan harga barangan.

Kita pasti teori domino atau berantaian akan berlaku apabila sesuatu harga barang asas naik akan memberi kesan kepada bahan-bahan makanan lain. Rakyat juga yang menanggung kesan buruknya yang selama ini tertekan dengan kenaikan yang berlaku sebelum ini.Kerajaan seolah-olah lepas pandang dan bersikap acuh-tidak acuh memandang masalah ini sebagai kes remeh dan terpencil.

AMK Selangor mempersoalkan ke mana keberkesanan dan effektifnya pakej rangsangan ekonomi negara sedangkan masalah kekurangan dan kenaikan bahan makanan terus-menerus menghantui keselesaan dan kebajikan rakyat. AMK Selangor tidak mahu rakyat terus menjadi mangsa kerakusan pihak-pihak tertentu yang cuba mengaut keuntungan besar daripada pihak yang memonopoli dan menguasai komoditi makanan utama negara.

Akhirnya,AMK Selangor mengulangi ketegasan agar kerajaan segera mengakhiri krisis bekalan gula dan juga makanan asas lain daripada berlaku saban tahun. Jika berlaku lagi masalah ini, maka jelas terbukti KPI dan NKRA yang hebat dilaung-laungkan hanya ilusi dan ‘cakap-cakap kosong’ semata-mata dan ia jelas gagal untuk mewujudkan tadbir urus kerajaan yang cekap dan efisien.

AMK Selangor berharap kerajaan agar bertindak segera kerana kini rakyat satu Malaysia dalam keadaan tertekan dan merana.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

AMK Selangor