Thursday, 16 July 2009

AMK SELANGOR MEMBANTAH TINDAKAN SPRM MENYERBU MASUK PEJABAT EXCO KERAJAAN SELANGOR


KENYATAAN MEDIA

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR

PARTI KEADILAN SELANGOR

UNTUK EDARAN SEGERA

16hb Julai 2009

AMK SELANGOR MEMBANTAH TINDAKAN SPRM MENYERBU MASUK PEJABAT EXCO KERAJAAN SELANGOR

Angkatan Muda Keadilan Selangor membantah tindakan terbaru oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyerbu masuk ke pejabat dua pemimpin DAP, termasuk seorang exco kerajaan negeri Selangor.Tindakan ini dibantah oleh AMK Selangor kerana ianya dikhuatiri bermotifkan politik sempit semata-mata dan tidak di atas kapasiti menjalankan tugas secara professional.

AMK Selangor pada dasar dan prinsipnya menyokong untuk mana-mana pihak disiasat dan didakwa dengan penuh keadilan dan secara professional oleh pihak SPRM. Malahan AMK Selangor tidak akan berkompromi dengan sebarang unsur salah laku rasuah dan penyelewangan kuasa.

AMK Selangor mempersoalkan tindak-tanduk pihak SPRM mutakhir kini yang sewajarnya mempamerkan imej professional sejajar dengan pemerkasaan suruhanjaya tersebut. Malahan sehingga kini SPRM dilihat masih belum lagi memperlihatkan tindakan yang pantas dan tegas terhadap banyak laporan rasuah yang dikemukakan khususnya dalam isu Port Klang Free Zone (PKFZ), soal banglo mahal milik bekas Menteri Besar Selangor yang diragui, jenayah politik wang semasa pemilihan pimpinan UMNO dan pelbagai kes-kes lain yang melibatkan sejumlah wang yang mencecah Ringgit Malaysia berjuta-juta dan berbillion-billion.

Sehubungan dengan itu, AMK Selangor untuk ke sekian kalinya mendesak agar SPRM juga bertindak pantas dan tegas menangani persoalan rasuah dan penyelewangan kuasa yang sudah banyak kali dilaporkan kepada SPRM. Malahan laporan rasuah yang sudah dikemukan oleh pihak AMK terhadap bekas Menteri Besar sehingga kini tanpa sebarang tindakan susulan. Di manakah kewibawaan dan professionalisma SPRM dalam hal ini?.

AMK Selangor menegaskan tindakan SPRM yang bertindak dengan bermotifkan pengaruh politik pihak-pihak tertentu hanya akan mencemarkan imej dan kredibiliti suruhanjaya tersebut pada pandangan rakyat dan dunia antarabangsa. SPRM juga akan dipandang oleh masyarakat awam yang pantas dan tegas bertindak jika ianya daripada kalangan pihak Pakatan Rakyat namun jika ianya melibatkan kalangan daripada UMNO/BN seolah-olah SPRM kaku dan lumpuh dalam segala-segi.

AMK Selangor mencadangkan agar pihak SPRM sewajarnya belajar daripada agensi-agensi anti rasuah antarabangsa seperti ICAC (Independent Commission Against Corruption) Hong Kong yang berjaya menjadikan suruhanjaya bebas anti rasuah negara tersebut disegani dan dipandang tinggi di peringkat global. Lebih mengagumkan ICAC berjaya menjadikan Hong Kong salah sebuah negara antara yang terbersih dalam aspek pembasmian jenayah rasuah di dunia.

Akhirnya, AMK Selangor sekali lagi mendesak agar SPRM tidak dilihat bias dalam menjalankan tugas dan amanah yang diberi. Sudah tiba masanya SPRM memperlihatkan mutu tugas professional yang adil,pantas dan tegas. Cabaran pembanterasan dan memerangi rasuah di negara ini tidak akan berjaya jika SPRM yang diharap oleh rakyat gagal dan lumpuh untuk menjalankan misi dan tugas sebenarnya.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor