Tuesday, 23 June 2009

Perkasakan Pembelajaran Bahasa Inggeris, Mansuhkan PPSMI Segera





KENYATAAN MEDIA

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR

PARTI KEADILAN RAKYAT

23hb JUN 2009

Untuk Edaran Media Segera

Perkasakan Pembelajaran Bahasa Inggeris, Mansuhkan PPSMI Segera

Angkatan Muda Keadilan Selangor menyuarakan kebimbangan kepada nasib para pelajar yang gagal dalam subjek bahasa Inggeris yang menduduki peperiksaan SPM kelak akibat keputusan terbaru kerajaan. AMK Selangor berharap pihak kerajaan dapat menilai semula keputusan wajib lulus dalam SPM ini serta menjalankan kajian mendalam serta mendapatkan pandangan pakar-pakar dan rakyat keseluruhannya sebelum sebarang dasar drastik ini dilaksanakan.

AMK Selangor berpendapat keputusan tersebut realitinya tidak banyak membantu pelajar dan graduan negara ini untuk menguasai dengan baik dan cemerlang dalam bahasa Inggeris. Malahan yang perlu dilakukan segera ialah bagaimanakah pihak kerajaan dan semua pihak dapat memperbaiki tahap mutu penguasaan bahasa Inggeris serta memperkenalkan pembaharuan pembelajaran yang boleh membantu penguasaan bahasa Inggeris ditahap terbaik semenjak awal persekolahan sehingga ke pengajian tinggi.

AMK Selangor menggesa agar aspek pembelajaran subjek Bahasa Inggeris perlu diperkukuhkan dalam semua aspek sehingga para pelajar dapat menguasainya dengan baik serta memuaskan. Keputusan mengenakan wajib lulus bahasa Inggeris untuk SPM bukan jalan penyelesaian terbaik bagi menggalakkan dan mendorong minat pelajar untuk menguasai subjek bahasa Inggeris. Malahan pendekatan pembelajaran intensif serta terbaik dalam pembelajaran perlu diperkasakan dahulu.

AMK Selangor yakin para pelajar di negara ini mempunyai potensi dan berkemampuan untuk lulus dalam subjek bahasa Inggeris. Namun AMK Selangor menyuarakan kebimbangan nasib masa hadapan para pelajar yang gagal dalam subjek ini yang dikhuatiri akan menjejaskan psikologi mereka serta peluang untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi. Kerajaan perlu memikirkan kos dan masa yang perlu dibelanjakan pula untuk pelajar yang gagal dalam subjek bahasa Inggeris yang perlu mengambil semula subjek ini kelak dan jumlahnya dibimbangi amat besar.

Kebimbangan ini juga diasaskan kepada tahap mutu kaedah pembelajaran bahasa Inggeris masih belum mencapai tahap di mana para pelajar boleh penguasai aspek komunikasi dan penulisan dengan baik. Masih ramai lagi pelajar yang tercicir dan memerlukan pelan tindakan khusus untuk mereka menguasai bahasa Inggeris. Para pelajar tidak wajar dijadikan mangsa keadaan akibat keputusan yang dilakukan secara terburu-buru dan tidak berpaksikan kepada sebarang kajian mendalam serta mengambil pandangan para intelek dan rakyat.

Kita amat memahami bahawa pelajar di negara ini sudah didedahkan dengan pembelajaran bahasa Inggeris bermula sejak darjah satu atau pra-persekolahan. Namun hakikatnya masih ramai pelajar di negara ini belum mencapai tahap penguasaan bahasa Inggeris yang baik dalam komunikasi, penulisan, tatabahasa dan pemahaman walaupun telah didedahkan dengan subjek ini lebih 10 tahun sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Justeru, apakah ada yang tidak kena dengan teknik pembelajaran bahasa Inggeris di negara ini ?.

Malahan di peringkat pengajian tinggi juga penguasaan terhadap bahasa Inggeris masih belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Banyak lagi yang perlu dirancang serta dilakukan agar penguasaan bahasa Inggeris para pelajar dan graduan di negara ini meningkat dengan mendadak serta dapat bersaing pula di peringkat global.

AMK Selangor mencadangkan pihak kerajaan dan semua pihak berusaha memikirkan dan melaksanakan modul pembelajaran yang lebih terkini, menarik dan interaktif melalui perlaksanaan pembelajaran yang intensif kepada pelajar. Pihak kerajaan juga boleh mengadakan wacana dan perbincangan terbuka secara intelektual yang melibatkan pakar dalaman dan luar negara untuk menghasilkan pembaharuan dalam pembelajaran bahasa Inggeris di negara ini.

Kita juga mencadangkan agar penubuhan sebuah suruhanjaya penambahbaikan pembelajaran bahasa Inggeris yang akan mengkaji pelbagai sudut kelemahan sistem penyampaian dan membuat cadangan praktikal untuk dilaksanakan.Ianya perlu melibatkan pelbagai pihak yang mempunyai kredibiliti dan keupayaan di kalangan professional, intelek dan penggubal dasar samada dalam negara dan antarabangsa. Suruhanjaya ini diharap mampu memperkenalkan reformasi untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris kepada pelajar di semua peringkat.

Sudah tiba masanya kerajaan menilai pencapaian mutu pembelajaran bahasa Inggeris di negara ini bermula daripada peringkat rendah, menengah dan universiti. Mungkin ada beberapa aspek kelemahan selama ini yang tidak di atasi segera dan baik sehingga menyebabkan dalam tempoh pembelajaran yang begitu lama masih tidak mencapai tahap yang baik serta memuaskan.

Dalam pada itu , AMK Selangor mendesak agar penggunaan bahasa Inggeris untuk subjek matematik dan sains dikembalikan semula kepada Bahasa Melayu. Pelbagai pihak sudah mengutarakan bantahan ini, namun sehingga ke hari ini pihak kerajaan tidak mengambil suara bantahan dalam isu PPSMI ini.

Hasil satu kajian terhadap PPSMI ini yang dijalankan mendapati dasar penggunaan Bahasa Inggeris untuk meningkatkan kefahaman konsep, ilmu dan kemahiran Matematik dan Sains pelajar tidak tercapai, bahkan kesannya adalah negatif. Ini ialah kerana kebanyakan guru sendiri lemah penguasaan mereka dalam Bahasa Inggeris untuk menerangkan dengan jelas dan selesa konsep, ilmu dan kemahiran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Kebanyakan pelajar, terutama pelajar Melayu dan Bumiputera lemah Bahasa Inggeris. Malahan kaum-kaum lain juga mengalami cabaran yang sama dalam hal ini. Kedua-dua faktor ini berganda akibatnya, menyebabkan murid sukar memahami pengajaran guru Sains dan Matematik, mereka juga tidak cekap membaca buku teks mereka dalam Bahasa Inggeris. Dengan itu pelajar lemah dalam Matematik dan Sains

AMK berharap keputusan yang akan diumumkan pada awal bulan Julai ini dengan segera memansuhkan PPSMI ini. Kerajaan perlu memperbetulkan semula kesilapan besar yang dilaksanakan sebelum ini kerana banyak kajian yang telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak jelas dan konkrit menunjukkan lemah dan negatifnya dasar perlaksanaan PPSMI.

Kerajaan perlu bertindak segera dengan memansuhkan PPSMI ini sebelum satu lagi malapetaka kegagalan sistem pendidikan negara ini berlaku yang akan menentukan masa hadapan generasi pelajar era-PPSMI. Kerajaan disaran tidak terus menjadikan para pelajar negara ini mangsa kegopohan perlaksanaan sesuatu dasar baru yang tidak menilai pandangan semua pihak.

AMK Selangor menyarankan semua pihak boleh menjadikan laporan oleh The National Commission on Excellence in Education yang dikeluarkan pada 1983 bertajuk A Nation At Risk’ di Amerika Syarikat sebagai satu kajian dan perbandingan untuk membawa agenda pendidikan negara ke tahap cemerlang yang mampu bersaing di peringkat global.

Akhirnya, AMK Selangor mengulangi keyakinan bahawa hanya reformasi pendidikan negara sahaja dapat mengembalikan dan memacu kecemerlangan agenda pendidikan yang dapat membina karektor insan serba boleh,berkualiti dan cemerlang.


Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor