Wednesday, 10 June 2009

AMK Selangor Mengutuk Keras Tindakan Kejam Pembunuhan Beramai-ramai Penduduk Islam di Narathiwat,Thailand






KENYATAAN MEDIA

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR

PARTI KEADILAN RAKYAT

Untuk Edaran Segera

10hb JUN 2009 / 16hb Jamadil Akhir 1430 H

AMK Selangor Mengutuk Keras Tindakan Kejam Pembunuhan Beramai-ramai Penduduk Islam di Narathiwat,Thailand

AMK Selangor membantah tindakan kejam pembunuhan beramai-ramai penduduk Islam yang sedang melaksanakan Solat Isyak di Masjid Al-Furqan,Kampung Air Tempayan di Wilayah Narathiwat,Thailand. Serangan bersenjata yang mengorbankan 12 orang dan 11 orang parah itu merupakan tindakan kejam dan zalim yang tidak boleh diterima memandangkan mangsa sedang beribadah di dalam masjid yang merupakan tempat aman dan tanpa sebarang unsur gangguan keganasan.

Justeru, AMK Selangor menggesa semua pihak NGO,parti politik,pertubuhan,kerajaan dan orang ramai agar bersama-sama menyatakan bantahan keras ini yang merentas sempadan fahaman politik,agama. Dan bangsa Tindakan tidak berperikemanusiaan ini merupakan tragedi hitam yang sepatutnya tidak berlaku di era zaman bertamadun ini.

Pihak AMK Selangor mengucapkan salam takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden serangan pembunuhan kejam bersenjata. Ini. AMK Selangor juga mendoakan dan berharap agar masyarakat Islam dan masyarakat lain juga di sana dapat menikmati suasana keadilan dan keamanan semula selepas melalui konflik bersenjata yang berpanjangan.

Dalam pada itu, AMK Selangor menggesa pihak kerajaan Malaysia menyampaikan mesej bantahan keras ini kepada pihak Kerajaan Thailand. Malahan pihak Thailand perlu menubuhkan siasatan bebas antarabangsa bagi menyiasat keganasan ini dan membawa pihak-pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan dengan segera.

AMK Selangor amat prihatin dengan insiden pembunuhan kejam ini yang berlaku di jiran negara ini yang mencintai suasana aman damai dan berkasih-sayang antara semua agama dan bangsa. Diharap kejadian ini merupakan yang terakhir berlaku dan semoga keamanan dapat dipulihkan dengan segera di wilayah bergolak tersebut.

Akhirnya, AMK Selangor berharap kerajaan Malaysia dapat berbuat sesuatu selaku salah sebuah negara berpengaruh di Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) dan NAM. Isu ini adalah isu kemanusian sejagat yang merentas sempadan agama,bangsa dan negara, Satu tindakan konkrit perlu dilakukan di peringkat antarabangsa agar insiden kejam pembunuhan bersenjata beramai-ramai ini tidak berulang kembali.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor