Wednesday, 3 June 2009

AMK SELANGOR GESA SEMUA PIHAK SEGERA PANTAU SEMULA PROJEK PEMBINAAN DAN STRUKTUR BANGUNAN





Kenyataan Media 

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN RAKYAT

03hb JUN 2009 / 09hb JAMADIL AKHIR 1430

UNTUK SEBARAN SEGERA

AMK SELANGOR GESA SEMUA PIHAK SEGERA  PANTAU SEMULA PROJEK PEMBINAAN DAN STRUKTUR BANGUNAN

Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa semua pihak seluruh agensi kerajaan atau swasta agar memantau dan memeriksa kembali segala projek pembangunan dan struktur bangunan yang dalam proses pembinaan dan siap. Perkembangan terkini kejadian struktur bangunan Jaya Supermarket dan bumbung Stadium Sultan Zainal Abidin runtuh mengundang situasi cemas dan panik kepada seluruh rakyat. Mujur bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Terengganu runtuh berlaku bukan pada waktu sebarang acara temasya dan sukan diadakan jika tidak ribuan nyawa dikhuatiri melayang.

AMK Selangor amat prihatin dengan perkembangan terkini ini dan mendesak semua pihak agar segera meneliti kembali segala prosedur pembinaan dan spesifikasi yang telah ditetapkan dalam sebarang pembinaan bangunan, rumah, jejantas, jambatan dan segala struktur projek pembangunan. Malaysia yang berada di luar lingkaran api pasifik yang tidak menyaksikan sebarang gegaran gempa yang luar biasa sewajarnya tidak mengalpakan semua pihak dalam merangka dan melaksanakan sebarang pembangunan agar ianya kukuh dan stabil untuh tempoh masa yang panjang.

Justeru, AMK Selangor menggesa semua pihak mengambil pendekataan proaktif dan pantas untuk memastikan rentetan struktur bangunan runtuh di negara ini tidak berpanjangan :

Pertama : Prosedur pembinaan bangunan perlu diteliti semula. AMK Selangor merasakan seluruh agensi yang bertanggungjawab perlu meneliti semula prosedur sedia ada dan memastikan segala prosedur tersebut dipatuhi dengan ketat dan dipatuhi oleh semua pihak yang melaksanakan sesuatu projek tersebut.

Kedua : Segala projek yang telah dijalankan perlu dipantau oleh sebuah agensi bebas yang mempunyai kredibiliti dan kepakaran agar segala kecacatan dan ketidakpatuhan terhadap sebarang aspek pembinaan yang tidak menepati spesifikasi dapat dikesan dan diperbaiki dengan lebih awal dan pantas.

Ketiga : Pemberian projek perlu memenuhi standart dan kelulusan yang ketat disamping segala unsur rasuah dan penyelewangan dapat dibanteras. Pihak SPRM perlu proaktif dan bertindak pantas dalam sebarang laporan rasuah yang dibuat dan juga menyiasat daripada semua aspek jika berlaku lagi sebarang kejadian yang tidak diingini ini berlaku.

Keempat : Latihan dan pendidikan semula kepada semua kontraktor-kontraktor dan pekerja di sektor pembinaan sedia ada agar segala aspek pembangunan yang sedang dan akan dijalankan kelak menggunakan teknologi terkini serta mamahami amanah yang dipikul dalam melaksanakan sebarang projek. Malahan dalam aspek pengurusan budget pembangunan projek perlu dipantau agar tidak mengalami ketirisan perbelanjaan akibat unsur rasuah, penyelewangan dan mengambil kadar untung pada kadar yang tidak munasabah.

Kelima : Kerajaan perlu mengarahkan agensi perlaksananya dengan segera mengeluarkan arahan untuk memeriksa semua struktur bangunan, premis , jambatan, jejambat , lebuhraya, lapangan terbang dan lain-lain diperiksa dengan segera kembali. Kita tidak mahu kejadian bangunan runtuh akibat kelemahan manusia ini berlaku kembali. Malahan ianya menjejaskan imej negara apabila projek Ringgit Malaysia ratusan juta berhadapan dengan masalah serius. Kini rakyat semakin bimbang dengan tahap keselamatan mereka akibat rentetan kejadian struktur bangunan runtuh tersebut.

AMK Selangor berharap selepas kejadian yang berlaku, masyarakat dan kerajaan agar lebih prihatin terhadap isu-isu berkenaan sebarang projek pembangunan di negera ini. Kejadian ini juga perlu mencelikkan semua pihak agar tidak duduk diam dalam menangani isu ini. Undang-undang dan peraturan sedia ada tidak akan berguna jika sekadar menjadi hiasan dan tiada sebarang tindakan tegas untuk melaksanakan dan penguatkuasaan.

AMK Selangor juga menggesa aspek penyelenggaraan bangunan dan kemudahan awam dijalankan dengan lebih komited , sistematik dan bersepadu. Tiada gunanya jika projek berbillion-billion dilaksanakan tetapi dalam aspek penyelenggaraan tidak diambil kira untuk survival dalam waktu yang panjang.

Akhirnya, AMK Selangor berharap kejadian yang berlaku ini menjadi yang terakhir akibat faktor kecuaian manusia. Semua pihak khususnya kerajaan perlu proaktif dalam isu ini. Kegagalan bertindak pantas pasti mengundang kecelakaan yang sukar dijangka di masa hadapan. Kini adalah masa untuk bertindak menyelesaikan masalah dan bukan hanya menjalankan siasatan dan akhirnya ditutup tanpa sebarang penambahbaikan dan penguatkuasaan.


Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor