Friday, 19 June 2009

AMK SELANGOR ANGGAP DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM ADALAH MANGSA KEZALIMAN EPISOD ULANGAN ALA – KONSPIRASI 1998





Kenyataan Media


ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR

PARTI KEADILAN RAKYAT

20hb Jun 2009

Untuk Edaran Media Segera

AMK SELANGOR ANGGAP DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM ADALAH MANGSAKEZALIMAN EPISOD ULANGAN ALA – KONSPIRASI 1998

Angkatan Muda Keadilan Selangor menganggap tuduhan terbaru kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah episod ulangan konspirasi ala-1998. Tuduhan tersebut jelas membuktikan untuk menghalang Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri negara ini melalui satu perancangan konspirasi yang kotor dan jijik yang membabitkan individu penting negara ini yang menggunakan jentera kerajaan Malaysia.

AMK Selangor yakin episod ulangan konspirasi ala-1998 ini hanya akan memperkukuhkan lagi kekuatan Pakatan Rakyat untuk menumbangkan rejim UMNO/Barisan Nasional sedikit masa sahaja lagi. Malahan tindakan terbaru pendakwaan terbaru ini hanya akan menjatuhkan imej dan kredibiliti kerajaan semasa khususnya parti UMNO/BN di kalangan rakyat Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa.

Sokongan rakyat yang meningkat setiap masa kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim khususnya pasca PRU-12 telah menyebabkan beberapa individu tidak senang duduk. Justeru, mereka bimbang sokongan yang meningkat ini akan mengancam kedudukan mereka kelak. Oleh itu, satu perancangan konspirasi oleh dalang yang sama pada tahun 1998 dipercayai dilaksanakan kembali.

AMK Selangor juga yakin kini majoriti rakyat Malaysia sudah tidak lagi mempercayai tuduhan tersebut kerana ianya adalah ulangan kepada episod konspirasi lama dahulu. Malahan AMK percaya juga sebahagian besar ahli parti UMNO dan komponen BN di semua peringkat juga sudah tidak lagi mempercayai tuduhan tersebut yang jelas direka-reka untuk menjatuhkan keyakinan rakyat kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim merupakan bakal Perdana Menteri Malaysia in-waiting.

AMK Selangor menaruh kepercayaan yang tinggi kepada rakyat Malaysia bahawa kini rakyat keseluruhannya sudah tidak mudah diperkotak-katikkan oleh media propaganda UMNO/BN. Malahan perpecahan besar dalam Barisan Nasional dalam isu ini akan semakin jelas terserlah dari hari ke sehari pada waktu mutakhir kini. Penolakkan rakyat Malaysia kepada dalang konspirasi ini juga akan menyebabkan sebahagian ahli UMNO/BN kini sudah berkira-kira untuk tidak sekali lagi bersengkongkol dengan kezaliman para konspirator.

Malahan parti-parti dalam komponen Barisan Nasional juga perlu bertindak menyatakan pendirian mereka dalam isu ini. Semakin lama mereka berdiam diri akan menyebabkan mereka juga dianggap sebagai sebahagian komponen konspirator yang zalim. Yang jelas PRU-13, rakyat Malaysia hanya mempunyai satu pilihan sahaja iaitu dengan memilih Pakatan Rakyat sebagai peneraju baru kerajaan Malaysia di masa hadapan.

AMK Selangor bertegas dan berharap agar badan perundangan dan kehakiman negara tidak diperkudakan sekali lagi untuk menjayakan perancangan konspirasi tersebut. Sebenarnya keyakinan dunia antarabangsa terhadap badan perundangan dan kehakiman negara sejak 1998 belum lagi pulih sehingga kini. Justeru membiarkan badan kehakiman untuk bertindak secara professional adalah langkah segera dan terbaik untuk mengembalikan keyakinan dunia antarabangsa terhadap badan perundangan dan kehakiman negara.

AMK Selangor juga yakin kini sudah wujud gerakan secara senyap protes rakyat keseluruhannya terhadap dalang konspirasi terbaru ini. Protes secara senyap ini akan sampai ke kemuncaknya pada PRU-13 ini yang akan terus menobatkan Pakatan Rakyat yang kini selaku government in waiting.

Kita juga yakin gelombang rakyat yang lebih besar daripada gerakan reformasi 1998 akan muncul yang akan mendokong penuh semangat dan aspirasi Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk membawa harapan baru untuk Malaysia. Rakyat Malaysia era kini semakin bijak dan pintar dalam gerakan siasah. Mereka juga sudah tidak mudah diperkotak-katikkan oleh media-media propaganda UMNO/BN.

Justeru, AMK Selangor mengingatkan agar parti-parti komponen dalam Barisan Nasional menilai kembali kerjasamanya dengan UMNO. Semakin lama mereka merestui konspirasi ini, semakin jelas juga rakyat akan terus menolak parti-parti dalam komponen Barisan Nasional ini sehingga di Sabah dan Sarawak. Rakyat Malaysia tidak akan merestui mana-mana pihak yang sama-sama terlibat dalam konspirasi yang jelas jijik dan terkutuk itu.

AMK Selangor akan terus bersama-sama dengan perjuangan dan aspirasi yang dicetuskan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Sokongan dan dokongan daripada seluruh rakyat Malaysia dan juga dunia antarabangsa akan menjadi azimat keramat oleh anak muda AMK untuk berhadapan sebarang kemungkinan yang mungkin dikenakan terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Semua pihak sentiasa mendoakan agar Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan keluarga sentiasa dilindungi daripada apa-apa cubaan dan dugaan.

Akhirnya, AMK Selangor sekali lagi mengulangi keyakinan bersama-sama rakyat Malaysia dan dunia antarabangsa bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah mangsa konspirasi ala-1998 yang cuba diulang kembali pada tahun 2009 ini.

AMK menggesa agar rakyat sekali lagi menunjukkan sokongan padu mereka untuk menghentikan satu lagi kezaliman yang cuba diulang pada masa kini. Merestui satu lagi kezaliman ini adalah tindakan yang zalim yang dosanya akan dikongsi secara bersama juga dengan konpirator yang zalim tersebut.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor