Monday, 11 May 2009

AMK SELANGOR TOLAK LIBERALISASI ALA PENJAJAHAN ASING


Kenyataan Media

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR

PARTI KEADILAN RAKYAT

11hb MEI 2009

AMK SELANGOR TOLAK LIBERALISASI ALA PENJAJAHAN ASING

Angkatan Muda Keadilan Selangor menolak sebarang usaha penjajahan asing menggunakan konsep baru melalui sistem liberalisasi. AMK Selangor bertegas bahawa rakyat negara ini perlu mempertahankan hak dan kedaulatan negara daripada sebarang percubaan penjajahan asing yang hanya akan mengaut segala keuntungan daripada negara ini dibawa keluar.

AMK Selangor memohon agar pihak kerajaan agar memastikan bahawa dasar liberalisasi perdagangan, kewangan, guaman dan dasar-dasar liberalisasi lain yang akan dikemukan. Perlunya kepentingan dan kedaulatan negara dipertahankan. AMK Selangor tidak mahu dasar ini bersifat umpama memberikan satu lesen besar untuk syarikat-syarikat gergasi asing memasuki negara ini seumpama melakukan penjajahan ekonomi dan rakus mengaut keuntungan tanpa memikirkan tanggungjawab sosial kepada rakyat negara ini.

AMK Selangor inginkan penjelasan kerajaan terhadap dasar liberalisasi yang dikemukakan oleh Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak ini. Apakah jaminan kerajaan bahawa nasib rakyat dan syarikat di negara ini dapat menikmati kebersamaan hasil keuntungan daripada dasar ini. Kita tidak mahu melihat ianya hanya memberikan keuntungan kepada syarikat asing sahaja.

AMK Selangor juga ingin melontarkan persoalan apakah rakyat di negara ini dapat menikmati perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat luar ini dengan kos yang lebih baik dan munasabah. Kita juga mempersoalkan nasib dan kepentingan pengguna dan pekerja akan dilindungi jika berlaku sebarang masalah kelak.

AMK Selangor juga meminta kajian mendalam dan ilmiah dapat dijalankan oleh pakar-pakar ekonomi dan undang-undang berkenaan kesan liberalisasi ini kesan jangka pendek dan panjang. Malahan kita meminta pakar-pakar ekonomi diberi peluang dan ruang untuk memberikan sebarang idea, penambahbaikan dan kritikan yang membina agar liberalisasi yang diumumkan memberi manfaat kepada negara ini.

AMK Selangor juga menyatakan kebimbangan terhadap kesan kemasukan syarikat gergasi asing dengan dana yang besar yang akan memberikan kesan kepada ekonomi negara pada masa hadapan. Dengan penguasaannya yang berskala besar dibimbangi banyak entiti perniagaan, perbankan, insurans, guaman dan sektor-sektor terlibat menjadi mangsa kepada kerakusan monopoli pasaran dan keuntungan yang akan berlaku kelak.

Ini dapat dilihat sebagai perbandingan kajian kes apabila kemasukan pasaraya-pasaraya mega ke negara ini di sesuatu tempat. Kita menyaksikan berlakunya kesan ketara kepada peniaga-peniaga kecil di sesuatu kawasan tersebut. Malahan nasib IKS-IKS juga bagaikan perumpamaan `mentimun dengan durian’ . Ini yang dibimbangi bakal terjadi kepada sektor-sektor lain yang mengalami liberalisasi terbaru ini.

Malahan apakah kesannya jika syarikat-syarikat besar ini mengalami masalah dalaman mereka sendiri seperti yang berlaku kepada AIG, Citibank, Lehman Brothers, Freddie Mac dan syarikat multinasional yang mencetuskan suasana tidak menentu terhadap pasaran bursa saham , kewangan dan ekonomi global. Ketidaktentuan yang disebabkan hanya beberapa syarikat gergasi Amerika Syarikat ini telah mencetuskan ketidaktentuan kepada ekonomi dunia.

Ini yang menjadi kebimbangan besar jika liberalisasi yang dikemukakan akan menjadi `bom jangka ekonomi’ negara yang boleh menghuru-harakan sistem ekonomi negara masa hadapan. Kesan ini pasti mencetuskan suasana panik dan gawat terhadap pasaran bursa saham negara, kewangan, insuran dan juga ekonomi negara. Justeru penjelasan dan kajian ilmiah pakar-pakar ekonomi negara dan antarabangsa perlu untuk menjelaskan situasi masa hadapan ekonomi negara kelak di era liberalisasi ini.

AMK Selangor juga meminta penjelasan kerajaan, apakah mekanisma perlaksanaan dasar liberalisasi ini menguntungkan negara kelak. Agensi manakah yang akan memastikan perlaksanaan dasar liberalisasi ini bagi memastikan syarikat-syarikat besar asing ini mematuhi perundangan , standart dan piawaian yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Kita tidak mahu kelak syarikat gergasi asing ini bersikap tidak memahami kehidupan rakyat negara ini dan juga bersikap seumpama penjajah baru di era globalisasi.

AMK Selangor berharap situasi menang-menang dapat diwujudkan kelak dan berlaku juga perkongsian bijak dalam mempertingkatkan prestasi anak tempatan, tahap kemahiran dan professionalisma. Dengan ini anak tempatan juga mampu menerajui syarikat gergasi tersebut kelak dan dapat memberikan khidmat di peringkat antarabangsa. Kita tidak mahu anak tempatan hanya diambil bekerja sebagai pekerja bawahan dan kurang penting walaupun anak tempatan ini mempunyai kelulusan dan kemahiran yang tinggi serta memenuhi merit.

Dalam konteks kebenaran sesebuah syarikat gergasi asing ini dapat beroperasi di negara ini, apakah ia akan bebas daripada sebarang unsur rasuah. Justeru AMK Selangor berpendapat pemantauan dalam soal memberikan kelulusan ini perlu ketat dan mendapat perhatian daripada agensi-agensi berkenaan. Kita mahu dasar liberalisasi ini dilaksanakan dengan telus dan bebas daripada sebarang unsur rasuah.

Akhirnya, AMK Selangor berharap dasar liberalisasi ini bukan kunci kepada penjajahan asing bentuk baru di era ini. AMK Selangor sekali-kali tidak rela mahu melihat kedaulatan negara terancam daripada dasar baru yang diperkenalkan Dato’ Seri Najib Tun Razak ini. Jelas bahawa rakyat kini memerlukan satu reformasi ekonomi negara bukannya liberalisasi ekonomi yang hanya akan mengundang kepada penjajahan asing.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

AMK Selangor