Monday, 2 March 2009

MALAYSIA DAN NEGARA OIC PERLUKAN LEBIH BANYAK LAGI UNIVERSITI BERKUALITI.


Oleh : Mohd Ezli Mashut

LL.B (Hons) UIAM

Laman Blog:www.ezli007.blogspot.com / email : ezli007@hotmail.com


FAKTA:

Di seluruh  57 buah negara OIC, hanya terdapat 500 buah universiti sahaja.

Di Amerika Syarikat ,terdapat 5758 buah universiti

DI India  ,terdapat 8407 buah universiti,

Di Malaysia, hanya 20 buah IPTA dan 40 buah IPTS…

 

        Fakta di atas boleh dijadikan satu perbandingan. Untuk membina ummah yang kuat dan mempunya keilmuan dan kepakaran yang tinggi jumlah kuantiti dan kualiti universiti perlu dipertingkatkan. Jauhnya pencapaian kita dalam soal memperkasakan ilmu di negara ini dan dunia Islam khususnya dibandingkan dengan negara-negara maju dan yang berhasrat untuk maju.

        Bagaimana dengan semangat budaya Iqra’ atau semangat untuk mendalami dan menguasai ilmu ini wujud dalam diri kita. Jumlah kuantiti yang sedikit dan kualiti yang dipertikaikan merupakan cabaran besar dalam membina ummah yang mempunyai penguasaan pelbagai cabang ilmu. Budaya masyarakat saintifik perlu dibangunkan selaras dengan penerapan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah.

        Kita perlu belajar dengan kebangkitan tamadun Andalusia. Penumpuan kepada aspek keilmuan menjadi pencetus kepada zaman Renaisance di Eropah yang menuju ke zaman pencerahan. Fungsi istana pada ketika itu hanya diiktiraf dalam konteksnya apabila sesebuah istana tersebut mempunyai ilmuan besar yang menyebarkan ilmunya. Ini memperlihatkan betapa tingginya penghargaan terhadap budaya ilmu yang wujud dalam masyarakat di Andalusia ketika itu.

         Pembinaan modal insan berilmu dan mempunyai kepakaran tinggi melalui pendekatan univerisiti merupakan salah satu daripada proses membina sesebuah tamadun yang kuat. Universiti di harap mampu dengan proses disiplin ilmu yang tinggi membentuk insan kamil yang mempunyai peribadi yang unggul dan mampu menterjemahkan konteks ilmu dalam persekitaran semasa yang bersifat global dan kompetetif.

        Di negara-negara OIC ini dengan bilangannya lebih kurang 500 buah, satu reformasi pendidikan perlu dilaksanakan. Bukan sahaja kuantiti yang perlu ditambah tetapi juga soal kualiti graduan dan pembelajarannya juga perlu diperkasakan. Daya intelektual perlu diasah dan dilatih agar graduan yang dilahirkan mampu berperanan mengangkat martabat ummah dan juga bicara ummah di peringkat glokal dan global.

        Adalah pendekatan yang kurang bijak jika universiti-universiti di Malaysia tidak ditambah. Ianya seolah-olah menghalang kemajuan ilmu yang akan menjadi katalis kepada serangan dan penjajahan minda terhadap propaganda dan dakyah pihak-pihak yang jelas memusuhi dakwah dan perkembangan Islam. Model universiti Al-Azhar dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang memberi penekanan kepada aspek dunia dan akhirat di lihat mampu melahirkan insan-insan berkualiti dan membawa perubahan yang positif kepada kemajuan ummah sejagat.

        Malahan peranan universiti juga tidak perlu disempitkan sebagai kilang untuk melahirkan golongan pekerja sahaja. Universiti wajar menjadi asas kepada pembentukan karektor,akal budi dan intelek yang serba boleh menjadi pemimpin dalam masyarakat,syarikat,siasah dan global. Golongan pelajar dan para ilmuan perlu diberi ruang kebebasan intelektual dan mampu memberi kritikan yang membina kepada permasalahan ummah dan sejagat.

        Justeru akta-akta seperti AUKU perlu dihapuskan segera. Malahan ia tidak releven untuk menaik tarafkan universiti berada dalam rangking TOP 200 universiti terbaik dunia. Pemilihan Canselor dan para ilmuan yang berada di universiti perlu bebas daripada pengaruh parti politik sempit yang menghalang kebebasan intelektual asalkan ianya tidak bertentangan dengan Al-Quran dan Al-Sunnah.

        Para pelajar di universiti perlu komited terhadap pelbagai disiplin ilmu. Adalah satu kelebihan jika seseorang mahasiswa yang mengambil jurusan Undang-undang mempunyai ilmu mengenai ekonomi,psikologi,politik dan sains. Malahan satu kelebihan juga jika mahasiswa-mahasiswi yang Islam mampu menghafaz beberapa juz Al-Quran.

        Kita juga amat prihatin dengan permasalahan mahasiswa dan mahasiswi universiti yang terlibat dalam gejala sosial. Paparan media massa mengenai gejala ini amat membimbangkan dan mencemaskan kita. Golongan ini yang akan menjadi pemimpin ummah di masa hadapan samada di peringkat keluarga, syarikat, masyarakat dan negara.

        Malahan golongan pelajar universiti juga masih dikongkong dengan gejala kuliah,kafeteria dan percintaan . Mereka masih belum mampu untuk berbicara permasalahan ekonomi dan siasah dengan pemahaman yang baik yang membezakannya dengan masyarakat awam. Justeru amat baik jika golongan pelajar ini serius dan berusaha memahami situasi dan perkembangan yang berlaku di negara dan dunia. Tidak menjadi kesalahan juga jika para pelajar menegur salah dan kepincangan kerajaan yang memerintah kerana jika pelajar bersuara, suaranya adalah suara untuk kebenaran dan tidak berkepentingan.

        Aspek pembacaan juga merupakan satu bentuk acuan minda yang akan membina kapasiti keilmuan seseorang. Aspek penulisan ilmu juga wajar diberi perhatian. ‘Merakyatkan Ilmu’ agar semua lapisan masyarakat mempunyai akses dan saluran untuk mendapatkan sumber ilmu yang berguna dalam kehidupan seharian wajar digerakkan. Justeru minda rakyat akan lebih kehadapan apabila berhadapan dengan pelbagai situasi.

        Mewujudkan sebuah universiti untuk semua yang mampu dimasuki oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia dan faktor kewangan boleh difikirkan dilaksanakan. Mungkin kursus-kursus yang diadakan tidak perlu memakan masa yang panjang. Tetapi mungkin boleh diadakan dalam tempoh yang pendek. Ini mampu menarik minat masyarakat untuk mempertingkatkan kefahaman dan penguasaan mereka dalam bidang-bidang yang ditawarkan.

        Universiti Percuma Malaysia (UPM) atau nama yang lebih bermakna seperti Universiti Wakaf contohnya mungkin pada suatu masa kelak boleh diadakan. Kosnya mungkin boleh disediakan oleh pihak kerajaan, swasta, syarikat multinasional dan juga para dermawan yang ingin membuat wakaf dan zakat. Negara-negara OIC yang kaya dengan sumber alamnya seperti minyak dan lain-lain boleh menjadi penyumbang kepada kewujudan Universiti Percuma Pertama oleh dunia Islam. Apalah sangat RM2 atau 3 Billion setahun jika dibandingkan dengan manfaat jangka pendek dan panjang yang mampu membina kemajuan dan kecemerlangan ummah dalam semua aspek.

        Mungkin ada yang mengkritik mana ada perkara di dunia ini sekarang percuma. Benar pendapat itu dalam satu perkara, namun mengapa kita tidak cuba merakyatkan ilmu yang mana semua mampu menjadi manusia yang berguna dan berkeperibadian tinggi.

Bayangkan jika universiti percuma pertama ini diadakan dengan mengambil kemasukkan pelajar yang juga terbuka. Namun syaratnya mungkin perlu bersungguh-sungguh untuk masuk belajar dengan niat yang ikhlas. Dengan menggunakan modul yang diambil pendekatan selaras dengan konsep pendidikan yang diajar oleh Al-Quran dan Al-Sunnah. Mungkin juga sistem konsep pondok boleh diguna yang diperkasakan menjadi sebuah universiti wakaf yang pertama seumpamanya di dunia. 

Kita perlu belajar bagaimana konsep univerisiti yang awal pembinaannya seperti tamadun Andalusia berfungsi. Kesan pembinaan pusat-pusat ilmu seperti ini yang akhirnya membina modal insan yang tinggi. Kita juga perlu belajar konsep dan tarbiah yang diterapkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W mendidik para sahabat yang mana akhirnya mampu membuka timur dan barat untuk menerima dakwah Islam yang menekankan kecemerlangan dunia dan akhirat.

Justeru, akhirnya kita mengharapkan agar idea penubuhan UNIVERSITI WAKAF boleh diwujudkan di dunia Islam. Langkah tepat dan bijak jika Malaysia menjadi perintis kepada kewujudannya ketika mana semua universiti di dunia berlumba-lumba di bina atas dasar material semata-mata. Semoga dengan cetusan idea ini boleh diambil oleh mana-mana kerajaan di dunia Islam untuk menjadi satu reformasi pendidikan dalam usaha merakyatkan ilmu untuk semua lapisan masyarakat.

Mohd Ezli Mashut

BEST OF THE BEST