Tuesday, 3 March 2009

KERAJAAN RAMPASAN KUASA BN/DR ZAMBRY TUMBANG DI BAWAH POKOK KEPAYANG



IPOH,3 MAC 2009 : Sidang tergempar Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan mencatat sejarah kerana buat pertama kalinya ia diadakan di bawah Pokok Kepayang di sini. Persidangan tersebut ‘terpaksa’ diadakan di bawah Pokok Kepayang kerana tempat persidangan DUN dikunci dan dihalang secara tidak demokratik untuk dimasuki oleh ahli –ahli Dewan Undangan Negeri Perak.

            Peristiwa bersejarah ini juga dihadiri oleh kesemua 27 Ahli Dewan Undangan Negeri Perak  daripada Pakatan Rakyat termasuk Speaker DUN, V Sivakumar. Sebelum itu seluruh kawasan tersebut telah dipenuhi oleh pasukan Polis yang berkawal semenjak semalam. Sekatan jalan raya juga diadakan bagi menghalang kebangkitan rakyat yang semakin memuncak kini.

            Tindakan mengunci pintu DUN Perak ini sebenarnya membawa erti mengunci demokrasi dan keadilan daripada dilaksanakan di Perak. Rakyat Perak pasti selepas ini akan mengunci hati mereka  daripada menerima pemerintahan Barisan Nasional daripada berkuasa di Perak pada PRU-13 akan datang.

            Sidang terbuka ini juga mendapat liputan meluas media dalam dan antarabangsa. Malahan para bloggers juga terus menerus melaporkan situasi di sana secara langsung melalui paparan web dan blog masing-masing. Media arus perdana kini yang diterajui oleh kecanggihan internet melalui laman web, blog-blog dan TV Web terus mendapat perhatian rakyat yang semakin sedar untuk mendapatkan berita yang terkini, tepat dan sahih.

            Sidang tergempar itu sah di sisi undang-undang kerana Speaker DUN merujuk kepada Perintah-Perintah Tetap 8 yang mana beliau mempunyai kuasa penuh untuk menetapkan tarikh dan masa mesyuarat diadakan dalam keadaan yang amat memerlukan. Malahan notis 14 hari yang diperlukan untuk memanggil dewan bagi bersidang adalah untuk sidang biasa namun untuk sidang tergempar notis tersebut tidak diperlukan.

             Dalam persidangan tergempar itu tiga usul telah dibentang dan diluluskan. Pertama usul undi percaya kepada YB Dato Seri Nizar Mohammad Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak. Kedua usul untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri dan ketiga adalah usul pengesahan keputusan Speaker DUN terhadap penggantungan Dr Zambry Kadir selama 18 Bulan dan enam exco yang lain selama 12 bulan.

             Sehubungan dengan itu, kini diberitakan Dato’ Seri Nizar Mohammad akan mendapatkan perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi pengesahan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak dan seterusnya peristiharan untuk mengadakan pilihanraya seluruh DUN Perak.

             Dengan ini kerajaan yang dipimpin oleh Dr Zambry Abdul Kadir kini dianggap sudah tumbang dan tidak berkuasa lagi dengan keputusan Sidang DUN Perak tersebut. Kini kerajaan rampasan kuasa yang didalangi oleh  TPM, Dato Seri Mohd Najib Tun Razak berakhir dengan sidang tergempar DUN di bawah Pokok Kepayang tersebut.

             Sementara itu, tindakan mengunci pintu DUN dan penglibatan tidak professional PDRM dan SPRM dalam krisis ini dibidas dan dianggap tidak menggambarkan negara bertamadun dan demokrasi. Fokus kamera politik dunia pasti memberikan pandangan yang negatif kepada negara yang sebelum ini sistem demokrasi dan di Perak tercalar dengan rampasan kuasa tersebut.

              Peristiwa bersejarah hari ini juga pastinya mengingatkan rakyat negara ini kepada kisah lakonan Tan Sri P. Ramlee dalam filemnya Laksamana Do Re Mi, di mana Kerajaan Dua Butir Pasir terpaksa meneruskan pemerintahannya di bawah pokok akibat satu rampasan kuasa yang berlaku.

              Walaupun di bawah pokok mesyuarat tergempar itu sah di sisi undang-undang walaupun kerajaan BN/ Dr Zambry menafikannya. Nasib kerajaan Dr Zambry Abdul Kadir kini boleh dianggap seperti ‘Zam-zam ala Kazam’ yang menandakan berakhirnya riwayat pemerintahan secara rampasan kuasa yang tidak sampai sebulan.

              Pastinya kejadian ini memberi tamparan dan pukulan hebat TKO kepada TPM, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang kini semakin kehilangan sokongan daripada rakyat Malaysia. Malahan nasibnya selepas ini semakin kabur untuk mengambi alih jawatan Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO. Ini berikutan  satu tindakan injuksi oleh beberapa ahli UMNO untuk menghalang Persidangan Agung UMNO yang dijangka berlangsung di antara 24-28 Mac ini akan difailkan di mahkamah seperti yang dilaporkan oleh beberapa media arus perdana.

              Mengulas isu peralihan kuasa ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kota Bharu yang dilaporkan berkata di media mahu kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Sharibuu diselesaikan sebelum jawatan Perdana Menteri diserahkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

              Sebelum itu, Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan masih akur dengan peralihan kuasa Presiden UMNO dan Perdana Menteri kepada timbalannya. Namun kenyataan ini mengundang pelbagai persoalan kerana sikap dan strategi Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak konsisten. Sepertimana pengumuman pilihanraya umum ke-12 yang lepas,  beliau menafikan akan mengadakan pilihanraya dalam masa terdekat namun menukar fikirannya pada saat akhir dan mengumumkan PRU-12 keesokan harinya.

              Perkara ini juga tidak mustahil berlaku dalam proses peralihan kuasa yang cuba dicanang-canangkan akan berlaku akhir Mac 2009 ini. Malahan beberapa keputusan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi juga sebelum ini mempunyai persamaan dengan rentak dan strategi yang sama.

              Dalam pada itu juga, beberapa kenyataan daripada pimpinan bawahan dan atasan Pakatan Rakyat sebelum ini juga mendesak agar Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi meneruskan segala usaha pembaharuan dan agenda yang perlu dilaksanakan. Malahan maklumat terbaru pihak Pakatan Rakyat akan menghalang dengan apa jua cara yang sah di sisi undang-undang untuk menghalang Dato’ Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-6.

              Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Azmin Ali berkata ,

‘Pakatan Rakyat akan sedaya upaya untuk menghalang Dato’ Seri Najib Tun Razak daripada menjadi Perdana Menteri,dengan alasan negera akan hancur jika berada di bawah pimpina Timbalan Presiden UMNO itu’.

              Terbaru, penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Kehakiman Malaysia juga perlu memperlihatkan kejayaan perlaksanaanya sebelum Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi memikirkan untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada timbalannya. Malahan proses pembaharuan yang dicanang-canangkan memerlukan masa lagi dan masih diperingkat terlalu awal.

              Jika ditinjau daripada pandangan umum rakyat, populariti Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak pada persepsi rakyat juga semakin jatuh merudum. Persepsi negatif rakyat Malaysia terhadap perjalanan keadilan perbicaraan pembunuhan kejam menggunakan bahan letupan C4 terhadap Altantuya Shaariibuu masih kekal dalam ingatan. Malahan episod rampasan kuasa di Perak dan kegagalan pakej rangsangan ekonomi RM7 Billion sebelum ini gagal menunjukkan petanda positifnya.

              Terbaru, pakej Bajet Mini 2009 RM 185 Billion yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan bakal mendapat tentangan kerana dijangka hanya memberikan keuntungan kepada syarikat-syarikat besar kroni dan tidak membantu rakyat yang semakin terhimpit akibat kenaikan harga barangan, pemberhentian kerja dan kesan krisis ekonomi global.

              Episod rampasan kuasa di Perak ini memberikan kesan kepada situasi tidak menentu politik di Perak. Akibat tindakan ini krisis perlembagaan di Perak berlaku semakin gawat dengan pelbagai saman dan injuksi dikemukakan kepada pihak mahkamah. Pastinya rakyat di Perak kini menuding jari kepada TPM yang didakwa melakukan penculikan politik,ugutan dan ancaman untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat yang mendapat mandat dan amanah daripada PRU-12 lepas.

              Rakyat Malaysia kini semakin gusar membilang detik peralihan kuasa yang dikatakan akan berlaku. Belum lagi Dato’ Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Pelbagai musibah politik dan ekonomi yang telah berlaku, malahan rakyat kini merasakan tidak selamat berada di bawah pemerintahan bakal Perdana Menteri yang baru itu.

              Sementara itu, situasi siasah di Perak bakal memasuki episod yang lebih menarik dan sukar dijangkakan. UMNO/BN kini yang semakin ‘tenat’ terpaksa menggunakan isu-isu derhaka, istana dan kaum kerana sokongan rakyat semakin merudum. Isu rasuah dan penyelewengan kuasa yang menjadi isu utama cuba dipadamkan terus daripada mendapat perhatian rakyat.

              Kini, nasib kerajaan rampasan kuasa BN/Dr Zambry tersungkur di bawah Pokok Kepayang.  Pastinya, Negeri Perak Darul Ridzuan selepas ini perlu mewartakan pokok bersejarah ini sebagai tapak warisan bersejarah perjuangan rakyat.

              Nasib pokok ini juga perlu dipelihara untuk tatapan generasi akan datang agar menjadi bukti bahawa sidang tergempar DUN Perak pernah diadakan di situ pada tarikh bersejarah 3 Mac 2009. Pastinya Perak menambah satu lagi koleksi tapak warisan bersejarah perjuangan rakyat yang menuntut keadilan dan hak sebagai pemilih.

             Hari ini, V Sivakumar wajar di angkat sebagai ‘Last Action Hero’ kerana tegas menyelamatkan kuasa dan amanah rakyat. Sekalung penghargaan tertinggi kepada Dato’ Seri Nizar Jamaluddin di atas ketabahan dan kecekalannya menjelajah seluruh Perak bagi mempertahankan amanah dan kuasa rakyat. Tahniah juga kepada semua hero-hero rakyat di Perak dan Malaysia yang terus memberi sokongan dan pengorbanan yang besar untuk mengembalikan kuasa rakyat sebagai kuasa keramat.


Berita Ini Disediakan Oleh :

MOHD EZLI MASHUT

LL.B (HONS) UIAM

BLOG: www.ezli007.blogspot.com

EMAIL:ezli007@hotmail.com